Friday, May 13, 2011

bebaskan aku: munir dan suraya

Posted by usoPkuChai On 4:29 PM No comments



Chapter 1.5 : Munir dan Suraya

***

Saya hampir terjatuh kerna terlanggar meja masa itu. Saya terkejut sebab ada orang cucuk pinggang saya. Tidak pernah ada orang berani buat saya macam tuh kecuali Munir. Saya menoleh ke belakang dan melihat Manaf tersengih-sengih. Entah kenapa waktu itu saya tidak memarahi Manaf atas perbuatan yang dilakukannya. Tidak pernah ada orang usik saya kecuali Munir. Saya kutip buku-buku saya yang berselerakan dan melangkah pergi. Ada titis airmata tergenang di kelopak mata saya.

Kenangan kembali melintas. Saya terpaksa melalui pintu keluar itu. Itu pintu keluar yang paling dekat. Tapi Munir duduk di situ. Kerusinya tepat persis di tengah-tengah pintu keluar. Meja Munir tepat di belakang kerusi saya yang sering diketuk-ketuknya dengan pensil. Dia selalu bertanya perkara-perkara yang tidak masuk akal. Saya tahu tujuan dia bukan untuk bertanya sebaliknya hanya mahu melihat saya. Saya jarang mahu melayan untuk menoleh ke belakang. Saya malu. Saya malu melihat matanya yang merenung ke dalam mata saya. Saya malu bila saya jadi terdiam setiap kali renungan itu menyentuh hati saya.

Setelah tidak mampu menahan lagi, saya bangun untuk menuju ke tandas. Saya bangun dan bergerak ke belakang ke arah pintu keluar. Itulah saatnya, buat kali pertama dalam hidup saya, seorang lelaki menyentuh saya. Munir dengan selamba mencucuk pinggang saya. Saya melatah dan dia tertawa. Saya terus berlari ke tandas dan saya ketawa sendiri. Saya lupa mengapa saya harus ke tandas. Awak nakal Munir. Awak usik saya. Awak usik hati saya.

Sekembalinya saya ke kelas, saya ambil buku di atas meja Munir dan saya pukul bahunya. Kemudian saya duduk di kerusi saya, menghadap ke hadapan sambil menundukkan kepala saya menyembunyikan tawa kecil dan senyuman yang tidak mahu pergi. Saya menguatkan diri saya untuk tidak melayan ketukan pensil di belakang kerusi saya. Saya tidak boleh berhenti tersenyum hari itu.

***

[fb:munir] saya ada simpan gambar suraya..
[fb:munir] pakai baju kurung warna coklat..
[fb:suraya] macammana dapat gambar tu?
[fb:munir] eh.. suraya laa bagi masa lepas spm..
[fb:suraya] saya tak ada gambar munir..
[fb:suraya] tapi saya ingat munir yang dulu..
[fb:suraya] gambar dalam fb suraya tak kenal munir lagi..
[fb:munir] saya tahu awak suka saya..
[fb:munir] dan saya tahu saya sayang awak..
[fb:munir] tapi saya budak bodoh masa tuh
[fb:suraya] mana tau saya suka?
[fb:munir] mana tau suka? haha.. sebab masa tuh saya tahu saya sayang awak..
[fb:suraya] taakk..kita selalu main mata dlm kelas..
[fb:munir] oo masa tingkatan lima?

***

Aku punya alasan baru untuk bangun pagi dengan semangat dan pergi ke sekolah. Aku mahu menikmati redup matanya yang meneduhkan keresahan dalam hatiku. Ada sesuatu dalam renungan itu. Buat kali pertama aku merasakan bahawa waktu persekolahan itu tidak cukup panjang. Bukankah sepatutnya waktu persekolahan itu diperpanjangkan sehingga petang. Atau mungkin lebih baik untuk calon peperiksaan diwajibkan untuk belajar siang dan malam bersama-sama.

Nora memberitahuku bahawa mereka sering ke perpustakaan daerah selepas waktu sekolah untuk mengulangkaji. Dan aku mengetahui bahawa Suraya juga ikut serta dalam kumpulan tersebut. Maka aku pun membuat perancangan baru bersama Hanif. Dengan segala macam alasan aku mempengaruhi Hanif untuk percaya betapa pentingnya ke perpustakaan selepas waktu sekolah. Hanif bersetuju kerana perpustakaan itu terletak di jalan yang sama dilaluinya untuk pulang ke rumah. Maka bermulalah hari-hari aku berbasikal berulang-alik dari perpustakaan bersama Hanif. Tak terasa penat menganyuh beberapa kilometer sehari, asalkan aku dapat menikmati wajah itu lebih lama.

Namun selama semua itu berlaku, tidak sekali pun aku berani menghampiri meja mereka, duduk, menatap wajahnya dari dekat, apalagi untuk bersembang berdua dengannya. Segala kesempatan itu aku biarkan, kerna aku dengan tiba-tiba kehilangan akal untuk berfikir apa yang harus aku lakukan. Kakiku seperti tidak bermaya untuk melangkah lebih dekat. Sesekali aku memberanikan diri datang ke meja mereka dan berborak dengan Nora dan Normah. Mungkin lebih tepat hanya menyapa mereka. Dadaku berdebar seolah-olah mahu meletup ketika berselisih dengan Suraya. Setiap kali aku mencuba untuk memandangnya dari dekat, aku terasa seperti berlakunya ledakan dalam kepalaku sehingga aku jadi tidak tahu mahu berfikir apa-apa, tidak tahu mahu mengatakan apa, mulutku jadi terkunci, dan aku pun berlalu. Meninggalkan Nora dan Normah yang tertawa kecil melihat kelakuanku.

“Kau nih casanova penakut. Duduk jer laa sebelah dia,” Hanif pernah mencadangkan pada aku.

Aku jadi lebih tak tentu arah bila Hanif berpindah meja dan duduk bersama mereka. Dia memang muka tak malu. Segala macam perasaan muncul ketika itu. Perutku tiba-tiba memulas. Nafasku tersengal-sengal waktu aku menyorok di belakang rak buku, memposisikan diriku seolah-olah sedang mencari buku, tapi sebenarnya mengintai Suraya dari celahan buku-buku puisi yang tersusun rapi. Andai saja mampu aku berhentikan masa waktu itu, aku mahu terus di situ memandang ke arahnya. Dia mengangkat wajahnya dan memalingkan ke arah rak buku tempat aku bersembunyi. Dia tersenyum sebelum kembali menundukkan wajahnya ke arah buku. Aku lihat jelas, senyumnya masih di bibir merahnya waktu dia mengangkat buku menyembunyikan senyuman itu dari Nora, Normah dan Hanif. Senyuman yang sering aku rindukan dalam setiap mimpiku.

***

[fb:munir] ingat tak masa spm tuh i duduk belakang u?
[fb:munir] masa spm ker masa percubaan spm.. macam tuh laa
[fb:suraya] ingat tak masa kuarantin amali fizik? u duduk sebelah i..
[fb:munir] ingat tak i penah nanyikan u lagu ramli sarip?
[fb:suraya] mesti..
[fb:suraya] kau kata kau cinta..kau kata kau sayang..
[fb:munir] hahahaa... i ingat..
[fb:munir] tuh laa i tak senonoh..
[fb:munir] i nak peluk u masa tuh sebenarnya tapi orang ramai.. haha
[fb:munir] lepas tuh kita selalu dating..
[fb:munir] haah.. tak sangka cerita kita sama dengan lagu tuh
[fb:suraya] istilah cinta..
[fb:munir] istilah bercinta
[fb:suraya] ok..sambung..tapi entah kemana..
[fb:suraya] betul tu macam cerita kita..
[fb:munir] tetiba lak i rasa sedih...
[fb:munir] good ol’ time..

***

Peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia 1988 sudah bermula. Kelas kami ditempatkan di sebuah makmal bersama kelas sains yang lain. Sebahagian dari rakan-rakan sibuk mengulangkaji. Sebahagiannya lagi berborak-borak yang tidak aku ketahui butir kisahnya. Bunyi riuh suara bersembang yang berselang-seli dengan derai tawa remaja berumur tujuh belas tahun memenuhi ruang makmal. Aku meletakkan beg sekolahku yang hanya berisi sebuah buku dan dua batang pen di atas meja makmal. Aku melihat dia bersama teman-temannya, membelakangi aku yang baru memasuki pintu makmal.

“kau baca apa nip? Tak payah baca-baca lagi. Orang baca buku sebulan sebelum periksa bukan sejam sebelum periksa. Letak buku tuh, meh layan aku,” aku menyapa Hanif yang sedang bersungguh-sungguh tunduk membaca buku tebal biologi dalam upayanya untuk memahami dan menghafal istilah-istilah yang jarang-jarang sangat digunakan dalam kehidupan seharian.

“kau jangan kacau aku boleh tak?” aku terkekeh-kekeh ketawa melihat cemberut marahnya.

Mata aku melirik memandang ke arahnya dan aku nampak dia juga sedang memandang ke arahku. Mata kami sempat bertemu sebelum dia memalingkan wajahnya yang memerah dicuit malu. Malu seorang gadis yang sudah terusik hatinya. Ini bukan kali pertama pandangan kami bertembung seiring getar kecil dalam hatiku. Kami sering beradu pandang dalam setiap kesempatan di kelas.

Aku masih ingat pada suatu ketika dia mencabar aku untuk beradu pandang, salah satu permainan konyol remaja sebaya kami di waktu itu. Siapa yang berkelip mata dahulu akan kalah. Aku duduk di hadapan mejanya memandang tepat pada dua bola matanya yang bersinar. Terlihat dalam bola matanya ketulusan yang terpancar dari hatinya. Dia memandang tepat ke mataku seolah mahu mengatakan sesuatu. Mata kami beradu hinggalah aku mengatakan bahawa aku ada lipas dalam tanganku, seraya aku memegang tangannya dan meletakkan habuk pensil ke dalam genggamannya. Dia meloncat ketakutan sambil menepuk-nepak tangannya dan mulutnya mengomel memarahi aku.

“Munir! Mari sini.. aku nak kau tulis lagu..” suara Nora menjerit sambil melambai-lambaikan tangannya ke arahku.

“tapi kau kena nyanyi sekali masa tulis” sambung Nora ketika aku mula menghampiri mereka.

“ok tapi Suraya yang tulis,” tanpa memperdulikan rakan-rakan yang lain, aku menarik kerusi dan merapat duduk di sebelah Suraya. Terasa tubuhku menggigil dalam keberanian yang dibuat-buat.

Nora tersengih-sengih melihat aku dan Suraya. Aku tahu mereka tahu, bukan hanya Nora tapi sebahagian besar budak-budak perempuan kelas kami. Walaupun aku dan Suraya tidak pernah mengakuinya, apalagi berpacaran atau duduk berdua bersendirian, tapi aku tahu mereka tahu bahawa ada sesuatu antara aku dan Suraya, dan mereka memang sangat tegar bersungguh-sungguh mahu itu semua berlaku. Dia hanya menundukkan kepala tanpa memandang aku. Tulus malu. Aku pula mengumpul segala semangat untuk jadi berani. Dua tahun aku di sekolah ini, aku tidak pernah duduk bersama-sama dengan perempuan sedekat itu. Kami sangat dekat hingga kakiku bersentuhan dengan kakinya. Terasa sentuhan itu seperti arus listrik menyengat tubuhku.

“Apa lagunya?” tanya Suraya. Akhirnya dia memandangku. Aku tersenyum dan dia tersenyum. Tangannya cepat mencubit perutku. Aku melirih kesakitan. Tapi dalam hati aku rela tangan itu mencubit bahagian mana sahaja di tubuhku seumur hidup.

Aku pun menyenandungkan lagu ‘Istilah Bercinta’ dengan menggayakan suara serak-serak basah Ramli Sarip. Aku pandang wajahnya yang sibuk tunduk menuliskan lirik tersebut di atas sebuah buku. Aku tidak tahu sama ada Nora atau Suraya yang mempunyai idea tersebut, menulis lirik lagu dari setiap rakan-rakan sekelas kami sebagai kenangan. Suraya semakin tidak mendongakkan wajahnya dan berpura-pura semakin kyusu’ menuliskan setiap bait lirik yang harus dipadam dan dituliskan lagi kerna aku terlupa. Bukan kerna aku terlupa, tetapi aku sengaja memanjang-manjangkan sessi itu. Setan merasukku mulai menggatal dan konon-kononnya secara tidak perasan aku menyentuhkan kakiku pada kakinya. Aku nampak dia tersenyum. Senyuman yang cuba disembunyikannya dari celahan tudung putihnya.

Istilah Bercinta

Kau kata kau cinta
Kau kata kau sayang
Kini entah dimana
Tiada lagi kemesraan
Kau kata setia
Hanya aku saja
Tapi hilang kemana
Tiada lagi kenangan
Kutabahkan hati
Kugenggam azimat
Untukku balut luka semakin mendalam
Biar kuhadapi walaupun tergugat
Akan kubenamkan biar jadi debu
Kini kumengerti istilah sebenar didalam bercinta
Tiada kepastian tiada penentuan akan kebahagiaan
Semua pencinta haruslah berkorban tiada batasan

Ternyata lagu itu bukan sekadar lagu. Ternyata lagu itulah yang mewarnai perjalanan kehidupan kami seterusnya. Tatapan dari matanya yang bersinar dan senyumnya kegelian ketika melihat aku berusaha penuh perasaan menyanyikan suara serak Ramli Sarip tetap abadi dalam kenanganku. Kadangkala aku masih terasa dingin telapak tangannya yang lembut waktu mengusir tanganku yang tanpa sengaja terpegang tangannya sewaktu mengambil pen dari tangannya setelah selesai sessi nyanyi dan tulis lirik hari itu. Waktu itu aku yakin tahu bahawa aku sudah jatuh cinta lagi. Sesaat itu aku sudah tidak ingat pada Anizah lagi, dan selamanya.

***

[fb:suraya] mana ada dating..
[fb:suraya] kita tak pernah dating..
[fb:suraya] kita buat tak tahu..
[fb:munir] eleh.. u yang jual mahal masa tuh
[fb:munir] i selalu kacau u lepas ujian
[fb:suraya] kalau munir tau citer suraya kat usm..munir lagi sedih..
[fb:munir] apa jadi kat usm? cerita laa
[fb:suraya] bila harijadi u?
[fb:munir] dah lepas.. 5 feb
[fb:suraya] saya tak ingat ada tak saya ajak munir jumpa kat pantai berembang masa harijadi..
[fb:munir] emm.. masa harijadi ? tak ada kot
[fb:munir] ingat tak masa i datang raya umah u.. malam-malam..
[fb:suraya] mana u pernah datang..tipu lah..
[fb:munir] ada laaa.. i datang.. tuh laa sekali i datang
[fb:munir] haa u yang tak ingat
[fb:munir] habis satu rumah u keluar nak tengok bakal menantu yang mana satu
[fb:suraya] ye ke datang? tipu lah..
[fb:suraya] tapi i tau u jual mercun dengan sepupu kat tepi apa supermarket tu..
[fb:munir] jual mercun lepas spm..
[fb:munir] eh.. tak singgah beli pun
[fb:suraya] ada beli lah..u yang tak ingat..
[fb:munir] i memang ada datang raya umah u..
[fb:munir] raya lepas spm rasanya..
[fb:munir] mana ada raya lain kita sama-sama..
[fb:munir] cerita kita nih pendek jer sebenarnya tau..
[fb:munir] dari lepas spm sampai u masuk sekolah dato sulaiman
[fb:munir] lepas u masuk dato sulaiman, u marah i sebab tau citer i kat tun kenanga..
[fb:munir] masa tuh u dah tak nak cakap dengan i dah
[fb:suraya] u silap.. cerita u sampai.. saya masuk wad gila..
[fb:munir] suraya.. saya minta maaf atas apa yang saya buat kat hidup awak..

***

0 ulasan: