Monday, February 14, 2011

istiadat Tabal Jin (Tabal Pusaka)

Posted by usoPkuChai On 4:03 PM No comments


mula2 kena bagitau ini istiadat raja-raja Melayu yg masih dilakukan oleh kerajaan Perak sebagai sebahagian daripada upacara pertabalan. aku merakam istiadat ini dengan tujuan sebagai rujukan sahaja, tanpa niat mengulas atau mengatakan apa2 berkenaan dgn apa pun bahagian dari istiadat ini. interpretasi korg adalah hak korg dan tidaklah terpikul atas bahu aku. kemudian daripada itu.

*******

upacara istiadat seperti yg terkandung dalam buku chenderamata sempena pertabalan Sultan Idris Shah. dan kini istiadat ini dikenali sebagai Tabal Pusaka. istiadat dimulakan dengan paluan nobat Diraja pada waktu senja sehari selepas Istiadat Tabal Adat disempurnakan. istiadat ini dilakukan pada waktu malam dengan hanya diterangi oleh cahaya dian (lilin).

Jejawat Berlembing, Jejawat Berpayung Ubur dan Jejawat Perempuan, memegang kaki dian, dan Bentara Perempuan membawa perkakasan istiadat Merenjis mengambil tempat masing-masing di dalam balairong seri, didahului oleh Panglima Dalam diapit oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri. dibelakangnya Pawang Diraja mengikuti sambil menatang pedang cura simanja kini, bersama Tok Seri Nara Diraja yg menatang pontoh bernaga dan pontoh ular lidi di atas talam berlapikan kain kuning dan diikuti oleh Sida-Sida. selepas itu Biduanda-Biduanda masuk menatang perkakas kerajaan dan diletakkan kesemua di atas meja yang disediakan, diiringi paluan nobat.

selepas itu Pawang Diraja menatang cura simanja kini dan Tok Seri Nara Diraja menatang pontoh bernaga dan pontoh ular lidi keluar dari balairong seri didahului oleh Panglima-Panglima, masuk ke kamar persenangan lalu mempersembah kepada Sultan. baginda kemudian diiring berangkat ke balairong seri dengan iringan paluan nobat 'Raja Berangkat'. kemudian Sultan akan bersemayam di atas 'Chior Keemasan' yang disediakan di hadapan singgahsana. Pawang Diraja mengadap dan mempersembahkan cura simanja kini kepada Sultan yang akan meriba pedang tersebut.

selepas itu perkakasan kerajaan dibawa mengadap oleh Sida-Sida dan Biduanda-Biduanda ke hadapan Sultan. dikuti Bentara Toh Ratna Senari dan Bentara Toh Ratna Wati masuk mengadap membawa perkakasan istiadat Merenjis, diikuti oleh Tok Setia Guna (ketua nobat) bersama Ahli-Ahli Nobat Diraja masuk ke balairong seri memohon limpah perkenan Sultan untuk meletak perkakasan Nobat Diraja di tempat yang telah disediakan. kemudian 'istiadat Memulih' perkakasan kerajaan dan perkakasan Nobat Diraja dijalankan dan juga 'Merenjis Tepung Tawar'. setelah selesai bacaan Doa Selamat disempurnakan oleh Sahibul Mufti Kerajaan Negeri Perak.

upacara seterusnya ialah istiadat 'Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) dimulakan di panca persada. Sultan dan isteri akan berangkat dari pintu besar istana. Pawang Diraja memulakan istiadat 'Mengelilingi Balai Panca Persada' sebanyak tujuh kali dan dibantu oleh Pawang dan Pawing (pawang tempatan) dan Bentara-Bentara yang membawa perkakasan 'Merenjis'. sepanjang keberangkatan sultan, nobat dipalu sehingga baginda bersemayam di atas 'Peterakna Seri Panca Persada'.

semua Putera dan Puteri baginda akan mengambil tempat di belakang peterakna serta diringi oleh Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Diraja, Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja dan Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan. istiadat 'Merenjis Tepung Tawar' disempurnakan diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Sahibul Samahan Mufti Kerajaan Negeri Perak.

selepas itu upacara 'Bersiram Tabal' (Mandi Sampat) dimulakan oleh Pawang Diraja sendiri dari awal hingga akhir ke atas perkakasan istiadat 'Bersiram Tabal'. kain putih direntangkan dan daun nyiur muda berbentuk jari lipan ditaruhkan ke atas kain putih yang diregang dan dipegang oleh Toh-Toh Puan di tiap-tiap penjuru. istiadat 'Bersiram Tabal' dimulakan dengan mengambil sebatil geluk berisi 'Air Datu' dan dicurahkan ke atas kain putih sehingga habis enam belas batil geluk yang berisi air. nobat dipalukan sepanjang istiadat 'Bersiram Tabal'.

setelah selesai istiadat 'Bersiram Tabal', baginda berdua akan menyalin pakaian dan berangkat turun dari seri panca persada berselimut dengan kain benang emas kekuningan, dan diarak balik ke istana.

setelah menukar kepada pakaian kebesaran diraja, Sultan akan berangkat masuk ke balairong seri dengan iringan paluan nobat, dan bersemayam di atas peterakna singgahsana. Pawang Diraja memulakan istiadat 'Merenjis Air Panca Bicara' ke atas perkakasan kerajaan yang sedia ada terletak di atas meja di hadapan singgahsana, 'Merenjis Tepung Tawar' keatas Sultan dan diikuti dengan meletakkan 'Bunga Pencawa Pencara' di telinga Baginda

pada waktu istiadat ini nobat Diraja memainkan antara empat hingga sembilan lagu. Tok Setia Guna akan memerhatikan gerak geri Sultan ketika nobat dipalukan, untuk mengetahui kedaulatan seseorang Sultan. mengikut adat, sekiranya baginda dapat bertahan lama di atas Singgahsana (iaitu dapat bertahan sehingga tujuh lagu keatas dipalukan oleh nobat) ini menunjukkan pertabalan Baginda telah direstui oleh Jin-Jin Kerajaan dan baginda akan memerintah Negeri Perak ini lama atau pun panjang umur. tetapi sekiranya baginda hanya dapat bertahan empat atau lima lagu sahaja, petanda umur baginda mungkin pendek, dan Tok Setia Guna akan memberi isyarat kepada ahli nobat supaya memberhentikan paluan nobat apabila melihat Sultan dalam keadaan 'resah gelisah' di atas peterakna singgahsana.

sewaktu nobat dipalukan, cura simanja kini akan 'bergerak-gerak' dengan sendirinya (dimana seakan-akan hendak keluar dari sarungnya), menunjukkan Jin Kerajaan ada serta dalam istiadat Tabal Jin dan merestui pertabalan Baginda. istiadat Tabal Jin selamat disempurnakan selepas upacara 'santapan nasi beras takona' (beras pulut) dijalankan dengan bacaan doa selamat.

*******

begitulah upacara yg dinamakan istiadat Tabal Jin. sebagai tambahan, dikisahkan sebagai sebahagian dari sejarah Kampung Tua, ketika Sultan Muzaffar belayar menyeberangi Selat Melaka, atas jemputan Tun Saban untuk menjadi Sultan Perak, dan sampai di kuala Sungai Perak, disuatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', bahtera baginda terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat mudik. tiba2 angin ribut datang dan laut bergelora. disitulah baginda berseru:

Selilit Tanah Minangkabau
Selengkkung Pulau Perca
Dilengkung ular Saktimuna
Sebenarnya aku keturunan Raja
Jauhkan segala malapetaka

sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata2 tersebut, muncul Jin yg sangat besar hingga mencecah awan, berkata kepada baginda:

"sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku ke dalam laut."

maka baginda pun membuang mahkota baginda ke dalam laut, dan laut pun menjadi tenang dan beting yg timbul hilang dari pandangan. dan belayarlah semula mudik ke hulu mencari tempat yg sesuai untuk persemayaman.

yang menarik perhatian aku bukanlah bahagian jinnya, tetapi proses istiadat itu dan orang kaya2 yang terlibat dalam upacara tersebut. walaupun beberapa bahagiannya dapat difahami akan sebabnya namun aku merasakan sesuatu sedang dilakukan kepada Sultan, kerna ada disebut bahawa setelah istiadat pertabalan, Sultan bukanlah siapa dia sebelumnya melainkan menjadi raja kepada org Melayu. satu ungkapan yg kedengaran biasa dan logikal, namun boleh memberi maksud lain yg tersirat.

0 ulasan: