Thursday, May 12, 2011

makan siang terbaik di rumah makan bebek sinyo

Posted by usoPkuChai On 10:19 AM 1 comment



bebek? itik? aku tak pernah makan itik seumur hidup aku. makan telur itik adalah, itu pun sebab nenek aku buat telur masin. sibuk kawan aku nama Tapa mengajak aku makan itik kat restoran bebek di jalan patrio. dia kata bebek penyet kat situ sedap. ahh.. setakat itik di goreng pastuh makan dengan sambal apalah yang sedap sangat. getus hatiku.

"sedap man.. bebek muda.. aku dulu pun tak makan itik.. tapi yang nih buat aku ketagih," ujar tapa beriya-iya sambil menarik tangan aku memaksa masuk ke dalam teksi putih yang berlabel tarif rendah tengahari itu.

rumah makan bebek sinyo. itulah nama restoran tuh. aku tak nampak ada beza dengan restoran bebek penyet, ayam penyet dan segala penyet yang lain. sebelum simpang masuk jalan patrio tadi aku nampak satu lagi restoran bebek, bebek kalino. itu pun aku rasa popular juga sebab aku sering dengar budak-budak kantor suka makan beramai-ramai di situ.

aku mengamil tempat berdiri di belakang deretan orang-orang yang mahu mengambil makanan. tepat di bawah satu kayu yang bertulis 'monggo mendhet piyambak'. rumah makan bebek sinyo ini menggunakan sistem layan diri. ini yang aku malas nih. nak kena beratur dan amik makanan sendiri. dah tentu makanan tuh entah masak pagi tadi atau semalam punya baki. Tapa yang ada di depan aku nampak bersemangat memilih ketulan bebek yang mempunyai pilihan sama ada yang dibakar atau digoreng. pekerja rumah makan yang berpakaian putih dan berikat kepala kelihatan sibuk menggoreng dan membakar itik dan ayam di belakang kaunter makanan tersebut.

"jangan ambik ayam man.. ko kena rasa bebek tuh.. tak liat.. bebek muda.."

aku menurut saja cadangan Tapa. aku ambil seketul peha bebek goreng, sebungkus nasi liwet, beberapa jenis lalapan, dan beberapa senduk sambal hijau serta sambal mangga. setelah memesan jus jeruk (jus limau) dan menerima baki beberapa ribu rupiah dari gadis belasan tahun di kaunter bayaran, yang memanggil aku dengan panggilan pakcik, aku mengangkat dulangku dan mencari meja yang kosong. gadis remaja jawa itu memanggil aku pakcik kerna mengetahui aku org malaysia berikut loghat indonesiaku yang mereka anggap kedengaran seperti bunyi suara upin-ipin. walaupun telah berkali2 aku menerangkan pada rakan2 sekerjaku bahawa pakcik itu panggilan utk org lebih tua, sepertinya panggilan 'om', tetap juga itu yang menjadi panggilan mereka. dengan bertambahnya penumbuhan rambut putih di kepalaku, aku berlapang dada dengan panggilan tersebut.

hari itu agak panas. kebetulan, atau memang begitu keadaanya, restoran itu agak penuh. setelah meninjau2 dan berjalan mengelilingi restoran itu beberapa minit, akhirnya aku menemukan sebuah meja bulan besar yang terletak di sebelah sebuah gong lama yang dipamerkan di bahagian tengah restoran tersebut. sepasang suami isteri sedang merapikan dua orang anak2nya yang masih balita (istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kanak2 yang berumur lima tahun ke bawah). seorang gadis berbaju putih, kemudiannya aku sedari bahawa baju putih itu adalah pakaian seragam pekerja restoran tersebut setelah melihat lambang restoran itu di bahagian dada kirinya, bingkas membersihkan meja yang berselerakan dengan nasi dan tulang2 sisa makanan keluarga tersebut.

aku duduk di kerusi yang bersebelahan dengan gong lama tersebut dan meletakkan makanan tengahari di hadapanku. Tapa duduk di hadapanku dengan muka yang sangat berselera. dia dengan penuh hati2 membuka perlahan2 lapisan demi lapisan daun pisang yang membungkus salah satu hidangannya. aku bangun mencari tempat membasuh tangan yang terletak luar ruangan yang menempatkan meja kami. dinding2 restoran itu dipenuhi dengan gambar2 lama dan beberapa iklan antik. aku mengenali beberapa iklan lama itu dari ingatanku ketika berjalan mencuci mata di deretan kedai di jalan surabaya minggu lepas.

"ko kena rasa nih man.. pepes bebek.. sini jer ada.." kata Tapa sebaik sahaja aku kembali duduk di meja sambil mengunjukkan hidangan berwarna gelap yang terbungkus rapi dengan daun pisang.

"bebek pun diorg buat pepes? biasa aku tau ikan jer.." sahutku sambil menghulurkan tangan mencubit sedikit daging yg agak kehitaman dan lembut dari hulurannya, dan menyuap ke mulutku. aku tak merasakan apa2 kenikmatan yang melampau, jika aku membandingkan dengan reaksi Tapa yang bersungguh2 menyantap.

aku colek sedikit sambal hijau, yang aku tahu pedas macam nak gila, mencampurkan dengan sambal mangga dan menggaulnya dengan nasi. aku koyak daging bebek itu yang lembut dan renyah dan menyuapnya bersama nasi yang aku gaul tadi. campuran rasa pedas, manis, lemak dan rangup beraduk dalam mulutku. sedap juga kata hatiku. dan suapanku makin melaju.

"bagaimana bebeknya pakcik?" tegur seorang perempuan separuh baya berbaju kebaya batik bersanggul, seperti berpakaian baru pulang dari kenduri kahwin, yg tiba2 muncul di sebelahku tanpa aku sedari.

"enak bu," jawabku pendek sambil menyugihkan senyuman yg paling ikhlas.

"rumah makan ini tradisi keluarga kami. saya mewarisinya dari bapa saya. itu gambarnya," dia menunjukkan sebuah gambar keluarga besar di dinding yang bersebelahan denganku.

aku memang suka gambar keluarga jawa yang lengkap berpakaian tradisi jawa. klasik. jelas di potret keluarga itu sekurang2nya tiga generasi keluarga tante tadi, bersusun secara rawak di hadapan sebuah bangunan kayu. tante adalah panggilan yang menajdi pasangan kepada panggilan om, bermaksud makcik. tetapi panggilan tante hanya dibolehpakaikan jika perempuan itu adalah keluarga atau seorang yang kita kenal baik, sebagai panggilan yang menunjukkan hubungan rapat. panggilan ibu digunakan sebagai pangilan hormat dari orang yang baru dikenali atau di majlis rasmi.

"itu gambar hadapan rumah makan ini di zaman kakek saya. bangunan udah beda tapi rasanya tetap sama." sambung ibu lasmini. aku mengetahui namanya setelah melihat satu gambar besar yang dipamerkan di bahagian lain dinding itu, nama Ibu Lasmini tertulis jelas terlorek di atas plat tembaga kuning, di bawah gambar perempuan yang sama seperti ibu yang dihadapanku. sama persis sanggul dan baju kebaya jawanya.

menurut Tapa, bebek sinyo ini berbeza dengan bebek kalino. kalau bebek kalino itu resepi orang sunda, bebek sinyo pula adalah resepi mengikut masakan cara jawa. pedas dari sambal mulai terasa. aku mengambil tisu dan mengelap butir peluh mulai meleleh di tepi telingaku. ibu itu masih tersenyum di sebelahku seolah menemankan aku makan. Tapa sudah tengelam kesedapan dalam dunia bebeknya.

"saya punya undangan buat pakcik. pakcik mahu merasakan makan di rumah makan kakek saya yang itu?" katanya sambil menunjukkan jarinya ke arah gambar keluarga di dinding.

"bukan kita sekarang di tapak rumah makan yang sama bu?" aku menjawab dengan sedikit aneh.

"iya pakcik, tapi merasakan makan bebek sinyo secara tradisi di rumah makan sinyo yang sebenar itu lebih enak lho," jawabnya tersenyum sambil tangannya mencapai sebatang kayu yang tergantung di sebelah gong lama di sebelahku.

"pakcik nikmati saja. mudah2an pakcik jadi pelanggan setia kami." seraya memukul gong itu sebanyak tiga kali.

sejurus setelah aku mengalihkan pandanganku dari gong yang mengeluarkan bunyi dengung itu. aku mendapati dirku berada di sebuah rumah makan lama. dinding batu yang tadinya sudah terganti dengan dinding kayu yang disusun rapat. kedengaran suara anak2 kecil dari arah luar rumah makan itu. beberapa orang gadis remaja lengkap dengan kebaya jawa berwarna putih kelihatan sibuk melayan beberapa orang lain yang juga lengkap berpakaian tradisi jawa.

entah masa bila aku duduk bersila di hadapan meja kayu rendah yang berukir. aku juga lengkap berpakaian tradisi jawa dengan belangkon di kepalaku. seorang gadis muda bersimpuh di sebelahku sambil tersenyum manis. kepalanya tunduk sambil menggaul2 perlahan nasi di dalam pinggan di hadapanku. sebelum sempat aku mengatakan apa2, gadis itu mengangkat tangannya ke arah aku. tanpa membantah aku membuka mulutku menerima suapannya. terasa lembut dan halus tangannya di bibirku di sela2 rasa pedas, manis, lemak dan rangup yang menerokai rongga mulutku.

senyuman dan pandangan lembut dari matanya memukau aku. terasa kunyahan bebek sinyo ini lebih sedap dari suapan aku sendiri sebelumnya. malah aku rasa bebek sinyo inilah yang paling sedap. bukan hanya bebek paling sedap tetapi makanan yang paling sedap di dunia. gadis manis dalam kebaya jawa dengan bahagian dadanya yang agak lebar dan ketat di bahagian pinggang dan kainnya, menyerlahkan kecantikan semulajadi gadis jawa. ketelitiannya memisahkan daging bebek dari tulang dan mencampurkannya dengan nasi dan sambal, penuh dengan kelembutan.

mulutku tidak berhenti mengunyah, sepertinya aku lupa untuk menelan. aku hanya menelan ketika gadis itu kembali menyuakan dua tangannya yang mulus sambil sabar menanti dgn senyuman yang paling manis di dunia. aku bagaikan pangeran jawa yang dilayan santap oleh puteri2 keraton. kedengaran sayup2 bunyi gamelan jawa memenuhi ruang, menghipnosis telingaku. begitulah keadaanku. mataku tidak beralih dari gadis tersebut dalam setiap kunyahan yang semakin lembut dan enak. bagaikan aku dapat merasakan setiap bahan yang digunakan dalam masakan tersebut. setiap bumbu rempahnya.

hinggalah pada suapan yang terakhir. gadis itu menghulurkan secawan air padaku setelah dia membasahkan bibirku dengan air basuhan dan mengelap kering bibirku dengan sehelai kain lembut. tidak pernah aku dilayan makan begini. aku menghirup air dingin yang diberikannya. aku memejamkan mataku menikmati kesegaran air yang mendinginkan kerongkongku. sungguh makan siang yang sempurna. waktu itu aku mendengar bunyi gong itu lagi. berdengung di gegendang telingaku.

"amboi! kata tadi tak suka makan bebek. bukan main ko makan penuh perasaan sampai aku bercakap pun ko tak dengar," aku tersentak ketika merasa Tapa menepuk bahuku dengan agak kuat.

Tapa menyeringai melihatku. pingganku licin tak tersisa. hanya tinggal beberapa tulang itik tersusun rapi di pinggirnya. aku bangun untuk mencuci tanganku. setelah menghabiskan dua batang rokok sambil membiarkan Tapa membebel entah apa. pandanganku sekali2 singgah diantara potret keluarga di dinding dan gong lama di sebelahku.

"kata budak2 kedai nih, itu gambar rumah makan nih zaman dulu. sama atas tapak nih. gong nih pun kata diorg warisan turun temurun," Tapa mengkisahkan sejarah rumah makan itu padaku.

"Aku dah tahulah Tapa," jawabku dalam hati.

hari itu aku keluar dari restoran itu dengan rasa puas. makan siangku yang terbaik. sebelum memasuki teksi biru yang kami tahan di pinggir jalan besar di simpang jalan patrio, tanpa sedar aku mengatakan sesuatu pada Tapa, yang disambutnya dengan pandangan pelik sebelum ketawa.

"minggu depan kita makan kat sini lagilah Tapa."


1 ulasan:

bebek garang the best lagi