Wednesday, March 9, 2011

kisah awal raja-raja Perak

Posted by usoPkuChai On 8:25 AM 2 comments



tamat citer belah selatan, kita sambung citer sebelah tengah. satu lagi jurai keturunan dari Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah. kata ceritanya, di zaman tuh Perak bukan lah sebesar Perak yg ada sekarang. versi Gangga Negara itu meliputi Dinding (Manjung) dan Beruas. mengikut satu versi lagi, negeri yg disebut Perak itu meliputi Beruas, Manjung dan Janin (hulu Perak). Hulu Perak ini pula dikatakan sebahagiannya adalah dibawah jajahan kerajaan Patani.

tersebut alkisah Tun Saaban, dikatakan adalah anak kepada Tun Perak. ada pula versi yg mengatakan bahawa Tun Saaban adalah adinda kepada Sultan Mahmud Shah. ada pula versi Tun Saaban ini adalah org yg sama bernama Raja Narai di kerajaan Siam, Mahkota Alam di kerajaan Aceh dan Hang Tuah di kerajaan Melaka. apapun, aku berpegang pada kisah bermula sewaktu Portugis melanggar Bentan pada tahun 1526 yg menyaksikan pengunduran Sultan Mahmud Shah ke kampar, Tun Saaban pula berundur ke sebuah tempat bernama Beredung Budi di Hulu Patani, dan kemudian bermastautin di tempat yg bernama Relap Hati di Hutan Belum, Hulu Perak. di situlah beliau menjadi ketua kepada org2 setempat.

oleh kerana, Perak belum beraja, maka Tok Mahorka, penghulu Manjung, mewasiatkan agar Tun Saaban dan Nakhoda Kassim menjemput waris raja yg berasal dari anak cucu Sang Sapurba untuk ditabalkan menjadi sultan di Perak. maka berangkatlah keduanya ke Kampar dan diperkenan membawa anakanda Sultan Mahmud Shah, Raja Muzaffar.

syahadan, Sultan Perak yg pertama ialah Sultan Muzaffar Shah, yg merupakan putera Sultan Mahmud Shah dengan Onang Kening, puteri Raja Kelantan. setelah mendapat titah ayahandanya, Raja Muzaffar belayar bersama isterinya, Tun Terang, bersama putera mereka, Sultan Mansur, dan pengiring2 termasuklah Megat Terawis ibni Daulat Pagar Ruyong. baginda singgah di Kelang dan Siak menziarahi keluarga baginda, dan di Kelang baginda bertemu Nakhoda Tumi, org Manjong, yg kemudiannya membawa baginda ke Perak hingga sampai di Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak, [rujuk Istiadat Tabal Jin (Tabal Pusaka)]. dan disambut oleh Tun Saban dan sekalian org Perak.

kemudiannya, baginda memanggil Tun Mahmud, anak Tun Isap Berakah dgn Puteri Siak, yg bergelar Seri Agar Diraja, yg memerintah Selangor dan dijadikan bendahara. namun kemudiannya Tun Mahmud dipaksa oleh Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Johor, supaya datang ke Johor.

dijadikan cerita, Sultan Muzaffar Shah berselisih faham dgn Tun Saaban kerna Sultan mahu menjadikan Tun Merah, anak Tun Saaban, sebagai gundek. Tun Saaban tidak bersetuju dan membuat kota kubunya di Temong. Sultan menawarkan jawatan bendahara kepada sesiapa yg dapat membunuh Tun Saaban. Megat Terawis menyahut seruan baginda dan menyerang Tun Saaban. namun Tun Saaban menikahkan puterinya, Tun Bongsu Bangsawan, dengan Megat Terawis sebelum meningggal dunia dan dikuburkan di Changkat Merah, Hulu Perak. dikenali sebagai Keramat Tok Merah.

Megat Terawis kemudian dikurniakan gelaran Bendahara Paduka Raja, menggantikan Tun Mahmud. semenjak itu keturunan Megat Terawis lah yg menjadi bendahara Perak sehinggalah di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770), keturunannnya, Bendahara Megat Abu Kassim menyerah bawar jawatan bendahara kepada sultan, konon ceritanya kerna tidak puas hati dengan tindakan Sultan berkenaan istana di Pulau Indera Sakti.

Sultan Muzaffar Shah memerintah sehingga tahun 1549 dan mangkat di Tanah Abang dengan gelaran Marhum Tanah Abang. awalnya baginda bersemayam di Tanah Abang dan kemudian berpindah ke Kota Lama Kanan. putra baginda, Raja Mansur, kemudian ditabalkan menggantikan baginda dengan gelar Sultan Mansur Shah. dikisahkan Sultan Mansur Shah diiringi Megat Terawis telah mudik ke hulu Perak utk menetapkan sempadan utara Perak dgn negeri Reman, di Tapong. perjanjian itu dipersetujui oleh Raja Reman sehingga akhir abad ke-18. mengikut versi sejarah Perak, pada tahun 1577, baginda Sultan tiba2 ghaib ketika sedang solat jumaat di Masjid Kota Lama Kanan. baginda digelar Marhum Kota Lama Kanan. mengikut versi Aceh, Sultan Ali Riayat Shah, atau dikenali sebagai Sultan Hussein, menyerang Perak dan menawan Sultan Perak. putera sulong baginda, Raja Alauddin dinikahkan dengan puteri Aceh, Raja Puteri, dan kemudian diangkat menjadi Sultan Aceh, dan kemudian Sultan Mansur dihantar semula menduduki takhta Perak.

sejurus kemangkatan Sultan Mansur Shah, org2 besar Perak mengadap Sultan Aceh, yg kemudiannya menghantar Raja Ahmad, adinda Sultan Aceh, untuk ditabalkan menjadi Sultan Perak dengan gelaran Sultan Ahmad Tajuddin Shah. baginda bersemayam di Jalong sebelum berpindah ke Geronggong. baginda mangkat pada tahun 1584 bergelar Marhum Muda. diganti oleh adinda baginda Raja Ariffin, bergelar Sultan Tajul Ariffin, yg bersemayam di Pulau Semat. setelah baginda menaiki takhta Perak, kekanda baginda yg menjadi Sultan Aceh pun mangkat dan seisi istana pulang semula ke negeri Perak. Sultan Tajul Ariffin mangkat pada tahun 1594 bergelar Marhum Mangkat di Tebing dan dimakamkan di Pulau Semat.

Sultan Tajul Ariffin tidak berputera, kerna itu Raja Alaudin, putera Raja Inu dan cucu kepada Sultan Ahmad Tajuddin, ditabalkan dgn gelar Sultan Alaudin Shah, dan bersemayam di Bota. semasa pemerintahan baginda Aceh masih mengawasi pentadbiran negeri. baginda mangkat pada tahun 1603 bergelar Marhum Mangkat di Darat. kemudiannya Sultan Mukaddam Shah, dikenali sebagai Raja Tua, ditabal menjadi Sultan Perak, bersemayam di Bota Kanan.

Sultan Mukaddam Shah nih ada puteri namanya Puteri Limau Purut. baginda Sultan tolak pinangan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dari Aceh dan menunangkan puterinya dengan Raja Mansur, adinda Sultan Alaudin Shah. kerna itu Aceh menyerang Perak dan menawan keluarga baginda. bagaimanapun bendahara Megat Abdullah berjaya menyelamatkan Puteri Limau Purut dan dibawa pulang utk dinikahkan dengan Raja Mansur. ada pula cerita, Raja Mansur juga ditawan dan dibawa ke Aceh tapi dapat melepaskan diri ke Johor dan berkahwin dgn puteri Jambi, dan pulang ke perak pada tahun 1619, menikahi Puteri Limau Purut dan menaiki takhta Perak, dgn gelar Sultan Mansur Shah II. Sultan Mukaddam Shah pula mangkat di Aceh, maka digelar Marhum di Aceh.

Sultan Mansur Shah II diturunkan dari takhta pada 1627 oleh Aceh, dan Mahkota Alam melantik Raja Yusuf, juga dikenali sebagai Raja Bongsu, adinda kepada Sultan Mukaddam Shah menjadi Sultan Perak dgn gelar Sultan Mahmud Shah, bersemayam di Geronggong. baginda mangkat pada tahun 1630 dan digelar Marhum Pulau Tiga. beliau diganti dengan Sultan Salehuddin yg mangkat pada tahun 1635.

kemudian Sultan Iskandar Thani menghantar Raja Sulong, putera Raja Mahmud Johor dgn Tun Kechil anak Tun Isap Misai, utk ditabalkan menjadi sultan dgn gelaran Sultan Muzaffar Shah II, bersemayam di Air Mati. pada tahun 1639, belanda mendirikan loji di Tanjung Putus namun dibinasakan oleh org melayu Perak. pada disember 1650, Belanda dan Aceh telah membuat perjanjian dgn kerajaan Perak untuk memonopoli perniagaan timah di Perak dan membenarkan Belanda mendirikan loji, namun pada tahun 1651, org2 Perak menyerang dan memusnahkan loji Belanda menyebabkan perniagaan belanda di Perak terhenti.

Sultan Muzaffar Shah II mangkat pada tahun 1653 bergelar Marhum Jalilullah. putera sulong baginda, Raja Mahmud, ditabal menjadi sultan dgn gelar Sultan Mahmud Iskandar Shah bersemayam di Geronggong, manakala adindanya, Raja Mansur, dilantik menjadi Sultan Muda yg bersemayam di Pulau Tiga. Belanda datang semula menuntut perjanjian yg telah dibuat dgn Marhum Jalilullah sebelumnya. kerajaan Perak memberi tanah utk Belanda membuat loji dan membayar gantirugi loji yg dirosakkan pada 1651. namun perjanjian ini tidak dipedulikan oleh Sultan Perak, timah lebih banyak dihantar ke Aceh dan diseludup ke luar dan akhirnya pada tahun 1663, Belanda meninggalkan loji mereka di Perak. tapi Belanda kembali semula pada tahun 1655 membuka perniagaan dgn dikawal oleh armada yg berpengkalan di kuala Sungai Perak.

pada tahun 1670, org2 Inggeris menduduki Pulau Pangkor. namun pihak Belanda di Betawi mengarahkan pasukan di Melaka merampas dan mendirikan kota di Pulau Pangkor. pada tahun 1690, sekumpulan org melayu diketuai Panglima Kulub menyerang kota Belanda di Pulau Pangkor dan menghalau Belanda dari Pulau Pangkor. pada tahun 1700, Perak terlepas dari kekuasaan Aceh kerana kerajaan Aceh yg diperintah oleh empat raja perempuan sejak 1641 tidak mempunyai kuasa lagi.

Sultan Mahmud Iskandar Shah mangkat pada tahun 1720, dalam usia 120 tahun, digelar Marhum Besar Aulia Allah. baginda digantikan oleh anak saudaranya, Raja Radin, putera Raja Mansur, bergelar Sultan Alauddin Mughayat Shah. adindanya, Raja Inu, yg bersemayam di Bernam dilantik menjadi Raja Muda. kemudian baginda mangkat pada tahun 1728 bergelar Marhum Sulong dan diganti Raja Inu dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah III, dan berpindah ke Berahman Indera (Bota Kanan). Adindanya, Raja Bisnu, menjadi Sultan Muda dan bersemayam di Pulau Tiga, Lambor.

antara tahun 1742 hingga 1743, kesultanan Perak berpecah dua kerana org2 bugis, diketuai oleh Daeng Chelak, Yam Tuan Riau, yg menyebelahi adinda baginda menyerang Perak dan mengangkat Raja Bisnu menjadi sultan dengan gelar Sultan Muhammad Shah pada tahun 1744. namun kedua adik beradik ini kemudian berbaik2 semula. Sultan Muzaffar Shah III yg bersemayam di Kuala Kangsar dijemput balik ke Berahman Indera. Sultan Muhammad Shah mangkat pada tahun 1750 bergelar Marhum Aminullah.

pada tahun 1743, raja bugis bernama Daeng Selaili, Haji Besar, menawan beberapa lanun di Pulau Sembilan dan menyerahkan kepada Sultan Muzaffar. Daeng Selaili menikah dgn adinda baginda Raja Tengah dan dilantik menjadi mufti, dan kemudian dilantik menjadi org besar Perak bergelar Maharaja Lela Tan Lela Putera Panchong Tak Bertanya, yg juga merupakan pengawal peribadi sultan. Sultan Muzaffar Shah III mangkat pada tahun 1752 bergelar Marhum Haji Allah.

kemudiannya putera Sultan Muhammad Shah ditabalkan menjadi Sultan Perak dengan gelar Sultan Iskandar Zulkarnain, yg berpindah ke Pulau Chempaka Sari, yg kemudian disebut Pulau Indera Sakti. baginda kemudian mengangkat Sharif Abu Bakar Jalaluddin menjadi bendahara Seri Mahajara menggantikan bendahara Megat Abu Kassim kerana baginda tidak berpuashati dgn pembinaan istana di Pulau Indera Sakti. kemudian baginda memberikan jawatan bendahara kepada adindanya, Raja Alauddin, bendahara Penyengat Hitam, bergelar Raja Bendahara Paduka Seri Maharaja Wazirul Kabir. semenjak itu jawatan bendahara Perak dipegang oleh kerabat diraja.

baginda juga melantik Nakhoda Pusmah, org Haru, menjadi Laksamana memerintah Kuala Perak, bergelar Laksamana Orang Kaya-kaya, dan Tun Abdul Kahar, org minangkabau, digelar Pakih Raja Indera Pahlawan. seorg bangsa india dikurniakan gelaran Raja Muktabar Khan dan Daeng Tomatan Raja Belawan, org bugis, dijadikan Orang Besar Baginda.

pada 17 oktober 1765, baginda membuat perjanjian dgn Belanda berhubung perniagaan bijih timah. ramai org india dan cina datang berniaga terutama di Bandar Maamur. pada pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain inilah Undang-undang Sembilan Puluh digubal sebagai panduan pada segala hal ehwal pentadbiran negeri Perak. baginda mangkat di Pulau Indera Sakti pada tahun 1765 digelar Marhum Kaharullah.

adinda Raja Kimas kemudiannya ditabal dengan gelaran Sultan Mahmud Shah, yg kemudian berpindah dari Pulau Indera Sakti ke Pasir Pulai. Raja Haji dan kekandanya Raja Lumu, Raja Selangor, datang ke negeri Perak pada tahun 1770. Raja Lumu menikahi puteri diraja Perak dan digelar oleh Sultan Mahmud Shah dengan nama Sultan Sallehuddin Shah, yg kemudiannya ditabalkan di negeri Selangor. Selangor dan Perak bersahabat baik. Sultan Mahmud Shah mangkat pada tahun 1773 digelar Marhum Muda.

baginda diganti oleh Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda yg memindahkan pusat pemerintahan ke Rantau Panjang dan mangkat pada tahun 1786 digelar Marhum Sulong. Raja Bongsu, dikenali juga sebagai Raja Chik, kemudiannya ditabalkan dengan gelar Sultan Ahmaddin Shah, berkahwin degan Cik Putih binti Laksamana Tok Kuala Bidor.

pada tahun 1802, Inggeris masuk memerintah Perak dan kota Belanda di Tanjung Putus dirobohkan. semenjak 1804, tiadak ada lagi org belanda berniaga di Perak. tahun 1803, Sultan Ibrahim, Sultan Selangor, menyerang dan mengalahkan Perak. Sultan Ahmaddin Shah berundur ke hulu hingga ke Kuala Pelus. Sultan Ibrahim memberi amaran kepada Inggeris supaya tidak datang lagi ke negeri Perak. Sultan Ahmaddin Shah mangkat pada tahun 1806 di Chegar Galah digelar Marhum Mangkat di Darat.

Sultan Abdul Malik Mansur Shah, putera sulung Sultan Ahmaddin Shah, ditabal dan bersemayam di Bandar Baru. dlm tahun 1818, Siam memaksa Kedah menyerang Perak utk mendapatkan senjata untuk menentang Burma. Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah, Sultan Kedah, menghantar angkatan perang diketuai oleh Tengku Yaakub (Tengku Akil) serta bendahara Kedah menawan org2 Perak di Bukit Gantang. org2 Perak diketuai oleh Che Alang Idin berundur ke Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. kemudian org Perak di Bukit Gantang bersatu dgn angkatan di Kota Lama Kiri, diketuai oleh Panjang Talib bin Seri Maharaja Lela Uda Tahir (Tok Janggut), berjaya menyelesaikan peperangan itu dengan perdamaian. Tengku Yaakub menikah dgn Hajjah Denah, keluarga Panjang Talib, dan bendahara Kedah menikah dgn Wan Fatimah. Sultan Abdul Malik Mansur Shah menggelar adik Panjang Talib, Pandak Usop, dengan gelaran Temenggung Paduka Raja dan Che Alang Idin bergelar Panglima Bukit Gantang. sebelum itu, Panjang Talib telah mengadap Sultan memohon maaf kerna perbuatannya memakai gelar Temenggung Bendahara Muda.

pada tahun 1821, Siam melanggar Kedah, Perak dan Selangor. Perak dipaksa menghantar bunga emas ke Siam setiap tahun. namun kemudian Raja Rama II membebaskan Perak kerana membalas jasa Sultan Perak yg menghantar seekor gajah bernama Chapang Pileh, yg ditemui Toh Muda Panglima Kinta Ngah Abdul Sam di hutan Kinta.

setahun setelah itu, Sultan Selangor menghantar askar membantu Perak menghalau org Siam dari negeri Perak. kerajaan Siam kemudiannya menyerang semula Perak dan memberi amaran kepada Selangor agar tidak mencampuri hal ehwal negeri Perak. Inggeris di Pulau Pinang merasa khuatir dengan situasi tersebut mula campur tangan dan mahu menyelesaikan perselisihan Siam, perak, Selangor.

maka tersebutlah kisah pada tahun 1810, seorang anak raja, Tuan Tok Nik Tok Leh, mengetuai penentangan terhadap Siam untuk membebaskan Reman. negeri Reman ini adalah dari kawasan hulu Sg Patani dan Sg Tanjung Mas di Patani hinggalah ke Lenggong. ketika Perak sedang sibuk menyelesaikan perselisihan dgn Siam dan Selangor. Raja Reman memasuki Gerik dan menawan Kroh dan Kelian Intan, yg kaya dgn bijih timah.

Sultan Abdul Malik Mansur Shah mangkat pada tahun 1825 digelar Marhum Jamalullah, digantikan oleh putera sulung baginda, bergelar Sultan Abdullah Muazzam Shah, bersemayam di Teluk Kepayang. ketika ini sebahagian hulu Perak masih dikuasai oleh Raja Reman. Pada 6 september 1825, John Anderson membuat perjanjian dgn Sultan Perak dan Sultan Selangor menetapkan Sungai Bernam sebagai sempadan. pada tahun 1826, Perjanjian Burney antara Inggeris dgn kerajaan Siam menekankan kerajaan Siam tidak lagi berhak ke atas negeri Perak. Perjanjian Low 1826 pula menyaksikan Sultan Perak menyerahkan Pulau Pangkor dan Pulau2 Sembilan kepada Inggeris dgn tujuan supaya Inggeris menghapuskan lanun2 di situ.

ada satu kisah, setelah mendapat kebebasan dari kerajaan Siam, Sultan Abdullah Muazzam Shah menghantar tentera diketuai oleh Dato Seri Lela, yg turut disertai oleh isteri barunya Raja Andak binti Sultan Ahmaddin, membuat serangan mengejut ke atas Tuan Tok Nik Tok Leh, menyebabkan beliau berundur dari Kubu Kapeh ke Klian Intan dan kemuadian ke Kuala kepayang. dikisahkan Tuan Tok Nik berutus pantun kasih dgn Raja Andak yg sedang keruh hubungan dgn suaminya. Dato Seri Lela kemudian dibunuh ketika berkelah di Cheroh menyebabkan Raja Andak melarikan diri kerana dianggap pengkhianat oleh org2 Dato Seri Lela. Tuan Tok Nik mengambil kesempatan menawan semula Klian Intan, Kroh dan Kubu Kapeh. Tuan Tok Nik meninggal dunia pada tahun 1836. digantikan oleh anaknya Tuan Nik Ulu dan kemudiannya oleh cucunya Tuan Jagong. pada tahun 1902, kesultanan Reman dihapuskan oleh kerajaan Siam setelah pemerintah terakhirnya, Tuan Jagong (Phya Chawang), meninggal dunia setelah kedua2 anaknya, Tuan Menang dan Tuan Lebeh, meninggal dunia sebelumnya.

Sultan Abdullah Muazzam Shah mangkat pada 20 disember 1830 bergelar Marhum Khalilullah digantikan oleh putera Raja Inu dgn gelaran Sultan Shahabuddin Riayat Shah. pada tahun 1832 baginda memberitahu Inggeris perihal Selangor yg hendak menyerang Perak berhubung baki hutang sejak zaman Sultan Ibrahim. George Stuart datang dgn armadanya mematahkan niat Selangor. pada tahun 1837, Residen Kaunselor di Pulau Pinang memberi amaran kepada Sultan Selangor supaya jangan menyerang negeri Perak.

dalam tahun 1840, seorg melayu Perak, Long Jaafar, keturunan penghulu Mukim Lubok Merbau, datang bekerja dgn Dato Panglima Bukit Gantang menjadi pemungut cukai di Kerian dan kuala Kurau. semasa Che Long Jaafar mula datang ke Larut hanya ada tiga org cina, kemudian pada tahun 1848, Che Long Jaafar membuka lombong bijih timah di Larut dan membawa masuk ramai org2 cina bekerja di lombong.

pada tahun 1842, Sultan Perak berselisih faham dgn Sultan Kedah mengenai tuntutan daerah Kerian oleh Sultan Kedah, campurtangan Inggeris menyebabkan Sultan Kedah membatalkan tuntutan tersebut. Sultan Shahabuddin mangkat pada tahun 1851 digelar Marhum Safiullah. baginda meninggalkan dua org putera, Raja Mahmud, dari isterinya Tok Engku Raja Mandak binti Raja Mahmud, dan Raja Ngah Ali, dari isterinya Raja Perempuan Nutidah Selamat.

Sultan Abdullah Muhammad Shah ditabalkan menjadi sultan pada tahun 1851, bersemayam di Durian Sebatang. semasa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan pihak Raja Ngah Jaafar putera Raja Ahmad ibni almarhum Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Sultan Abdullah Muhammad Shah tewas dan berundur mendapatkan perlindungan di rumah Datuk Laksamana Tok Janggut.

november 1850, Raja Muda Ngah Ali putera almarhum Sultan Shahabuddin Marhum Safiullah, bertindak sebagai wakil Sultan Perak menyerahkan daerah Larut kepada Che Long Jaafar. pada tahun 1853, org2 besar Perak memecat Sultan Abdullah Muhammad Shah yg masih dlm buangan dan mengangkat Raja Ngah Jaafar menaiki takhta Perak. Raja Yusuf putera Sultan Abdullah berusaha mendapatkan sokongan org2 besar negeri Perak utk menyokong ayahandanya pada tahun 1855 tetapi gagal. dan akhirnya pada tahun 1856, Raja Ngah Jaafar menggelarkan dirinya Sultan Perak, dengan gelar Sultan Jaafar Muazzam Shah, dan memberi surat akuan kuasa kepada Che Long Jaafar sebagai org yg berkuasa di Larut. setahun kemudian, Sultan Abdullah Muhammad Shah mangkat dengan tiba2 digelar Marhum Itikadullah tetapi lebih terkenal sebagai Marhum Durian Sebatang.

alkisah perang larut pertama, 1861, berpunca daripada pergaduhan mengenai laluan air ke kawasan perlombongan, kumpulan Hai San di Klian Pauh menyerang kumpulan Ghee Hin di Klian Baru. keadaan menjadi terkawal semula apabila pedagang cina di Pulau Pinang yg mempunyai pelaburan besar meminta Gabenor Negeri Selat, Kolonel Cavenagh, campur tangan dan akhirnya memaksa Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim, anak Che Long Jaafar yg meninggal dunia pada tahun 1857 dan menurunkan gelaran serta kuasanya kepada Ngah Ibrahim, bagi pihak sultan, membayar $17,447 sebagai gantirugi kepada kumpulan Ghee Hin.

perang larut kedua, 1865, meletus berpunca dari pergaduhan semasa bermain judi. kumpulan Hai San menawan 14 org kumpulan Ghee Hin sebagai tebusan, dan membunuh semuanya kecuali seorg yg dapat melepaskan diri dan memberitahu kepada kumpulan Ghee hin yg kemudian membalas dendam dgn menyerang perkampungan kumpulan Hai San, membakar banguanan dan membunuh 40 org penduduk. siasatan oleh Inggeris mendapati kedua2 kumpulan bersalah mengganggu keamanan Pulau Pinang dan dikenakan denda masing2 $5,000 dan beberapa pemimpin mereka dibuang negeri.

dalam Perang Larut kedua, Sultan Jaafar mangkat di Durian Sebatang digelar Marhum Waliullah. maka Sultan Ali putera Sultan Shahabuddin ditabal menjadi Sultan Perak dengan gelaran Sultan Ali a-Mukammal Inayat Shah. bendahara Perak ketika itu ialah Raja Ismail putera Sayyed Syeikh al-Khairat, Raja dari Siak dan Raja Mudanya ialah Raja Muda Abdullah ibni almarhum Sultan Jaafar Muazzam Shah.

pada tahun 1870, Raja Muda Abdullah memajakkan satu kawasan di Kerian kepada seorg eropah bernama Edward Bacon di Pulau Pinang, tanpa persetujuan Sultan Ali. Menteri Ngah Ibrahim menjadi marah kerana kawasan Kerian adalah daerah Larut, kawasannya. dan kemangkatan Sultan Ali al-Mukammal Inayat Shah pada tahun 1871, merupakan satu penanda yg mengubah sejarah org Melayu seterusnya..


2 ulasan:

Ooo.. Mcm tu ye sejarah salasiah sultan perak... Hm.. Tp masih lagi X jumpa maklumat yg ingin saya cari..

Ooo.. Mcm tu ye sejarah salasiah sultan perak... Hm.. Tp masih lagi X jumpa maklumat yg ingin saya cari..