Tuesday, August 1, 2006

hikayat mat jenin

Posted by usoPkuChai On 12:41 AM No comments



Sahibul hikayat, dikisahkan akan perihal seorang pemuda yang hidup di zaman jepun menjajah Malaya. Adapun pemuda ini dinamakan sebagai mat jenin. Penggunaan panggilan mat sangat popular dikalangan orang melayu, dikatakan berasal dari kependekan nama Nabi Muhammad saw, memperlihatkan unsur2 Islam dalam penamaan melayu, menyebabkan nama panggilan ini digunakan dengan meluas sehingga seperti Mat Bulat, mat panjang, mat sarung, mat labu, mat buncit, etc.

Syahadan dijadikan cerita, mat jenin kononya seorang yang mempunyai kegemaran berfikir, oleh kerna penjajah tidak suka orang melayu berfikir mereka memberi gambaran bahawa berfikir itu sama seperti berangan-angan. Maka disebut pula oleh orang banyak mat jenin ini orang yg terlalu suka berangan-angan.

Pada suatu petang yang damai, dimana dalam waktu-waktu sedemikian orang-orang melayu biasanya sedang tidur selepas kekenyangan menikmati hidangan makan siangnya, mat jenin duduk dibawah sepohon pokok kelapa berfikir bagaimana caranya untuk menjadi kaya.

Lamunan damainya terganggu dek sergahan sepakan kaki dari sepatu bersalut besi seorang askar jepun yg mengucapkan kata-kata yg berisi perkataan antara kepala atau kelapa. Kerna masih termangu kerna tersentak dari dunia berfikirnya, mat jenin terpaksa menggunakan akalnya untuk memproses arahan askar jepun tersebut. Melihat askar jepun itu mengacu-acukan senapangnya ke atas pokok kelapa, maka yakinlah dia bahawa askar jepun itu mahukan air kelapa muda untuk menenangkan dahaganya. Segaralah mat jenin mengikat sarungnya dan mulai memanjat pohon kelapa tempat dia bersandar tadi.

Seperempat perjalanannya menuju gugusan buah kelapa muda yg menjadi ghairah sang askar jepun tadi, dia terlihat akan pemandangan yg menarik hatinya. Sesungguhnya pohon kelapa itu adalah kepunyaan datuk penghulu. Di belakang rumah datuk panghulu yang sederhana besar, tapi lebih besar dan lebih megah dari rumah org lain dikampung itu, ada tanah lapang yang menghijau dengan rumput yg segar.

Maka terlintaslah dalam hatinya betapa ruginya tanah sebesar itu tidak diusahakan. Bukankah lebih baik jika diusahakan dengan bercucuk tanam, tetapi mat jenin tahu dia tiadalah kepandaian dalam bercucuk tanam, akan tetapi mmg keahliannya dalam menternak binatang. Terbayang dihadapan matanya andai saja dia memulai penternakannya di situ, mungkin perlu seekor kambing jantan dan 20 kambing betina. Katakan dalam masa 5 bulan, sebahagian dari kambing betina peliharaannya bunting. Sebahagian boleh dijual dan kalau dia beruntung, dan dia tau dia akan beruntung kerna binatang mmg bidang keahliannya, beberapa ekor ibu kambing yg bunting itu akan melahirkan anak kembar. Kembar dua atau tiga atau empat. Senyuman yg terukir dibibirnya berubah bentuk mendengar herdikan sang askar jepun yang ternyata mulai marah kerna dia berhenti memanjat.

Pendakian mat jenin mulai beriring dengan layangan fikirannya. Bagaimana setelah ladang ternaknya berkembang, dia akan memulakan penternakan yg lain juga; biri-biri, lembu daging, lembu tenusu dan ayam. Tentang bagaimana mengembangkan perusahaannya, dengan membeli tanah-tanah disekeliling ladangnya upaya meluaskan lagi usahanya. Memberi pekerjaan kepada pemuda-pemuda kampung, malah menjual saham dalam perusahaannya kepada orang kampung, malah menambah saham untuk datuk penghulu sendiri, yang sedari mula sudah diberi saham sebagai ganti tanah yg digunakannya.

Tentang bagaimana setelah itu dia akan membuka pula rumah sembelihan yang lebih canggih dan efisien, dimana bukan hanya ternakannya, malah ternakan dari seluruh pelusuk negeri akan menggunakan khidmat sembelihannya. Tentang logo halal yang akan dipromosikannya sebagai goodwillnya terhadap kewajiban memelihara agamanya. Logo halal ini pula bukan hanya terhadap rumah sembelihannya tetapi juga untuk projek2 makanan yg dipeloporinya sebagai industri kampung untuk membantu ibu-ibu tunggal dan suri rumahtangga yang mahu meningkatkan taraf ekonominya.

Sehingga terlalu besarlah perusahaan yang dinakhodainya, akhirnya dia merasa menjadi satu tanggungjawab pada dirinya untuk turut sama membantu meningkatkan prasarana kampungnya yang sudah semakin sibuk dengan pelbagai kegiatan ekonomi. Membina dan mendanai institusi sekolah yang membolehkan dia mengajarkan pula ilmu yg dipelajarinya, agar lebih byk mat jenin muda yg boleh lebih berjaya daripada dirinya. Membina dan membiayai hospital, masjid dan rumah anak yatim.

Tibalah dia diatas pokok kepala tersebut, dalam ketika memilih buah kelapa yang mana yang harus dipetiknya, antara membuat keputusan sendiri dan mengandai-andaikan akan jeritan sang askar jepun yang semakin tidak dapat menahan marah akan kehausan yang terlampau, tiba-tiba dia terfikir..

Persoalan asas yang dia terlupakan.. kepada siapa akan diwariskan segala kejayaan atas titik peluh dan perit jerih lelahnya itu? Lupalah dia bahawa dia tidak berkahwin dalam proses itu. Diwaktu bilakah dia boleh mencari calon isteri yang sesuai buat dirinyanya? Sedang dia seorang yang yatim piatu sejak kecil menumpang teduh dirumah warisan peninggalan arwah neneknya. Bingunglah dia memikirkan akan waris pada seluruh kekayaannya.

Sementelah sang askar jepun di bawah pohon marahnya sudah meledak. Meloncat2 seperti kera yang kepedasan termakan cili yang disangkanya manis dek merahnya yang menggiurkan. Adapun dizaman itu tiada siapalah yang berani mentertawakan askar jepun walau selucu manapun kelakuan mereka, kerna pancung jugalah hadiahnya kerana askar jepun merasa terhina seakan orang melayu mengatakan mereka bodoh, sedang mereka menganggap orang melayu lah bangsa yang bodoh. Maka akan lebih terasa bodohlah jika orang bodoh mengatakan mereka bodoh. Meletakkan lebih rendah dari hinaan mereka sendiri.

Dalam senggat waktu kebingungan itu, tiba-tiba anak dara tok penghulu meninjau dari tingkap dapur, mahu melihat akan musabab keriuhan yang berlaku. Terpandang jelaslah pada mat jenin akan kecantikan anak tok penghulu, membenarkan segala bualan setiap pemuda yang melepak di setiap simpang dikampungnya. Itulah solusi pada permasalahan warisnya. Sesungguhnya tiadalah yang lebih sempurna dalam perancangannya. Selesailah sudah masalah mat jenin. Maka tertawalah beliau akan suka hatinya kerna semua perancangannya telah sempurna, sambil memuntal-muntal buah kelapa muda yang berada dalam tangannya dengan pantasnya.

Akan sang askar jepun yang melihat mat jenin tertawa berdekah-dekah diatas pokok merasa mat jenin sedang mentertawakan dirinya, yang pendek dan buncit, meloncat-loncat kemarahan seakan seekor beruk. Tersentuhnya egonya dan lupalah dia akan kehausan yang ditahannya sedari tadi. Mengacukan senapangnya ke arah mat jenin dan memetik picu senapangnya, meledaknya gema yang menakutkan orang melayu, memuntahkan peluru yang berdesup menuju ke arah mat jenin.

Tiada siapalah yang tahu apa yang berlaku selepas itu..

======================================================================================

jangan salah paham.. hikayat mat jenin aku hanya pembuka cerita.. cam appetizer jer.. sebab perbahasan dalamnya sangat serius dan menyakitkan.. sebab tuh dalam hikayat tuh aku biarkan ending dia open.. jepun tembak kenakah? mat jenin matikah? mungkin saja, sebab jepun tembak, org melayu jadi marah, memberontak, dan merdeka? bergantung kepada camna kita nak habiskan citer tuh.. kalau kita kata mat jenin mati.. sapa pulak yang tahu apa yg mat jenin pikir masa panjat pokok? sempat ker mat jenin citer masa dia nazak tuh? dah kena tembak, jatuh pokok kelapa.. itu bergantung pada cara kita berfikir.. simple yet complicated..

more discussion on the subject in [Am I wrong?]

0 ulasan: