* * *
aku tahu mesti orang kata cerita ini mengarut dan karut lagi marut.. tapi aku memang telah sampai di kampung Tok Tenom, malah sebelum heboh kisah kampung Tok Kemala lagi. agak jauh ke dalam sebuah hutan simpan dibahagian barat pulau sumatera terdapat sebuah tasik yang dipanggil Danau Kaca. kisah mengenai keadaan tasik ini yang bercahaya di waktu malam telah membawa aku ke sana dua tahun dulu untuk melihat sendiri kejadian alam dan mengalami sendiri kekaguman melihat ciptaan Tuhan. setelah menempuh perjalanan yang panjang, akhirnya aku sampai ke tasik tersebut. bukanlah sebuah tasik yang besar tetapi kisah-kisah misteri dan mistik seputar tasik itu telah berbaur menimbulkan auranya yang tersendiri. dalam banyak-banyak cerita itu, ada satu yang membuatkan aku tertarik. menurut kisah seorang sahabatku, pada hari-hari tertentu dikatakan jika kita membaling satu benda ke dalam tasik itu, akan ada benda lain yang timbul, seperti ganti. maksud dia, contohnya jika kita mengikat petai dengan tali dan membalingnya ke dalam tasik itu, seperti keadaan orang memancing mengikat umpan di joran, apabila kita tarik semula tali itu, petai tadi akan bertukar menjadi guli, atau jika bernasib baik ia bertukar menjadi seketul emas, atau jika mungkin dengan niat yang berbeza, mendapat pula sebiji telur ular tedung. dan dikatakan tiada siapa tahu kedalaman sebenar tasik tersebut - tiada manusia yang tahu.
ketika sampai di Danau Kaca, kami hanya berdua. sudah hampir maghrib, kata orang masa senja-senja seperti itu ramai hantu, jin dan setan berkeliaran. tapi kebenarannya ialah kami telah tersesat sebelum sampai ke tasik itu. berjam-jam kami berpusing-pusing di dalam hutan itu. dalam kepenatan kami berhenti untuk menunaikan solat jamak dan berdoa panjang, sama ada ditunjukkan jalan keluar dari hutan ataupun menemukan Danau Kaca. dan takdir-Nya kami sampai juga ke Danau Kaca. benar juga kata kawan aku, kami kurang doa hari itu. maka duduklah kami di tepi tasik itu, memang niatnya berkhemah untuk semalam, kerna keadaan tidak memungkinkan untuk kami bergerak semula mencari jalan pulang. tak semena-mena kawan aku yang entah apa dibuatnya di tepi tasik telah terjatuh ke dalam tasik. dia pandai berenang tapi kelihatannya dia seperti tersangkut pada sesuatu. tanpa berfikir, aku pun terjun ke dalam tasik konon mahu membantu. aku menyelam untuk melepaskan kawan aku yang sepertinya tersangkut pada sesuatu seperti akar kayu. yang aku terlupa ialah aku sebenarnya tidak pandai berenang. jadi kawan aku dah selamat menyelamatkan dirinya, aku pulak yang terkapai-kapai. tiba-tiba aku terasa ada benda tarik tangan aku. tubuh aku bagai direntap tenggelam jauh ke dasar tasik. aku memandang ke atas, ke permukaan air, aku nampak bayang kawan aku di tepi tasik. tapi tubuh aku semakin lama semakin dalam. pandanganku semakin kabur dek cahaya yang semakin terang. agaknya macam itu rasa orang dalam perjalanan ke alam barzakh. yang terakhir aku ingat masa itu adalah segalanya jadi putih - putih seputih-putihnya.
sedar-sedar saja aku rasa aku sudah tidak di dalam air. dadaku terasa sesak ditekan-tekan dan aku terbatuk-batuk hingga memuntahkan tidak ada apa-apa selain air. baju T berwarna hitam dan seluar banyak kocek yang aku pakai habis basah kuyup. dalam kabur-kabur pandangan aku yang berbalam-balam, nampak ada sesosok tubuh duduk berlutut di sebelah aku. aku pejam-celikkan mataku sambil menggosok-gosok perlahan kelopak mataku. sosok tubuh yang tadinya aku sangkakan kawanku ternyata bukan. kalau tidak salah aku ketika aku sampai di Danau Kaca tadi sudah senja sangat, sudah mulai gelap, tetapi kenapa terang-benderang seperti sudah pagi. mamat yang duduk berlutut di sebelah aku memandang aku tanpa berkata apa-apa. tubuhnya agak rendah tapi badannya tegap dengan tangan berotot pejal. rambutnya hitam berolak-olak panjang sampai ke bahu dengan ikatan di kepala. mukanya bulat dan kulitnya agak gelap. aku memandang sekeliling. aku bukan di tepi Danau Kaca tapi di pinggir sebuah sungai yang keroh airnya. hanya dua perkara sahaja dalam fikiran aku, sama ada aku sedang bermimpi atau aku sudah hanyut semalaman sebelum diselamatkan - tapi bukan itulah yang kufikirkan sangat.
"saya Dol Seman, awak nih siapa? apa awak buat kat sungai Sinaganaga nih?" katanya sambil memandang tajam ke mata aku sambil tersenyum. namun air mukanya terukir rasa kehairanan, aku pun.
aku yang basah kuyup dan masih terpinga-pinga, menggerakkan badanku bangun untuk duduk. sosok tubuh yang mengaku bernama Dol Seman pun duduk sama di atas tanah. angin berhembus menyapu nyaman tubuhku. tidak pula aku merasa sejuk. Dol Seman membuka satu bungkusan yang berisi makanan dan mengajak aku makan sama. seolah dia tahu aku memang sedang berasa lapar, dan aku tahu kemudiannya dia lebih lapar lagi dari aku. sambil makan dia bercerita tentang kampung Tok Tenom dan Bukit Sinanjang, dan apa yang dibuatnya di tepi Sungai Sinaganaga. aku tidak bertanya apa pun, malah sepanjang aku menyantap nasi berlauk daging berempah itu aku hanya berdiam diri. sedap sangat rasanya makanan tersebut, bukan kerna lapar tetapi memang makanan itu rasanya sangat sedap. aku hanya yakin Dol Seman beragama Islam kerna dia menyebut bismillah sebelum mempersilakan aku membuat suapan pertama sebelum sama-sama turut makan. segala yang diceritakan oleh Dol Seman itu menjawab semua persoalan yang terfikir dalam benakku, seolah-olah Dol Seman tahu apa yang akan aku tanyakan - memberi jawapan sebelum mulutku bertanya.
selesai makan Dol Seman membaca doa lalu aku aminkan, dia tidak mengulang langsung soalan yang ditanyanya ketika aku baru tersedar, seolah dia sudah mengetahui jawapannya. dia membantu mengangkat aku berdiri dan membawa aku menghampiri seekor binatang yang tidak pernah aku lihat sebelum ini, yang kemudian aku dengar Dol Seman memanggilnya dengan nama Kecipot. binatang itu seolah faham kemahuan tuannya dan merendahkan diri untuk ditunggangi. Dol Seman menyuruh aku menaikinya dan katanya dia akan membawa aku pulang bertemu tok penghulu kamppung Tok Tenom, tok Marbawi. walaupun kata Dol Seman kampung Tok Tenom itu mengambil masa tiga hari untuk sampai jika berjalan kaki, tapi Kecipot mampu membawa kami dalam masa satu hari saja tanpa berhenti. dalam perjalanan itu Dol Seman masih terus bercerita tentang berbagai perkara mengenai kampung Tok Tenom - seolah-olah bercerita kepada seorang sahabat yang sudah lama tidak pulang ke kampung.
kami hanya berhenti beberapa kali untuk mengerjakan solat jamak dan setelah itu naik semula menunggang Kecipot yang sangat jinak, kerna Dol Seman tidak pernah menambatnya ke pohon kayu. setelah itu aku tertidur dan apabila aku terbangun, kami sudah sampai di rumah Dol Seman, dia mengucapkan salam dan menjemput aku naik. aku disuruhnya mandi dan diberinya aku sepasang pakaian yang sangat lembut kainnya, sama seperti kain yang digunakan untuk membuat pakaian Dol Seman. anehnya, walaupun tubuh Dol Seman agak kecil berbanding dengan badanku yang gempal, tapi pakaian itu muat-muat dibadanku seolah memang dibuat mengikut ukuran badanku. kemudian kami solat subuh dan kata Dol Seman selepas solat Duha nanti dia akan membawa aku bertemu dengan tok penghulu untuk melaporkan kedatanganku - seolah kedatanganku memang ditunggu pula.
damai rasanya kampung Tok Tenom itu. hawanya nyaman, rumah-rumah yang berbentuk seperti rumah Melayu tersusun cantik dengan halaman rumah yang bersih, sepertinya aku dalam filem-filem lama dan keadaannya seperti suasana yang aku sering baca dalam buku-buku sejarah. rata-rata orang kampung itu tidaklah kecil seperti perawakan tubuh Dol Seman. mereka sangat ramah sehinggakan aku merasa sudah pernah datang ke kampung itu dan sudah mengenali mereka sebelum itu. Dol Seman memperkenalkan aku kepada setiap orang yang kami temui dalam perjalanan ke rumah tok penghulu dan kami bersalaman, genggaman yang erat dan kukuh. ada juga aku terfikir bahawa mungkin aku sudah sampai ke kampung bunian, tapi selepas subuh tadi Dol Seman sudah menceritakan padaku bahawa kampung Tok Tenom bukan kampung bunian, malah dia pula mengandaikan bahawa aku yang datang dari kampung bunian. begitu juga ketika duduk-duduk di beranda rumah tok penghulu Marbawi, Dol Seman terkekeh-kekeh ketawa bila aku bertanya lagi sama ada kampung ini kampung bunian. tok Marbawi hanya tersenyum dan menjelaskan padaku bahawa ini kampung manusia, malah mengandaikan mungkin aku hilang ingatan kerana lemas di sungai Sinaganaga - tapi bagaimana mungkin aku hilang ingatan jika aku masih ingat semua yang berlaku.
begitulah kisah kali pertama aku sampai ke kampung Tok Tenom. walaupun agak sukar aku memahaminya ketika itu. hampir seminggu aku berada di kampung Tok Tenom, mengikuti apa sahaja yang dikerjakan oleh Dol Seman. bertani pada siangnya dan mengikuti pengajian dengan Haji Kursani selepas solat maghrib dan subuh. tidak pernah aku menrasakan ketenangan yang sebegitu sebelum ini. tidak ada rasa sunyi malah aku sentiasa terhibur dengan cerita-cerita Dol Seman, yang rupanya dianggap oleh orang kampung Tok Tenom sebagai penglipur-lara. setiap petang selepas asar, akan datang ramai budak-budak kecil ke rumah Dol Seman untuk mendengar cerita dongeng Dol Seman - ada sahaja ceritanya.
"kau jangan menambah-nambah cerita Dol. sesat pula budak-budak tuh nanti. kan elok cerita tentang Nabi-nabi," tegur Haji Kursani pada suatu malam selesai solat isya'. Dol Seman hanya tersengih, aku pun.
pada hari keempat aku berada di kampung Tok Tenom, pada satu pagi setelah selesai solat Duha, tiba-tiba aku dengar suara kecoh di tangga. Dol Seman kelam-kabut naik ke rumah separuh berlari. yang buat aku lebih terkejut, Kecipot pun ikut sama naik ke atas rumah. kata Dol Seman ada benda mengamuk. dalam ketakutan itu sempat pula dia solat sunat dua rakaat, aku pun tak pasti sama ada solat Duha ataupun solat Hajat. lama benar sujudnya seolah kyusu' berdoa meminta sesuatu. Kecipot hanya duduk diam di sudut ruang tamu. aku gosok-gosok kepala Kecipot. aku dan Kecipot sudah berkawan baik. dia juga, seperti Dol Seman, seolah-olah sentiasa tahu apa yang ada dalam fikiranku, membawa aku kemana sahaja tempat menyampaikan segala niatku untuk melihat atau mencari apa sahaja. Dol Seman juga gembira melihat aku berkawan baik dengan Kecipot. ada waktu aku hanya berjalan-jalan seorang diri, tiba-tiba akan muncul Kecipot menyondol belakangku dan merendahkan diri seolah mahu aku menunggangnya - entah dari mana datangnya tidak pula aku kisahkan.
kebanyakan masa aku, jika tidak mengikuti pekerjaan Dol Seman, akan aku habiskan bersama-sama dengan Haji Kursani. dia mengajar dan menunjukkan aku banyak perkara tentang kehidupan yang selama ini aku rasa keliru dan sukar difahami. Haj Kursani menjelaskan dengan amat mudah. ini yang membuatkan aku leka terlupakan tentang bagaimana aku sampai di kampung Tok Tenom dan tentang kawanku yang tertinggal di Danau Kaca. betul-betul aku terlupa. seronok sangat aku mendapat ilmu pengetahuan yang membuatkan diriku menjadi lebih tenang dan dapat melihat segala-galanya dengan lebih jelas. malah Haji Kursani juga mengajarkan aku betapa kunci untuk mengenal diri adalah dengan memahami apa yang berlaku dalam diri dan melihat tamsil dan ibarat dari apa yang dilakukan oleh orang yang ada disekeliling kita. hidup ini hanya ujian katanya. kaya-miskin, susah-senang, untung-rugi, hanya ujian. apa yang kita dapat bukan kerna pekerjaan kita tetapi akan seiring dengan apa yang kita kerjakan. jika kita mahu, kita hanya perlu berikhtiar, sabar dan tawakal. syukurlah dengan apa yang dikurniakan, baik mahupun buruk - mungkin begitulah perjalanan orang-orang yang tenang.
tiba-tiba Dol Seman menarik tangan aku masuk ke biliknya yang mempunyai tingkap menjengok ke bahagian dapur rumahnya. aku jadi makin terkejut, tidak tentu arah degup jantungku melihat seekor harimau duduk bersimpuh di dapur Dol Seman. aku memandang Dol Seman dan dia meletakkan jari telunjuk dibibirnya mengisyaratkan supaya aku diam. sememangnya dalam keadaan itu aku tidak mampu berkata apa-apa, malah nafasku juga bagaikan tertahan-tahan apabila harimau itu mengaum dengan suara yang sangat mengerikan. walaupun sebenarnya Tam Birat adalah harimau jawa yang tidaklah bertubuh besar seperti harimau malaya yang aku lihat di zoo negara. di halaman rumah Dol Seman kelihatan Mat Kina dan Man Jupri. aku mengenali dua orang itu dari majlis pengajian haji Kursani. dan aku mendengar suara dari luar pintu dapur Dol Seman, merayu-rayu - mungkin ada sesuatu yang tak kena.
"sudahlah Tam. aku pun sedih juga, tapi dah sampai masa Kencana. nanti aku carikan penggantinya. janganlah buat begini," aku tahu itu suara Joned. Dol Seman sudah mula berpeluh-peluh, aku pun.
entah sudah berapa jam agaknya Joned memujuk Tam Birat dari luar pintu dapur Dol Seman. harimau, yang kemudian aku tahu namanya Tam Birat, mengaum-ngaum sedih seolah menjawab setiap patah rayuan Joned. aku juga jadi tahu duduk kisah sebenarnya apa yang berlaku. aku jadi kagum bagaimana Joned dan Tam Birat boleh berkomunikasi dengan perkataan. jika Dol Seman dan Kecipot aku sudah dapat memahami bahawa mereka berinteraksi dengan bahasa tubuh, hinggakan kelip mata dan goyangan kepala saja mereka sudah saling memahami maksud antara satu sama lain. hanya kemudian selepas kejadian tersebut, baru aku memahami bahawa antara manusia dan haiwan, bukan hanya bahasa tubuh yang boleh digunakan tetapi nada dan tona dalam suara yang kita keluarkan juga boleh diselaraskan untuk berkomunikasi. mungkin kita boleh menggunakan bahasa yang berlainan tetapi nada dan tona itulah yang menyampaikan maksud. begitulah Dol Seman menerangkan padaku selepas Tam Birat mengikut Joned pulang - tapi kata Dol Seman kena ada bau harimau juga kalau nak bercakap dengan harimau.
tapi ketika Joned memujuk Tam Birat, aku dan Dol Seman pula hanya mendiamkan diri mengintai dari tingkap bilik. aku pula yang berasa sedih mendengar rayuan Joned. tiba-tiba terdengar bunyi seekor harimau lain mengaum di sebelah rumah Dol Seman. bingkas Dol Seman bangun dan menuju ke tingkap yang menghadap ke rumah sebelahnya, seolah-olah teringatkan sesuatu. sepanjang aku menginap di rumah Dol Seman, rumah yang bersebelahan dengannya sering tertutup rapat, seolah tiada berpenghuni. kata Dol Seman itu rumah Tamam, seorang pedagang yang memang kebiasaannya hanya akan pulang setelah sebulan berdagang di kampung lain. tidak pula dia menceritakan apa barang dagangan Tamam. aku pun tidak bertanya. katanya lagi, Tamam itu baik orangnya, sangat pemurah dan selalu membiayai berbagai kemudahan yang ada di kampung. walaupun perniagaannya sangat menguntungkan namun dia tetap tidak berubah, rumahnya masih sama besar seperti rumah Dol Seman. hampir setiap kali dia pulang, ada saja keuntungan perniagaannya diserahkan pada tok Marbawi, baik untuk dizakatkan mahupun untuk dibuat waqf dan infaq untuk kesejahteraan orang-orang kampung, kerna itu hampir tidak ada orang di kampung Tok Tenom yang boleh dikatakan miskin dan merempat. namun Tamam adalah seorang yang tegas, dia seolah tahu sahaja jika ada orang yang berbohong atau cuba mengambil kesempatan terhadapnya - terasa hebat aura Tamam hanya dengan mendengar kisahnya.
"Tamam! tolonglah sini!" kuat betul Dol Seman menjerit dari celah tingkap yang menghadap ke rumah Tamam sambil melambai-lambaikan tangannya. Kecipot meloncat terkejut dengan jeritan Dol Seman, aku pun.
kepulangan Tamam bersama harimaunya, kemudian aku tahu namanya Melor, meredakan suasana. di luar pintu dapur Dol Seman, aku dengar Tamam membebelkan Joned. di dalam dapur Dol Seman pula aku sudah tidak mendengar Tam Birat mengaum sedih dan menyeramkan, sebaliknya aku hanya mendengar bunyi nafas Tam Birat disela-sela bunyi menderam. rupanya Tamam menasihatkan Joned dan mengungkit cerita lama tentang bagaimana Tamam pernah meminang Tam Birat untuk dikahwinkan dengan Melor supaya Melor boleh mendapat zuriat. Joned hanya mendiamkan diri ketika Tamam mengisahkan bagaimana Melor sudah lama hanya menginginkan Tam Birat sehingga tidak mahu dikahwinkan dengan harimau lain. akhirnya Tamam menganjurkan supaya Joned menerima Melor untuk dikahwinkan dengan Tam Birat, dengan syarat setiap bulan Tam Birat harus tinggal di rumah Tamam selama seminggu dan selama seminggu itu Tam Birat juga harus tunduk kepada Tamam dan melakukan pekerjaan sama seperti Melor. dan jika nanti Melor dan Tam Birat mendapat anak, anak itu akan dijaga oleh Tamam sehingga dewasa, kemudian barulah anak itu diberi pilihan untuk mengikuti Melor atau Tam Birat - begitulah syarat Tamam sebagai janji.
ini adalah salah satu perkara yang aku kagumi di kampung Tok Tenom. orang-orang kampung menganggap haiwan peliharaan mereka seperti anak mereka sendiri. tidak pernah aku melihat ada haiwan yang dianiaya. segala haiwan yang ada pula tidak pernah berkelahi antara satu sama lain. teringat kata Haji Kursani, apa sahaja yang dibawah tanggungjawab kita hanya mengikut apa yang kita lakukan, kerna itu kta harus istiqamah dalam bersikap baik dan benar. harus sentiasa berhati besar memaafkan dan tidak prejudis walaupun kita dijahili, kerna dipenghujung perjalanan hidup kita, apa yang orang lain lakukan pada kita itu tidak penting, malah yang penting adalah bagaimana kita bersikap dengan kelakuan mereka kepada kita, sama ada kita turut sama jadi seperti mereka atau nanti mereka menginsafi kesalahan mereka, pasti mereka akan menghormati dan bersikap sama seperti kita. bagaimana sesuatu bermula itu tidak dikira oleh Tuhan, hanya bagaimana kita mengakhiri perjalanan kita, itulah yang akan dibalas oleh Tuhan. maka jagalah hati kita semoga kita berada di jalan yang benar ketika kita menemui penghujungnya - semoga kita masih sempat meluruskan niat sebelum ajal menjemput.
agak lama juga mereka membincangkan pensyaratan perkahwinan tersebut sebelum Joned menyetujuinya. sejurus selepas itu Tam Birat pun mahu keluar dari dapur Dol Seman. kemudian Joned dan Tam Birat meninggalkan rumah Dol Seman bersama dengan Tamam dan Melor menuju ke rumah tok penghulu Marbawi untuk urusan seterusnya. Mat Kina dan man Jupri naik singgah di rumah Dol Seman menerima pelawaan meminum kopi. Dol Seman sangat gembira, terkekeh-kekeh ketawanya. Mat Kina dan Man Jupri hanya senyum-senyum melihat keadaan Dol Seman yang meloncat-lonact bersama Kecipot. aku pula tiba-tiba teringatkan kawan aku yang tertinggal di Danau Kaca. tak terasa sudah hampir seminggu aku berada di kampung Tok Tenom, entah apa pula keadaan kawan aku. Mat Kina dan Man Jupri memandang ke arah aku, seolah-olah tahu apa yang aku fikirkan. Man Jupri mengesot mendekati aku dan menunjukkan aku cara untuk pulang ke Danau Kaca dengan suara separuh berbisik. aku hairan juga bagaimana Man Jupri tahu semua itu - tapi keinginan aku untuk pulang lebih besar dari keinginan aku untuk tahu rahsia Man Jupri.
"Kau nak pulang?" tiba-tiba Dol Seman menyampuk. dia memandang aku dengan muka sedih, aku pun.
sudah sampai masa untuk aku pulang, sekurang-kurangnya begitulah yang aku rasakan. Haji Kursani dan tok Marbawi juga hanya mengangguk-anggukkan kepala, yang aku anggap bersetuju, ketika aku menyatakan pendapatku, walaupun riak di muka mereka mengatakan sebaliknya. dari semalam, sejak kejadian Tam Birat, aku jadi teringatkan kawanku yang kutinggalkan di tepi Danau Kaca. sebelum aku pulang, Haji Kursani sempat memberikan aku sebentuk cincin berbatu hitam, tapi katanya itu bukan batu tapi dibentuk dari pohon pokok yang aku terlupa namanya. dia meminta aku memakai di jari manis atau kelingking di tangan kanan. sunnahnya begitu katanya. aku tidak bertanya apa kegunaan cincin itu dan dia juga tidak menceritakan apa-apa. bagi aku ia hanyalah sebentuk cincin yang tidak memberi apa-apa kuasa, hanya sebagai tanda ingatan. itulah yang aku terfikirkan ketika bersalam dengan Haji Kursani sebelum aku berangkat kembali ke muara sungai Sinaganaga dengan Kecipot, dengan pakaian yang sama dengan apa yang kupakai ketika mula-mula ditemui oleh Dol Seman. Dol Seman tidak mahu ikut, dia hanya berpesan sesuatu kepada Kecipot - mungkin menyuruhnya langsung pulang setelah menghantar aku.
aku sampai di muara sungai Sinaganaga sudah pagi. sesudah solat Duha aku tepuk-tepuk perlahan kepala Kecipot tanda terima kasih. dia seolah-olah tahu aku akan kembali lagi. sebenarnya Man Jupri ada membisikkan kepada aku satu rahsia ketika melihat aku memakai cincin batu hitam pemberian Haji Kursani. kata Man Jupri jika batu hitam itu berkilau dan bercahaya seperti menyala, bermakna jalan dari Danau Kaca itu akan terbuka selama beberapa ketika. aku boleh muncul semula di sungai Sinaganaga sama seperti jalan aku pulang ke Danau Kaca. Man Jupri meminta aku merahsiakan perkara ini sebenarnya, kerna menurutnya cincin batu hitam itu hanya dimiliki oleh beberapa orang sahaja. kebenaran kata-kata Man Jupri hanya akan aku ketahui jika aku berjaya pulang semula ke Danau Kaca. namun jalan pulang itu mudah sebenarnya. aku hanya perlu menyelam ke dasar sungai Sinaganaga dan mencari sebuah gua di dalam sungai tersebut dan hanya perlu mengikut arusnya sahaja. dan begitulah yang berlaku, sebaik sahaja aku berada di muka gua tersebut, aku terus sahaja ditarik, sama seperti keadaan aku ketika tenggelam di Danau Kaca minggu sebelumnya. segalanya menjadi putih, putih seputih-putihnya. dan apabila aku timbul, memang benar aku berada di Danau Kaca - benar-benar aku sendiri tidak percaya.
ketika aku timbul hari sudah mulai gelap, sepertinya sama seperti waktu aku sampai di Danau Kaca. dan yang lebih mengejutkan aku, aku melihat kawanku sedang basah kuyup dan tercungap-cungap, seperti keadaan waktu aku baru melepaskannya dari belitan akar kayu. aku naik ke atas tebing dalam keadaan termengah-mengah menghirup nafas segar. aku lihat sekeliling, sama persis seperti keadaan sebelum aku terjun ke Danau Kaca menyelamatkan kawanku. aku agak bingung. mungkinkah aku hanya mengalami halusinasi atau bermimpi ketika lemas di dasar sungai. tidak mungkin masa seminggu yang aku lalui di kampung Tok Tenom hanya sebatas satu selaman sahaja. setelah keadaan kami pulih, kami pun bangun mendirikan khemah dan menyiapkan apa yang perlu untuk bermalam di situ. aku masih tidak mengerti apa yang telah berlaku kepadaku. kawanku tidak banyak berkata-kata malam itu, mungkin masih terkejut dengan apa yang dialaminya - tapi jika aku ceritakan pula apa yang berlaku padaku, dia pasti akan lebih terkejut lagi.
"bila masa kau pakai cincin? aku tak pernah nampak pun sebelum ini," tegur kawanku terlihat cincin batu hitamku bersinar ketika kami duduk menikmati makan malam di tepi unggun api sambil menikmati pemandangan tasik yang bercahaya. hanya bunyi cengkerik yang kedengaran, selain itu malam di tepi Danau Kaca itu sangat sepi tanpa suara, aku pun.
* * *
0 ulasan:
Post a Comment