Showing posts with label ruwamanggali. Show all posts
Showing posts with label ruwamanggali. Show all posts

Wednesday, December 21, 2022

Bahagian 4 : Mencari Podria Faltarun

Posted by usoPkuChai On 2:57 AM

 


***

Usai solat subuh aku, Dol Seman dan Kanwu bergegas mahu bergerak meninggalkan kawasan Bukit Sinanjang. Dol Seman memandang ke arahku dengan pandangan bertanya. Aku fahami maksudnya. KanWu memandang kami, sepertinya dia juga memahami maksud pandangan suram dan keruh dari kami berdua.


“Kita langsung ke Padang Sembawang. Kita tak ikut jalan semalam. Kita akan mendenai melalui kampung Tok Sepini. Dari situ kita akan langsung memintas ke Padang Sembawang,” jelas KanWu dengan tegas. Sudah tentu bukan sebuah cadangan – itu aku pasti.


Tidak banyak yang aku dengari tentang kampung Tok Sepini. Kampung ini merupakan salah satu daripada tiga kampung yang saling bersaudara. Hanya tiga kampung ini saja yang dikira tamadun yang wujud.  Tok Tenom, Tok Kemala dan Tok Sepini adalah tiga beradik jurai waris asal dari Sinanjang sendiri. Tok Merbawi, tok Antaga dan tok Ismayani yang masing-masing menjadi tok penghulu di ketiga-tiga kampung tersebut juga adalah jurai waris asli dari tiga beradik yang membuka kampung-kampung yang ada. Inilah negeri tiga kampung yang sentiasa harmoni dan saling ambil berat antara satu sama lain, tiada siapa melebihi kekuasaan sesiapapun, semua diurus secara autonomi. Cuma walaupun mereka itu asal muasal datuk nenek moyangnya adalah adik beradik bersaudara, tetapi setiap dari satu daripada mereka mempunyai keunikan mereka sendiri yang dapat membezakan jurai keturunan mereka sendiri.


Jika kampung Tok Sepini terkenal dengan ladang sayur dan buah-buahan, hampir semua penduduk kampung Tok Tenom pula adalah penternak binatang yang hebat, sesuai dengan keahlian mereka dalam menjinakkan binatang-binatang buas – besar dan kecil. Penduduk kampung Tok Kemala pula mudah dikenal pasti dengan bentuk tubuh badan yang tegap dan kekar, baik laki-laki mahupun yang perempuannya. Hinggakan tidak salah kalau sesiapa saja yang pertama kali bertemu dengan orang kampung Tok Kemala akan menganggap mereka gergasi. Rumah mereka juga besar-besar dan tinggi. Ini mengapa apabila dikatakan kampung Tok Kemala dilanda petaka, orang-orang kampung Tok Kemala memikirkan jika orang kampung Tok Kemala yang besar dan gagah itu gagal menahannya, maka lebih besar lagilah petaka buat kampung Tok Tenom. Tapi belum ada juga siapa yang pasti apa bentuk petaka sebenarnya yang melanda kampung Tok Kemala – tidak ada siapa yang tahu melainkan orang kampung Tok Kemala itu sendiri.

 

“Boleh tak kita berhenti sekejap?” tiba-tiba Dol Seman menarik lenganku supaya berhenti berjalan. KanWu juga berhenti. Kami memandang kearah Dol Seman. Dengan pantas Dol Seman berlari kebelakang serimbunan belukar kecil.

 

“Isk, melepas hajat rupanya,” getusku. KanWu tersenyum. Kami pun mengambil peluang untuk duduk sebentar melepas lelah di atas sebatang pokok besar yang melintang jatuh bersebelahan dengan denai yang kami lalui.

 

Aku memandang kesekeliling. Hutan ini tidak setebal hutan di Bukit Sinanjang. Tiba-tiba aku merasakan batang kayu yang aku duduki itu seperti bergerak-gerak, seperti kegelian. Dol Seman sudah keluar dari belukar tetapi masih berdiri kaku memandang ke arah aku. BUkan tepat ke arah aku, tapi tembus seperti melihat sesuatu dibelakangku. Muka terkejut bercampur takut memang tidak dapat disorok lagi. KanWu memegang bahuku sambil satu tangannya lagi meletakkan jari telunjuk di bibirnya, menyuruh aku diam. Dia menuntunku untuk bangun perlahan-lahan dan bergerak ke arah Dol Seman. Dol Seman masih berdiri kaku dengan muka bercampur baurnya. Kedua-dua tangannya menutup mulutnya. KanWu kemudian menyuruh kami tunduk dan berlindung di sebalik rimbunan semak.

 

Aku dapat melihat batang kayu itu tadi bergerak seolah ditarik. Aku masih belum boleh mengagak apakah bendanya. Mahu dikatakan ular besar, kasar benar kulitnya seperti kulit kayu, dan terlalu pulah besarnya. Atau mungkin saja ada binatang lain yang menarik kayu itu.

 

“Nabau,” bisik KanWu sebelum sempat aku bermain-main lagi dengan fantasiku.

 

Kami menunggu hingga gerakan ular mitos itu selesai. Sememangnya aku sedar sepanjang pengalamanku di dunia sebelah sini, tidak ada mitos itu yang mitos melainkan memang ada wujudnya. Hanya bau satu yang ini saja yang belum dapat aku pecahkan. Setelah Nabau itu beredar pergi, ada satu bau yang masih tinggal. KanWu sudah bangun mencari-cari sesuatu dijalur gerakan Nabau tadi. Aku terpusing-pusing mencari dari mana bau itu kerana kekuatan bau itu menunjukkan ia sangat dekat dengan kedudukan aku. Siapa tahu ada geliga hikmat ditinggalkan Nabau. Mataku terhenti pada satu pandangan yang sangat tidak mahu ku lihat.

 

“Macam tu je kau tinggalkan,” aku ketuk kepala Dol Seman sampai menunjukkan setompok hajat besarnya. Dia hanya tersengeh-sengeh.

 

“Tak sempat nak korek lubang,” katanya sambil menyapu bahagian kepalanya yang aku ketuk. Kurang asam betul. Nyaris aku tidak terpegang ‘geliga’ Dol Seman waktu sedang bersembunyi tadi.

 

“Ahaa! Dapat!” KanWu menggoyang-goyangkan tangannya menunjukkan sesuatu kepada aku dan Dol Seman. KanWu memberi seorang satu kepada aku dan Dol Seman.

 

“Simpan baik-baik. Sisik Nabau ini banyak gunanya,” membuatkan aku teringatkan mitos suku Dayak yang mengatakan sisik Nabau itu boleh memberi kekuatan luarbiasa pada sesiapa yang menemukannya. Cuma bagaimana pula nak menggunakannya?

 

“Simpan dulu, kita kena bergerak sekarang. Dah lambat,” gegas KanWu sambil menyelitkan sisik Nabau tadi dililitan pinggangnya. Dol Seman berbuat yang sama, aku pun.

 

Kami sampai ke kampung Tok Sepini sudah mulai masuk waktu asar. KanWu terus menuju ke rumah tok penghulu Ismayani.  Aku memberi alasan mahu mencari buah rambutan. Dol Seman teruja mendengar buah rambutan tapi aku minta dia menemani KanWu dan berjanji akan membawa buah rambutan untuknya kalau ada pokok yang berbuah. Maka berpisahlah kami di satu persimpangan jalan.


Aku menelusuri jalan-jalan kampung mengikut apa yang diceritakan oleh makhluk hitam semalam, dan akhirnya bertemu dengan rumah yang persis seperti yang diperincikan. Aku berdiri di bawah pokok rambutan yang sedang kuning berbuah lebat. Tampaknya seperti tiada penghuni di dalam rumah itu. Aku melabuhkan punggungku duduk di atas pangkin di bawah pohon rambutan itu menunggu. Mungkin tak lama lagi akan pulanglah beliau, tidak mungkin beliau akan menyangkul sampai ke malam. Tiba-tiba jatuh pula sebiji rambutan ke pangkuan aku. Seekor tupai berlari-lari meloncat antara dahan mencuit gembira pula dihati.

 

Tidak berapa lama kemudian, aku lihat ada seseorang berjalan masuk, badannya gempal, atau mungkin lebih tepat gemuk, tubuhnya agak rendah, memakai kain yang terikat di pinggang seperti sampin, cara berjalannya juga agak menggelikan hati. Wajahnya juga melucukan, tidak sampai hati pula aku nak menggambarkannya dengan terperinci. Secara keseluruhan aku dapat simpulkan bahawa melihat beliau saja sudah menimbulkan kelucuan. Dia mengangkat tangan menyapaku dari jauh, aku balas lambaiannya. Garis putih giginya tersenyum sangat kontras dengan warna kulitnya. Aku memberi salam dan menjabat tangannya, dia langsung memelukku seperti orang yang sudah lama saling kenal. Dia langsung duduk disebelahku di atas pangkin.

 

“Duduk, duduk. Pakcik pun nak duduk. Penat dah tua-tua ni kena jalan kaki. Tak ada orang yang bagi tumpang, tak muat,” katanya tersenyum sambil mengipas-ngipas dirinya dengan kain ikatan kepalanya dengan nafas sedikit mengah. Aku hanya tersengih.

 

“Kenapa tak dimakan buah tu? tak dapat pahala lah pakcik kalau anak tak makan,” sambungnya.

 

“Nak minta kebenaran pakcik dulu lah ni,” jawabku sambil mula menggigit dan mengupas buah rambutan.

 

“Saya ni ada hajat sebenarnya dengan pakcik,” sambungku setelah menelan isi rambutan yang lengkang dan manis. Baja apa agaknya yang digunakan pakcik ini, lain macam betul sedap buah rambutannya.

 

“Semalam saya dan kawan-kawan saya dari kampung Tok Tenom bermalam di Bukit Sinanjang,” tersembur air dari mulut pakcik itu bila aku menyebut Bukit Sinanjang. Buntang matanya memandang aku.

 

“Kamu buat apa di Bukit Sinanjang?” soalnya dengan muka yang sudah tidak lucu lagi, namun tetap lucu padaku.

 

“Panjang ceritanya,”

 

“Pendekkan,”

 

“Sebenarnya begini pakcik. Pakcik ada dengar cerita pasal kampung Tok Kemala?” dia mengangguk-angguk dengan masih memasang muka serius yang sebenarnya kelakar.

 

“Kawan saya ke Bukit Sinanjang untuk meminta bantuan tapi tidak berjumpa dengan orang yang mahu ditemuinya. Kawan saya itu sekarang ada kat rumah tok penghulu Ismayani tujuan nak minta nasihat,” aku menyambung.

 

“Dah kawan kat rumah penghulu, anak ni kat sini kenapa? Saya bukan penghulu atau ulat bulu,” hambar sekali jenakanya yang ini.

 

“Hehe, begini pakcik,” aku membetulkan dudukku.

 

“Waktu saya tidur di Bukit Sinanjang semalam, ada sesuatu datang kepada saya menyuruh saya mencari pakcik,” aku cuba mencari serius dalam perbicaraan.

 

“Dia ada pesan suruh carikan pakcik isteri ke?” katanya terkekeh-kekeh menyandarkan badannya.

 

“Mimpi tu kan permainan tidur. Apa yang susah payah sampai ke sini cari pakcik, apa yang pakcik boleh bagi? Tengoklah rumah pakcik tu, kalau kamu nak, ambillah sekeping papan dindingnya,” aku tahu kehambaran jenakanya itu menunjukkan rasa curiga dan susah hati sudah mula timbul dalam dirinya.

 

“Begini pakcik, dia kata pakcik ada sesuatu untuk saya,” aku mula membuat muka serius dan menatap matanya.

 

“Buah rambutan pakcik ada lah. Kalau yang lain tu belum tentu memang kamu yang berhak,” berselerak matanya tanda dia menyembunyikan sesuatu.

 

“Maknanya memang pakcik ada menyimpan sesuatu lah?” aku mula mendesak. 


Dia menundukkan kepalanya. Berfikir agaknya. Sesekali tangannya menggaru-garu kepala dan badannya. Dia bangun dan berjalan ke arah belakang rumahnya. Aku hanya mengikutnya dengan pandangan mata. Dia datang semula dengan membawa sebatang galah.

 

“Anak petik semua buah rambutan yang masak di atas pokok ni. Yang masak kuning sahaja,” dia memandang tepat ke mataku sambil memberikan galah yang diambilnya kepadaku.

 

Kemudian dia meninggalkan aku, dan naik ke atas rumah. Aku masih berdiri memegang galah memandang dia masuk ke dalam rumahnya. Keliru sebentar dengan apa yang sedang berlaku. Adakah orang tua ini mempermainkan aku? Aku pandang ke arah pokok rambutan yang beralun-alun buahnya bergoyang walaupun tidak ada sangat angin bertiup. Hanya sepoi-sepoi bahasa sahaja. Galah itu pun tiadalah pengait, hanya sebatang kayu panjang. Bagaimana mahu aku mengait buah rambutan? Dipepah sahaja agaknya, bersepah-sepahlah pula nantinya. Mahu kupanjat, tinggi benar pokok rambutan ini. Dahan yang terendah juga sudah tinggi. Fikiranku berbolak balik antara kelakuan orang tua tadi dengan pokok rambutan. Dan kupandang galah ditanganku, semuanya mengelirukan aku.

 

Dengan penuh keraguan yang menggunung, aku acukan galah yang diberikan oleh orang tua tadi cuba menyelak-nyelak antara rimbunan daun dan buah-buahan yang meranum untuk melihat berapa banyak sebenarnya buah rambutan yang ada di atas pokok yang sebatang itu. Sangat mengejutkan aku, sangat-sangat terkejut hingga terlepas galah dari peganganku, apabila setiap buah yang tersentuh dengang hujung galah tersebut luruh sendiri.

 

“Haisshh.. teknologi apakah?” kataku dalam hati, masih terkejut. Kukutip kembali galah tersebut dan memeriksa hujungnya. Tiada apa-apa perbezaan dengan galah biasa, tiada alat-alat teknologi canggih terlihat bersatu dengannya.

 

Habislah sepokok rambutan itu aku turunkan buahnya. Hanya tinggal yang hijau sahaja, daun dan buah. Ketika aku mengumpulkan buah-buah rambutan tersebut baru aku tersedar siapa pula yang akan memakan sebanyak-banyaknya buah rambutan ini. Mungkin orang tua ini akan mengeksportnya ke kampung lain. Jika begini banyaknya buah untuk sepohon pokok, bagaimana pula agaknya yang mempunyai ladang yang berpokok-pokok. Kekaguman tentang pokok rambutan itu tetap tidaklah setinggi kekaguman aku dengan teknologi galah yang baru aku alami.

 

Belum habis aku berfikir, keluar dari semak samun di belakang rumah pula sekumpulan haiwan kecil yang berbentuk seperti tupai tetapi bertelinga seperti arnab, atau mungkin arnab tapi kelihatan seperti tupai. Belum habis lagi keliruku rupanya. Beramai-ramai mereka datang dan mengutip buah rambutan yang gugur di atas tanah itu dan membawanya semula masuk ke dalam semak samun. Aku hanya memandang sahaja mereka yang berkejar-kejaran sekelilingku, semua memandang aku dan membuat satu bunyi ketika melintasi kakiku. Comel pula kelihatannya.

 

Dari ekor mataku aku dapat melihat pakcik tadi mengintai aku dari dalam rumahnya melalui celah-celah tingkap. Dia turun setelah habis semua haiwan comel tadi masuk ke dalam semak, habis juga semua rambutan dikutipnya melainkan sekelompok yang mereka kumpulkan di sebelah kakiku. Aww manis sungguh perbuatan itu. Aku hanya senyum dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Meloncat-loncat mereka lari masuk ke dalam semak samun semula. Pakcik tadi seperti terhendap-hendap datang mendekati aku. Seolah-olah dia dalam ketakutan dan kewaspadaan yang tinggi.

 

“Kenapa pakcik?” tanya aku melihat dia menjengok-jengok ke arah semak samun.

 

“Dah masuk semua?” Aku hanya mengangguk menjawab soalannya.

 

“Hebat anak ni,” dia menepuk-nepuk bahuku sambil tersengih. Aku masih tidak faham apa yang diperkatakannya.

 

“Benda tu memang nampak comel, tapi tidak pernah seorang pun yang tidak pernah diserangnya,” katanya sambil menunjukkan betis di kaki sebelah kanannya yang seperti terpotong.

 

“Hanya anak ni saja, maka betullah ini memang hak anak,” katanya sambil menyerahkan kepadaku sesuatu dalam bungkusan kuning.

 

Klise sungguh bila ada barang antik saja kena bungkus dengan kain kuning. Tapi memang sungguh sebenarnya barang sebegitu tidak boleh sewenang-wenangnya dibungkus dengan kain berbagai warna kerana hanya warna kuning saja yang dapat mendiamkannya. Sudah lah macam cerita mistik zaman dulu kala. Ada penjelasan untuk warna kuning itu sebenarnya. Setiap warna mempunyai aura yang berbeza. Maka ada beberapa jenis besi memang hanya sesuai dengan aura kuning. Besi? Kami duduk semula di pangkin dan aku membuka balutan kain kuning itu. Sememangnya besi. Aku ambil dan aku amati besi tua yang berada dalam tanganku. Rupanya seperti badek. Bilahnya tertulis suatu perkataan yang tidak aku mengertikan.

 

“Itu Podria Faltarun,” pakcik itu memberitahuku.

 

“Selesai sudah tugasku sebagai pemegang amanah menjaganya sehingga dapat kuberikan kepada tuannya. Sekarang ini hak sudah balik ke pundak,” katanya.

 

“Haisshh.. macam dapat saka pulak,” getusku dalam hati.

 

“Ini memang pesaka. Dia tidak menuntut anak untuk memberinya apa-apa. Ini khadam tidak akan menuntut apa-apa dan tidak akan bertindak sendiri selagi tidak mendapat keizinan anak. Anak juga tidak perlu menyimpan atau mewariskannya kepada siapa-siapa, kerana dia hanya boleh digunakan dua kali sahaja oleh setiap yang berhak atasnya,” aku pun tidak faham bagaimana setiap orang boleh mendengar apa yang aku katakan dalam hati. Mungkin ada kebocoran minda berlaku disitu.

 

“Meko yang kamu beri makan tadi adalah pengawal anak sekarang. Merekalah yang sebenarnya memilih siapa yang berhak memiliki Podria Faltarun ini. Mereka tidak akan kelihatan, tetapi mereka akan muncul ketika anak perlukan bantuan. Selagi Podria Faltarun ini berada dalam simpanan anak, Meko akan sentiasa berada berdekatan. Kembalikan pada mereka sekiranya anak sudah selesai menggunakannya. Jangan terpedaya dengan wajah mereka yang comel dan seakan jinak, sesungguhnya mereka itu sangat ganas dan merbahaya,” orang tua itu cuba menjelaskan seboleh mungkin kepadaku.

 

Selesai dia menjelaskan dengan terperinci akan kesaktian Podria Faltarun dan kehebatan Meko, dengan secara tiba-tiba dia memegang tanganku yang memegang badek tua itu, dan menusukkan badek tua itu ke perutnya. Aku tergamam kerana tidak menyangka dia akan melakukan itu. Apakah yang sedang berlaku? Aku separuh panik. Bagaimana kalau orang kampung menemukan aku bersama seorang warga tua desa mereka yang sudah meninggal dengan badek tertusuk di perutnya dan tanganku pula berlumuran darah?

 

“Ingat pesanku. Sekarang anak hanya boleh menggunakan Podria Faltarun ini sekali sahaja lagi. Jangan gunakan pada perkara yang bukan anak datang mencari ini kerananya,” kata orang tua itu perlahan sambil menahan kesakitan.

 

Seketika itu juga, Meko berhamburan datang mengerumuni tubuh orang tua itu dan memakannya? Mereka benar-benar makan setiap tubuh orang tua itu beramai-ramai. Sangat mengerikan, sementelah memikirkan bahawa mereka ini akan mengekori aku selagi badek tua ini ditanganku. Pemandangan ini sama sekali kontras dengan situasi ketika mereka datang mengutip buah rambutan tadi. Fahamlah aku mengenai apa yang diceritakan oleh orang tua itu tadi mengenai Meko. Kepelikan yang mengerikan sebenarnya. Memang habis semua daging, tulang dan segala isi dalam beserta rambut dan sekalian bulu orang tua itu dijarah oleh Meko. Aku tidak mungkin dapat melupakan apa yang aku lihat ini. Terlalu tinggi nilai traumanya. Setelah habis, seekor daripada mereka meletakkan badek tua yang tadinya tertancap di perut orang tua itu di sisi aku yang masih menggigil traumatik. Tetapi comel pula rupa mereka setelah selesai pesta kanibal tersebut. Licin bersih malah tiada kesan darah pun yang tertinggal. Sepantas itu juga semua Meko lari memasuki semak tempat persembunyian mereka. Seolah tiada ada apa yang berlaku. Hanya aku, Podria Faltarun, pangkin dan pokok rambutan.

 

“Mana buah rambutannya?!” aku terdengar jeritan dari jauh. Dengan segera aku membungkus kembali badek tua itu dan menyimpannya, sebelum aku pula yang disoal siasat oleh Dol Seman yang berlari-lari mendekati aku yang masih menahan gigil.

 

“Pokok besar-besar ada banyak ini saja rambutan?” Dol Seman mengutip beberapa biji buah rambutan dan menggigitnya.

 

“Dah minta kebenaran belum?” KanWu menepuk pundak Dol Seman mengingatkannya.

 

“Takpa nak! Makanlah! Memang buah tu untuk dimakan,” sangat terkejutnya aku melihat orang tua yang tadi, yang tadi memberi aku sebilah badek tua, yang tadi sudah tertikam dengan badek tua itu, dan yang tadi yang telah licin dimakan Meko, tiba-tiba muncul di balik jendela rumah. Iya memang tidak salah. Itu memang dia. Sekurang-kurangnya persis sangat seperti dia.

 

Semakin keliru aku dibuatnya. Dol Seman tidak ambil tau, langsung saja dia bertinggung menghadap longgokan rambutan kuning meranum. KanWu bergerak mendekati orang tua itu yang sudah berada di tangga dan bersalam dengannya. Orang tua itu hanya tersenyum melihat aku. Aku masih melongo ketika menyambut salamnya, sambil dia menepuk-nepuk bahuku. Aku raba ke sisi, masih terasa badek tua itu tersisip di pinggangku. Adakah ini mimpi? Semakin lama aku di daerah ini semakin pelik dan aneh pula kejadiannya. Mungkin mimpi di dalam mimpi. Tapi ini badek memang sahih wujudnya. Apakah?  Ahh..

 

“Terima kasih pak gendut!” Suara riang Dol Seman membawa kesedaran kembali dari kesawaianku. KanWu menepuk kepala Dol Seman, pakcik itu ketawa, aku cuba untuk tersenyum.


***



Wednesday, October 19, 2011

Bahagian 3 : Dendam Matalangsi

Posted by usoPkuChai On 9:55 PM



aku kenal KanWu dari perjalanan aku yang lebih terkemudian. putera sulung tok penghulu Marbawi ini bukan calang-calang orang. sangat susah mahu melihat dia tersenyum, mukanya lebih sering tak berperasaan. jarang mendengar dia bercakap, lebih banyak diam. tubuhnya tidaklah tegap sasa sepertimana penceritaan mengenai pahlawan-pahlawan Melayu. dia boleh dikatakan tergolong kurus dan agak sedikit lebih tinggai dari aku. rambutnya panjang sampai ke bahu sepertimana rambut pemuda-pemuda lain di kampung Tok Tenom, dibiarkan terurai dengan hanya berikat dahi. matanya bundar, hidungnya kecil dan mancung, bibirnya sedikit tebal dan berkumis nipis seperti p.ramlee. sikapnya sangat rendah diri dan memang tidak terlihat sebagai seorang putera tok penghulu. sekali pandang memang tidak terlihat wibawanya - memang sungguh penyamaran yang sempurna.

kali pertama aku bertemu dengan KanWu ketika aku dan Dol Seman sedang membuka tanah di sebelah barat di hujung kampung Tok Tenom. memang sedari awal kami sampai, aku dapat melihat riak kegusaran di mata Dol Seman. seolah-olah ada sesuatu yang merisaukan hatinya. aku juga merasakan perasaan yang sama, seolah geruh sedang menunggu. mengikut kisah yang pernah aku dengar, memang macam-macam cerita aku dengar sepanjang aku berada di kampung Tok Tenom, di sempadan barat itu wujud sekumpulan makhluk yang tidak berwujud. tiada tubuh badan. tiada raga. hanya sekadar bayang-bayang. dikatakan makhluk ini asalnya adalah manusia juga yang kemudian disumpah oleh Sinanjang kerna keserakahan mereka. mengikut sumpahan itu, mereka tidak akan dapat merasai lagi segala nikmat yang ada di dalam dunia. mereka hilang rasa. tiada rasa masin atau manis. tiada lapar atau kenyang. yang wujud hanya rasa marah dan dendam. satu-satunya cara untuk merasa segala nikmat itu ialah dengan merasuk masuk ke tubuh benda lain dan menguasainya - macam cerita hantu pulak.

namun itulah yang berlaku ketika aku dan Dol Seman sewaktu makan tengahari. mungkin terlalu lapar, kerana kami hanya bersarapan susu kambing sahaja pagi itu, dan penat membersih hutan, menebang pokok dan merembat semak belukar, Dol Seman mungkin terlupa membaca bismillah, aku kata mungkin, dan ketika dia kelihatannya sudah selesai makan, tiba-tiba dia kembali makan habis semua makanan termasuklah makanan yang ada di hadapan aku. sesudah itu dia minta lagi, padahal dia yang memasak dan membawa makanan tersebut, bukan aku. aku hanya tercengang melihat kelakuannya. tiba-tiba dia seperti naik hantu, mungkin masuk hantu lebih tepat, langsung meloncat menerpa ke arah aku dengan tangannya cuba mencekik leherku. aku berundur sedikit lalu kuangkat kaki kananku dan aku tendang Dol Seman, melambung. kami berguling bersama-sama. dia menerkam lagi dan kami bergumpal. Kecipot sudah lintang-pukang lari ketakutan melihat keadaan tuannya - aku juga berharap aku dapat lari ketika itu.

Dol Seman menindihku sambil tangannya mencengkam teguh leherku. aku meronta-ronta bagai nak gila kerana tidak mampu bernafas. mukaku terasa panas, mataku mulai berpinar-pinar. kekuatan Dol Seman itu bukan tenaga manusia. sekoyong-koyong aku melihat ada satu tangan menampar muka Dol Seman. aku tahu itu bukan tangan aku. tamparan itu sangat kuat hingga menyebabkan Dol Seman tercampak dan aku terbatuk-batuk menghirup segala udara yang ada, meminta nyawa. aku lihat sesosok tubuh kurus menampar Dol Seman berkali-kali. setiap kali Dol Seman maju untuk menyerang setiap kali itu penampar itu hinggap di pipi Dol Seman menyebabkan dia terhoyong-hayang dan jatuh terserembap ke tanah. berkali-kali perkara yang sama berlaku - hingga aku sendiri pun merasa pening melihatnya.

"Hei Sukaduga! Jangan kau kacau sahabat-sahabat aku lagi atau akan kuburu kau dan seluruh kerabat kau!" garau suaranya seperti bunyi petir. dari jauh aku nampak Kecipot menyorok di celah belukar yang kulihat bergegar, aku tahu Kecipot sedang menggigil, aku pun.

seiring dengan herdikannya, sosok tubuh tadi, yang setelah itu aku tahu namanya KanWu, memberi satu jurus ke arah dada Dol Seman. tapi kali ini Dol Seman tidak menghambur terbang terpelanting tetapi dadanya seakan melekat pada tapak tangan KanWu. beberapa saat setelah itu tubuh Dol Seman menjadi lemah dan jatuh terjelepuk. aku fikirkan sudah selesai, tapi selepas itu aku melihat KanWu mengutip beberapa batu-batu kecil, berlari mengejar sesuatu dan membaling ke arah semak belukar sebanyak tiga kali. hanya satu perkara yang aku perasan, terlihat bayang-bayang hitam di atas tanah seperti sesuatu sedang melarikan diri. bukan hanya satu bayang-bayang tetapi ada beberapa bayang-bayang lain yang aku lihat bergerak di tepi belukar itu. kemudian KanWu memapah Dol Seman dan membawanya ke tempat aku duduk - aku tidak bergerak dari tadi sebenarnya.

itulah kali pertama aku bertemu KanWu dan itulah kali pertama aku mengetahui sahih kewujudan Sukaduga. menurut KanWu hanya suku Sukaduga itu sahaja yang sesat dan kafir, menyembah berhala dan suka membuat janji dengan jin, syaitan dan iblis. keinginan mereka untuk hidup selama-lamanya dan tidak mati-mati menyebabkan mereka kehilangan segala nikmat hidup sebagai manusia, terpedaya dengan tipu-daya makhluk yang dilaknat Tuhan. mereka tidak tahu bahawa mati itu adalah nikmat hidup. petanda betapa hidup ini hanya sementara dan bukan ini tujuan perjalanan manusia. manusia diciptakan untuk kembali kepada Penciptanya. bukan dicipta untuk berbangga-bangga dan menjadi lebih baik dari sesama makhluk yang hina. sama pula kata-katanya seperti ayat-ayat Haji Kursani - tapi aku tidak melihat kemarahan dalam mata KanWu melainkan aku dapat merasakan KanWu lebih rasa bersimpati kepada suku Sukaduga itu.

setelah itu KanWu membantu aku menaikkan Dol Seman ke atas Kecipot dan aku hanya berjalan menuntun Kecipot untuk pulang ke rumah. KanWu berpesan jika ternampak ada bayang-bayang hitam mengikuti kami, ambil tiga biji batu, bacakan selawat dan balinglah batu ke arah bayang-bayang itu. tingkatkan tawakal dalam diri dan berlindunglah hanya pada-Nya, sebelum dia pergi meninggalkan kami menuju arah yang berlawanan. kata KanWu, suku Sukaduga ini hanya mampu mengganggu manusia yang leka dari mengingati Tuhan. bukankah tiada daya upaya makhluk melainkan dengan izin-Nya, maka cukuplah Tuhan sebagai wakil dan pelindung. jika kita menetapkan zikir dengan hati kita, nescaya dengan izin Tuhan, tidak akan ada makhluk apapun dapat mengganggu kita - zikir dengan hati, bukan sekadar zikir dalam hati.

malam itu Dol Seman pula bercerita padaku berbagai kisah tentang KanWu. tentang pertarungan KanWu dengan Raja Iblis. tentang cerita KanWu kehilangan isteri dan dua anak lelakinya. dan berbagai-bagai lagi cerita, yang kalau mahu diceritakan mungkin boleh menjadi sebuah novel, pengembaraan KanWu. jadi cukuplah kalau aku katakan bahawa Dol Seman memang memandang tinggi terhadap KanWu. semenjak dari kejadian dirasuk Sukaduga itu, Dol Seman sering bertandang ke rumah KanWu, dan aku juga turut mengikutnya. begitu juga kami bertigalah yang akan menjadi kelompok paling terakhir membubarkan diri setiap kali selesai pengajian Haji Kursani. namun KanWu bukanlah seorang yang mudah didekati, raut wajahnya terlukis sebuah penderitaan yang berat - sepertinya tidak akan ada manusia yang sanggup menanggung apa yang telah dilaluinya.

maka ketika KanWu memandang ke arah kami ketika menyebut memerlukan pembantu, Dol Seman tergamam dan menelan air liur pekat di kerongkongnya yang kering. walaupun Dol Seman pernah mengisahkan tentang bagaimana KanWu bersuluk di kaki Bukit Sinanjang selama 40 hari, tapi Dol Seman sendiri belum pernah, waima ke perbatasan kaki Bukit Sinanjang sekalipun. dalam perjalanan ke sungai Sinanaga juga dia akan membelok mengikut jalan jauh menghindari untuk terbabas ke perbatasan Bukit Sinanjang. juga kisah-kisah yang melagenda tentang Bukit Sinanjang benar-benar diyakini oleh Dol Seman. tangannya memegang lenganku seolah meminta aku mengatakan sesuatu untuk menolak - tapi tok Marbawi telah lebih dulu membuat keputusan.

"esok pagi setelah solat Subuh, kamu berdua ikut KanWu ke Bukit Sinanjang. kamu juga Jalak Kokok. sekarang semua pulang dan selesaikan urusan masing-masing," wajah Dol Seman tidak berubah sehingga sampai ke rumah. sepertinya malam itu dia tidak akan dapat tidur memikirkan apa yang akan berlaku esok, aku pun.

pagi-pagi selepas solat Subuh di surau Haji Kursani keesokan harinya, kami berempat pun memulakan perjalanan. hening pagi itu hanya terisi oleh suara Kecipot merengek-rengek di bawah tangga surau kerna ditinggalkan untuk menjaga rumah, kata Dol Seman sebagai alasan. maka bermulalah perjalanan kami menuju Bukit Sinanjang yang jauhnya hanya sehari perjalanan, bermakna jika pagi-pagi begini kami berangkat maka dalam waktu-waktu maghrib nanti mungkin kami dah sampai, sekurang-kurangnya kami akan sampai di perbatasan kaki Bukit Sinanjang. disepanjang perjalanan itu Jalak Kokok, yang berada paling depan, sentiasa menyanyi, tiada langsung menunjukkan rasa gentar, gemuruh, seram, takut dan yang seumpamanya. senang hati betul kelihatannya. lagu yang dinyanyikan oleh Jalak Kokok itu langsung tidak aku fahami bahasanya, ada aku bertanya pada Dol Seman tapi Dol Seman pun tidak tahu bahasa apa. sesekali aku memandang ke arah wajah KanWu, yang berada paling belakang, yang asyik memandang ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang berjaga-jaga - seolah-olah ada sesuatu yang mengikuti kami.

sewaktu kami berhenti rehat sambil makan, Jalak Kokok meminta diri untuk melepaskan hajat katanya. namun sehingga kami sudah selesai solat jamak, dia tidak muncul-muncul juga lagi. Dol Seman menjerit-jeritkan nama Jalak Kokok namun tidak juga ada suara menyahut, takkanlah begitu jauh sangat Jalak Kokok melepas hajat sampaikan jeritan Dol Seman yang nyaring bergema-gema itu tidak didengarnya. setelah beberapa ketika KanWu mengajak kami meneruskan semula perjalanan, menurut KanWu tidak boleh ditangguh lagi kerna kami harus sampai ke kaki Bukit Sinanjang sebelum malam. kali ini kami bergerak dengan agak cepat. dibeberapa ketika kami berlari-lari anak dipaksa oleh KanWu, seolah ada sesuatu yang mengejar kami. mahu tidak mahu terpaksa juga kami bergerak pantas mengikut KanWu yang berada di depan, jika tidak aku dan Dol Seman pula yang sesat di hutan belukar itu - bukan kerana luasnya rimba itu tapi kerna ketebalan semak-samunnya.

tiba-tiba kami terdengar suara nyanyian Jalak Kokok. bukan benar-benar suara Jalak Kokok, malah kami tak pasti adakah itu suara Jalak Kokok, dan suara itu bukan satu, tapi aku tahu benar lagu itu, yang dipaksakan ke telinga kami sepanjang pagi tadi. kami bergerak lebih pantas sambil memantapkan zikir di dalam hati. kini kami benar-benar seperti berlari, dan aku memang terpaksa berlari sambil menolak Dol Seman supaya bergerak lebih laju mengikut denai laluan KanWu. suara nyanyian itu semakin lama semakin mendekat di belakang kami dan kemudian seperti mengelilingi kami. aku mendengar juga suara itu di kiri dan kanan kami. kami telah dikepung. jantungku berdegup kencang, mungkin kerna ketegangan situasi atau mungkin juga kerna penat berlari. tanpa aku jangkakan, Dol Seman berhenti secara tiba-tiba. aku hampir sahaja terlanggar Dol Seman yang tiba-tiba berhenti. ternyata KanWu juga berhenti di hadapan Dol Seman. suara nyanyian lagu, dari bahasa yang langsung tidak pernah aku dengari apalagi fahami, kedengaran bergaung di keliling kami - entah apa pula yang datang kali ini.

"memang kau yang aku tunggu KanWu!" suara memetir memecah gema suara nyanyian. KanWu hanya berdiri tegak, tak bersuara, tak bergerak. Dol Seman terduduk menggeletar, aku pun.

aku tidak melihat apa-apa sebenarnya. hanya semak samun di sekeliling kami bergerak-gerak seolah-olah ada sesuatu yang memijaknya. namun suara yang aku dengar tadi sudah cukup untuk memberhentikan jantung. belum pernah aku mendengar suara yang bukan sahaja kuat tetapi gegaran aura suara yang mampu melumpuhkan anggota. kalau begitu suaranya, bagaimana pulalah bentuk wujudnya. KanWu masih berdiri, tidak bersuara, tidak bergerak. perlahan KanWu merendahkan dirinya dan berlutut dengan satu kaki dan menancapkan tumbuk lada, sejenis senjata seperti parang yang berbentuk seperti badek, yang digunakannya untuk menebas belukar membuat laluan kami, ke tanah bahagian kanannya. serta merta suara nyanyian itu terhenti. rumput lalang dan pokok-pokok renek yang tadinya bergerak-gerak tiba-tiba berhenti. tapi aku tahu dari bentuknya, mereka yang tidak kelihatan itu masih ada di situ - dan aku juga masih mendengar hembusan nafas mereka.

keadaan hening seketika, hanya kedengaran bunyi desir angin menyapa lalang dan daun. Dol Seman masih memeluk belakangku, menggeletar seluruh badan, memejamkan mata seolah berdoa bahawa semua ini adalah mimpi dan dia boleh bangun semula dari tidurnya. aku cuit Dol Seman dan berbisik bahawa aku tidak melihat apa-apa, tapi Dol Seman tidak menyahut. KanWu mengangkat tangannya, mengisyaratkan supaya aku tetap duduk dan tidak bergerak. dalam ketegangan itu, aku teringat akan doa Saidina Ali ra yang diajarkan oleh Haji Kursani. aku pun tunduk memejamkan mataku sambil membacakan wirid-wirid yang diajarkan oleh Haji Kursani kepadaku. aku terasa angin kuat bertiup dari arah belakang. hawa panas mula membahang. angin membahang seolah mahu membakar. seiring dengan itu aku terdengar suara nyaring melengking persis seperti suara anjing yang cedera. aku tetap memejamkan mataku menghabiskan bacaan ayat-ayat yang beriringan dengan doa Saidina Ali ra - tapi Dol Seman semakin kuat pula pelukannya.

angin panas yang bertiup kuat tadi berlalu pergi seiring aku membuka mataku. sayup aku lihat segerombolan makhluk yang bertubuh seperti mawas, namun badannya licin tidak berbulu, dan berkepala seperti anjing, berhamburan melarikan diri dikejar oleh gerombolan binatang kecil yang terbang seperti lebah. sungguh satu pemandangan yang tidak aku sangkakan. KanWu masih duduk berlutut dengan satu kaki sambil tangan kanannya terpasak ke tanah. sejurus setelah itu, keadaan kembali reda, angin kuat tadi sudah berhenti dan makhluk yang tadinya mengepung kami sudah jauh hampir tidak kelihatan. tak semena-mena KanWu merambat tumbuk ladanya dan meloncat tinggi masuk ke arah belukar di sebelah kanan sepertinya mahu menangkap sesuatu. aku mencuba bangun untuk mengikuti KanWu tetapi Dol Seman masih bergayutan di tubuhku. kuleraikan pautan Dol Seman sambil meyakinkan dia bahawa keadaan sudah aman - tapi KanWu belum keluar lagi dari belukar.

agak lama juga aku dan Dol Seman menunggu. Dol Seman tidak mahu berganjak selagi KanWu belum muncul. aku masih belum memahami apa yang baru saja berlaku. Dol Seman kata dia juga tidak pernah mengalami kejadian yang baru saja berlaku itu sepanjang hidupnya. aku bangun dari dudukku. baru saja aku mahu membuka mulut menjeritkan nama KanWu, sekujur dia keluar dari belukar yang dimasukinya tadi. di tangan kanannya masih tergenggam tumbuk lada, mana di tangan kirinya seperti memegang sesuatu, kelihatannya benda yang dipegangnya itu seperti berair, meleleh melalui jari genggamannya, pekat, dan sepertinya bukan air biasa tetapi darah - darah yang luarbiasa bau hamisnya.

"Jalak Kokok bukan sepenuhnya manusia rupanya! dia dah bergabung dengan Matalangsi! kita telah dijebak!" dengus KanWu sambil melemparkan apa yang digenggamnya ke arah Dol Seman yang cuba menepis. kepingan bangkai telinga yang masih segar darahnya hampir membuat Dol Seman termuntah, aku pun.

ternyata segalanya memang sudah dirancang. ketika Jalak Kokok menyebut nama Bukit Sinanjang, sememang sudah dijangkakan bahawa tidak akan ada siapa yang berani menyahutnya kecuali KanWu. dan memang itulah tujuannya supaya KanWu keluar dari kampung Tok Tenom dan tidak akan ada siapa lagi mampu membantu mempertahankan orang kampung dari bencana yang dipercayai semakin mendekat dari kampung Tok Kemala. betapa jika KanWu dapat dikalahkan dalam perjalanan ke Bukit Sinanjang atau sengaja dilekakan dengan segala macam hadangan dan muslihat, maka kampung Tok Tenom akan lebih lagi tidak berupaya untuk mempertahankan diri. apalagi setelah kumpulan Chempaka Hitam pula telah hampir dilumpuhkan di Padang Sembawang. dan inti dari seluruh konspirasi ini adalah supaya dapat melihat kampung Tok Tenom hancur - sungguh jahat niat mereka itu.

kenapa kampung Tok Tenom? itu sememangnya soalan aku yang pertama aku terfikir ketika kusut sedang diurai. kampung Tok Tenom bukanlah kampung biasa, walaupun kelihatan seperti biasa-biasa sahaja, luarannya sama seperti kampung-kampung yang lain. nama Tok Tenom itu sendiri adalah petunjuk kepada rahsia yang lebih besar. siapa Tok Tenom? inilah kuncinya. Tok Tenom adalah asal leluhur yang membuka kampung, disusur galur salasilahnya adalah dari jurai yang tersembunyi generasi ketujuh puluh tujuh dari keturunan yang membawa diri kerna fitnah yang terpalit pada mereka, namun tidak dapatlah aku menceritakan lebih panjang kerana yang seterusnya daripada apa yang sudah aku sebutkan adalah rahsia dalam keturunan mereka - dan kalau mahu dikisahkan juga, akan menjadi satu cerita lain pula.

sungguh memang setiap kehidupan itu pasti dijadikan musuh buatnya. inilah kitaran hidup. musuh itu sentiasa wujud sebagai ingatan dan ujian buat kita. setiap Nabi yang diturunkan kepada manusia mempunyai musuh, malah ketika mula-mula Nabi Adam as dihembuskan nyawa ke dalam jasadnya telah ditakdirkan iblis menjadi musuh manusia sehingga ke hari akhirat. secebis kata Haji Kursani, dalam diri manusia itu sendiri ada satu wujud, yang dinamakan nafsu, yang tidak akan dapat manusia buang padahal dia lebih sering memihak lebih dekat kepada musuh. maka dalam melawan musuh, bukanlah bagaimana cara menghapus dan memusnahkannya, tetapi bagaimana cara kita mengurung dan mengekangnya hingga mereka dapat tunduk kepada kebenaran. semakin kita membenci dan cuba untuk membuangnya, maka semakin kuat pula dia bangkit melawan kita - begitulah tamsil ibarat sang guru.

"jadi kita nih macammana?"

"kita teruskan ke Bukit Sinanjang!" tegas KanWu. Dol Seman terkedu, aku pun.

belum jauh kami berjalan dengan langkah yang agak laju, tiba-tiba KanWu mempercepatkan lagi langkahnya berlari seolah mengejar sesuatu. satu gerakan yang tidak memampukan kami bergerak bersaing dengannya. kemudian KanWu melompat tinggi, tinggi yang bukan dalam lompatan biasa, menggapai dahan, bergayut dan menghayunkan tubuhnya ke bahagian yang lebih tinggi, melompat antara dahan-dahan, mengejar sesuatu yang belum terlihat pada pandangan aku. beberapa saat kemudian KanWu terjun turun dari pohon hutan yang tegak berdiri tinggi, melaju ke bawah, dan beberapa saat sebelum kakinya menjejak tanah, kelihatan tangannya yang mencekak kaki mangsa buruannya menghayun dengan tujuan menghempas benda yang telah ditangkapnya - berdentum bunyinya dan bergegar tanah menampungnya.

kalau mengikut pengalaman dan pengetahuan aku, mengikut perkiraan kekuatan hentaman, sudah tentu benda yang dihempasnya itu mati serta merta kerna tulang-belulangnya pasti sudah patah luluh dan tubuhnya pasti hancur. namun sangkaanku meleset, makhluk itu bangun meninggalkan satu lekukan tanah yang agak dalam dan melompat ke arah aku dan Dol Seman yang berlindung di belakangku. aku hanya tergamam melihat mata berbinar merah yang menuju ke arahku. kini aku berhadapan sendiri dengan Matalangsi yang menyeringai serangkaian gigi yang tajam yang dibasahi air liur pekat meleleh disapu angin. tubuhku terpaku memandang lengannya yang menghayun cakar yang besar. sempat terfikir bahawa beginilah kesudahanku, cakar tajam itu sudah tentu akan mencengkam dan merobek leher serta dadaku, memburaikan isi tubuh dan memisahkan kepala dari badan. dalam keadaan genting itu, segalanya terasa berlaku dalam gerak perlahan, aku merasa jika benar ini ajalku maka biarlah aku mati ketika menyebut nama-Nya - kutarik nafasku dan seiring hembusan nafas aku membisikkan ismi Allah.

tanpa sempat aku berkelip mata, sekoyong-koyong KanWu menyambar bahu makhluk Matalangsi itu, sebelum sempat cakarnya menyentuh mana-mana tubuhku. aku masih terpaku melihat bagaimana KanWu menghempaskan pula tubuh makhluk itu ke sebuah banir pokok besar. namun makhluk itu menahan dengan kakinya dan meluru semula ke arah KanWu. makhluk itu menyerang KanWu dengan kombinasi cakar tangan dan kakinya. taring-taring panjang yang tersusun rapat dalam mulutnya yang memuncung panjang sekali-sekali turut sama memainkan peranan dalam kombinasi serangan yang bertalu-talu tanpa henti itu. KanWu menepis dan mengelak setiap serangan makhluk itu dengan tenang, seolah sedang menari. dalam beberapa gerakan aku dapat melihat KanWu mencekak beberapa sendi tangan dan kaki makhluk itu, melepaskan buah pukul yang melumpuhkan. dan dengan satu gerakan KanWu menepis cubaan membaham dengan menggunakan muncung mulut makhluk itu, sekaligus KanWu menjuruskan tapak tangannya yang terbuka tegak ke arah bawah dagu makhluk itu menyebabkan mulutnya berdetap kuat meluruhkan beberapa gigi taringnya dan menyebabkan makhluk itu menyembam tanah dan terseret hingga ke pangkal pokok itu semula - sungguh satu pukulan yang aku tidak percaya hanya pukulan zahir.

kali ini makhluk itu tidak mampu lagi bangun. tubuhnya bergetar-getar hebat seolah sedang menghadapi sakaratul maut. KanWu bergerak menghampiri makhluk itu dan duduk bertinggung di sebelahnya. dia seolah berkata-kata sesuatu kepada makhluk itu. kakiku masih rasa seperti terpasak ke bumi. Dol Seman sedang melutut memeluk kakiku, menutup mata sambil menggigil-gigil ketakutan. atau mungkin takut bukanlah satu perkataan yang sesuai dengan situasi ketika itu, tapi aku tidak punya perkataan lain untuk menggambarkannya. perasaanku sendiri bercampur-baur, rasa lega kerna terselamat belum mampu mengusir adrenalin yang memaksa jantung mengepam lebih banyak darah ke seluruh tubuhku. sejurus kemudian KanWu bergerak mendekati kami meninggalkan tubuh makhluk itu yang sedang menyala terbakar di belakangnya. aku menepuk-nepuk dan menggegarkan bahu Dol Seman memberitahu bahawa segalanya sudah berakhir - baru terasa sakit kakiku dipeluk Dol Seman, lebam agaknya.

"kita kena bergerak lebih cepat!" pendek dan tegas KanWu memberikan arahan kepada kami. Dol Seman mengangguk-anggukan kepala tanda setuju, aku pun.

Sunday, October 2, 2011

Bahagian 2 : Babad Kampung Tok Tenom

Posted by usoPkuChai On 10:30 AM



* * *

aku tahu mesti orang kata cerita ini mengarut dan karut lagi marut.. tapi aku memang telah sampai di kampung Tok Tenom, malah sebelum heboh kisah kampung Tok Kemala lagi. agak jauh ke dalam sebuah hutan simpan dibahagian barat pulau sumatera terdapat sebuah tasik yang dipanggil Danau Kaca. kisah mengenai keadaan tasik ini yang bercahaya di waktu malam telah membawa aku ke sana dua tahun dulu untuk melihat sendiri kejadian alam dan mengalami sendiri kekaguman melihat ciptaan Tuhan. setelah menempuh perjalanan yang panjang, akhirnya aku sampai ke tasik tersebut. bukanlah sebuah tasik yang besar tetapi kisah-kisah misteri dan mistik seputar tasik itu telah berbaur menimbulkan auranya yang tersendiri. dalam banyak-banyak cerita itu, ada satu yang membuatkan aku tertarik. menurut kisah seorang sahabatku, pada hari-hari tertentu dikatakan jika kita membaling satu benda ke dalam tasik itu, akan ada benda lain yang timbul, seperti ganti. maksud dia, contohnya jika kita mengikat petai dengan tali dan membalingnya ke dalam tasik itu, seperti keadaan orang memancing mengikat umpan di joran, apabila kita tarik semula tali itu, petai tadi akan bertukar menjadi guli, atau jika bernasib baik ia bertukar menjadi seketul emas, atau jika mungkin dengan niat yang berbeza, mendapat pula sebiji telur ular tedung. dan dikatakan tiada siapa tahu kedalaman sebenar tasik tersebut - tiada manusia yang tahu.

ketika sampai di Danau Kaca, kami hanya berdua. sudah hampir maghrib, kata orang masa senja-senja seperti itu ramai hantu, jin dan setan berkeliaran. tapi kebenarannya ialah kami telah tersesat sebelum sampai ke tasik itu. berjam-jam kami berpusing-pusing di dalam hutan itu. dalam kepenatan kami berhenti untuk menunaikan solat jamak dan berdoa panjang, sama ada ditunjukkan jalan keluar dari hutan ataupun menemukan Danau Kaca. dan takdir-Nya kami sampai juga ke Danau Kaca. benar juga kata kawan aku, kami kurang doa hari itu. maka duduklah kami di tepi tasik itu, memang niatnya berkhemah untuk semalam, kerna keadaan tidak memungkinkan untuk kami bergerak semula mencari jalan pulang. tak semena-mena kawan aku yang entah apa dibuatnya di tepi tasik telah terjatuh ke dalam tasik. dia pandai berenang tapi kelihatannya dia seperti tersangkut pada sesuatu. tanpa berfikir, aku pun terjun ke dalam tasik konon mahu membantu. aku menyelam untuk melepaskan kawan aku yang sepertinya tersangkut pada sesuatu seperti akar kayu. yang aku terlupa ialah aku sebenarnya tidak pandai berenang. jadi kawan aku dah selamat menyelamatkan dirinya, aku pulak yang terkapai-kapai. tiba-tiba aku terasa ada benda tarik tangan aku. tubuh aku bagai direntap tenggelam jauh ke dasar tasik. aku memandang ke atas, ke permukaan air, aku nampak bayang kawan aku di tepi tasik. tapi tubuh aku semakin lama semakin dalam. pandanganku semakin kabur dek cahaya yang semakin terang. agaknya macam itu rasa orang dalam perjalanan ke alam barzakh. yang terakhir aku ingat masa itu adalah segalanya jadi putih - putih seputih-putihnya.

sedar-sedar saja aku rasa aku sudah tidak di dalam air. dadaku terasa sesak ditekan-tekan dan aku terbatuk-batuk hingga memuntahkan tidak ada apa-apa selain air. baju T berwarna hitam dan seluar banyak kocek yang aku pakai habis basah kuyup. dalam kabur-kabur pandangan aku yang berbalam-balam, nampak ada sesosok tubuh duduk berlutut di sebelah aku. aku pejam-celikkan mataku sambil menggosok-gosok perlahan kelopak mataku. sosok tubuh yang tadinya aku sangkakan kawanku ternyata bukan. kalau tidak salah aku ketika aku sampai di Danau Kaca tadi sudah senja sangat, sudah mulai gelap, tetapi kenapa terang-benderang seperti sudah pagi. mamat yang duduk berlutut di sebelah aku memandang aku tanpa berkata apa-apa. tubuhnya agak rendah tapi badannya tegap dengan tangan berotot pejal. rambutnya hitam berolak-olak panjang sampai ke bahu dengan ikatan di kepala. mukanya bulat dan kulitnya agak gelap. aku memandang sekeliling. aku bukan di tepi Danau Kaca tapi di pinggir sebuah sungai yang keroh airnya. hanya dua perkara sahaja dalam fikiran aku, sama ada aku sedang bermimpi atau aku sudah hanyut semalaman sebelum diselamatkan - tapi bukan itulah yang kufikirkan sangat.

"saya Dol Seman, awak nih siapa? apa awak buat kat sungai Sinaganaga nih?" katanya sambil memandang tajam ke mata aku sambil tersenyum. namun air mukanya terukir rasa kehairanan, aku pun.

aku yang basah kuyup dan masih terpinga-pinga, menggerakkan badanku bangun untuk duduk. sosok tubuh yang mengaku bernama Dol Seman pun duduk sama di atas tanah. angin berhembus menyapu nyaman tubuhku. tidak pula aku merasa sejuk. Dol Seman membuka satu bungkusan yang berisi makanan dan mengajak aku makan sama. seolah dia tahu aku memang sedang berasa lapar, dan aku tahu kemudiannya dia lebih lapar lagi dari aku. sambil makan dia bercerita tentang kampung Tok Tenom dan Bukit Sinanjang, dan apa yang dibuatnya di tepi Sungai Sinaganaga. aku tidak bertanya apa pun, malah sepanjang aku menyantap nasi berlauk daging berempah itu aku hanya berdiam diri. sedap sangat rasanya makanan tersebut, bukan kerna lapar tetapi memang makanan itu rasanya sangat sedap. aku hanya yakin Dol Seman beragama Islam kerna dia menyebut bismillah sebelum mempersilakan aku membuat suapan pertama sebelum sama-sama turut makan. segala yang diceritakan oleh Dol Seman itu menjawab semua persoalan yang terfikir dalam benakku, seolah-olah Dol Seman tahu apa yang akan aku tanyakan - memberi jawapan sebelum mulutku bertanya.

selesai makan Dol Seman membaca doa lalu aku aminkan, dia tidak mengulang langsung soalan yang ditanyanya ketika aku baru tersedar, seolah dia sudah mengetahui jawapannya. dia membantu mengangkat aku berdiri dan membawa aku menghampiri seekor binatang yang tidak pernah aku lihat sebelum ini, yang kemudian aku dengar Dol Seman memanggilnya dengan nama Kecipot. binatang itu seolah faham kemahuan tuannya dan merendahkan diri untuk ditunggangi. Dol Seman menyuruh aku menaikinya dan katanya dia akan membawa aku pulang bertemu tok penghulu kamppung Tok Tenom, tok Marbawi. walaupun kata Dol Seman kampung Tok Tenom itu mengambil masa tiga hari untuk sampai jika berjalan kaki, tapi Kecipot mampu membawa kami dalam masa satu hari saja tanpa berhenti. dalam perjalanan itu Dol Seman masih terus bercerita tentang berbagai perkara mengenai kampung Tok Tenom - seolah-olah bercerita kepada seorang sahabat yang sudah lama tidak pulang ke kampung.

kami hanya berhenti beberapa kali untuk mengerjakan solat jamak dan setelah itu naik semula menunggang Kecipot yang sangat jinak, kerna Dol Seman tidak pernah menambatnya ke pohon kayu. setelah itu aku tertidur dan apabila aku terbangun, kami sudah sampai di rumah Dol Seman, dia mengucapkan salam dan menjemput aku naik. aku disuruhnya mandi dan diberinya aku sepasang pakaian yang sangat lembut kainnya, sama seperti kain yang digunakan untuk membuat pakaian Dol Seman. anehnya, walaupun tubuh Dol Seman agak kecil berbanding dengan badanku yang gempal, tapi pakaian itu muat-muat dibadanku seolah memang dibuat mengikut ukuran badanku. kemudian kami solat subuh dan kata Dol Seman selepas solat Duha nanti dia akan membawa aku bertemu dengan tok penghulu untuk melaporkan kedatanganku - seolah kedatanganku memang ditunggu pula.

damai rasanya kampung Tok Tenom itu. hawanya nyaman, rumah-rumah yang berbentuk seperti rumah Melayu tersusun cantik dengan halaman rumah yang bersih, sepertinya aku dalam filem-filem lama dan keadaannya seperti suasana yang aku sering baca dalam buku-buku sejarah. rata-rata orang kampung itu tidaklah kecil seperti perawakan tubuh Dol Seman. mereka sangat ramah sehinggakan aku merasa sudah pernah datang ke kampung itu dan sudah mengenali mereka sebelum itu. Dol Seman memperkenalkan aku kepada setiap orang yang kami temui dalam perjalanan ke rumah tok penghulu dan kami bersalaman, genggaman yang erat dan kukuh. ada juga aku terfikir bahawa mungkin aku sudah sampai ke kampung bunian, tapi selepas subuh tadi Dol Seman sudah menceritakan padaku bahawa kampung Tok Tenom bukan kampung bunian, malah dia pula mengandaikan bahawa aku yang datang dari kampung bunian. begitu juga ketika duduk-duduk di beranda rumah tok penghulu Marbawi, Dol Seman terkekeh-kekeh ketawa bila aku bertanya lagi sama ada kampung ini kampung bunian. tok Marbawi hanya tersenyum dan menjelaskan padaku bahawa ini kampung manusia, malah mengandaikan mungkin aku hilang ingatan kerana lemas di sungai Sinaganaga - tapi bagaimana mungkin aku hilang ingatan jika aku masih ingat semua yang berlaku.

begitulah kisah kali pertama aku sampai ke kampung Tok Tenom. walaupun agak sukar aku memahaminya ketika itu. hampir seminggu aku berada di kampung Tok Tenom, mengikuti apa sahaja yang dikerjakan oleh Dol Seman. bertani pada siangnya dan mengikuti pengajian dengan Haji Kursani selepas solat maghrib dan subuh. tidak pernah aku menrasakan ketenangan yang sebegitu sebelum ini. tidak ada rasa sunyi malah aku sentiasa terhibur dengan cerita-cerita Dol Seman, yang rupanya dianggap oleh orang kampung Tok Tenom sebagai penglipur-lara. setiap petang selepas asar, akan datang ramai budak-budak kecil ke rumah Dol Seman untuk mendengar cerita dongeng Dol Seman - ada sahaja ceritanya.

"kau jangan menambah-nambah cerita Dol. sesat pula budak-budak tuh nanti. kan elok cerita tentang Nabi-nabi," tegur Haji Kursani pada suatu malam selesai solat isya'. Dol Seman hanya tersengih, aku pun.

pada hari keempat aku berada di kampung Tok Tenom, pada satu pagi setelah selesai solat Duha, tiba-tiba aku dengar suara kecoh di tangga. Dol Seman kelam-kabut naik ke rumah separuh berlari. yang buat aku lebih terkejut, Kecipot pun ikut sama naik ke atas rumah. kata Dol Seman ada benda mengamuk. dalam ketakutan itu sempat pula dia solat sunat dua rakaat, aku pun tak pasti sama ada solat Duha ataupun solat Hajat. lama benar sujudnya seolah kyusu' berdoa meminta sesuatu. Kecipot hanya duduk diam di sudut ruang tamu. aku gosok-gosok kepala Kecipot. aku dan Kecipot sudah berkawan baik. dia juga, seperti Dol Seman, seolah-olah sentiasa tahu apa yang ada dalam fikiranku, membawa aku kemana sahaja tempat menyampaikan segala niatku untuk melihat atau mencari apa sahaja. Dol Seman juga gembira melihat aku berkawan baik dengan Kecipot. ada waktu aku hanya berjalan-jalan seorang diri, tiba-tiba akan muncul Kecipot menyondol belakangku dan merendahkan diri seolah mahu aku menunggangnya - entah dari mana datangnya tidak pula aku kisahkan.

kebanyakan masa aku, jika tidak mengikuti pekerjaan Dol Seman, akan aku habiskan bersama-sama dengan Haji Kursani. dia mengajar dan menunjukkan aku banyak perkara tentang kehidupan yang selama ini aku rasa keliru dan sukar difahami. Haj Kursani menjelaskan dengan amat mudah. ini yang membuatkan aku leka terlupakan tentang bagaimana aku sampai di kampung Tok Tenom dan tentang kawanku yang tertinggal di Danau Kaca. betul-betul aku terlupa. seronok sangat aku mendapat ilmu pengetahuan yang membuatkan diriku menjadi lebih tenang dan dapat melihat segala-galanya dengan lebih jelas. malah Haji Kursani juga mengajarkan aku betapa kunci untuk mengenal diri adalah dengan memahami apa yang berlaku dalam diri dan melihat tamsil dan ibarat dari apa yang dilakukan oleh orang yang ada disekeliling kita. hidup ini hanya ujian katanya. kaya-miskin, susah-senang, untung-rugi, hanya ujian. apa yang kita dapat bukan kerna pekerjaan kita tetapi akan seiring dengan apa yang kita kerjakan. jika kita mahu, kita hanya perlu berikhtiar, sabar dan tawakal. syukurlah dengan apa yang dikurniakan, baik mahupun buruk - mungkin begitulah perjalanan orang-orang yang tenang.

tiba-tiba Dol Seman menarik tangan aku masuk ke biliknya yang mempunyai tingkap menjengok ke bahagian dapur rumahnya. aku jadi makin terkejut, tidak tentu arah degup jantungku melihat seekor harimau duduk bersimpuh di dapur Dol Seman. aku memandang Dol Seman dan dia meletakkan jari telunjuk dibibirnya mengisyaratkan supaya aku diam. sememangnya dalam keadaan itu aku tidak mampu berkata apa-apa, malah nafasku juga bagaikan tertahan-tahan apabila harimau itu mengaum dengan suara yang sangat mengerikan. walaupun sebenarnya Tam Birat adalah harimau jawa yang tidaklah bertubuh besar seperti harimau malaya yang aku lihat di zoo negara. di halaman rumah Dol Seman kelihatan Mat Kina dan Man Jupri. aku mengenali dua orang itu dari majlis pengajian haji Kursani. dan aku mendengar suara dari luar pintu dapur Dol Seman, merayu-rayu - mungkin ada sesuatu yang tak kena.

"sudahlah Tam. aku pun sedih juga, tapi dah sampai masa Kencana. nanti aku carikan penggantinya. janganlah buat begini," aku tahu itu suara Joned. Dol Seman sudah mula berpeluh-peluh, aku pun.

entah sudah berapa jam agaknya Joned memujuk Tam Birat dari luar pintu dapur Dol Seman. harimau, yang kemudian aku tahu namanya Tam Birat, mengaum-ngaum sedih seolah menjawab setiap patah rayuan Joned. aku juga jadi tahu duduk kisah sebenarnya apa yang berlaku. aku jadi kagum bagaimana Joned dan Tam Birat boleh berkomunikasi dengan perkataan. jika Dol Seman dan Kecipot aku sudah dapat memahami bahawa mereka berinteraksi dengan bahasa tubuh, hinggakan kelip mata dan goyangan kepala saja mereka sudah saling memahami maksud antara satu sama lain. hanya kemudian selepas kejadian tersebut, baru aku memahami bahawa antara manusia dan haiwan, bukan hanya bahasa tubuh yang boleh digunakan tetapi nada dan tona dalam suara yang kita keluarkan juga boleh diselaraskan untuk berkomunikasi. mungkin kita boleh menggunakan bahasa yang berlainan tetapi nada dan tona itulah yang menyampaikan maksud. begitulah Dol Seman menerangkan padaku selepas Tam Birat mengikut Joned pulang - tapi kata Dol Seman kena ada bau harimau juga kalau nak bercakap dengan harimau.

tapi ketika Joned memujuk Tam Birat, aku dan Dol Seman pula hanya mendiamkan diri mengintai dari tingkap bilik. aku pula yang berasa sedih mendengar rayuan Joned. tiba-tiba terdengar bunyi seekor harimau lain mengaum di sebelah rumah Dol Seman. bingkas Dol Seman bangun dan menuju ke tingkap yang menghadap ke rumah sebelahnya, seolah-olah teringatkan sesuatu. sepanjang aku menginap di rumah Dol Seman, rumah yang bersebelahan dengannya sering tertutup rapat, seolah tiada berpenghuni. kata Dol Seman itu rumah Tamam, seorang pedagang yang memang kebiasaannya hanya akan pulang setelah sebulan berdagang di kampung lain. tidak pula dia menceritakan apa barang dagangan Tamam. aku pun tidak bertanya. katanya lagi, Tamam itu baik orangnya, sangat pemurah dan selalu membiayai berbagai kemudahan yang ada di kampung. walaupun perniagaannya sangat menguntungkan namun dia tetap tidak berubah, rumahnya masih sama besar seperti rumah Dol Seman. hampir setiap kali dia pulang, ada saja keuntungan perniagaannya diserahkan pada tok Marbawi, baik untuk dizakatkan mahupun untuk dibuat waqf dan infaq untuk kesejahteraan orang-orang kampung, kerna itu hampir tidak ada orang di kampung Tok Tenom yang boleh dikatakan miskin dan merempat. namun Tamam adalah seorang yang tegas, dia seolah tahu sahaja jika ada orang yang berbohong atau cuba mengambil kesempatan terhadapnya - terasa hebat aura Tamam hanya dengan mendengar kisahnya.

"Tamam! tolonglah sini!" kuat betul Dol Seman menjerit dari celah tingkap yang menghadap ke rumah Tamam sambil melambai-lambaikan tangannya. Kecipot meloncat terkejut dengan jeritan Dol Seman, aku pun.

kepulangan Tamam bersama harimaunya, kemudian aku tahu namanya Melor, meredakan suasana. di luar pintu dapur Dol Seman, aku dengar Tamam membebelkan Joned. di dalam dapur Dol Seman pula aku sudah tidak mendengar Tam Birat mengaum sedih dan menyeramkan, sebaliknya aku hanya mendengar bunyi nafas Tam Birat disela-sela bunyi menderam. rupanya Tamam menasihatkan Joned dan mengungkit cerita lama tentang bagaimana Tamam pernah meminang Tam Birat untuk dikahwinkan dengan Melor supaya Melor boleh mendapat zuriat. Joned hanya mendiamkan diri ketika Tamam mengisahkan bagaimana Melor sudah lama hanya menginginkan Tam Birat sehingga tidak mahu dikahwinkan dengan harimau lain. akhirnya Tamam menganjurkan supaya Joned menerima Melor untuk dikahwinkan dengan Tam Birat, dengan syarat setiap bulan Tam Birat harus tinggal di rumah Tamam selama seminggu dan selama seminggu itu Tam Birat juga harus tunduk kepada Tamam dan melakukan pekerjaan sama seperti Melor. dan jika nanti Melor dan Tam Birat mendapat anak, anak itu akan dijaga oleh Tamam sehingga dewasa, kemudian barulah anak itu diberi pilihan untuk mengikuti Melor atau Tam Birat - begitulah syarat Tamam sebagai janji.

ini adalah salah satu perkara yang aku kagumi di kampung Tok Tenom. orang-orang kampung menganggap haiwan peliharaan mereka seperti anak mereka sendiri. tidak pernah aku melihat ada haiwan yang dianiaya. segala haiwan yang ada pula tidak pernah berkelahi antara satu sama lain. teringat kata Haji Kursani, apa sahaja yang dibawah tanggungjawab kita hanya mengikut apa yang kita lakukan, kerna itu kta harus istiqamah dalam bersikap baik dan benar. harus sentiasa berhati besar memaafkan dan tidak prejudis walaupun kita dijahili, kerna dipenghujung perjalanan hidup kita, apa yang orang lain lakukan pada kita itu tidak penting, malah yang penting adalah bagaimana kita bersikap dengan kelakuan mereka kepada kita, sama ada kita turut sama jadi seperti mereka atau nanti mereka menginsafi kesalahan mereka, pasti mereka akan menghormati dan bersikap sama seperti kita. bagaimana sesuatu bermula itu tidak dikira oleh Tuhan, hanya bagaimana kita mengakhiri perjalanan kita, itulah yang akan dibalas oleh Tuhan. maka jagalah hati kita semoga kita berada di jalan yang benar ketika kita menemui penghujungnya - semoga kita masih sempat meluruskan niat sebelum ajal menjemput.

agak lama juga mereka membincangkan pensyaratan perkahwinan tersebut sebelum Joned menyetujuinya. sejurus selepas itu Tam Birat pun mahu keluar dari dapur Dol Seman. kemudian Joned dan Tam Birat meninggalkan rumah Dol Seman bersama dengan Tamam dan Melor menuju ke rumah tok penghulu Marbawi untuk urusan seterusnya. Mat Kina dan man Jupri naik singgah di rumah Dol Seman menerima pelawaan meminum kopi. Dol Seman sangat gembira, terkekeh-kekeh ketawanya. Mat Kina dan Man Jupri hanya senyum-senyum melihat keadaan Dol Seman yang meloncat-lonact bersama Kecipot. aku pula tiba-tiba teringatkan kawan aku yang tertinggal di Danau Kaca. tak terasa sudah hampir seminggu aku berada di kampung Tok Tenom, entah apa pula keadaan kawan aku. Mat Kina dan Man Jupri memandang ke arah aku, seolah-olah tahu apa yang aku fikirkan. Man Jupri mengesot mendekati aku dan menunjukkan aku cara untuk pulang ke Danau Kaca dengan suara separuh berbisik. aku hairan juga bagaimana Man Jupri tahu semua itu - tapi keinginan aku untuk pulang lebih besar dari keinginan aku untuk tahu rahsia Man Jupri.

"Kau nak pulang?" tiba-tiba Dol Seman menyampuk. dia memandang aku dengan muka sedih, aku pun.

sudah sampai masa untuk aku pulang, sekurang-kurangnya begitulah yang aku rasakan. Haji Kursani dan tok Marbawi juga hanya mengangguk-anggukkan kepala, yang aku anggap bersetuju, ketika aku menyatakan pendapatku, walaupun riak di muka mereka mengatakan sebaliknya. dari semalam, sejak kejadian Tam Birat, aku jadi teringatkan kawanku yang kutinggalkan di tepi Danau Kaca. sebelum aku pulang, Haji Kursani sempat memberikan aku sebentuk cincin berbatu hitam, tapi katanya itu bukan batu tapi dibentuk dari pohon pokok yang aku terlupa namanya. dia meminta aku memakai di jari manis atau kelingking di tangan kanan. sunnahnya begitu katanya. aku tidak bertanya apa kegunaan cincin itu dan dia juga tidak menceritakan apa-apa. bagi aku ia hanyalah sebentuk cincin yang tidak memberi apa-apa kuasa, hanya sebagai tanda ingatan. itulah yang aku terfikirkan ketika bersalam dengan Haji Kursani sebelum aku berangkat kembali ke muara sungai Sinaganaga dengan Kecipot, dengan pakaian yang sama dengan apa yang kupakai ketika mula-mula ditemui oleh Dol Seman. Dol Seman tidak mahu ikut, dia hanya berpesan sesuatu kepada Kecipot - mungkin menyuruhnya langsung pulang setelah menghantar aku.

aku sampai di muara sungai Sinaganaga sudah pagi. sesudah solat Duha aku tepuk-tepuk perlahan kepala Kecipot tanda terima kasih. dia seolah-olah tahu aku akan kembali lagi. sebenarnya Man Jupri ada membisikkan kepada aku satu rahsia ketika melihat aku memakai cincin batu hitam pemberian Haji Kursani. kata Man Jupri jika batu hitam itu berkilau dan bercahaya seperti menyala, bermakna jalan dari Danau Kaca itu akan terbuka selama beberapa ketika. aku boleh muncul semula di sungai Sinaganaga sama seperti jalan aku pulang ke Danau Kaca. Man Jupri meminta aku merahsiakan perkara ini sebenarnya, kerna menurutnya cincin batu hitam itu hanya dimiliki oleh beberapa orang sahaja. kebenaran kata-kata Man Jupri hanya akan aku ketahui jika aku berjaya pulang semula ke Danau Kaca. namun jalan pulang itu mudah sebenarnya. aku hanya perlu menyelam ke dasar sungai Sinaganaga dan mencari sebuah gua di dalam sungai tersebut dan hanya perlu mengikut arusnya sahaja. dan begitulah yang berlaku, sebaik sahaja aku berada di muka gua tersebut, aku terus sahaja ditarik, sama seperti keadaan aku ketika tenggelam di Danau Kaca minggu sebelumnya. segalanya menjadi putih, putih seputih-putihnya. dan apabila aku timbul, memang benar aku berada di Danau Kaca - benar-benar aku sendiri tidak percaya.

ketika aku timbul hari sudah mulai gelap, sepertinya sama seperti waktu aku sampai di Danau Kaca. dan yang lebih mengejutkan aku, aku melihat kawanku sedang basah kuyup dan tercungap-cungap, seperti keadaan waktu aku baru melepaskannya dari belitan akar kayu. aku naik ke atas tebing dalam keadaan termengah-mengah menghirup nafas segar. aku lihat sekeliling, sama persis seperti keadaan sebelum aku terjun ke Danau Kaca menyelamatkan kawanku. aku agak bingung. mungkinkah aku hanya mengalami halusinasi atau bermimpi ketika lemas di dasar sungai. tidak mungkin masa seminggu yang aku lalui di kampung Tok Tenom hanya sebatas satu selaman sahaja. setelah keadaan kami pulih, kami pun bangun mendirikan khemah dan menyiapkan apa yang perlu untuk bermalam di situ. aku masih tidak mengerti apa yang telah berlaku kepadaku. kawanku tidak banyak berkata-kata malam itu, mungkin masih terkejut dengan apa yang dialaminya - tapi jika aku ceritakan pula apa yang berlaku padaku, dia pasti akan lebih terkejut lagi.

"bila masa kau pakai cincin? aku tak pernah nampak pun sebelum ini," tegur kawanku terlihat cincin batu hitamku bersinar ketika kami duduk menikmati makan malam di tepi unggun api sambil menikmati pemandangan tasik yang bercahaya. hanya bunyi cengkerik yang kedengaran, selain itu malam di tepi Danau Kaca itu sangat sepi tanpa suara, aku pun.

* * *

Friday, September 30, 2011

Bahagian 1 : Petaka Kampung Tok Kemala

Posted by usoPkuChai On 11:10 AM


* * *

cerita bermula dengan kisah satu mamat bernama Mat Kina. jangan ditanya nama penuhnya.. panjang sangat.. panjang sampai tak sanggup aku nak mengingatnya, walaupun bunyi memang sedap bila disebut.. kita pakai saja nama Mat Kina. senang nak sebut, senang nak ingat. jadi satu hari Mat Kina nih balik ke kampung Tok Tenom, aku tidak tahu mengatakan dimana sebenar duduk letaknya. jadi satu hari nih kepulangan Mat Kina ke kampung Tok Tenom nih menggemparkan orang kampung. penuhlah segala orang lelaki, besar dan kecik, berkumpul di halaman rumah tok penghulu Marbawi. sebaik sahaja melihat Mat Kina bangun dari duduknya di beranda rumah tok penghulu Marbawi, sebentar sahaja suasana hingar-bingat terus berubah menjadi hening. orang-orang kampung menumpukan corong telinga mereka kepada apa yang mahu disampaikan oleh Mat Kina. sunyi sepi menenggelamkan suasana halaman rumah tok penghulu Marbawi yang dilimpahi cahaya lampu kalimantang yang menyala tepat di atas kepala Mat Kina. nampak ada sinar ketakutan yang teramat sangat dalam mata Mat Kina yang berbinar-binar. bukan jenis ketakutan yang biasa-biasa. seolah-olah Mat Kina baru melihat segerombolan hantu yang sangat ganas dan mengerikan - segerombolan, bukan satu.

padahal Mat Kina telah lama terkenal di kampung Tok Tenom sebagai salah seorang ahli dalam pasukan menghalau dan menangkap hantu. baru saja dua minggu sebelum tuh Mat Kina dan Man Jupri, berdua saja, menghalau satu keluarga jembalang, kononnya, yang menggegar tiang-tiang rumah Maswono di kaki Bukit Sinanjang pada setiap malam Khamis, bukan malam jumaat. kata Mat Kina, kebetulan rumah baru Maswono berada di tengah-tengah laluan jembalang tuh. jadi terpaksalah Mat Kina dan Man Jupri merundingkan jalan baru buat jembalang sekeluarga tersebut. dekat lima enam hari Maswono menjamu orang kampung, buat kenduri doa selamat, buat kenduri pindah rumah, buat kenduri kesyukuran, dan macam-macam jenis kenduri lagi, sebab seronok sangat akhirnya dapat tidur di rumah barunya. kalau tidak kerna ditegah oleh tok penghulu Marbawi mungkin lima enam minggu pun tak habis lagi kenduri di rumah Maswono. bukan orang kampung tak suka makan kenduri, hanya saja kenduri Maswono itu hanya dijamu bubur. kalau malam pertama bubur kacang, malam kedua bubur chacha, malam ketiga bubur keladi, pendek kata tiap kali kenduri tuh makan bubur saja. rumah baru Maswono pulak agak dihujung kampung, penat tok penghulu nak mengulang selang dua hari. - tapi kali ini yang Mat Kina nampak bukan hantu.

"kita semua kena jaga-jaga!" kata Mat Kina dengan tubuh yang menggeletar, orang kampung pula tegak-tegak bulu tengkuk mendengarnya, aku pun.

seminggu sebelum kisah di beranda rumah tok penghulu Marbawi itu, Mat Kina dan Man Jupri memang disuruh oleh tok penghulu Marbawi untuk pergi menyiasat desas dan desus yang dibawa datang dari kampung Tok Kemala oleh para peniaga dan pedagang yang datang dari situ. aku pun ada terdengar juga. cuma awal-awalnya Tok Marbawi tak berapa kisah sangat. almaklum memang semua orang tahu orang-orang kampung Tok Kemala itu memang kolot dan suka sangat percaya benda yang karut dan marut - tahyul dan mahyul. tapi bila tokeh-tokeh di kampung Tok Tenom pun mencabut modal dan memindah pergi perniagaan dari kampung Tok Tenom. konon katanya benda tuh mengarah ke kampung Tok Tenom. mulalah tok Marbawi jadi kusuh-kasah dan risau. apa hal sebenarnya yang berlaku di kampung Tok Kemala. maka sebab itulah Mat Kina dan Man Jupri disuruh tok Marbawi melaksanakan siasatan ke kampung Tok Kemala mencari tahu keadaan sebenar - hanya dua orang itu saja.

tiada siapa di kampung Tok Tenom yang tahu persis cerita sebenar yang berlaku. awal kisahnya, kata orang-orang, ramai penduduk kampung Tok Kemala yang jadi gila, tiba-tiba jadi gila. mungkin, kalau ikut cerita orang tua-tua, kerna terik matahari yang panas sesangat pada musim kemarau kali ini. kata orang tua-tua - bukan orang-orang tua - kalau berdegil jugak tetap membuat kerja bawah panas matahari tengahari macam itu memang boleh gila. kemudian timbul pula cerita yang mengatakan ramai orang di kampung Tok Kemala yang meninggal dunia secara tiba-tiba. banyak pulaklah keluar teori yang menyembang kata ada wabak melanda kampung Tok Kemala, tapi tiada siapa pula yang tahu wabak itu dari mana punca asalnya dan bagaimana pula cara merebaknya. selang beberapa hari pula sampai pula cerita kampung Tok Kemala diserang gondoruwo - macam jembalang jugak kalau ikut ceritanya. kata yang membawa cerita, semua orang kampung berkumpul duduk berkunci di dalam rumah, menutup sekalian pintu dan tingkap, siang dan malam. takut dimakan gundoruwo - tapi yang Mat Kina ceritakan lain pula kisahnya.

"kita kena buat kubu parit atau kita buat benteng tinggi keliling kampung kita ni. kita kena lindungi diri kita sebelum mereka sampai ke kampung kita," melopong orang kampung mendengarnya, berkerut dahi tok Marbawi, aku pun.

suasana malam yang remang-remang di halaman rumah tok penghulu Marbawi terasa bertambah gelap bila mendengarkan cadangan Mat Kina. berdengung suara orang kampung di telinga aku, entah masing-masing berdiskusi sesama sendiri, entah merungut sorang-sorang, entah meluahkan perasaan, aku pun tak boleh nak agak. yang aku tahu ketakutan yang awalnya terpancar di mata Mat Kina sudah menular ke otot-otot muka orang-orang kampung Tok Tenom yang rata-rata hanya petani, berkebun sayur dan menternak kambin, lembu dan kuda. situasi ini lebih menegangkan dari kejadian amuk Tam Birat dua tahun dulu, masa mula-mula aku singgah musafir di kampung Tok Tenom - lama sebelum kejadian yang ini.

Tam Birat tuh adalah seekor harimau jawa, yang kecil sedikit dari spesis harimau malaya, peliharaan Joned. waktu itu khabarnya harimau peliharaan Joned itu merusuh melarikan diri membawa hati kerana pasangan betinanya mati. berhari-hari orang tidak berani keluar rumah. Mat Kina dan Man Jupri jugalah yang membantu Joned mencari Tam Birat sampai dapat. berjam-jam jugalah Joned memujuk Tam Birat, yang menjajah kawasan dapur Dol Seman, supaya pulang ke rumah. sebentar terlihat Joned bertinggung, sebentar Joned berdiri pula. aku tak berani sebab badan aku belum ada bau harimau. jadi aku pun ikut diam-diam saja mengintai bersama Dol Seman dari tingkap bilik atas - tidak berbunyi langsung.

nasib baik ada Tamam masa itu. Tamam yang tinggal berjiran dengan Dol Seman biasanya jarang-jarang sangat ada di rumah, dia berniaga import-eksport kata Dol Seman, sebab itu Tamam pun bela harimau juga. cuma harimau Tamam itu harimau betina, namanya Melor, garang macam harimau juga, almaklum Melor itu harimau dara yang dah tua. jadi Tamam bersetuju mengahwinkan Melor dengan Tam Birat, dengan syarat.. Tam Birat juga harus tunduk kepada Tamam. Joned pasrah tapi gembira sangat kerana Tam Birat sudah mahu dipujuk ikut Joned pulang selepas itu. orang-orang kampung pun terlebih lagi gembiralah sebab sudah boleh keluar rumah semula - semua orang kampung kecuali satu.

hanya seorang saja yang tidak puas hati, Kewalit. memang tidak ada orang lain melainkan dia seorang itu sahaja. berhari-hari dia menunggu di depan rumah Joned, konon mahu menuntut gantirugi. memang waktu kejadian amuk Tam Birat tuh hanya Kewalit yang dirugikan. tapi tidaklah Kewalit berani berlama-lama dan tidak mahu memaksa dengan berat - mungkin bukan tidak mahu tapi memang tak berani. selepas tiga hari Kewalit sudah tak muncul-muncul lagi di depan rumah Joned, selepas disergah oleh Tam Birat dari tingkap. kata orang-orang, Kewalit masih tidak puas hati kerna Joned tidak mahu mengganti kambingnya yang patah kakai terjatuh ke dalam sungai kerana lari lintang-pukang takutkan Tam Birat yang mengamburkan diri. ceritanya Kewalit pun jatuh masuk ke sungai itu sama, sama-sama lintang-pukang dengan kambingnya, tapi mujur Kewalit tak patah kaki - tapi kali ini yang Mat Kina ceritakan bukan harimau, dan bukan juga kambing.

"masa kita dah tak banyak. aku tak tahu berapa lama lagi kawan-kawan aku yang berkhemah di Padang Sembawang boleh bertahan. kami pun dah tak ramai lagi yang tinggal," orang-orang kampung berpandangan sesama sendiri. Dol Seman pandang aku, aku pun.

bila Mat Kina sebut kawan-kawan dia, yang muncul di kepala hotak orang-orang kampung ada satu benda saja, bukan dua, bukan banyak, tapi satu saja.. kelompok Chempaka Hitam. ini kelompok persaudaraan yang melagenda di kampung Tok Tenom dan kampung-kampung yang berdekatan. Mat Kina dan Man Jupri dipercayai merupakan golongan ahli terpuji kelompok Chempaka Hitam. tidak ada siapa tahu siapa dan dimana keberadaan kelompok Chempaka Hitam ini. namun jika ada sesuatu pekerjaan penting yang melibatkan keselamatan dan kebajikan kampung Tok Tenom, sangat tidak mungkin mengatakan bahawa seluruh pekerjaan itu hanya dilakukan oleh Mat Kina dan Man Jupri berdua sahaja. biasa berlaku tiba-tiba ada pencuri sudah terikat di tangga rumah tok penghulu Marbawi, pagi-pagi buta, dengan bertandakan bunga cempaka berwarna hitam, padahal Mat Kina dan Man Jupri memang sedang tiada di dalam kampung. pun begitu Mat Kina dan Man Jupri sendiri pun selama ini tidak pernah mengaku mereka dari kelompok Chempaka Hitam, hanya andaian orang-orang kampung sahaja. baru kali ini Mat Kina menyebut 'kawan-kawan'nya - pertama kali sangat.

namun yang menjadi berat fikiran orang-orang kampung betapa jika kelompok Chempaka Hitam pun tidak mampu bertahan, bagaimana pula keadaan mereka nanti. rasanya belum ada yang lupa kisah kampung-kampung di sekitar kampung Tok Tenom diserang kumpulan Muka Merah yang mengganas merosakkan rumah-rumah, menyamun harta-benda dan melarikan orang-orang perempuan - macam zaman sebelum datang penjajah. orang-orang kampung ketka itu tidak mampu berbuat apa-apa, menggigil-gigil orang kampung mengenangkan nasib mereka jika kumpulan Muka Merah melanggar kampung Tok Tenom. ketika itilah baru sekalian orang-orang tahu bahawa ada kelompok Chempaka Hitam yang berpusat di kampung Tok Tenom. ada tiga belas orang kanan kumpulan Muka Merah dibunuh oleh kelompok Chempaka HItam. ketuanya sempat lari tapi pasti tidak akan kembali lagi. namun tiada siapa dapat melihat siapa dan bagaimana kelompok Chempaka Hitam merobek-robek kumpulan Muka Merah, kerna semua orang-orang kampung ketika itu sedang sibuk menyorok di bawah dapur dan kolong tangga rumah masing-masing, yang menyorok dalam guni beras pun ada - tapi kali ini kata Mat Kina 'perang'nya akan lebih mengerikan.

"sempat ker nak buat semua tuh Kina?"

"sempat tak sempat kita kena buat jugak! kita kena mula hari ini jugak! kalau ikut aku kita kena mula malam ini juga!" terbeliak mata tok Marbawi. lebih dari separuh orang-orang yang ada menelan air liur, aku pun.

apabila orang kampung merasakan desakan dalam cadangan Mat Kina itu, mulalah suara dengung kembali mengaung memnuhi malam. orang-orang kampung yang semakin resah mula menjerit-jerit melontar berbagai soalan ditujukan pada Mat Kina. sejurus Mat Kina pun jatuh terjelepok duduk di beranda rumah tok penghulu Marbawi. nafasnya tersengal-sengal beriring tubuhnya menggeletar hebat, seperti orang sedang menurun pun ada, macam orang kena rasuk pun ada, atau kata Dol Seman sebelah aku, macam orang masuk hantu. kecohlah buat sementara keadaan di atas beranda. KunWa, anak sulung tok Marbawi, keluar dari dalam rumah dan menghulurkan segeluk air kepada tok Marbawi, yang kemudian mulutnya kumat-kamit membacakan sesuatu dan menghembus-hembus perlahan, sebelum menuangkan air tersebut ke telapak tangan kanannya dan menyapukan air tersebut ke muka Mat Kina. Mat Kina sepertinya tersedar tetapi sepertinya juga terlalu lemah untuk menggerakkan tubuhnya. maka mengangkatlah akan Mat Kina oleh sekalian orang yang ada, mengusung Mat Kina masuk ke dalam rumah tok Marbawi, meninggalkan orang-orang kampung yang heboh dan terpinga-pinga tidak dapat mengetahui apa yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh mereka - sepatutnya.

memang dalam kampung Tok Tenom ini bahawa ubat segala penyakit hanyalah segeluk air. masa anak ketiga Tan Bedu sakit cirit-birit dua tiga hari sampai lebik badan budak tuh, tok Marbawi bagi dia minum air kumat-kamit dan hembus itu jugak. elok baik budak itu. padahal ada anak sorang penduduk kampung, tak payah aku sebut namanya sebab kesian nak menyebutkan keangkuhannya mem'bodoh'kan pekerjaan tok Marbawi, ketika mendapat sakit yang sama telah pergi berubat ke doktor di kampung Tok Jala. macam-macam ubat dibagi doktor tapi selang dua hari meninggal dunia jugak budak itu. mungkin bukan pasal ubat atau air kumat-kamit, memang ajal budak itu dah sampai, siapa yang boleh menahan. sama juga dengan apa yang sedang berlaku di kampung Tok Kemala, siapa jugalah agaknya yang boleh menahan kalau memang takdir-Nya bahawa Tok Tenom juga akan menghadap bala. kata tok imam Haji Kursani, bala itu benda yang menjauhkan kita dari Tuhan, kalau berlaku benda buruk tapi menjadikan kita lebih dekat pada Tuhan itu, bukan bala. tapi rahmat yang belum kita fahami. Dol Seman dan KanWu pun ada masa Haji Kursani beri tazkirah lepas solat subuh awal tahun kelmarin. takut pada Tuhan bukan pada makhluk. bencana alam, khianat orang, itu semua makhluk. tawakal saja - tapi kata Dol Seman, dia tetap takut juga mendengar cerita Mat Kina tadi.

"apa kata kita buat dua kumpulan. satu kumpulan siapkan pertahanan kampung dan satu kumpulan lagi kita hantar untuk tolong kawan-kawan Mat Kina bertahan lebih lama," kata Dol Seman tiba-tiba. orang-orang yang di atas beranda kelihatan hairan melihat Dol Seman tiba-tiba menjadi pandai berfikir, aku pun.

maka sekalian orang tua-tua dan pemuda kampung, tinggi dan rendah, duduk rapat-rapat berlaga lutut berbincang di atas beranda rumah tok penghulu Marbawi. wajah tok Marbawi sudah tidak terselindung lagi kekusutan akal dan hatinya. KanWu duduk bersandar di muka pintu, keras dan kaku wajahnya. jelas-jelas tidak mampu menyembunyikan tekanan batin yang ditahannya. entah ketakutan. entah kemarahan. Mat Kina masih etrbaring di tepi tingkap di ruang depan rumah tok Marbawi. entah tidur. tentah pengsan. entah-entah sudah meninggal. tapi masih nampak juga jari-jarinya bergerak-gerak, belum mati lagilah agaknya. tiada siapa merisaukan keadaan Mat Kina melebihi dari kerisauan akan kebenaran ceritanya - sekurang-kurangnya aku rasa begitu.

entah dari mana, datang pula Jalak Kokok menyerongol dari gelap malam di tangga rumah tok Marbawi. dalam ramai-ramai orang yang ada hanya dia seorang saja yang tersengih-sengih, tiada tanda risau, tiada rasa takut, tiada rasa seram. Jalak Kokok adalah anak kepada Tan Belada, yang asal-usul jurai keturunannya dari kampung Tok Kemala, tapi sepanjang hidup Jalak Kokok tidak pernah walau sekalipun dia keluar dari kampung Tok Tenom. bukan dia tidak mahu tapi ibunya, Sur Ketumpi, yang melarangnya. agaknya takut Jalak Kokok pergi tak pulang-pulang lagi seperti Tan Belada yang pergi dan tak kembali sejak sepuluh tahun dulu. namun walaupun tak pulang-pulang, setiap dua-tiga minggu ada sahaja orang yang menyinggahkan perlengkapan dan belanja dapur dan rumah Sur Ketumpi dua beranak. tidak tahulah sama ada memang Tan Belada yang mengirimkannya, kerna orang yang menghantar sendiri pun tak tahu nama yang mengirimkan. maknanya cerita Tan Belada bukanlah macam cerita Bang Toyyib yang tak pulang-pulang kerna mabuk janda sampai anaknya demam mengigau-ngigau - tapi apa yang Jalak Kokok ceritakan lebih menarik lagi.

"aku jumpa bapak aku, Tan Belada!" menyeringai Jalak Kokok menyebut nama bapanya. melopong mulut orang-orang kampung mendengarnya, aku pun.

Tan Belada bukan orang jahat, hanya sedikit nakal tapi lurus orangnya. hanya Sur Ketumpi itu sajalah isterinya. agaknya Jalal Kokok tuh sorang saja anak dia, setakat yang aku tahu sebab takder sapa tahu kemana Tan Belada menghilang sejak Jalal Kokok berumur empat belas tahun. hampir tidak pernah orang mendengar dia bercakap bohong masa dia tinggal di kampung Tok Tenom. kerna itu ramai yang bersimpati padanya ketika dia menghilangkan diri. Tan Belada terpaksa melarikan diri demi keselamatan keluarganya. keadaan waktu itu tidak terkawal lagi dek kerana prejudis orang-orang kampung. Tan Belada sudah tidak punya pilihan lagi. sepatutnya, mengikut kata orang-orang kampung, Tan Belada tidak seharusnya memberitahu perkara sebenar yang berlaku atau mungkin lebih baik Tan Belada mendiamkan diri sahaja, tapi Tan Belada itu orangnya jujur dan dia tidak mampu mendiamkan kebenaran apalagi berbohong apabila dia ditanya bertalu-talu oleh Dol Seman. Jalak Kokok pun begitu juga mewarisi perangai ayahnya - tapi kali ini orang-orang kampung merasa ada yang tidak munasabah dalam cerita Jalak Kokok.

Jalak Kokok hanya ketawa menghadapi tempelak dan jegilan mata yang dibuat-buat seram oleh orang-orang muda yang bertubuh lebih kekar dari tubuhnya yang kurus melidi. hairan juga sekalian orang kampung kerna jika benar perkara yang dirawikan oleh Jalak Kokok dari Tan Belada, sudah semestinya Jalak Kokok merasa ketakutan. bukan cerita main-main yang dicecehkan oleh Jalak Kokok. dan kalau mengikut perkiraan yang disebut oleh Jalak Kokok, perkara itu akan sampai menimpa kampung Tok Tenom dalam tempoh kurang dari seminggu. hari itu adalah hari jumaat, aku ingat lagi sebab khutbah jumaat masa tuh khatib sampaikan pasal hari kiamat. aku perasan ada dua tiga orang mengelap air mata masa khutbah, insaflah agaknya. syukur. kalau menyelami cerita Jalak Kokok tadi, memang bunyinya pun macam tanda-tanda kiamat dah datang - tapi Jalak Kokok kata dia tahu cara menyelesaikan masalah itu.

"biar betul Jalak! gua di Bukit Sinanjang tuh dah berzaman takder orang masuk. aku pun tak berani," tiba-tiba Maswono menyahut sebab rumah dia yang paling dekat dengan tempat yang disebut Jalak Kokok. semua mata tertumpu pada Maswono, aku pun.

bukan mudah Jalak Kokok nak menjelaskan pada sekalian orang kampung yang hanya belajar sains dengan bahasa ibunda tentang apa yang diceritakan oleh bapanya, Tan Belada. mahu dikatakan orang-orang di kampung Tok Kemala sudah meninggal dunia semuanya, belum tentu juga kerna masih brgerak dan berjalan. nak kata jadi zombie, elok pula makan dan minumnya, tiada pulak nak mencari otak macam cerita filem melayu. akan tetapi gerak jalan dan makan minumnya memang tidak pula seperti manusia lagi. mahu dikatakan masuk hantu, mungkin juga, tapi biasanya kalau hantu yang tertinggal dalam badan takkan pula asyik berjalan ke hulu ke hilir, bercakap pun tak boleh. kalau hantu mesti dia berkeroh-keroh macam orang sakit tekak, kalau tidak pun mengilai-ngilai macam anak dara tercucuk jarum - begitulah pengalaman yang sedia ada.

keadaannya juga tak sama macam masa Din Kempai meninggal dunia dulu. dekat seminggu Din Kempai nazak, tapi nazak dia melantak nasi dua-tiga pinggan, mulut sumpah seranah anak bini tak boleh nak diucap lagi. sampai Man Jupri yang sesabar-sabar manusia pun hilang perasaan dibuatnya. melekat penampar Man Jupri kat muka Din Kempai yang kononnya nazak itu. manakan tidak, habis dicarutnya mak-bapak Man Jupri, menyiraplah darah kawan tuh. tak sempat menjamah minum sirap yang disajikan Eton Kecapi. bersembur kolang-kaling dari mulut Din Kempai tergolek sampai ke dinding. bukan calang-calang juga Man Jupri, patutlah orang mengatakan dia tuh ahli kelompok Chempaka Hitam. menampar saja dah sehebat itu. masa itu baru terbuka rahsia, rupanya dah berlobang tengah belakang Din Kempai, dah bukan Din Kempai rupanya. sekejapan Man Jupri menerkam Din Kempai, yang bukan Din Kempai lagi. melolong-lolong suara Eton Kecapi sampai ke tambak. mungkin juga saka macam kes Din Kempai, tapi aku tak yakin pula. kalau saka atau hantu kan boleh dihembus-hembus dan dipicit-picit celah sendi untuk menghalaunya. bukankah Mat Kina dan Man Jupri pun pandai pasal hantu jembalang, sudah tentu tak menjadi masalah dihalaunya - tapi kali ini nampaknya tidak begitu.

kalau itu bukan dan ini pun bukan, apa benda yang sebenarnya yang diceritakan Tan Belada pada Jalak Kokok? tiada siapa berani nak mengusulkan pendapat, bukan tak erani sebenarnya tapi tak tahu. buntu kepala hotak semua orang kampung, baik yang pandai mahupun yang kurang pandai, apalagi yang tak pandai. tetiba aku terdengar suara ketukan, mata aku mencari-cari arah datang bunyi tersebut, dan penglihatan aku berlabuh kepada sesosok tubuh yang duduk bersandar di pintu tanpa berkata apa-apa dari tadi. KanWu menundukkan kepalanya sambil mengetuk-ngetukkan parangnya di atas lantai beranda rumah tok penghulu Marbawi, seolah-olah mendapat ilham dari celahan lelangit. Jalak Kokok masih tetap juga menerangkan benda yang memang aku rasa sampai lapan belas hari pun tak akan ada siapa paham, dengan bersemangat, siap dengan nama-nama saintifik yang aku rasa tiada sorang pun pernah mendengarnya, istilah baru agaknya - tapi menurut Jalak Kokok benda ini bukan benda baru.

"aku tahu benda tuh. aku pernah jumpa. kalau betul kata bapa kau Jalak, aku sanggup pergi mengerjakannya di gua Bukit Sinanjang tuh," tiba-tiba KanWu bersuara. semua orang terkejut. ada yang terkejut betul, ada yang terkejut beruk dan badak, ada juga yang terkejut sebab lega, aku pun.

daerah Bukit Sinanjang, kawasan hutan yang terletak dibahagian baratdaya kampung Tok Tenom ada ceritanya tersendiri. bagi sesetengah orang menyebut namanya sahaja sudah meremangkan bulu tengkuk dan sekalian bulu-bulu yang berkenaan. hampir tidak ada siapa dalam kampung itu dan kampung-kampung yang bersebelahan pernah menerokainya. sesiapa yang memasuki kawasan itu kononnya tidak pernah pulang lagi, termasuklah Tan Belada yang dilihat orang membawa diri ke situ juga sepuluh tahun dulu. maka kerna itu orang-orang kampung sangat terkejut mendengar Jalak Kokok bertemu dengan Tan Belada. ada pernah dikisahkan mengenai Don Sidiq yang pergi ke hutan Bukit Sinanjang ketika mencari bunga lang abadi, dipercayai kelopaknya adalah penawar kepada segala racun berbisa. sepurnama setelah Don Sidiq menghilang, ada disebut orang yang dia pulang menghantarkan bunga tersebut untuk ibunya. namun ibunya sudah meninggal tiga hari selepas dia menghilang. dan kata orang-orang yang bertemunya, Don Sidiq bukanlah sepenuhnya manusia lagi - tapi tidak pula begitu cerita Jalak Kokok tentang Tan Belada.

di kaki Bukit Sinanjang, di celahan hutan yang merimba itulah terdapat sebuah gua seperti yang ceritakan oleh orang-orang tua yang mula-mula membuka kampung Tok Tenom. dalam gua inilah, kononnya, leluhur asal manusia sebelah situ yang kemudiannya berkembang dan berpencar-pencar membuka kampung-kampung yang ada di sekitarnya. menurut hikayat orang-orang tua, awal sebermulanya, ada tiga orang yang mula-mula sampai, jangan ditanya dari mana datangnya kerna akan menjadi cerita yang lebih panjang, dengan duduk di dalam sebuah batu yang besar sebagai mendarat di gua tersebut. ketika terbukanya batu tersebut, adapun batu itu adalah seperti kenderaan yang berisikan tiga makhluk hidup. sehari selepas batu itu mendarat maka batu itu terbuka dan tiga makhluk itu pun keluar tetapi salah seorang dari mereka masuk semula ke dalam batu tersebut. tiada siapa tahu kenapa dan mengapa. dan setelah dia masuk semula, kata orang-orang, batu itu tertutup dan tidak dapat dibuka semula. maka hanya Sinanjang dan Sinduni, yang menjelajah ke serata daerah tersebut setelahnya - hanya yang berdua itu sajalah.

selepas beberapa lama menjelajah kawasan persekitaran bersama-sama, Sinduni mencadangkan supaya mereka membiakkan baka dan keturunan, tapi Sinanjang adalah seorang pemalu dan tidak mahu berkopulasi dengan Sinduni yang telah dikenal dekat, terutama setelah tinggal beberapa lama bersama di dalam batu yang menjadi kenderaan mereka. maka dikisahkan bagaimana mereka bersetuju berpisah mencari jalan masing-masing, dan hanya akan membiak dengan manusia yang mereka temui kelak. setelah beberapa lama menjelajah, tidak diceritakan persis berapa lama mereka terpisah, Sinduni merasakan sesuatu yang mengingatkan dia kepada Sinanjang, maka Sinduni pun kembali mencari Sinanjang. ternyata Sinanjang masih berada di dalam gua tersebut, duduk bersemedi. sepanjang penjelajahannya sebelum itu, Sinduni cukup suka dan selalu memakan sejenis binatang yang tidak bertanduk. ternyata kesukaannya itu mempunyai kesan terhadap wajah dan sifatnya. dan ketika Sinduni kembali ke gua di kaki bukit tersebut Sinanjang tidak mengenali dirinya lagi, malah Sinduni sendiri tidak mengenal wajahnya di riak air. maka berlakulah apa yang ditakdirkan berlaku, Sinanjang pun berkopulasi dengan Sinduni dan mereka pun melahirkan anak-anak yang kemudiannya membuka kampung-kampung yang ada, manakala Sinanjang dan Sinduni tetaplah tinggal di gua tersebut - tidak mereka kemana-mana lagi.

mereka berdua hidup dengan bahagia selama beberapa dekad sehinggalah suatu hari, Sinanjang pulang dari berburu bersama anak-anak yang masih tinggal bersamanya, membawa seekor binatang bertanduk. ternyata takdir akan berlaku pada malam itu mengungkapkan rahsia yang disimpan sekian lama oleh Sinduni. ternyata dalam tubuh binatang bertanduk itu terdapat sejenis hidupan yang bertindak balas dengan bahan yang terdapat dalam tubuh Sinduni dan anak-anaknya. adapun mengikut kisahnya, bahan yang terdapat dalam tubuh Sinduni dan anak-anaknya itu adalah diakibatkan oleh kegemaran mereka memakan binatang yang tidak bertanduk. kurang lebih ia bermaksud bahawa bahan yang ada di dalam binatang tidak bertanduk itu mempunyai elemen yang boleh mengubah kromosom-kromosom gene sesiapa yang mengkosumsinya. ini adalah kenapa Sinanjang sejak dari awal telah melarang Sinduni menyediakan apapun makanan yang mengandungi binatang tidak bertanduk itu. waima kalau memegang binatang itu sekalipun mengikut Sinanjang, harus dibasuh di muara sungai Sinaganaga yang terletak dua hari perjalanan dari kaki Bukit Sinanjang. perubahan genetik yang berlaku tidak hanya akan menyebabkan perubahan fizikal tetapi juga ia mempunyai implikasi terhadap neuron-neuron di bahagian otak, emnyebabkan kekacauan dalam penetapan sifat, kelakuan dan ingatan. perkara ini tidak putus-putus Sinanjang mengingatkan kepada sekalian anak-anaknya. namun tetap saja terdapat anak-anaknya yang nakal tergiur dengan kelembutan dan kegurihan daging binatang tidak bertanduk tersebut - tapi tiada diketahui oleh Sinanjang.

maka usai makan malam berlaukkan binatang bertanduk itu, Sinduni dan sebahagian anak-anak mereka meninggal dunia, seolah-olah dimakan oleh satu hidupan lain dari dalam. apabila Sinanjang bangun pada keesokan harinya, gemparlah dia melihat tubuh Sinduni hanya tinggal tulang, segala isi, kulit dan sekalian bulu telah habis dimakan oleh sejenis hidupan yang penuh mengerumuni tulang belulang. begitulah keadaan yang berlaku pada sebahagian anak-anaknya juga. berkumpullah sekalian yang hidup mengkaji dan meneliti keadaan tersebut. pada waktu itulah terbongkar rahsia bahawa selama ini Sinduni tetap juga menyorok-nyorok menikmati binatang tidak bertanduk itu bersama sebahagian daripada anak-anak yang masih tinggal dengan mereka. dan yang tinggal hanyalah yang menolak untuk memakannya kerna kesetiaan pada kata-kata Sinanjang. kemudiannya Sinanjang menyumpah kawasan daerah bukit tersebut dan siapa sahaja yang memakan binatang tidak bertanduk akan mati, waima hanya melalui kawasan tersebut sahaja boleh terlerai nyawanya. dan sumpahan ini merupakan celaan kepada pemakan binatang tidak bertanduk oleh Sinanjang. dikisahkan juga bahawa di atas Bukit Sinanjang terdapat satu kawasan perkuburan tersembunyi yang menjadi persemadian Sinduni dan anak-anaknya yang meninggal dunia malam tersebut. sedangkan SInanjang pula dikisahkan masih ada bertapa di dalam gua di Bukit Sinanjang sejak hari itu, terlalu lama sehinggakan lumut yang melekat tumbuh di tubuhnya sudah mengeras dan menjadi batu - begitulah kisahnya.

aku tidak pasti apakah binatang tidak bertanduk itu, kerna tiada siapa dalam kampung Tok Tenom tahu pasti binatang apakah itu. namun mengikut ceritanya binatang bertanduk yang dimaksudkan dalam cerita rakyat itu hanya ada di kawasan bukit Sinanjang. diceritakan juga di kawasan Bukit Sinanjang itu terdapat sebuah suku yang tidak pernah meninggalkan daerah tersebut. suku ini tidak dapat dilihat dengan mata kerana kemahiran mereka mengghaibkan diri. sungguh Bukit SInanjang itu penuh misteri dan tiada siapa berani mempersenda apalagi mahi menjelajahinya. tidaklah siapa tahu sama ada segala orang yang hilang selama ini mati kerna dimakan hidup-hidup oleh hidupan dalam binatang bertanduk atau kerna ditangkap oleh suku kaum tersebut. dalam satu cerita yang ditokok-tambah, suku kaum ini dikatakan ganas dan meminum darah manusia. kononnya, darah manusia dapat menyempurnakan kesaktian mereka. namun tiada pula kisah ada orang hilang dari kampung Tok Tenom, kecuali kisah Don Sidiq dan Tan Belada yang tidak pulang-pulang setelah pergi ke Bukit Sinanjang. Dol Seman percaya betul semua cerita-cerita itu - tapi kali ini kata Jalak Kokok hanya itulah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan kampung Tok Tenom.

"tapi aku perlu dua orang pembantu," garau suara KanWu sambil menatap tajam kearah aku dan Dol Seman. Dol Seman tergamam, aku pun.

* * *