Ramai orang mendambakan keabadian, apalagi ketika hidup sedang berada dipuncak kegemilangan. Bagi aku, hidup abadi itu bukan nikmat, tetapi kutukan yang menyeksakan.
“Aku takkan lepaskan kau, sial! Dulu kau sembelih bapa aku di depan mataku. Kali ini aku akan hadiahkan trauma yang sama untuk anak kau!” Daman menggeram dengan mata mengkilat dendam, sambil memainkan kelewang di leher bapa angkatnya, Nadim.
Nadim tidak merasa gentar sama sekali. Dia tahu benar itu sudah karmanya. Cuma dia tidak tahu bagaimana mahu menghentikan lingkaran dendam ini. Setelah kematian Suram, Daman dijaganya seperti menatang minyak yang penuh, melebihi kasih kepada anaknya sendiri, Malim. Segala ilmu yang diketahuinya diperturunkan kepada Daman. Namun ternyata segala yang dilakukannya terhadap Daman selama berbelas tahun tetap tidak dapat melindapkan api dendam dalam jiwanya. Kini hampir pasti sekam amarah pula dinyalakan dalam hati Malim.
“Hentikan semua ini Daman. Kau hanya akan membunuh dirimu sendiri,” Nadim cuba menenangkan hati Daman.
“Kau sungguh tidak mengenang budi!” Malim meronta mahu melepaskan diri dari ikatan.
“Ahhh! Apa kau ingat dengan menjaga aku selama ini dia sudah dapat menebus dosa dia! Hutang dia sudah lunas? Dan aku pula yang berhutang budi dengan dia?!” Daman menjegilkan matanya kepada Malim sambil mengetuk-ngetuk kepala Nadim dengan kelewang tinggalan bapanya.
“Hutang orang tua ini tidak akan tuntas selagi bukan aku yang mencabut nyawanya,”
“Celaka kau Daman!” Malim tahu benar yang dia tidak mempu berbuat apa-apa..
“Aku juga dulu seperti kau Malim. Tidak berdaya. Orang tua ini tak peduli pun pada rayuan dan tangisan aku. Jadi sebelum kau kata aku kejam, ketahuilah apa yang aku buat ini sama seperti apa yang orang tua ni buat dulu,” berdekah ketawa Daman, sinis.
“Daman, apa yang kau buat ini tidak akan menyelesaikan apa-apa. Kau sama sekali tidak akan dapat membalas apa dendam sekali pun,” Nadim cuba menjelaskan sesuatu.
“Kau diam orang tua! Bertahun aku mengimpikan saat ini. Ayah aku mesti bangga dengan aku,” Daman ketawa dengan penuh kemenangan..
“Ayah kau tidak akan setuju dengan apa yang kau buat ini,” sejurus menghabiskan ayat tersebut tumbukan padu Daman menyinggah ke pipi kiri Nadim menghempas mukanya ke bumi.
“Kalau kau bercakap lagi, anak kau pun aku akan sembelih sekali,” Malim menjerit ketika Daman menodong kelewang ke mukanya.
“Aku tidak akan mati Daman. Aku ini ayah kau!”
Daman menendang Nadim berkali-kali sambil berteriak, “Diam! Diam!”
Setelah puas menyiksa Nadim, Daman menjambak rambut Nadim dan menggorok lehernya, membiarkan darah membuak-buak keluar dengan hati yang puas. Malim sudah terpengsan melihat ayahnya disembelih hidup-hidup di depannya.
Sesuatu yang aneh berlaku dirasakan oleh Daman. Pandangan menjadi berbinar-binar dan kabur. Terasa kesakitan yang amat sangat dilehernya. Dia cuba menyeka matanya yang pedih tetapi terasa tangannya terikat kuat. Satu tangan menyapu matanya dan yang terakhir dia terlihat ialah tangan itu adalah tangan seseorang yang persisi seperti dirinya, dan setelah itu gelap dan hitam.
Daman duduk tersandar memangku mayat Nadim sambil menangis. Dilepaskannya mayat Nadim dan mendekati Malim lalu menguraikan ikatan Malim. Malim mulai tersedar dan menjadi hilang waras melihat mayat bapanya yang berlumuran darah. Malim mulai hilang kawalan, merambat kelawang dan merembas sosok yang berlumuran dengan darah bapanya sambil menjerit histeris.
Seketika pula Malim merasakan tubuhnya dicincang-cincang dengan kesakitan yang amat sangat. Malim tergeletak seperti kehilangan nyawa. Dia merangkak mendekati mayat bapanya. Terlihat dalam kabur pandangannya sesosok tubuh yang tak ubah seperti dirinya duduk melutut sambil menangis.
Entah sampai bila lagi aku harus menanggung putaran dendam ini. Tamam, Nadim, Daman, dan entah siapa lagi selepas ini. Sudah berkali-kali aku mati dan hidup semula. Kenapa aku mesti terus hidup. Kenapa aku tidak mati saja. Sampai bila aku harus hidup dalam neraka ini.
“Malim! Malim! Apa yang dah jadi ni?,” sosok isteri Nadim, sahabat baikku suatu ketika dulu, yang kini akan terpaksa aku hidupi sebagai ibu memelukku sambil menangis.
0 ulasan:
Post a Comment