Petang itu langit cerah tanpa awan menyelimuti langit, yang ada hanya hawa dingin musim sejuk mendakap tubuh dengan elusan bayu sepoi bahasa laut Mediterranean. Kedengaran bunyi azan mencuit jiwa menyeru datang.. perlahan dihirupnya qahwa yang tersedia dalam cawan mungil yang berhias lorekan reka bentuk khas daerah Maghrib.. meninggalkan dua puluh dinar di atas meja dan berjalan meninggalkan Kafe Bernol menelusuri Sidi El Bandi menuju masjid Ghazali yang berada di hujung jalan.
Terpandang olehnya seorang pemuda duduk di perkarangan masjid menagih simpati dari para jemaah yang datang. Dia duduk di sebelahnya mendengar perbualan yang tidak dia fahami sambil membuka kasut hitam yang dipunyai satu-satunya. Dia kelihatan menyeluk sakunya tetapi dia terus membatalkan niatnya kerana iqamat sudah dialunkan. Dia bangun meninggalkan kasutnya memasuki pintu utama masjid dan bergegas memasuki saf. Allahu Akbar!
Anak muda peminta sedekah itu rupanya kelaparan. Sedang menahan lapar sejak pagi. Sudah hampir seharian dia mencari dan menunggu rezeki yang Tuhan takdirkan untuknya hari itu. Cengkaman perut yang kekosongan ditambah dingin gerimis petang itu menyebabkan dia terpedaya pada sisi gelap nafsunya hingga dia merelakan dirinya menggapai kasut yang hampir padanya. Tergopoh-gapah dia bangun beredar dari kawasan masjid ke pasar yang berdekatan.
Setelah puas anak muda itu menawarkan kasut tersebut pada sekalian peniaga barangan terpakai di situ, akhirnya dia berjaya juga menjual namun terpaksa berpuas hati dengan harga seratus dinar yang berikut keadaan kasut tersebut. Gembira hatinya menuju pula ke kedai makan berdekatan memesan semangkuk Lubia. Dijamahnya dengan lahap berharap dapat melegakan kelaparan yang ditanggungnya.
Usai solat asar, dia menyeluk sakunya, teringat dia pada anak muda yang mengemis di depan masjid. Dilipatnya wang kertas seratus dinar dalam genggamannya dan bersegera keluar berharap dapat menemukan anak muda tersebut. Ternyata bukan rezekinya untuk mendapat nikmat sedekah hari itu. Memandang ke kiri dan ke kanan, anak muda itu tidak kelihatan. Begitu juga kasutnya tidak lagi berada di tempat yang ditinggalkannya. Terasa sedih dihatinya. sudahlah tidak mendapat rezeki untuk bersedekah, kasutnya pula menjadi asbab untuk orang lain berbuat dosa. Maka beristighfarlah dia sepanjang jalan menuju ke pasar yang berdekatan.
Dalam rusuh hatinya
berjalan berkaki ayam, terlihat pula akan sepasang kasut yang persis seperti
kasutnya yang hilang. Dia memberi salam pada peniaga tersebut dan bertanyakan
harga kasut tersebut. Setelah tawar-menawar beberapa ketika wang kertas seratus
dinar bertukar tangan. Dia menyarungkan kasutnya dan mula bergerak, terpandang
pula kelibat pemuda pengemis sedang mencicah roti ke dalam semangkuk Lubia.
Alhamdulillah sempurna rezeki Tuhan buat semua makhluk-Nya.
* * *
Sungguh rezeki setiap manusia itu sudah tetap takdirnya. Hanya saja jika kita yakin pada pesan Tuhan bahawa kita harus sabar dan solat ketika diuji, maka rezeki halal itu sesungguh sangat hampir kepada kita. Namun bukan jarang kita tidak sabar dan memilih untuk mempercepat rezeki kita. Rezeki itu tetap, yang berbeza adalah cara kita memilihnya. Sesungguhnya nikmat itu datang tepat pada masanya dan Tuhan tidak pernah memungkiri janji-Nya.
0 ulasan:
Post a Comment