Thursday, May 12, 2011

bebaskan aku: bertemu semula

Posted by usoPkuChai On 12:00 PM No comments


Chapter 1.2: bertemu semula

***

[fb:suraya] airmata saya mengalir..
[fb:suraya] saya tak percaya. saya ingat awak dah mati kena langgar kereta.
[fb:munir] haha.. sampainya ati.. nih mesti doakan kita mati kena langgar kereta nih..
[fb:suraya] dulu awak mintak macam tuh..

Aku menatap gambar di facebooknya. Pandangan sayu dari sepasang mata yang redup dan senyuman manis bibir merah di raut wajah bujur sirih, sama persis seperti dia yang pernah aku ingat dulu. Aku sendiri tidak pernah menyangka akan dapat bertemu kembali dengannya lagi. Bertahun dulu aku pernah mencari-cari kewujudannya di alam maya, namun aku tidak menemukannya, waima tiada siapa pun yang aku ketemukan dari kalangan rakan-rakan sekolah kami dulu tahu mengenai keberadaannya.

Pagi itu aku bangun dan mendapati Hanif menandakan facebook aku dalam kumpulan sekolah kami. Hanif adalah sahabat baikku ketika sekolah menengah. Satu-satunya sahabat yang dapat bertahan dengan karenah aku yang sentiasa mempunyai pendapat yang tidak senormal orang lain. Sahabat yang setia mengayuh basikal bersama-sama hampir setiap petang setelah habis sekolah menuju ke perpustakaan daerah dengan niat kononnya mahu mengulangkaji pelajaran. Hanif benar-benar menelaah tapi aku lebih sering menghabiskan waktu aku membaca buku-buku puisi Siti Zainon Ismail dan membaca buku-buku lain yang tidak kena mengena langsung dengan sukatan pelajaran sekolah, jika dia tidak muncul.

Aku buka facebook Hanif yang kebiasaannya hanya dipenuhi oleh permintaan dari permainan Farmville. Aku sudah tidak mengikuti Farmville lagi semenjak aku mengganti facebookku kepada nama lain. Farmville memicu ketagihan, begitulah pendapatku, setelah hampir setahun menjadi peladang tegar Farmville, yang bermula dari ladang jagung dan raspberry hinggalah kepada pembinaan bandar kecil yang lengkap dengan beraneka bentuk pagar dan peralatan sarkis, selepas musim salji. Sudah tidak wajar lagi bagi aku untuk berkebun lagi di alam maya dalam keadaan halamanku yang sudah tidak seperti lading lagi, setelah aku jual segala jenis pokok dan haiwan ternakan.

Di facebook Hanif kemudiannya aku menemukan facebook Rustam. Seorang lagi rakan sekolah menengah yang telah aku kenali sejak dari sekolah rendah lagi. Kami bersekolah rendah di kampungku, kampung Bukit Berimbang, sebelum kemudiannya aku memasuki sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Tun Kenanga. Kami bertemu semula ketika aku pulang untuk bersekolah di SMK Kuala Merah. Rustam Salleh masih dengan caturnya. Kami berchatting malam itu. Dia kini adalah seorang pegawai perubatan di selatan tanahair. Malam itu dia menyebut beberapa nama rakan-rakan sekelas, Yong, Suhana, Rubiah, Nora dan hati aku bergetar ketika dia menyebut nama Suraya. Nama yang sememangnya aku harap-harap akan ditulisnya.

Sepertinya aku sudah menemukan nama itu ketika aku meneliti nama-nama rakan facebooknya sebelum itu, hanya setelah Rustam menyebut namanya, aku tiba-tiba langsung dapat menemukan nama itu. Amira Suraya. Entah mengapa tanpa rasa ragu-ragu aku terus mengklik permintaan untuk menjadi rakan. Walaupun aku sangat sedar bahawa kenangan yang terakhir aku bersama dia adalah kebenciannya terhadapku.

Aku klik dinding facebooknya. Catatan terakhir adalah pada awal tahun. Hampir tidak mungkin dia akan membuka facebooknya, apalagi untuk membenarkan permintaan sebagai rakanku. Tak apalah. Janji aku puas dapat melihat wajah bahagianya bersama keluarganya. Aku sangat pasti bahawa itulah keluarganya walaupun tidak terdapat apa-apa catatan. Empat orang anak, dua lelaki dua perempuan. Sepertinya anak perempuan sulungnya sudah berada di sekolah menengah. Manis seperti ibunya.

[fb:suraya] semalam ulangtahun ke 15
[fb:suraya] 28 april 96
[fb:munir] alhamdulillah.. moga bahagia berkekalan..

Aku sangat terkejut ketika dia menerima permintaan rakanku di facebook. Terkejut kerana mengetahui bahawa dia sangat jarang membuka facebooknya, dan tiba-tiba sebelum genap satu hari dia sudah membenarkannya. Terkejut kerana pada mulanya aku akan menganggap bahawa dia masih marah pada aku, mengingat kebenciannya dulu terhadapku. Namun syukurlah aku hanya berburuk sangka pada masa lalu.

Dan malam itu, sehebat air hujan di luar jendela kamarku, kami semakin rancak berchatting, bertanya khabar dan saling bertukar berita akan keadaan terkini. Dia berkisah mengenai impiannya, Joe’s breakfast and cafĂ©. Solusi untuk melampiaskan kegeramannya mengenai betapa sukarnya mencari sarapan yang enak di setiap paginya di Kota Long Siak. Aku hanya tertawa dengan kelucuannya. Ada semangat dalam suaranya yang bernada tinggi dan keanak-anakan, persis seperti nada suaranya dua puluh dua tahun dulu waktu marah kepada kenakalan aku dan rakan-rakan yang suka mengusiknya. Dia masih gadis kecil itu.

Kesejukan dari penghawa dingin yang berpasangan dengan angin yang melayangkan rintihan hujan seakan tidak mampu lagi merayu badanku yang hanya bersinglet putih nipis untuk menyelinap ke dalam selimut tebal melayan suhu bilik yang semakin menurun. Lebih tepat lagi malam itu kami bersembang hingga ke subuh. Kami berpisah setelah hujan di luar bilikku berhenti, entah bosan menunggu atau mungkin awan hitam sudah kehabisan titisan air beku.

***

[fb:suraya] saya terharu sangat..
[fb:munir] terharu kenapa?
[fb:munir] nih sekejap tak percaya sekejap terharu..
[fb:munir] kita belum mati laa.. ingat cakap dengan hantu laa tuh.. haha
[fb:suraya] saya dah padam kenangan masa lampau.. tapi tiba-tiba muncul.. tak boleh tahan
[fb:munir] jangan munculkan.. ciptakan yang baru..
[fb:suraya] emm.. memang tak mahu munculkan, tapi itulah yang berlaku..

Bukan niat mengusik masa lalu. Mungkin aku tidak sepenuhnya jujur dengan mengatakan itu. Masa lalu takkan mungkin terpadam. Dari pertama aku melihat wajahnya di profil facebook, bohong kalau aku mengatakan aku tidak merasakan apa-apa. Dua puluh dua tahun bukanlah suatu masa yang mampu menguburkan perasaan yang pernah singgah di hatiku. Hanya saja aku menahan diriku daripada bersikap yang tidak sepatutnya. Dia punya suami dan anak-anaknya. Dia punya keluarga yang perlu aku hormati keberadaannya. Aku juga begitu. Isteri yang cantik dan setia, serta anak-anak yang sangat aku sayangi. Aku hanya sekadar mahu mengintip kebahagiannya. Tidak lebih dari itu. Hanya sekadar mahu mengetahui khabar seorang sahabat yang sudah lama tidak kutemukan.

[fb:munir] lama tak jumpa ek.. sejak dari lepas spm..
[fb:suraya] pernah nampak kat pasar.. tapi saya menyorok..
[fb:munir] ooo.. menyorok.. haha..
[fb:suraya] masa tu saya anak satu, munir baru kawin
[fb:munir] eh.. sini dah azan.. nanti bila-bila kita sambung sembang..
[fb:suraya] munir... saya betul-betul minta maaf dunia akhirat..
[fb:munir] takpa laa sue.. kita yg patut minta maaf banyak-banyak sebab banyak buat salah..
[fb:munir] kita dah lama dah maafkan semua orang..
[fb:suraya] nanti kita sambunglah.. saya sedih sangat.. ok.. salam
[fb:suraya] panggil saya suraya
[fb:munir] ok.. suraya.. salaam.. senyum-senyum tau.. jangan sedih
[fb:suraya] ok.. jumpa lagi.. salam
[fb:munir] nih asyik tulis ok salaam.. bila nak selesai.. haha
[fb:munir] ok salaam lagi.. maghrib dah nih
[fb:suraya] hee.. saya kena beritau awak sesuatu.. tapi bukan sekarang..
[fb:munir] ok ok.. bila tak sedih nanti bagitahu ok..
[fb:suraya] emm
[fb:munir] ke nak bagitahu sekarang nih?
[fb:suraya] tak.. pergilah solat dulu..

***

Sue. Begitulah aku memanggilnya dulu. Nama panggilan khusus ketika hanya kami berdua. Nama yang pernah meluluhkan hatiku dua puluh dua tahun dulu. Gadis bertudung putih yang mempunyai senyuman yang paling manis di sekolah kami. Sekurang-kurangnya begitulah menurut aku. Dia akan tersipu-sipu jika aku membisikkan nama itu ke telinganya. Bibirnya kecil mungil kemerahan mencetak senyuman sempurna di wajahnya yang putih bersih. Senyuman tulus terukir di wajah yang tidak tercemar. Lesung pipit kecil yang muncul seiring senyuman itu sering meneman tidur malamku.

Waktu zaman sekolah dulu dia duduk di deretan yang sama denganku namun di hujung sebelah kiri kelas, manakala aku pula duduk di tepi dinding di sebelah kanan kelas. Hanif duduk di sebelah mejaku. Meja aku dan Hanif di barisan kedua tepat berhadapan dengan meja guru yang mengajar. Tingkatan 5 Sains 1. Aku lebih kerap bersandar pada dinding di sebelahkku dan melihat kearah rakan-rakan lain ketika guru mengajar. Aku suka melihat kesungguhan yang berada dalam setiap wajah-wajah pelajar pintar di kelasku menekuni setiap patah perkataan yang disampaikan oleh setiap guru yang berdiri menghadap papan hitam.

Disela-sela kekaguman aku melihat sekumpulan pelajar pintar yang sedang menumpukan seluruh perhatian mereka, aku melihat dia memandang ke arah aku. Lirikan mata yang kemudiannya melarikan diri semula ke papan hitam di hadapan kelas. Aku tahu dia tahu aku melihat dia. Sesekali lirikan mata itu kembali bertembung dengan pandanganku. Seketika bersatu dalam pertemuan yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Kali ini dia lebih berani menentang mataku. Aku kenyitkan mata kiriku. Dia menjelirkan lidahnya mengejekku. Aku tersenyum. Dan aku juga dapat melihat senyum dari bibir merah itu yang bersembunyi di sebalik tudung putih.

***

0 ulasan: