Tuesday, June 18, 2013

Sri Lela Santana (bahagian 2)

Posted by usoPkuChai On 2:02 AM No comments


picture courtesy from Enticz

 * * *

"Malam ini biar aku pergi seorang ke rumah Long," ujar Pak Ngah Bidin membuatkan Pak Usu Kunyit terhenti menghirup kopi-O panas.

"Kau bawa budak-budak dua tiga orang tunggu di belakang dapur Long. Manalah tahu dia hendak menipu kita lagi," Pak Usu Kunyit menganggukkan kepala samil menjamah ubi rebus yang masih berasap.

"Kenapa Atok Long beri Sri pada Long? Bukankah Ngah dulu yang menjaganya masa Atok Long masih hidup?" perlahan-lahan Pak Usu Kunyit mengunyah ubi rebus yang memang menjadi kegemarannya.

Pak Ngah Bidin menyedut dalam-dalam rokok gudang garam, meletup-letup bunyi cengkih terbakar, kemudian dia menghembuskan asap berkepul-kepul keluar dari mulut dan hidungnya. Pak Ngah Bidin membuang pandangannya ke luar tingkap, bersandar di dinding ruang tamu rumah yang dibina dengan tangannya sendiri. Pak Ngah Bidin memang terkenal sebagai seorang tukang kayu yang handal di kampung Ketapang.

"Salah aku juga. Sri Lela Santana itu ada kembarnya. Sri lela Menjela," Pak Ngah Bidin menjentik habuk rokoknya di tepi tingkap dan menyedutnya lagi dalam-dalam.

"Aku yang meyebabkan Sri Lela Menjela hilang. Sejak itu Sri Lela Santana Atok Long percayakan pada Long Sudin. bukan aku sengaja, tapi memang salah aku," mata Pak Ngah Bidin bergenang air, ditahannya supaya tidak tumpah. Terasa berat penyesalan pak Ngah Bidin.

"Kalaupun Long mahu menyerahkan Sri, Sri relakah Ngah?" tanya Pak Usu Kunyit sambil menyandarkan badannya ke dinding rumah.

"Itulah yang nak aku rancangkan dengan kau ni. Jangan sampai kita putih mata lagi malam ni."

 * * *

Petang itu Haji Long Sudin solat Asar di rumah sahaja. Mak Tam Melah masih berurusan dengan Sri Lela Santana di dalam bilik tetamu yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu rumah Haji Long Sudin. Sesekali terdengar keras suara Mak Tam Melah. Sesekali terdengar pula bunyi barang-barang jatuh seolah bunyi orang bergumpal.

"Berlembutlah sikit Mak Tam. jangan dikeraskan Sri tu. kalau kita keras, dia lagi mengeraskan diri," suara Haji Long Sudin merayu Mak Tam Melah yang masih di dalam bilik.

Seketika suasana diam di dalam bilik tetamu. Tiada suara Mak Tam Melah. Hanya terdengar esak perlahan Hajah Sepiah di tangga dapur. Sejurus kemudian Mak Tam Melah keluar dari bilik sambil mengesat peluh di mukanya dengan kain batik yang dipakai untuk mengikat kepalanya sebelum itu.

"kau manjakan Sri tu sangat Long. Sampaikan dia besar kepala. Patutnya dia berkhidmat pada kau. Bukan macam ni," suara Mak Tam Melah sedikit kesal sambil memandang hajah Sepiah yang menangis di tangga dapur.

"Tak usah kau menangis Piah. Dia bukan anak kau. Dia memang suka kau jadi macam ni. Atok Long kau dulu pun jadi macam ni jugak, sampai kena halau dari kampung. Pasal Sri jugaklah."

"Aku yang menjaga Sri sebelum kau orang. Aku tahu sangat perangainya. Kau ingat Sri Lela Menjela? Kau tahu bagaimana dia hilang? Kau tahu kenapa Atok Long sakit selepas kembar Sri hilang?"

"Sebab itu aku dah cakap dari dulu lagi Long. kau kena lepaskan Sri. Tapi kau pun sama degil macam Atok Long kau. Ngah Bidin pun sama."

"orang dah tak ada janganlah disebut-sebut lagi Mak Tam," Haji Long Sudin memotong percakapan Mak Tam Melah, perlahan suaranya.

"Sri tu dah kami anggap macam anak kami," Hajah Sepiah menyampuk dari tangga dapur.

"Tapi Sri tuh tak fikir macam tu! Kau tahu asal-usul Sri? Kau tahu macammana Atok Long dapatkan Sri Kembar tu? Ada Atok Long cerita pada kau Long? Dia cerita kesaktian Sri saja kan? Ini biar aku bagitau kau orang siapa Sri sebenarnya."

 * * *

Manakala di rumah Long Daud, kedengaran suara jeritan anak buah Long Daud yang sedang diubat oleh Pawang Jingga, satu-satunya bomoh patah di kampung Ketapang. Long Daud duduk di atas pangkin di bawah pokok di sebelah rumahnya sambil menghisap rokok lenteng. sesekali tangan kanannya mengurut misai dan janggutnya yang tidak terurus. 

"Tak boleh jadi macam ni," getus Long Daud menumbuk tapak tangannya sendiri.

Anak buah Long Daud hanya menundukkan kepala. Mereka tahu bahawa mereka tidak mampu melawan Haji Long Sudin. Malah pada fikiran mereka kalau dilawan pun apa gunanya.

"Kenapa Long nakkan juga Sri tu? bukankah kita dah cuba dulu, dan memang kita takkan dapat memiliki Sri tuh sampai bila-bila, lupakan sajalah Sri tuh Long," Seman memberanikan diri memberi usul.

Tidak sampai dua kali Seman menghirup nafas, sedar-sedar dia sudah terlentang di tengah laman. Tangannya mengurut-urut dada, terasa sakit diterajang Long Daud, ternyata masih kuat lagi tenaga Long Daud.

"Kau jangan nak mengajar aku pula! Apa yang kau tahu pasal Sri?!" jerkah Long Daud dalam keadaan berdiri dan mata terjegil memandang Seman yang mengeluh kesakitan.

"Habis tuh macammana kita nak buat Long? Long sendiri dah nampak yang kami tak mampu nak mengapa-apakan Long Sudin. Ngah Bidin dan Usu Kunyit pun tak buka langkah. Si Kudin tuh, bengkak mukanya dilempang Long Sudin. Itu baru lempangnya. Si Ripin dikilas Long Sudin dah patah tulang ketingnya. Bukan kami takut Long, tapi kami tahu sama ada kami mampu atau tidak. Long Sudin bukan tandingan kami," Joned cuba memberi pendapat antara rasa takut dan patut. 

Long Daud kembali duduk ke atas pangkin, mendengus dan mengurut-urut janggut yang semakin banyak putihnya. Air mukanya terkesan dendam yang panjang. Dijentiknya rokok lenteng ke pangkal pokok jambu. Resah sungguh keadaan hatinya. Dia tahu bahawa ini adalah peluang terakhirnya. Walaupun dia bersekongkol dengan Pak Ngah Bidin tetapi itu hanya sebagai satu dalih supaya Sri Lela Santana terlepas dari Haji Long Sudin. 

peristiwa tiga tahun dulu masih segar dalam ingatan Long Daud. Sri Lela Santana sudah dalam tangannya, tetapi benar sungguh sukar mengendalikannya. Semuanya kerana ikatan batin antara Sri Lela Santana dan Haji Long Sudin. waktu itu dia tahu bahawa selagi Haji Long Sudin tidak melepaskan Sri Lela Santana dengan rela, tidak akan ada sesiapa dapat memilikinya.

bertahun-tahun dia mengacum Pak Ngah Bidin, tetapi Pak Ngah Bidin bukanlah orang yang mahu bertindak jika tidak jelas keadaannya. kerna itu setelah Long Daud yakin benar Sri Lela Santana ada di dalam rumah Haji Long Sudin, dan tidak disorokkan di tempat lain, barulah Long Daud mencucuk Pak Usu Kunyit supaya menekan Pak Ngah Bidin untuk bertindak. 

dan Haji Long Sudin sudah bersetuju nak menyerahkan Sri Lela Santana pada Pak Ngah Bidin malam ini. Long Daud harus memastikan perkara ini berlaku. tidak boleh tidak. tidak boleh ada apa-apa yang akan menggagalkan apa yang dirancangkannya. hanya inilah peluangnya.

"kalau aku tak dapat, siapa pun takkan dapat Sri tu!" gumam Long Daud sambil menumbuk-numbuk batang pokok jambu.

 * * *

"Usu tak ikut Ngah? Naiklah," Haji Long Sudin menjemput Pak Ngah Bidin yang muncul bersendirian.

"Aku tak bagi dia datang," jawab Pak Ngah Bidin ringkas sambil membuka capal, membasuh kaki dan melangkah menaiki tangga rumah Haji Long Sudin.

"Piah!" Haji Long Sudin menyelak langsir pintu dan memanggil isterinya.

"Tak payah susah-susah Long. Aku ni datang nak menuntut janji kau tengahari tadi. Lagi cepat lagi baik," kata Pak Ngah Bidin sebaik sahaja melabuhkan punggungnya ke lantai beranda.

"Tak ada susah pun Ngah. memang dari tadi dah siap menunggu kau," tiba-tiba muncul Mak Tam Melah dari balik langsir dengan membawa sedulang makanan. 

Berubah muka Pak Ngah Bidin. Tidak disangkanya Haji Long Sudin akan menjemput Mak Tam Melah. maknanya, urusan malam ini tidak akan menjadi semudah yang disangkakannya. Dia tahu benar Mak Tam Melah memang tidak menyukai Sri Lela Santana sejak dari dulu lagi. ketika Atok Long Kedemat mahu mewariskan Sri Lela Santana pada Haji Long Sudin dulu pun, Mak Tam Melah yang paling kuat membangkang. berkali-kali disuruhnya Haji Long Sudin melepaskan saja Sri Lela Santana. Mak Tam Melah jugalah yang berkali-kali memberi amaran pada Pak Ngah Bidin supaya jangan mahu menerima Sri Lela Santana.

"Mak Tam pun ada? bila Mak Tam sampai," Pak Ngah Bidin melembutkan suaranya sambil mengambil tangan Mak Tam Melah dan menciumnya, adat anak saudara menghormati emak saudaranya.

"Tak payahlah kau nak buat-buat baik Ngah. Aku dengar bukan main garang kau dengan Usu tadi siang."

"Tak ada apa lah Mak Tam. Long tu yang melebih-lebih," mata Pak Ngah Bidin melilau meninjau keliling berdoa agar Pak Usu Kunyit sudah siap bersedia.

"Sri tuh akan hanya bawa bencana pada kau Ngah," Mak Tam Melah memulakan bicara setelah duduk bersimpuh berhadapan dengan Pak Ngah Bidin.

"Saya tengok Long elok saja hidupnya senang," Pak Ngah Bidin menjuihkan mulutnya ke arah Haji Long Sudin.

"Senang betullah hidupnya, sampai adik sendiri tak habis-habis datang nak memarang, gitu?" 

Pak Ngah Bidin hanya menundukkan kepala. Hanya dia saja yang tahu bahawa Mat Tam Melah itu juga bukan manusia sebenar. Mengikut cerita yang diceritakan padanya, Mak Tam Melah itu sebenarnya ialah anak langsuir yang ditangkap oleh Atok Long Kedemat dan dipasakkan paku ke tengkuknya. kerana pasak paku itulah Mak Tam Melah hidup sebagai manusia. pernah sekali Pak Ngah Bidin ketika mudanya menyelak rambut panjang yang tidak pernah dipotong untuk melihat kebenaran pasak paku di tengkuk Mak Tam Melah. itulah sekali dia berani dan tidak pernah dia berani lagi dengan Mak Tam Melah. dan kini Mak Tam Melah ada di hadapannya.

"Habis tuh Long nak memunya seorang diri. Kami pun waris keturunan Long Kedemat. Kami pun ada hak nakkan khidmat Sri."

"Khidmat dia tak seberapa Ngah, minta dia lebih dari itu. Kalau ikutkan aku, dua-dua Sri nak aku hancurkan. Kalau tak pasal Atok Long kau jumpa aku dan menegah, kalau tidak dah selamat hidup kau orang adik-beradik," Mak Tam Melah melipat sireh dan menggigit batangnya.

"Maksud Mak Tam? Sri Lela Menjela tuh.." Pak Ngah Bidin terkejut mendengar pengakuan Mak Tam Melah.

"Iya Ngah. Bukan kau penyebabnya. Aku yang bertanggungjawab. Aku pun silap sebab biarkan Sri Lela Santana lepas. Aku kesiankan Atok Long kau, tapi Sri tetap juga buat bencana sampai Atok long terpaksa keluar dari kampung."

"Jangan sampai kali ini aku hapuskan pula Sri Lela Santana sebab kau berdua tak boleh nak bermuafakat. Aku tak rugi apa-apa. Kau orang pun tak rugi apa-apa kalau kau berdua ni mampu menggunakan akal waras kau orang!" 

Suasana hening seketika. Haji Long Sudin menundukkan kepala. Pak Ngah Bidin berdengus suara nafasnya. Entahkan marah, entahkan apa perasaan yang bergelodak dalam hatinya. Jarinya mengetuk-ngetuk lantai beranda. Mak Tam Melah mengunyah sirehnya lambat-lambat, berderup-derup bunyinya. Tiada kelihatan pula Hajah sepiah dari tadi. Mungkin di dalam bilik bersama Sri Lela Santana.

 * * *

"Long dah fikir habis ke?" bisik Joned dengan dada berdebar-debar.

"Aahh! aku tak peduli! kalau aku rasa Long Sudin nak berdalih malam ini, kita jalankan saja rancangan kita. Biar sama-sama putih mata. Baru puas hati aku," Long Daud mengetap gigi menahan gejolak hatinya.

"Kalau ada orang lain yang tahu macammana? Habislah kita Long, kita pula yang kena usir dari kampung ni," suara resah Seman menyampuk.

"Kau diam boleh tak? Dari siang tadi asyik membebel tak tentu hala," Joned mencekup muka seman dan menolaknya jatuh.

"Kau dah siapkan barang-barang yang aku suruh tadi?" tanya Long Daud.

"Semua dah ada Long. Tinggal tunggu arahan Long saja. Kita nak tunggu kat sini atau kita nak ke rumah Long Sudin?"

"Long! Long!" terdengar suara Kudin dari kejauhan mendekat ke halaman rumah Long Daud.

"Rosak rancangan kita Long!" 

"Kenapa Kudin?" bergegas Long Daud bangun dan separuh berlari ke arah tangga rumah mendapatkan Kudin yang termengah-mengah kepenatan.

"Usu Kunyit.. Usu kunyit.." Kudin masih berusaha menarik nafas dan menenangkan dirinya yang kepenatan.

"Duduk dulu. Tarik nafas dalam-dalam. Bawa bertenang," Long Daud duduk di atas tangga sambil menepuk-nepuk papan tangga di sebelahnya.

"Usu Kunyit dan anak buahnya sedang mengepung rumah Long Sudin," Kudin memulakan cerita.

"Ngah Bidin?"

"Ngah Bidin ada di atas rumah sedang berunding dengan Long Sudin. Nampak macam ada seorang lagi. perempuan," Kudin bercerita terbata-bata.

'Mak Tam Melah..' bisik Long Daud dalam hati.

"Nampak gayanya susah kita nak menjalankan rancangan kita kalau orang-orang Usu Kunyit ada sekeliling rumah Long Sudin," keluh Joned.

"Moh kita ke sana sekarang. JOned! kau bawa barang dan tunggu arahan aku kat simpang. Kau jangan datang sekali dengan aku. Tunggu sampai aku panggil, faham?!" Long Daud terus meluncur turun ke tanah dan berjalan kaki dengan laju membelah kelam malam, tanpa menunggu jawapan Joned.

 * * *

"Macammana Ngah? Kau masih nakkan juga Sri tu?" tanya Mak Tam Melah sambil meludahkan air liur merah ke dalam bekas tin susu.

"Long macammana?" Pak Ngah Bidin menjalurkan soalan Mak Tam Melah kepada Haji Long Sudin untuk menjawabnya.

"Macam ni lah Ngah. Yang aku risaukan ialah Akak Sepiah kau tu. Aku boleh nak melepaskan Sri pada kau, tapi boleh tak aku minta tempoh?" Haji Long Sudin memberi usul.

"Berapa lama lagi aku nak menunggu Long? Dah bertahun kau membohong kata Sri tu tak tahu entah ke mana, rupa-rupanya ada kau sorokkan. Sekarang kau nak minta tempoh pula. Kau bagitau aku macammana aku nak percaya kau Long? Esok lusa entah apa pula alasan kau lagi," Pak Ngah Bidin sudah mulai rimas.

"Usu! Kau tak nak naik makan nasi?! Tak payah kau nak terhendap-hendap macam tu!" tiba-tiba Mak Tam Melah menjerit ke arah luar rumah yang gelap.

"Ngah, kalau kau tak percaya pada abang kau pun, tak perlu nak berbunuh-bunuh. Aku hidup lagi ni," berubah muka Pak Ngah Bidin, tidak disangkanya Mak Tam Melah dapat membaca rancangannya.

Perlahan Pak Usu Kunyit keluar dari persembunyian dan duduk di tangga rumah Haji Long Sudin. Semua anak buahnya berkumpul di halaman rumah. Tersengih-sengih Pak usu Kunyit memandang ke arah Mak Tam Melah.

"Tak apa lah Mak Tam. Saya cuma nak kawankan Ngah tu. dia bukan nampak nak berjalan seorang diri dalam gelap ni," Pak usu Kunyit cuba meredakan suasana.

"Jadinya macammana ni?" Mak Tam Melah memandang Haji Long Sudin dan Pak Ngah Bidin bergantian.

Suasana kembali hening. Pak Ngah Bidin dan Haji Long Sudin masing-masing sedang memikirkan bagaimana cara untuk memiliki Sri Lela Santana. Mak Tam Melah melipat sekeping sireh lagi setelah mencalitnya dengan kapur, disuapnya ke mulut dan dikunyahnya perlahan-lahan.

"Aku nakkan juga Sri tu malam ni Long! Aku takkan balik selagi kau tak serahkan Sri pada aku!" suara garau Pak Ngah Bidin mendesak.

Berkerut dahi Haji Long Sudin. Pak usu Kunyit masih tersengih-sengih di atas tangga. Mak Tam Melah hanya membiarkan saja dua anak saudaranya itu berunding. Nasi dan lauk-pauk sedulang yang terhidang tidak disentuh oleh sesiapa pun. Haji Long Sudin banglkit berdiri dan berjalan masuk ke dalam rumah. Pak Ngah Bidin juga mahu berdiri tetapi ditahan oleh Mak Tam Melah dengan isyarat tangan.

"Biar dia berunding lagi dengan Piah dan Sri," ujar Mak Tam Melah sambil memancutkan lagi air sireh ke dalam tin susu yang memang menjadi bekas ludah sirehnya.

 * * *

"Nasib kita baik Long, orang-orang Pak Usu Kunyit berkumpul di halaman depan rumah. dah tidak mengepung lagi," beritahu Seman berbisik.

"Kau bagitau Joned supaya datang dari arah belakang rumah Long Sudin, dan buat macam apa yang aku dah bagitau dia petang tadi. Jangan sampai salah lagi," pendek arahan Long Daud kepada Seman.

"Moh kita berdepan dengan mereka," ajak Long Daud pada anak buahnya setelah melihat Seman hilang dalam kepekatan malam.

 * * *

"Siapa lagi yang kau bawa tu Ngah?" Mak Tam Melah memuncungkan bibirnya yang merah dek air sireh ke halaman rumah.

Pak Ngah Bidin bangun dan meninjau ke halaman rumah. dilihatnya Long Daud datang dengan dua tiga orang anak buahnya. Pak Usu Kunyit pun bangun menuju ke Long Daud dan seperti berkata sesuatu, tetapi ditolak Long Daud ketepi dan terus berjalan hingga ke tangga rumah haji Long Sudin.

"Apa yang kau cari Long? ini bukan urusan keluarga kau!" sindir Mak Tam Melah yang masih duduk di beranda rumah. 

"Mak Tam Melah! Saya nak buat perhitungan dengan Mak Tam!"

"Kau masih marahkan aku sebab kau tak dapat Sri Lela Menjela?"

"Arwah Long Kedemat dah berjanji pada saya!"

"Kau patut berterimakasih pada aku kerana dah hapuskan Sri Lela Menjela. kalau tidak hidup kau pun tak jauh beza dari dia orang ni adik-beradik. Takkan senang hidup kau Long!" Mak Tam Melah tetap saja tidak bergerak dari kedudukan asal sambil terus mengunyah sireh.

"Saya nak tuntut gantirugi!"

"Kau nak Sri Lela Santana sebagai ganti?"

"Kalau perlu!"

"Baik Long Daud balik! Aku nih bukan sabar sangat orangnya! Sri tu kepunyaan aku!" Pak Ngah Bidin mula bersuara dan mendekati alang tangga.

"Keluarga kau berhutang dengan aku Ngah! Arwah Long Kedemat dah mungkir janji! Mak Tam Melah itu saksinya!" Long Daud mengeraskan suara sambil tangannya menunjuk ke arah Mak Tam Melah.

Pak usu Kunyit cuba memegang bahu Long Daud, tetapi dengan tangkas ditepis Long Daud dan kakinya menerjah perut Pak Usu Kunyit. Pak Ngah Bidin melompat turun menendang dada Long Daud dan tersungkur di bawah tangga. Anak buah Pak Usu Kunyit dan anak buah Long Daud mula membuka langkah, mempamer bunga, melepas buah dan mengikat kunci. Halaman rumah Haji Long Sudin sudah menjadi gelanggang persilatan.

Haji Long Sudin keluar dari pintu rumahnya dengan tenang. Dia memandang kearah Mak Tam Melah yang tersenyum sumbing. Dia berjalan perlahan ke arah beranda dan memerhatikan Long Daud, Pak Ngah Bidin, Pak Usu Kunyit dan anak-anak buah mereka sedang membelasah satu sama lain.

"Tiada siapa boleh memiliki Sri Lela Santana selain aku!" jerit Haji Long Sudin.

Semuanya terdiam. Gesit langkah bertarung tadinya sudah terhenti. Mak Tam Melah bangun dari posisi duduknya dan melangkah ke dalam rumah. Long Daud dan Pak Ngah Bidin yang masing-masing dengan parang terhunus di tangan, terdiam seolah tidak percaya dengan apa yang didengar oleh mereka.

Pak Ngah Bidin tidak dapat menahan amarahnya lagi. Dilemparnya parang ke arah Haji Long Sudin yang masih berdiri di beranda. Haji Long Sudin dengan pantas menangkap hulu parang tersebut dan meloncat turun dari beranda dengan tujuan menyerang Long Daud dan Pak Ngah Bidin. Pak Ngah Bidin mengelak dengan cepat, menangkap pergelangan tangan Haji Long Sudin dan menguncinya. Long Daud dengan tidak semena-mena menancapkan parangnya ke perut kiri Haji Long Sudin. membuak-buak darah keluar. Haji Long Sudin terjatuh dipapah oleh Pak Ngah Bidin. mula terlihat kesal di wajah Pak Ngah Bidin.

Long Daud pula menerpa naik ke atas rumah, disusuli pula Mak Tam Melah keluar dari rumah sambil memapah Hajah Sepiah. Hajah Sepiah kelihatannya seperti tidak sedarkan diri. Apabila sampai saja Mak Tam Melah dan Hajah sepiah ke atas tanah di halaman, terdengar bunyi letupan dari dalam bilik Haji Long Sudin. dengan sekelip mata api menjulang naik menjilat dinding dan atap rumah Haji Long Sudin. 

Pak Ngah Bidin masih menangis memegang perut Haji Long Sudin yang diradak parang Long Daud. Pak usu Kunyit dan anak buahnya sibuk memepah api dengan pelepah kelapa dan mencurahkan air dengan menggunakan baldi kecil sebagai usaha memadamkan api. Hajah Sepiah masih di atas pangkuan Mak Tam Melah. 

"Sama persis seperti sepuluh tahun dulu," bisik Mak Tam Melah pada dirinya.

 * * *

keesokan paginya, heboh orang kampung mendatangi rumah Haji Long Sudin. Haji Long Sudin dikatakan sudah meninggal dunia kerana terbakar. Mayatnya dijumpai rentung sambil memeluk satu bekas mangkuk tingkat antik atau lebih dikenali sebagai mangkuk siah nyonya. Menurut Pak Ngah Bidin, Hajah sepiah telah berpindah bersama anak angkatnya, Mat Ketam ,ke kampung emak saudaranya, Mak Tam Melah, kampung Meratib.

Di rumah Long Daud, Seman, Joned, Ripin, Kudin dan tiga orang lagi anak buah Long Daud yang melarikan diri awal-awal lagi setelah melihat Haji Long Sudin terburai perutnya, masih menunggu-nunggu Long Daud yang tidak pulang-pulang sejak kejadian kebakaran rumah Haji Long Sudin.

Seman memandang Joned dan bertanya, "berapa banyak benda tu kau letupkan semalam? bukan main kuat lagi gegarannya."

 * * *

0 ulasan: