Sunday, May 15, 2016

ini bukan hadiah

Posted by usoPkuChai On 8:50 PM 1 comment



Tidakkah suatu hari itu sangat bermakna apabila diterbangkan dengan penerbangan kelas pertama untuk percutian selama lima hari di hotel lima bintang? Dan tidakkah ianya sangat indah apabila dapat menikmati semua keselesan and kemewahan itu dengan percuma? Tidak akan mungkin semua itu menjadi salah satu hariku hanya dengan gajiku sebagai guru.

Penerbangan MH1430 ke Langkawi sudah diumumkan untuk memasuki pesawat. Sejak dari dalam limousine ke lapangan terbang tadi aku asyik memikirkan siapakah yang membiayai semua kos perjalananku ini. Aku dijemput dari pintu rumah seumpama seorang menteri. Aku hanya diberitahu bahawa semua pembayaran sudah dilakukan. Malah aku masih tidak percaya sama ada semua ini benar-benar berlaku, atau terfikir juga mungkin juga suatu penipuan terancang. Namun semua resit bayaran dan jadual percutian sudah dijelaskan dan aku juga sudah mengesahkannya dengan pihak MAS dan hotel. Alhamdulilah.

Seumur hidupku aku adalah seorang guru. Tidak ada perkara lain yang memenuhi fikiran dan jadual harianku selama ini melainkan bagaimana untuk mendidik anak-anak muridku menjadi insan yang terbaik buat diri mereka. Memang suatu yang tidak dapat dijelaskan oleh akalku untuk apa aku diberikan layanan sebegini. Tapi biarlah, kali ini aku menikmati kehairananku untuk lima hari. 

Sesudah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, sekali lagi aku dijemput khas dan dibawa terus ke Hotel Four Seasons yang dihiasi dengan hamparan pasir putih yang bersih pantai Tanjung Rhu. Hembusan bayu Laut Andaman menyapa kedatanganku dengan lembut. Gemersik daun kelapa yang bergeser riang melagukan kedamaian yang mampu mengusir segala kegalauan hati seorang pesara guru sepertiku.

Sebenarnya Langkawi bukanlah jelajahan baru bagiku. Aku pernah mengajar di sebuah sekolah di sini lama dahulu. Mungkin hotel ini juga belum dibangunkan ketka itu. Mungkin anak-anak muridku sekarang semuanya sudah bertebaran entah kemana-mana menjalani pengembaraan hidup mereka. Aku tersenyum sendiri mengingati kenanganku sebagai seorang guru muda yang baru mula mengajar ketika itu. Dan kini aku kembali semua memijak butiran pasir halus Pulau Mahsuri ini. Alhamdulillah.

Pada hari kedua, aku agak terkejut apabila aku diberitahu bahawa aku dijemput ke suatu majlis yang akan diadakan di hotel tersebut pada malam itu. Majlis makan malam katanya. Aku jenuh memikirkan majlis tersebut kerana pihak hotel tidak menjelaskan perinciannya. Hari ini bukan harijadiku. Aku tidak pernah terlibat aktif dengan mana-mana parti politik atau persatuan yang seumpamanya. Malah aku tidak pernah menyertai mana-mana program jualan langsung. Percutian yang menghairankan ini semakin menjadi aneh bagiku. 

Tepat seusai solat isya, loceng kamar hotelku berbunyi. Dua orang perempuan separuh baya tersenyum ketika aku membuka pintu. Iras wajah yang kelihatan seperti pernah aku kenali. Aku cuba mengingati siapa mereka disela-sela perbualan kami disepanjang perjalanan ke bankuet hotel. Mereka sibuk bertanya perihal kesihatanku dan keselesaanku selama berada di hotel, seolah-oleh mereka sangat mengenali aku. Mungkin mereka hanya pekerja hotel tersebut. Mungkin juga ini yang sering disebut pelancong asing mengenai kehangatan ramah tamah orang Langkawi yang masyhur di seluruh dunia.

Malam itu menjadi semakin pelik apabila semua hadirin bangun dan bertepuk tangan sebaik sahaja aku memasuki dewan bankuet yang hebat itu. Mataku tertumpu pada tetamu yang duduk di sebuah meja paling hadapan. Semua mereka itu aku masih kenali. Memua itu adalah teman-teman seperjuanganku yang bersama-sama ketka aku mengajar di pulau lagenda ini. Hanya wajah mereka sedikit berkedut dan rambut sudah putih, seperti juga aku.

Hampir tumpah airmataku ketika berpelukan dengan teman-teman lama yang tidak pernah terfikir akan bertemu mereka lagi, terutama dalam umur seperti kami. Kegembiraan yang bertimpa-timpa apabila menyedari bahawa semua yang ada dalam dewan itu adalah bekas anak-anak didikku. Tidak tertampung lagi airmataku ketika mereka pula mengambil giliran memelukku dengan erat dan mencium dahiku sambil mengucapkan terima kasih ke telingaku. Masha-Allah.

Ketika pengacara majlis mengambil tempatnya, baru aku sedari bahawa hari itu adalah Hari Guru. Dan aku kenal siapa pengacara majlis itu. Mendengar celotehnya mengimbau kenangan waktu dia menjadi anak muridku. Memang aku tidak pernah melupakan peristiwa itu. 

Aku masih ingat waktu aku menemuinya bersembunyi di dalam surau sekolah. Ketika itu adalah Hari Guru. semua murid-murid lain berhimpun di lapangan sekolah kerana upacara meraikan Hari Guru. Dan pada hari itu, dia mengajar aku suatu pelajaran besar kepada aku sebagai guru. 

Alasannya waktu itu adalah kerana tidak sihat, tetapi sebagai guru disiplin  yang disering dianggap garang dan ditakuti di sekolah tersebut, aku tahu dia menyembunyikan sesuatu. Sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan atau betina. Ketika aku tanyakan berkenaan sebuah kotak kecik berbalut kertas putih yang dipeluknya, dia mula menangis teresak-esak. 

Katanya itu hadiah yang dia belikan untuk aku, sebagai guru kelasnya. Hasil dari jualan kelapa yang dikutipnya dikeliling rumah. Tapi dia malu untuk memberikan padaku dan kerana itu dia menyorok, mengandaikan tidak ada orang menyedari ketiadaannya, dan masuk semula ke kelas apabila upacara Hari Guru berakhir.

Aku mengenali latar belakang pelajar tersebut. Aku memang rajin berkeliling kampung ketika bujangku untuk melayani masa lapangku sambil mengambil tahu keadaan keluarga para pelajarku. Memang sebegitulah kegiatan mengisi hujung mingguku. Lapan puluh persen dari pelajar di sekolah itu datang dari keluarga miskin. Malah aku sangat memahami jika ramai pelajar yang tinggal di asrama lebih memilih untuk tidak pulang ke rumah sewaktu cuti kerana tidak mahu membebani ayah dan ibu mereka yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Yang paling mengusik hatiku ketika itu ialah apabila dia mengatakan bahawa dia bukan sekadar malu kerana hadiah sekotak sabun pencuci yang mahu diberikannya padaku, tetapi dia malu kerana dia miskin. Dia malu kerana dia sekeluarga tidak mampu untuk menghargai aku sebagai gurunya dengan baik, walau hanya satu hari dalam setahun. 

Mungkin sepuluh ringgit seorang untuk jamuan setahun sekali dan sebuah hadiah merupakan jumlah yang kecil, malah ianya jumlah yang kecil buat aku seorang guru yang bergaji kecil. Tapi aku sangat menginsafi jika ianya sangat besar buat sebuah keluarga miskin yang sentiasa bergelut untuk memenuhi keperluan seharian. Lama aku termenung menemani esakannya hingga reda. 

Dan itulah tahun terakhir aku menerima hadiah Hari Guru dan menikmati jamuan Hari Guru yang didanai oleh para pelajarku. Kuberikan konsep baru pada para pelajarku bahawa akulah yang sepatutnya menghargai para pelajarku pada Hari Guru kerana mereka telah menjadi anak didikku yang terbaik sepanjang tahun. Akulah yang patut memberi mereka hadiah kerana memberikan tumpuan padaku ketika mengajar dan cemerlang dalam setiap ujian. Perlahan-lahan konsepku itu menjadi budaya disetiap sekolah dimana aku mengajar.

"Cikgu Bakar," lamunanku terhenti ketika namaku disebut oleh Amir yang menjadi pembawa majlis malam itu.

"Cikgu pernah kata pada kami bahawa pada Hari Guru, cikgu tidak mahu hadiah dari kami. Cikgu hanya mahu kami mengucapkan terima kasih pada cikgu,"

Semua mata tertumpu ke arahku. aku hanya senyum dan mengangkat ibu jari kepadanya.

"Apa yang kami buat hari ini bukanlah hadiah Hari Guru untuk cikgu. Ini adalah ungkapan terima kami kepada cikgu kerana tidak pernah putus asa dengan kenakalan kami dan sentiasa mendidik kami tanpa jemu."

"Cikgu semua bukan sekadar seorang guru kepada kami. Cikgu semua adalah ibu dan ayah kami."

Kupandang wajah semua anak-anak didikku yang mula berdiri menghadap meja aku dan lima orang guru lain yang pernah mengajar di sekolah yang sama. sebahagian teman-teman guruku sudah tertunduk menahan keharuan dan sebahagian lagi menahan sebak dengan genangan air mata bahagia seorang guru yang dapat melihat anak muridnya mendewasa dengan hasil didikan mereka.

"Terima kasih cikgu! Terima kasih ayah! Terima kasih ibu! Selamat Hari Guru!"

Bergema dewan bankuet itu ketika mereka mengatakan itu bersama-sama dan bergemuruh dengan tepuk tangan mereka untuk kami. Tiada kata yang boleh mengungkapkan perasaanku ketika itu. Tiada hadiah yang lebih berharga dari ungkapan terima kasih itu. 

Dan saat itu aku sangat mengerti bahawa bukan keselesaan penerbangan kelas pertama atau kemewahan hotel lima bintang yang bermakna dan indah. Yang lebih bermakna ialah melihat kejayaan anak didikku. Bukan sekadar kejayaan mereka menjadi orang besar dan jutawan, tetapi yang lebih indah ialah melihat mereka menjadi insan yang baik dan soleh. 

Terima kasih Allah kerana mengabulkan semua doaku buat mereka. Alhamdulillah.

1 ulasan:

Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

pengkhususan Syarikat.
1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.