Monday, August 17, 2009

menguji ketegasan

Posted by usoPkuChai On 8:18 PM No comments


Usai menikmati nasi padang yang beraneka lauk pauk, aku jadi tidak tahu apalagi yang harus kulakukan. Gedung yang terkesan mewah ini kutelusuri tanpa tujuan. Aku berfikir mungkin secawan kopi dapat meredakan gelisahku.

Aku duduk di sebuah café yang terbuka yang berada di tengah-tengah gedung tiga tingkat. Trio pemuzik berkot hitam mengambil tempat dan menguji alat muzik mereka. Kupesan secangkir kopi hitam. Beberapa meja dipenuhi oleh sosok manusia yang sangat kontras dengan orang-orang di tingkat atas yang turut menikmati muzik tenang secara percuma. Sungguh air laut dan air sungai itu tetap terpisah di muara.

Pernah dulu aku jadi benci pada nuansa café-café mewah sebegini. Terlalu banyak kepura-puraan bagiku, yang tidak terkadang membuat aku mual, apalagi bila terpaksa berbahasa inggeris untuk mengekalkan standard, yang sejujurnya aku rasa hanya menipu diri sendiri.

Namun akhir-akhir ini aku merasakan air laut itu tidaklah prejudis seperti air sungai. Hanya saja banyak air sungai yang mengalir ke laut cuba menjadi lebih masin, hingga malu pada payau ketika berubah menjadi masin dan melupakan kesegaran waktu terbit dari mata air di hulu singai. Merasa gelombang laut itu lebih hebat dari nyaman pergunungan. Hilang jatidiri dek dipaksa arus yang melaju.

Kita sentiasa mengidamkan sesuatu yang tidak kita miliki. Inikah yang dinamakan kehidupan?

(pause)

###


Tidak lama dulu aku menerima satu emel yang berkisah tentang betapa kasihnya seorang kakak kepada adiknya yang dianggapnya telah berkorban banyak untuknya, dari menerima tamparan bapa mereka kerna kesalahan kakaknya hinggalah pengorbanan meninggalkan rumah mencari kerja kerna mahu kakaknya melanjutkan pelajaran ke universiti. Sayangnya, melankolia kisah ini seolah menidakkan, atau sekurang-kurangnya mengecilkan, pengorbanan sang ayah, namun tidak pernah ketinggalan menunjukkan ketabahan dan kesabaran sang ibu.

Sosok bapa merupakan suatu yang sering tidak diacuhkan. Apa sahaja yang diperbuat oleh seorang bapa dan suami hanya dianggap murni suatu pertanggungjawaban yang tidak perlu dihargai secara berlebihan, kononnya.

Hubungan penting lelaki dan perempuan hanya ada dua. Seorang lelaki terhadap ibunya dan seorang wanita terhadap suaminya. Bilamana kasih seorang anak terhadap ibu itu dianggap suatu kejadian yang paling hebat, tetapi cinta seorang isteri kepada suami tetap saja dianggap satu pengorbanan. Wanita sentiasa dianggap korban, jelas memang perempuan itu fitrahnya harus dilindungi oleh lelaki, namun aku merasakan agak berlebihan juga bila lelaki disinonimkan dengan segala punca kejahatan dan huru-haranya dunia. Tapi mungkin juga benar, kerna dunia ini memang tanggungjawab lelaki. Sungguh, sukar menjadi seorang lelaki.

(pause)

###


Di depanku kelihatan seorang suami yang memegang tas tangan isterinya sambil menolak kereta sorong. Anak pertama mungkin. Tubuh isterinya masih sintal, mungkin saja akan dianggap masih belum mempunyai anak jika dia tidak berjalan bersama suaminya. Sang isteri sibuk dengan telefon genggamnya sedang berkata-kata sesuatu dan tertawa manis. Sang suami masih sibuk mengurus tas tangan dan anaknya yang di dalam kereta sorong. Andai saja mereka ini mempunyai babysitter.

Di suatu sudut yang lain, seorang lelaki begitu sibuk memegang tangan seorang perempuan. Sabar tersenyum melayan karenah sang perempuan yang kelihatan begitu cerewet memilih pakaian. Seolah segala rungutan dan omelan perempuan itu adalah hiburan bagi dirinya. Aku jadi tersenyum mengingatkan ucapan penyambut tetamu di pejabatku, “Orang lelaki kalau ada maunya, semuanya boleh.”

Aku pernah mengajukan persoalan nikah kepada seorang gadis yang beriya-iya mahu jadi kekasihku. Aku katakan, “Isteri dan kekasih itu tiada beza komitmen. Lebih baik nikah supaya kita tidak bergumul dosa.”

Dia langsung menarik muka masam dan mengatakan aku terlalu mendesak dan menekannya. Tetap saja dia cuma mahu menjadi kekasihku. Terbit hairan juga dalam hatiku memikirkan apa yang dimahukan oleh gadis ini sebenarnya. Bukankah menjadi isteri itu satu penghormatan buat seorang perempuan?

Sehingga suatu hari, ketika aku diurut oleh seorang janda muda, aku bertanya padanya soal yang sama.

“Menurut kamu, apa bezanya antara nikah dan pacaran?”

“Menikah itu susah. Kalau pacaran kan nggak macam-macam. Paling-paling cuma minta dibeliin baju, keluar makan, jalan-jalan.”

Jawapan yang tidak lari jauh dari jawapan sang gadis yang menyebut perhatian, pengertian dan saling memahami.

“Jadi kalau isteri macammana pulak?”

“Kalau isteri kan harus lebih,” jawabnya polos sambil mengurut betisku yang sudah dua hari cuba kubiarkan sembuh sendiri.

“Lebih macammana? Lebih beli baju, lebih makan dan lebih jalan-jalan?” sinisku.

Janda itu senyum dan menjawab spontan, “Kalau isteri tidak diberi duit kan ngomel, kalau pacar lebih pengertian.”

“Hahaha!” aku tertawa besar dengan jawapannya.

“Lebih baik sendiri kalau macam tuh,” sambungku disambut ketawa janda muda berketurunan sunda itu.

Dia bangun dan beralih ke kaki kiriku seraya berkata, “Tapi kalau ada isteri kan lebih enak.”

“Enak macammana? Memang seronok kena bebel?” aku menjuihkan bibirku, tanda tidak bersetuju dengan pendapatnya.

“Kan ada yang ngurusin makan minum, sakit pening,”

“Ooh! Kalau pacar tak buat semua tuh?”

“Tergantung”

“Gantung apa? Leher?” ketawa kami pecah lagi.

Memang dunia ini mulai aneh bagiku. Di waktu aku sudah tidak mahu lagi menyelusuri lorong-lorong kelam seperti dulu, semakin kuat dan banyak pula yang datang mahu menggelapkan sinar yang mula terlihat padaku.

Mungkinkah Tuhan mengujiku? Atau syaitan tidak mahu kehilanganku? Aku harus apa Tuhan?

(pause)

###


“Ahh.. kopi dah habis,” sudah hampir dua jam rupanya aku duduk. Sang pemuzik pun dah berkemas pulang. Aku nyalakan sebatang rokok, terakhir sebelum aku angkat punggung merambuskan diriku ke tempat lain pula.

Seorang lelaki bersama anak lelakinya duduk di meja berhadapan dengan tempat dudukku. Sama-sama berbaju kuning, kepada yang digunting nipis dan bentuk badan gempal yang sama. Kelihatan berbincang-bincang sebelum memesan sesuatu.
Wanita cantik di sebelah mejaku bangun merapikan skirt pendek yang dipakainya dan melangkah pergi meninggalkan pasangannya yang sedang serius bercakap dengan telefon genggamnya.

Sekumpulan anak muda yang kelihatan seperti anak orang berada memenuhi meja di sebelah kananku. Kemudian menyusul pula tiga orang gadis yang berpakaian seksi bergabung dengan mereka. Salam bersambut, ciuman pipi dan senyum ketawa menunjukkan mereka sudah kenal lama.

Aku belum benar-benar memahami mengapa aku mahu bersendirian. Kata kawanku aku perlu tegas pada diriku sendiri. Kata-kata itu pun aku belum dapat menghadam sepenuhnya. Jiwaku masih kosong. Aku tidak tahu apa yang aku mahukan, sepertinya aku berada di hujung jalan mati dan buntu mahu kemana lagi.

Aku harus bertegas dengan diriku sendiri jika mahu perubahan yang berarti berlaku dalam hidupku.

Apa maksudnya sich?

(halt)

###

0 ulasan: