alkisah sahibul hikayat sebuah kerajaan besar yang empayarnya melebar meluas ke sebahagian bumi sebelah sini, diberi nama negeri Berantah Patapurapura. negeri itu diperintah oleh seorang raja agung, Raja Ismail Patadipinggang, yang sangatlah adil dan bijaksana sehingga menjadi gemar dan tumpah kasih sekalian rakyat kepada baginda.maka segala pembesar dan rakyat di dalam negeri itu sedang dalam duka nestapa kerana geringnya sang raja sekembali dari melanggar geruh berburu di penjuru hujung kerajaan baginda, Pulau Patadimana, pulau terkutuk yang diceriterakan sebagai tempat pembuangan segala hantu jembalang dari zaman dahulu lagi..
adapun baginda ada meninggalkan zuriat, yang satu-satunya sepelam semangga, sebagai putra mahkota, Tengku Kudin Patadikaki, dari perkongsian hidup baginda dengan Tengku Permaisuri Juriah Patadihati, yagn telah lebih dahulu mangkat ketika melahirkan Tengku Kudin Patadikaki. namun Tengku Kudin Patadikaki itu belumlah cukup umurnya beberapa tahun lagi untuk layak memegang tampuk kerajaan sekiranya baginda ayahandanya Raja Ismail Patadipinggang pula mangkat..
tidak berapa lama, maka Raja Ismail Patadipinggang mangkat jualah menyahut jemputan Ilahi. maka berkabunglah sekalian rakyat selama empat puluh hari memakai tiadalah pakaian selain berwarna hitamlah jua. diwaktu yang sama bersidanglah segala pembesar negeri jauh dan dekat, yang telah sedia dilantik sebelumnya di dalam Majlis Pembesar Tua, untuk mesyuwarah akan bagaimanakah melaksanakan wasiat sang Raja Ismail Patadipinggang..
setelah genap empat puluh hari, dikhabarkan kepada setiap pelusuk negeri Berantah Patapurapura dan segala tanah jajahannya bahawa telah berwasiat sang Raja Ismail Patadipinggang, oleh kerana Putra Mahkota Tengku Kudin Patadikaki masih muda, baginda mahu menawarkan kepada siapa sahaja yang sanggup menanggung beban mentadbir negeri Berantah Patapurapura sebagai raja. maka berbondong2lah pembesar kampung dan negeri, panglima2 hebat dan sekalian rakyat jelata mahu merubah nasib hidupnya..
adapun penawaran itu berdatang jualah dengan syarat, bahawa bolehlah mereka itu menjadi raja berkuasa kepada negeri Berantah Patapurapura dan segala jajahannya, namun hanya sebatas lima tahun sahaja. setelah genap lima tahun tersebut, maka orang tersebut akan disingkirkan untuk selama2nya hiduplah di Pulau Patadimana hingga ke akhir hayatnya. maka apabila disebut persyaratan tersebut maka berundurlah segala pembesar, panglima dan segala yang berniat sebelumnya.
arakian, majulah seorang sosok tegap perkasa dan tegas, Panglima Utama Kedal Gagadikampung, yang telah sebelumnya memimpin pasukan berburu baginda Raja Ismail Patadipinggang berburu geruh di Pulau Patadimana, menawarkan diri menjadi pemangku raja yang memerintah negeri Berantah Patapurapura dan empayarnya yang agung. pada fikirannya, tidak mengapalah terbuang ke Pulau Patadimana asalkan dapat merasa menjadi raja, memecah halangan adat, pipit kini boleh terbang setinggi enggang, mengenau megah di tengah hutan..
maka ditabalkanlah oleh Majlis Pembesar Tua akan Panglima Utama Kedal Gagadikampung dengan gelaran Raja Kedal Sementarasaja. umpama beruk mendapat bunga, sang Raja Kedal Sementarasaja pun beraja di mata bersultan di hati. adapun pada baginda, lima tahun itu haruslah dinikmati sepuasnya. tiadalah baginda memperdulikan akan kesejahteraan sekalian rakyat jelata. menjadi telunjuk mencucuk mata terutama kepada Majlis Pembesar Tua, namun tiadalah boleh berbuat apa, memegang janji wasiat terdahulu sang raja sebelumnya. dan bersabarlah sekalian rakyat menunggu dengan setia.
hari berganti malam bergilir, sampailah tahun yang kelima pemerintahan Raja Kedal Sementarasaja. gelisahlah hati baginda sehingga terbenak jua tidak mahu melepas bulan yang jatuh ke riba. berencanalah baginda mahu membunuh Putera Mahkota Tengku Kudin Patadikaki agar terus bersambung nasib bertuahnya. namun Tuhan jualah penentu takdir, diketahui jualah oleh Majlis Pembesar Tua dan terlindung jua Tengku Kudin Patadikaki. cukup sudah menjalan wasiat, Raja Kedal Sementarasaja kembali menjadi Panglima Utama Kedal Gagadikampung dan dikirimkanlah tubuh badannya ke Pulau Patadimana untuk menghabiskan sisa hidupnya.
sayugia dinobatkan pula pertabalan Putera Mahkota Tengku Kudin Patadikaki dengan gelar Raja Kudin Patadikaki. umpama sirih pulang ke ganggang. apalagi bersambut pula dengan pernikahan Raja Kudin Patadikaki dengan permaisuri hati pilihannya, Tengku Permaisuri Ariana Retaktapatah. sorak gempita berpesta sekalian rakyat menyambut sang raja baru yang mewarisi sifat-sifat ayahandanya.
syahadan, usai adat dan istiadat, maka Majlis Pembesar Tua mendatangilah sang raja yang baru sedang bersemayam di singgahsana mengungkapkan persyaratan yang terkandung dalam wasiat almarhum Raja Ismail Patadipinggang.
adapun syarat kepada anakandanya Raja Kudin Patadikaki bahawa baginda hanya boleh memerintah sebagai raja negeri Berantah Patapurapura dan segala tanah jajahannya selama 20 tahun sahaja. setelah nanti genap 20 tahun, maka baginda juga akan dikirim menghabis usia di Pulau Patadimana dan menyerahkan kerajaan negeri Berantah Patapurapura kepada anakanda beliau pula.
muramlah kembali negeri Berantah Patapurapura seolah bulan dimakan hanuman mendengar persyaratan tersebut. terjelepuklah Raja Kudin Patadikaki di riba Tengku Permaisuri Ariana Retaktapatah. tersenyumlah akan Tengku Permaisuri Ariana Retaktapatah menghibur sang suami yang berduka mengenang nasib di masa hadapan.
beberapa tahun berlalu, mentadbirlah Raja Kudin Patadikaki dengan adil dan saksama. negeri Berantah Patapurapura menjadi makmur dan semakin tersohor serta masyhur. namun sugul tetap menjenguk hati baginda setiap waktu melihat anakanda baginda, Tengku Mahkota Jidin Patanyasipi. kasih sayang baginda tetaplah berbunga terhadap anakandanya. namun dukacita jua kerna terpaksa meninggalkan anakanda tercinta meminggirkan diri ke tempat jin dan jembalang, Pulau Patadimana.
syahadan suatu hari ketika Tengku Mahkota Jidin Patanyasipi beradu di pangkuan ayahandanya, dek kerana dukacita sudah tiada lama lagi Raja Kudin Patadikaki akan terpaksa menyerah takhta kerajaan Berantah Patapurapura kepada anakandanya dan menyingkir ke Pulau Patadimana, gugurlah airmata baginda jatuh ke muka Tengku Mahkota Jidin Patanyasipi. maka terkejutlah sang putera putera dan bertanyalah baginda akan gerangan ayahandanya berdukacita. dengan berat hati Raja Kudin Patadikaki meriwayatkan akan wasiat nenda sang putera mahkota dan bagaimana baginda harus mengikutinya kerna tiadalah boleh mengingkar wasiat apatah lagi keras dan tegasnya Majlis Pembesar Tua yang menjaganya.
maka akan sang Tengku Mahkota Jidin Patanyasipi mengusulkan kepada baginda Raja Kudin Patadikaki agar mempersiapkanlah Pulau Patadimana itu seindah mungkin supaya nanti akan lebih tenang persaraannya di sana. umpama sinar suria menyinar embun pagi mengkilau cahaya terang ke seluruh alam, sukacitalah sang Raja Kudin Patadikaki mendengar akal bijaksana Tengku Mahkota Jidin Patanyasipi. sukacitalah Majlis Pembesar Tua ketika mendapat khabar Tengku Jidin Patanyasipi dapat memecahkan ruyung dan mendapat sagu dari wasiat almarhum Raja Ismail Patadipinggang.
dibongkarlah segala sauh dan dihantarlah segala tenaga dari kalangan rakyat yang setia, yang sanggup ke Pulau Patadimana untuk menerang hutan dan membangun negeri baru. sementelah membuka negeri baru, ketemulah mereka dengan sosok mayat reput di sebuah gubuk buruk di tengah hutan. maka diketahuilah Raja Kudin Patadikaki bahawa itu adalah mayat Panglima Besar Kedal Gagadikampung yang pernah memerintah dengan gelaran Raja Kedal Sementarasaja. diperintahkanlah oleh baginda memakamkan jenazah tersebut selayaknya seorang raja.
setelah itu maka bermulalah penerokaan baru menghalau segala jin dan jembalang membangkit nuansa cinta membangun sebuah kerajaan baru. tiadalah waktu tersia-sia melain membina kerajaan tersebut. diselang waktu pemerintahannya Raja Kudin Patadikaki sering berakhir pekan ke Pulau Patadimana memantau sendiri perkembangan pembangunan.
akhirnya, sampailah waktu 20 tahun.. Raja Kudin Patadikaki menyerahkan mahkota tanda kerajaan kepada Tengku Mahkota Jidin Patanyasipi yang diangkat menjadi Raja Jidin Patanyasipi. Raja Kudin Patadikaki pun belayar ke Pulau Patadimana ditemani oleh ratusan jong dan sampan dari segenap rakyat jelata yang kasih akan kepada baginda, mahu mengabdi menjadi rakyat di Pulau Patadimana di bawah sang raja yang adil.
Raja Jidin Patanyasipi pun memerintahlah kerajaan Berantah Patapurapura dengan adil dan saksama seperti ayahandanya. dan disetiap akhir purnama, baginda pasti melabuh sauh di pinggir Pulau Patadimana menziarahi ayahandanya, Raja Kudin Patadikaki dan bondanya, Tengku Permaisuri Retaktapatah.
begitulah akhirnya hikayat, maka mentadbirlah mereka di kerajaan masing-masing dengan penuh limpah kasih sayang dari rakyat baginda berdua hingga ke akhir hayatnya.
1 ulasan:
bertindak positif pada cabaran yang tersedia demi mencipta masa depan.. tiada khabar buruk melainkan ketika kita tidak mengetahui akan kebaikannya.. canai hikmah dalam setiap takdir dengan bijaksana.. semuanya tidaklah berlaku dengan sia2.. ;)
Post a Comment