Saturday, June 15, 2013

Sri Lela Santana (bahagian 1)

Posted by usoPkuChai On 11:22 AM No comments

photo courtesy from Lemari Cantique

* * *

Ini bukan kali pertama Sri Lela Santana menjadi rebutan.  Sepuluh tahun dulu, kemunculannya telah menyebabkan dua keluarga berperang besar. Dan selama sepuluh tahun inilah keluarga Tuan Haji Long Sudin yang menjaganya dengan penuh kasih-sayang, hingga jarang sekali dibenarkan keluar dari rumah.

Kali terakhir terlihat berada di luar rumah, tiga tahun dulu, menyebabkan Pak Ngah Bidin cedera parah dan Sri Lela Santana dibawa lari orang. Berhari-hari Hajah Sepiah mengongoi menangis sehampir hilang akal kelihatannya.  Namun kerana sememangnya menjadi hak Haji Long Sudin, Sri Lela Santana muncul semula di tangga rumah Haji Long Sudin selepas tiga hari hilang, tanpa cacat-cela.

Ada sesuatu tentang Sri Lela Santana yang hanya diketahui oleh orang-orang tertentu sahaja. Rahsia inilah yang menyebabkan Hajah Sepiah tidak membenarkan sesiapa pun membawa Sri Lela Santana keluar, waima Haji Long Sudin sendiri.  Cuma hari itu memang salah Pak Ngah Bidin sendiri, bukan salah orang lain.

* * *

Pada hari itu, pagi-pagi lagi Pak Ngah Bidin sudah berdiri di pintu dapur rumah Haji Long Sudin. Ayam-ayam jantan masih saling bersahut kokok lagi. Sinar mentari pagi masih tersipu malu menyapa embun yang belum sempat tersejat di hujung daun-daun lalang yang merimbun di belakang dapur rumah Haji Long Sudin. Pak Ngah Bidin yang berseluar khaki kelabu lusuh dan berbaju pagoda putih yang sudah berlobang-lobang, terbakar dek rokok gudang garam yang dcanduinya sejak dari umur belasan tahun, mengintai-intai ke dalam rumah dari pintu yang separuh terbuka.

"Salamun Alaikum!" suara Pak Ngah Bidin separuh menjerit.

Senyap sunyi rumah Haji Long Sudin. Tiada terdengar bunyi apa-apa. Tiada siapa yang menjawab salam Pak Ngah Bidin. Pak Ngah Bidin tidak berpuashati. Dia yakin benar Haji Long Sudin ada di dalam rumah. Motorsikal biru Haji Long Sudin ada di bawah rumah rumah, dengan roda depan dirantai ke tiang pasak rumah. Pak Ngah Bidin menolak sedikit daun pintu dapur. ketika itulah dia terlihat Sri lela Santana. Berderau darahnya.

"Benarlah kata Long Daud," getusnya dalam hati, dengan suara diantara dengar dengan tidak.

Baru sahaja Pak Ngah Bidin mahu melangkah masuk, tiba-tiba terasa satu benda keras dan tumpul menghentam tengkuknya. Pak Ngah Bidin jatuh tersungkur di depan pintu dapur. Belum sempat dia menoleh dan bertindakbalas, mukanya terasa kebas, terasa penuh tapak kaki itu di mukanya. Kepalanya berpinar dan matanya kabur, tidak tahu jelas siapa yang menyerangnya. belum sempat dia menghirup nafas yang ke dua, benda keras dan tumpul itu singgah lagi di kepalanya, dan segalanya hitam selepas itu, gelap gelita.

"Ngah.. Ngah.. macammana boleh jadi macam ni?"

sayup-sayup Pak Ngah Bidin terdengar suara yang memanggil-manggil namanya. dalam kekaburan, Pak Ngah Bidin dapat mengesan sosok beberapa orang mengelilingi. digosok-gosok matanya dengan tangan kanan. kepalanya terasa bengal. pening dan berdenyut-denyut. beberapa orang memegang tangan dan tubuh Pak Ngah Bidin, cuba memposisikan badan Pak Ngah Bidin seupaya dapat duduk.

"Kau memang pembohong Long!" suara Pak Ngah Bidin separuh menjerit sebaik sahaja dapat melihat sosok Haji Long Sudin di depannya.

"Siapa yang buat Ngah macam ni? Kenapa Ngah ada di rumah saya pagi-pagi sangat ni?" Haji Long Sudin bertanya sambil meneliti luka dan lebam di kepala dan muka Pak Ngah Bidin.

"Kau kata dulu Sri Lela Santana bukan dalam penjagaan kau! Puas aku mencarinya.. Kau memang pembohong Long!"

Pak Ngah menepis tangan Haji Long Sudin. orang-orang mula mengundurkan diri kerana dapat merasakan bahang kemarahan dari suara Pak Ngah Bidin yang bernada tinggi.

"Sabarlah Ngah.. Keadaan Ngah teruk ni"

"Pulangkan Sri Lela Santana pada aku!"

Pak Ngah Bidin tidak mempedulikan kesakitan dan kecederaan yang dialaminya. malah Pak Ngah Bidin tidak memikirkan pun siapa yang memukulnya. baju dan seluar yang dipakainya memerah darah. tangannya penuh dengan darah hidup. Pak Ngah tidak peduli semua itu. dalam fikirannya hanya Sri Lela Santana yang dilihatnya sebelum dia dipukul hingga pengsan. dalam fikirannya hanyalah penuh dengan keinginan mahu memiliki Sri Lela Santana.

"Sabarlah Ngah.. Kita tengok dulu luka Ngah ni.."

"Aaahh!" jerkah Pak Ngah Bidin menolak Haji Long Sudin seraya bangun terhoyong-hayang.

Pak Ngah Bidin memandang ke kiri dan ke kanan. matanya menjelajah keseluruhan kawasan dapur Haji Long Sudin seteliti mungkin. tidak lain hanya mencari Sri Lela Santana. Haji Long Sudin hanya berdiri dan memerhatikan gelagat Pak Ngah Bidin dengan muka sugul.

"Mana Sri Long? Mana? Tadi aku nampak ada kat sini. Pulangkanlah pada aku Long!" Pak Ngah Bidin menggoncang-goncangkan bahu Haji Long Sudin dengan mata yang sayu.

Haji Long Sudin faham benar Pak Ngah Bidin memang sangat menyayangi Sri Lela Santana. namun arwah datuknya telah berpesan sebelum meninggal dunia lima tahun dulu dulu supaya menyorokkan Sri Lela Santana, terutama dari pengetahuan Pak Ngah Bidin. Haji Long Sudin tidak dapat memungkiri janjinya. apalagi Hajah Sepiah sudah menjaganya dengan penuh kasih-sayang.

"Sri sudah hilang Ngah.. selepas mereka membelasah Ngah, mereka melarikan Sri.." Haji Long Sudin tunduk memandang lantai. matanya bergenang airmata, ditahannya supaya tidak tumpah.

di atas rumah, kedengaran suara Hajah Sepiah mengongoi-ngongoi menangis meratap kehilangan Sri Lela Santana. Pak Ngah Bidin jatuh terjelepok, lemah rasa badannya. Sri Lela Santana yang dicarinya sejak lima tahun dulu, sudah hilang setelah berada di depan matanya. Orang-orang yang hadir semuanya diam tidak berbunyi. pagi itu rumah Haji Long Sudin hanya kedengaran suara ratib sendu Hajah Sepiah dan esakan Pak Ngah Bidin.

Tiga hari selepas itu, ketika Haji Long Sudin pulang dari surau setelah solat Subuh. elok saja Sri Lela Santana terbaring di atas beranda depan rumahnya. bergegas Haji Long Sudin mengangkatnya dan memabawanya masuk ke rumah. dikejutkannya Hajah Sepiah dan diisyaratkan tanda jari ke bibirnya. menyuruh diam. dibisikkannya pada Hajah Sepiah supaya menjaga Sri Lela Santana baik-baik dan jangan sampai cuai lagi. Hajah Sepiah mengangguk sambil memeluk rapat Sri Lela Santana dan tidak berhenti-henti menciumnya dengan bergenangan airmata.

* * *

Kali ini keadaan lebih tegang lagi. Bukan Pak Ngah Bidin saja yang tahu Sri Lela Santana sudah pulang ke rumah Haji Long Sudin. Kali ini Pak Usu Kunyit pun tahu. kedua-dua adik Haji Long Sudin sudah berada di perkarangan halaman rumahnya. Matahari tegak di atas kepala. memancar kepanasan menambah kepanasan dalam hati Pak Ngah Bidin dan Pak Usu Kunyit. peluh meleleh-leleh ke pipi mereka yang berotot tegang.

"Salamun Alaikum!"

"Long Sudin! Kami tahu kamu ada dalam rumah!"

Haji Long Sudin muncul di pintu hadapan. Tahu benar dia sudah tentu ini kerana Sri Lela Santana. Tidak disangkanya ada juga orang yang nampak dia bersama Sri Lela Santana di kebunnya di kaki Bukit Cer Tegau. Tidak ada siapa berkebun di situ melainkan dia. tapi dia tahu dia telah berbuat silap ketika dia terdengar bunyi dahan patah. cara bunyinya bukan dipijak beruang ataupun harimau. itu bunyi kaki manusia jualah. dan sejak dari malam tadi Haji Long Sudin sudah mempersiapkan dirinya untuk menghadapi apa yang bakal mendatang.

Pak Ngah Bidin dan Pak Usu Kunyit tidak datang sendirian. ada lima enam orang lagi budak-budak muda di belakang mereka. Haji Long Sudin tidak merisaukan dirinya. Pak Ngah Bidin dan Pak Usu Kunyit bukan tandingan sebenar Haji Long Sudin. Malah kalau berdua sekali pun, tidaklah menjadi masalah kepada Haji Long Sudin. Apa yang menimbulkan kuathir dalam hatinya ialah apa yang pernah disebut oleh arwah datuknya, Atok Long Kedemat.

Atuk Long Kedemat bukan calang-calang orang. mengikut ceritanya, kerana Long Kedematlah beruang yang dahulunya maharajalela di kawasan Bukit Cer Tegau melarikan diri dan tak pernah datang lagi. kerana Long Kedemat jugalah, harimau yang mendiami kaki Bukit Cer Tegau, yang dahulunya membaham manusia, kini sebaliknya menjaga penjaga kepada sesiapa sahaja yang pergi ke Bukit Cer Tegau. Jika ada yang tersesat dalam hutan belukar daerah situ, dengarkan sajalah bunyi harimau menderam dan bergeraklah menjauhinya, nescaya dia akan menemui jalan keluar.

dan Haji Long Sudin tahu benar yang boleh menyelamatkan keadaan supaya dia adik-beradik tidak berbunuhan ialah Mak Tam Melah, kerana memang itulah yang dipesan oleh Atok Long Kedemat. hanya Mak Tam Melah yang boleh menahan amukan dan memadamkan kemarahan Pak Ngah Bidin dan Pak Usu Kunyit. Haji Long Sudin sendiri tidak tahu bagaimana Mak Tam Melah akan melakukannya, tetapi kerna itu adalah pesan arwah Atul Long Kedemat, maka diturutinyalah jua. senja semalam juga dia telah menghantar Mat Ketam ke kampung Meratib untuk menjemput Mak Tam Melah secepat yang boleh untuk datang dengan kadar yang sangat segera.

"Baik kau serahkan Sri Lela Santana pada aku Long!" jerit Pak Ngah Bidin degan mata memerah.

"Kan Sri dah hilang Ngah.. Kau yang buat dia hilang.. kau dah lupa ke?" dalih Haji Long Sudin.

"Kau jangan menipu aku lagi Long! Aku tahu Sri dah balik ke rumah kau! Semalam Long Daud nampak kau bawa Sri ke Bukit Cer Tegau" bidas Pak usu Kunyit.

"Long Daud lagi," Haji Long Sudin berbisik pada dirinya. "Kenapa Long Daud asyik mengintip aku. Tak habis-habis nak buat kacau dalam keluarga aku."

bukan baru-baru ini saja Long Daud buat angkara. Sejak dari arwah Atok Long Kedemat  meninggal dunia lagi Long Daud seolah tidak berpuas hati dengannya. Tapi Haji Long Sudin tahu benar kali ini memang salahnya. dia yang berkeras mahu membawa Sri Lela Santana menemani dia ke Bukit Cer Tegau walaupun ditegah isterinya.

* * *

waktu Pak Ngah Bidin dipukul orang di pintu dapur Haji Long Sudin, Long Daud lah yang membawa mulut menyebarkan kisah itu hingga heboh keluarga Haji Long Sudin diumpat orang satu kampung. Haji Long Sudin memang tahu Long Daud yang memfitnah mengatakan Haji Long Sudin yang memukul Pak Ngah Bidin hingga pecah kepala dan tidak sedarkan diri, lalu kemudian buat-buat tak tahu. hanya saja Long Daud tidak tahu bahawa Haji Long Sudin sudah tahu siapa orang yang sebenar yang memukul Pak Ngah Bidin dan melarikan Sri Lela Santana.

Semalaman Haji Long Sudin mencari Sri Lela Santana hingga sampai ke Bukit Cer Tegau. Di situlah dia menemukan pencuri upahan Long Daud sedang menyembunyikan Sri Lela Santana. namun pencuri upahan itu sempat melarikan diri. dan dia juga sempat melihat kelibat Long Daud menggendong Sri Lela Santana membelah hutan dalam kegelapan malam itu. walaupun dia kecewa malam itu tapi dia tahu Long Daud takkan mampu memiliki Sri Lela Santana. hanya keturunan sebenar Haji Long Daud saja yang boleh memiliki Sri Lela Santana. kerana itu dia tahu pasti Sri Lela Santana akan kembali kepangkuannya.

cuma waktu itu orang kampung semuanya menyalahkan Haji Long Sudin. kononnya Haji Long Sudin kemaruk tamak berkehendakkan Sri Lela Santana. yang orang kampung tidak tahu ialah Sri Lela Santana itu bukan manusia. hanya orang-orang yang mengetahui siapa Sri Lela Santana dan kelebihannya saja yang tahu betapa Sri Lela Santana bukanlah sesuatu yang biasa-biasa saja. ada keajaiban pada Sri Lela santana yang menyebabkan Atok Long Kedemat diusir dari kampung asalnya dan menetap di kampung Ketapang ini. tiada siapa mengetahui keberadaan Sri Lela Santana sehinggalah Atok Long Kedemat menyerahkannya pada Haji Long Sudin sebelum dia meninggal dunia. dan kebetulan pula Long Daud melihatnya.

Segala rahsia mengenai Sri Lela Santana diketahui oleh Long Daud yang mengintip dari celah lantai kayu bilik Atok Long Kedemat. Haji Long Sudin juga tahu bahawa Long Daudlah yang menceritakan kisah Sri Lela Santana pada Pak Ngah Bidin dan Pak Usu Kunyit, hinggakan kedua-dua adik Haji Long Bidin itu sentiasa saja memaksa-maksa dan mengancam-ancam kerana mahu memiliki Sri Lela Santana. 

Sejak peristiwa Pak Ngah Bidin itu, Haji Long Sudin sudah tidak meniaga lagi. warung makannya yang sentiasa dipenuhi pelanggan dirobohkan oleh Pak Usu Kunyit kerana marahkan Haji Long Sudin yang disangkanya memukul Pak Ngah Bidin. semenjak itulah Haji Long Sudin hanya bercucuk tanam di kaki Bukit Cer Tegau bertemankan Hajah Sepiah dan Sri Lela Santana.

* * *

"Kau jangan nak main-main lagi Long! kalau kau tak mahu beri dengan baik, kami akan rampas dengan paksa. Takkan kau tak puas lagi dengan Sri? Kami pun nak merasa juga!" ternampak urat tegang di leher Pak Usu Kunyit yang menjerit dengan parang terhunus di tangannya.

Haji Long Sudin tahu benar ini semua acum Long Daud. Dia memang bertujuan nak melaga-lagakan keluarga Haji Long Sudin. dulu Long Daud bermusuh dengan Atok Long Kedemat, sekarang haji Long Sudin pula yang menjadi sasarannya. Haji Long Sudin ternampak Long Daud menyorok di sebalik pokok rambutan memerhatikan apa yang berlaku.

"Long Daud! kenapa buat macam ni? kan aku dah tak meniaga lagi? kan semua pelanggan aku dulu dah berlanggan di warung Long! apa lagi yang Long Daud tak puas hati dengan aku?" jerit Haji Long Sudin sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke arah pokok rambutan yang rendang di hadapan rumahnya.

"ini bukan pasal Long Daud! kami yang mahukan Sri Lela Santana!" Pak Ngah Bidin memotong kata-kata Haji Long Sudin.

"Apalah yang kau nak sangat dengan Sri tuh? Ngah? Usu? itukan hanya pusaka buat kenang-kenangan dari Atok Long. bukan ada kelebihan apa pun," Haji Long Sudin tahu dia perlu berdalih untuk menahan Pak Ngah Bidin dan Pak Usu Kunyit supaya terleka lebih lama sebelum mereka membuat gila.

"Jangan nak berdalih lagi Long. kalau tak ada apa-apa kenapa kau sorok sangat Sri tuh dari kami?"

"Kami dah tahu apa yang Sri boleh buat. kami pun nak juga."

Keadaan semakin memanas. Haji Long Sudin berdoa dalam hati agar Mat Ketam cepat sampai dengan Mak Tam Melah. geram betul dia melihat Long Daud yang tersengih-sengih seronok di bawah pokok rambutannya melihat mereka adik beradik bergaduh.

"Aku simpan supaya aku dapat melepas rindu bila terkenang Atok LOng. itu saja."

"Aaahh! sudahlah Long. jangan banyak cakap lagi. dah bertahun-tahun kami minta cara baik tapi Long cakap macam-macam supaya kami tak dapat."

"bukan aku tak mahu beri. Sri dah hilang tiga tahun dah. Akak Sepiah kau pun dah makin kurus merindukan Sri tu. kalau ada aku bagi kat korang. aku pun bukan suka kita adik-beradik bergaduh sampai berparang-parang macam ni," Haji Long Sudin cuba berdalih dengan memujuk.

"Aku tak percaya! kalau betul Sri tak ada bagi kami naik cari. kalau betul tak ada kami takkan minta lagi. tapi kalau ada..." Pak Usu Kunyit mula mengancam.

"Akak Sepiah kau tengah tak sihat. janganlah buat macam ni. tak payah lah nak marah-marah dan berparang-parang. ini kan rumah abang korang sendiri. tergamak kau buat abang kau macam ni?"

"Long pun tergamak buat kitorg macam ni!"

"Sudahlah Usu, moh kita naik, Long ni memang pandai berdalih," Pak Ngah Bidin memulakan langkah mengajak Pak usu Kunyit untuk bertindak.

"Ngah! Usu! kalau korang datang cara baik, aku jemput naik. tapi kalau begini cara kau datang memaksa, ini rumah aku, terpaksa juga aku pertahankan," Haji Long Sudin menggertak.

"Macammana Ngah?" Pak Usu Kunyit menoleh bertanya pada Pak Ngah Bidin.

"Korang naik dulu!" Pak Ngah Bidin memberi arahan pada orang-orang muda yang datang bersamanya.

"orang mendatang, aku menunggu," ujar Haji Long Sudin menyingsing lengan baju melayunya.

* * *

"cepatlah Mak Tam! Tak sempat ni karang!" Mat Ketam menarik tangan Mak Tam Melah yang berisi supaya berjalan lebih laju.

"kau jangan paksa-paksa aku Mat! kang aku terbang tak terkejar pulak kau!" nada suara Mak Tam Melah makin meninggi melihat ketidaksabaran Mat Ketam.

"janganlah marah Mak Tam. saya cuma risaukan Long Sudin. Long Daud mesti dah buat kacau ni," Mat Ketam cuba tersengih dengan muka yang penuh risau.

jarak perjalanan dari rumah Mak Tam Melah ke rumah Haji Long Sudin biasanya mengambil masa empat jam berjalan kaki. kalau mahu dikira-kira agak-agak lepas zohor baru mereka boleh sampai ke rumah Haji Long Sudin.

"aku dah kata kat Long Sudin tuh dulu. jangan mahu disimpan Sri tu. banyak masalahnya."

"Long Sudin bukan kacau orang Mak Tam, Long Daud saja yang selalu dengki hati dengan keluarga kami," Mat Ketam mempertahankan Haji Long Sudin.

"kalau kau simpan Sri tuh, tak payah kacau orang, orang yang akan kacau kau! kita berhenti kejaplah. aku penat ni," kata Mak Tam seraya terus duduk di pangkal sebatang pokok besar.

"Apa sebenarnya cerita Sri Lela Santana tuh Mak Tam?" Mat Ketam mula cuba mengorek rahsia.

Mak Tam Melah menarik nafas panjang. terasa penat betul badannya dipaksa berlari-lari oleh Mat Ketam. serba salah juga dia mahu menceritakan rahsia Sri Lela Santana. Hanya Mak Tam Melah yang dibawa oleh Atok Long Kedemat berpindah ke kampung Ketapang. Hanya Mak Tam Melah saja yang tahu cerita asal-usul Sri Lela Santana sebelum kemudiannya Atok Long Kedemat menceritakannya kepada Haji Long Sudin sebelum dia meninggal dunia. Mak Tam Melah sendiri telah lama berpindah ke kampung Meratib, sebelum Atok Long Kedemat meninggal dunia lagi, setelah dikahwinkan dengan Pak Tam Catcibor.

dan disatu sisi pula, Mak Tam Melah kasihan juga melihat Mat Ketam yang berkhidmat lama dengan Haji Long Sudin, turut sama terlibat dalam kemelut yang tidak difahaminya. namun dia tahu bahawa lebih sedikit Mat Ketam tahu tentang Sri Lela Santana maka hidupnya akan lebih tenang. Sri Lela Santana itu memang banyak mempunyai keajaiban tetapi bukanlah mudah untuk memujuk dan menjaganya.

"Kata Long Sepiah, Sri tu banyak rezekinya," cuit Mat Ketam lagi.

"Lagi baik kau tak tahu Mat. Sudahlah Mak Tam nak tidur kejap," Mak Tam Melah menutup pertanyaan Mat Ketam sambil bersandar di banir pokok.

"Bila kita nak sampai Mak Tam kalau Mak Tam tidur pulak?" Mat Ketam kembali gelisah.

"Kalau nak berlaku ia tetap akan berlaku," Mak Tam Melah memejamkan matanya meninggalkan bebelan Mat Kelam yang bertambah resah.

* * *

Sudah dua orang anak buah Long Daud yang mengikut Pak Ngah Bidin dan Pak Usu Kunyit terlentang mengerang di bawah tangga rumah Haji Long Sudin. Seorang mengurut dada mencari nafas manakala seorang lagi menjerit-jerit memegang kakinya yang mungkin sudah patah. Tiga orang lagi masih berdiri tercegat dengan muka tak berapa berani. seorang lagi sudah mencicit-cicit lari setelah ditampar Haji Long Sudin ketika mahu memanjat beranda rumah.

"Korang ni betul-betul mencari geruh," ujar Haji Long Sudin yang masih berdiri tegap di atas beranda.

"Baik korang simpan parang korang. jangan nanti senjata makan tuan. aku tak suka kita adik-beradik jadi macam ni. kalau betul-betul korang berhajat dengan Sri, korang balik dulu. Lepas maghrib nanti korang datang baik-baik ke rumah aku. kita bincang," Haji Long Sudin memberi pilihan.

Pak Ngah Bidin memandang Pak Usu Kunyit dan memberi isyarat dengan matanya supaya beredar. Pak Usu Kunyit nampak tidak puas hati, namun dia tahu bahawa Haji Long Sudin bukanlah calang-calang orang. Long Daud dah lama tak kelihatan lagi di bawah pokok rambutan. agaknya sama-sama berlari dengan anak buahnya yang makan tangan Haji Long Sudin. Tiga orang pemuda tadi memapah dua orang kawannya yang masih mengerang kesakitan untuk beredar dari rumah Haji Long Sudin.

Haji Long Sudin menghantar mereka pulang dengan pandangan matanya hinggalah tidak kelihatan lagi. Risau juga hatinya kerna Mat Ketam dan Mak Tam Melah tak sampai-sampai lagi. Hajah Sepiah menjengokkan kepala dari sebali daun pintu depan, mengintai apa yang berlaku. lega hatinya melihat Haji Long Sudin tidak cedera. Tapi dia nampak sangat keruh di wajah suaminya itu.

"Moga-moga perjalanan mereka tidak terhalang," doa Haji Long Sudin.

"Masuklah dulu bang haji," ajak Hajah Sepiah lembut.

"Ye lah. buatkan saya kopi dan bawakan Sri sekali. banyak benda kita kena bincangkan," Haji Long Sudin melangkah masuk ke rumahnya.

* * *

"Kenapa Ngah ajak balik? kan kita berdua, takkan tak boleh nak kalahkan Long tu?" rungut Pak Usu Kunyit.

"Kau belum kenal lagi siapa Long tu. Selagi Sri ada bersama dia, tak  mungkin kita boleh mengapa-apakan dia. Kau tengok gerak langkah Long tadi? itu bukan buah yang kita sama-sama beajar dengan Atok Long dulu. Kau tau marah kau saja. Kau ingat parang kau tu cukup nak mencincang Long kau tu. Jangan lupa dia masih abang kita," tegas Pak Ngah Bidin sambil menampar belakang kepala Pak Usu Kunyit.

"Pak Ngah! Ripin dah patah kaki ni. macammana?" seorang anak buah Long Daud mengadu.

"Kau bawa dia balik rumah Long Daud. suruh Long Daud sendiri ubatkan. Aku tak nak tahu!"

"Long Daud pun tak berguna. Dia pulak yang cabut dulu. semalam dia yang berapi-api. bagi kat kita budak-budak mentah nih pulak," kata Pak usu Kunyit geram, sambil menggosok-gosok kepalanya.

"Kita balik rumah dulu. ada benda aku nak bincang dengan kau pasal Sri," sambung Pak Ngah Bidin tegas.

"Nak bincang apa lagi Ngah, kan Long tadi dah cakap malam ni dia akan serahkan Sri pada kita," balas Pak usu Kunyit.

"Serahkan pada aku. bukan pada kau!" Pak Ngah Bidin memandang tajam pada Pak usu Kunyit.

"Mana boleh macam tuh Ngah. kan Ngah dah janji kita sama-sama," Pak usu Kunyit memegang bahu Pak Ngah Bidin untuk memberhentikannya.

"Kau boleh menjaganya? Kau tahu kenapa anak buah Long Daud pulangkan Sri pada Long, bukan pada kita?"

"Long Daud?" Pak Usu Kunyit mula merasa hairan.

"Kau ingat aku bodoh? Kau ingat aku tak tahu Long Daud upah budak ikut aku ke rumah Long tiga tahun dulu? Kau ingat aku tak tahu anak buah Long Daud yang pukul aku dan curi Sri dari Long? Long Daud pun kena tipu dengan budak tu. konon budak tu pulak nak jadi tuan pada Sri. akhirnya dia sendiri tak tahan," suara Pak Ngah Bidin separuh berbisik menerangkan pada Pak usu Kunyit.

"Mana Ngah tau?"

"Long Daud sendiri yang cerita pada aku. Budak dia dah mengaku kat dia semalam masa dia terjumpa Long dengan Sri kat kawasan bukit tu. kalau dia nak, semalam dia dah boleh serang Long dan rampas Sri. tapi dia dah tahu dia takkan boleh buat, sebab itu dia datang kat kita," Pak Ngah Bidin menonjol dahi Pak usu Kunyit yang separuh melopong mendengar cerita Pak Ngah Bidin.

"habis tu kita nak buat macammana?"

"adalah rancangan aku. tadi tuh aku nak tengok saja setakat mana Long sanggup apa-apakan kita. kau tuh pulak buat gila bawa parang buat apa?" sekali lagi tamparan hinggap di belakang kepala Pak Usu Kunyit.

"dah! moh cepat kita balik," Pak Usu Kunyit hampir berlari mengikut langkah Pak Ngah Bidin yang cepat jalannya.

* * *

"Abang Haji nak serahkan juga Sri pada mereka ke?" suara Hajah Sepiah memelas, sayu hatinya nak berpisah dengan Sri Lela Santana.

"Takkan aku nak berbubuh dengan adik beradik aku pulak. Tak apalah kalau memang jodoh kita dengan Sri sampai malam ni saja. Kalau memang rezeki kita, nanti mereka pulangkan semula pada kita. kta doa sajalah," kata Haji Long Sudin sambil menghirup kopi tanpa memandang pada Hajah Sepiah.

"Memandangkan malam ini adalah malam terakhir. Kau masak lauk malam nih dengan Sri dan nanti bila diorg datang kau hidang lauk pauk tuh dengan Sri. biar diorg tahu apa yang Sri boleh buat. Mudah-mudahan Mak Tam Melah sempat sampai sebelum senja," sambung Haji Long Sudin. Tangannya memusing-musingkan cawan kopi.

"Salamun Alaikum!" suara Mat Ketam dari depan rumah.

"Hah! Panjang umur Mat Tam. baru sebut dah sampai," senyum terukir semula di wajah Haji LOng Sudin.

"Maaf Long. Mak Tam tak boleh nak jalan laju-laju. budak Mat ni pulak datang berjalan kaki," Mak Tam Melah duduk bersandar di tiang pintu termengah-mengah kepenatan.

"Bukan kau pergi semalam dengan basikal ke Mat?" tanya Hajah Sepiah sedikit hairan.

"Jatuh sungai Long. nyaris dengan saya sekali tak terbenam."

"Patutlah kau sampai basah lencun," getus Mak Tam Melah sambil memiat telinga Mat ketam.

"Tak sempat-sempat aku nak bersiap. digegas-gegasnya aku. aku bukan muda lagi nak berlari-lari sepanjang jalan."

"Maaf Mak Tam. kecemasan sangat. itu pun tadi nasib baik Ngah dan Usu nak dengar cakap saya," Haji Sudin menerangkan sambil mencium dahi Mak Tam Melah.

"Risau juga saya Mak Tam, si Usu siap dengan parang. Marah betul nampaknya," sambung Hajah Sepiah.

"Bersungguh-sungguh betul budak-budak tuh. Mana Sri?" Mak Tam Melah mula melihat sekeliling rumah mencari Sri Lela Santana.

"Nanti saya bawa dia datang Mak Tam," Hajah Sepiah mengangkat punggung masuk ke dalam biliknya.

"Itulah Long, kan Mak Tam dah kata dulu."

"Entahlah Mak Tam. Sepiah tu pun satu hal juga."

"Habis tuh macammana?"

"Malam ni saya dah suruh Ngah dan Usu datang baik-baik. saya cadang nak serahkan saja Sri pada mereka."

"Sri nak ke?"

* * *

[ .  i .   n  .  t  .   e  .   r  .  m  .  i  .  s  .  s  .  i  .  o  .  n  .  ]

0 ulasan: