Ia adalah tempat yang
sentiasa menjadi kegemaranku di suatu masa dahulu. Papa hampir tidak pernah
gagal untuk membawaku ke sana pada setiap malam minggu. Hanya kami berdua. Kami
duduk bersama di pinggir tebing terakhir dunia menikmati lautan bintang yang
tidak bertepi hingga matahari datang lagi menyempurnakan kitarannya.
“Kau tahu kenapa ini penghujung
dunia?” papa menatap langit dengan senyuman kecil.
Aku melihat sekeliling
sambil menggeleng kepala. Hanya ada kelam menyelimuti malam. Cuma ada dingin
memeluk suasana. Dan sunyi yang membisu.
Papa tertawa lembut
seperti bunyi angin malam, “Kerana di sini, dunia yang kita kenal berakhir.
Tidak ada jalan pulang. Tidak ada manusia, tidak ada bunyi kota, tidak ada
beban kehidupan. Yang tinggal cuma kita, bintang-bintang, dan keheningan yang
berbicara. Ini adalah tempat di mana segalanya menjadi mungkin. Di sini, dunia
yang kau kenal berhenti, dan cerita baru boleh dimulakan.”
“Tapi, papa, kalau aku
ceritakan tempat ini kepada orang lain, tidak ada yang akan percaya.”
Papa menoleh kepadaku
yang mengenyitkan dahi kebingungan. Matanya bersinar dengan senyuman penuh
misteri.
“Kebenaran bukan
sesuatu yang perlu dipercayai oleh semua orang untuk menjadi nyata. Hujung
dunia ini adalah rahsia langit dan bumi. Rahsia hanya untuk mereka yang berani
mencarinya.”
“Sempadan antara mimpi
dan realiti?” aku mencuba menitip nuansaku sendiri.
“Hanya di sini, kau
boleh mendengar suara alam semesta,” mata kami kembali Bersama-sama menjejak bintang-bintang
di langit.
Sepanjang hidupnya,
papa sentiasa mempunyai pemikiran sendiri yang non-ortodoks dan tidak jarang
kedengaran absud di telinga umum. Kata papa, mereka belum faham kerana didogma
dengan berita palsu yang terlampau banyak. Atas alasan itulah tindakan dan pemikiran
papa sentiasa menongkah arus perdana. Devian dan anti-establishment
tempelak mereka.
Papa tidak pernah
merasa terganggu dengan semua label masyarakat. Katanya, “Semua pemikir agung
itu dianggap gila pada zaman mereka. Selagi kita tahu apa, mengapa dan bagaimana,
yang lain tidak penting. Kebenaran tetap kebenaran walaupun hanya seorang
sahaja yang menyedarinya.”
Jika tidak kerana papa
selalu membawaku ke sana, aku juga akan seperti orang-orang ‘normal’ yang lain
yang tidak akan mempercayainya. Tempat kami duduk itu merupakan tempat yang
paling papa sukai. Dari kedudukan itu kami dapat melihat dengan jelas semua bintang-bintang
yang bertaburan berlantaikan langit hitam pekat yang tanpa sekelumit awan pun.
Papa suka menunjukkan
kepada aku bintang kegemarannya, Shi’ra atau lebih popular dengan nama Sirius,
yang merupakan bintang paling terang. Lebih terang dari Polaris si bintang utara
yang sentiasa tetap di posisi yang sama di langit.
“Sirius itu dua kali
lebih besar dan terang dari matahari. Orang Yunani menamakannya Sirius yang
bermaksud sangat panas. Jadi jangan terlalu serius anakku, nanti kau akan
memanas dan terbakar. Haha!” canda papa dan kami tertawa bersama.
Setiap kali kami ke
sana, sambil berbaring beralaskan rerumputan, papa akan menganyam berbagai
kisah mitos - tentang dewa yang berlari di
antara bintang-bintang, perihal wira yang kental dalam pertempuran kosmik dan
balada cinta kayangan yang dibadai derita rindu - mengenai setiap konstelasi bintang yang
dilukiskannya dengan jari untuk menunjukkan pola yang diwujudkan oleh gugusan
bintang. Tidak jarang lukisan jari papa akan hidup dan bergerak-gerak seiring
dengan naratif papa yang saling mengaitkan kisah setiap satu buruj bintang.
“Langit itu umpama
kanvas kosong dan bintang-bintang itu adalah titik warna yang mewarnai kegelapan.
Yang menjadikan ianya sebuah lukisan adalah imaginasi dan kreativiti kita.
Setiap kebudayaan di dunia mempunyai lukisan dan kisah mereka sendiri di
bintang-bintang itu. Ikan kembar yang dilihat oleh orang Rom dari atas gunung
tidak sama dengan ikan berkembar menurut orang Arab yang di tengah padang
pasir, dan begitu juga kelainan dari sisi pandang orang Cina di tengah lautan.”
“Kalau begitu kita juga
boleh membuat rasi kita sendiri, kan papa?”
“Benar anakku. Jiwa
yang bebas dapat meneroka fikiran mereka sendiri. Bukan hanya sekadar pak
turut. Kita yang patut mencorakkan kepercayaan kita dan kisah kita sendiri.
Seperti bintang-bintang itu yang memang sudah tetap kedudukannya tetapi manusia
yang memberikan nama dan jiwa pada nama tersebut. Dunia ini adalah milik mereka
yang berani bermimpi. Jadilah orang yang berani, ciptakanlah kisahmu, dan
warnai langitmu sendiri”
Kadang kala kami lebih
lama hanya berdiam diri menengadah ke langit menyelami keluasan alam yang gelap
dan sepi, merasakan kekerdilan sebagai makhluk. Betapa jika bintang-bintang itu
hanya umpama butir pasir di pantai, maka sehebat apakah kita ini sebagai batang
tubuh manusia berbanding alam semesta ini.
Malam itu aku
mengunjungi hujung dunia itu lagi. Kali ini bersendirian. Papa sudah tidak
sesihat sepuluh tahun dulu. Doktor sudah berkali-kali menasihatkan dia untuk
duduk berehat dan tidak lagi berembun mengkaji langit di waktu malam. Papa kini
lebih banyak menghabiskan masanya dengan menulis dan membuat konten sosial
media, walaupun dia sedikit khuatir kerana katanya generasi muda lebih suka
mendengar kisah mitos daripada ilmiah yang cuba disampaikannya hinggakan dia
terpaksa memitoskan banyak fakta supaya sekurang-kurangnya dapat diambil ibrah
dan iktibar dari kisah-kisah tersebut.
“Kalau papa mati nanti,
papa akan jadi bintang?”
Papa menggenggam tangan
kecilku ketika itu, “Mungkin, atau mungkin sekadar jadi debu bintang yang akan
bertebaran ke seluruh kosmos, selamanya menjadi sebahagian dari alam semesta.”
Ada tahi bintang
meluncur membelah atmosfera dengan jalur cahaya terang akibat kepanasan yang
disebabkan oleh tekanan dan geseran udara di angkasa. Aku cuba menjengok lebih
dalam apa agaknya yang ada dalam kelam langit di sebalik bintang-bintang itu.
Sungguh lebih banyak gelap dari terang, namun dalam setiap kegelapan itu pula
masih tetap akan wujud bintang-bintang lain yang mengeluarkan cahaya mahupun
membalikkan cahaya dari bintang yang lain.
“Jangan takut kepada kegelapan
yang sememangnya luas dan penuh rahsia. Ia hanya ruang yang menunggu untuk
diterangi dan diceritakan.”
Terlalu luas alam
semesta ini untuk diterokai. Setiap kali aku cuba untuk melihat cakrawala lebih
jauh dalam kegelapan jumantara, sentiasa aku akan dapat melihat setitik cahaya.
Mungkin ada kehidupan lain di sana. Mungkin juga ada aku di penghujung dunia
sebelah sana memandang ke langitnya, mencari kisah yang sama. Cuma kalau hujung
dunia ini sahaja pun orang tidak percaya bagaimana mahu membenarkan wujud hidup
di dirgantara sebelah sana. Aku sendiri pun pernah untuk tidak
mempercayainya.
“Aku tidak akan
mempercayainya jika aku tidak melihatnya sendiri,” aku pernah cuba berlogik
sambil berusaha untuk tidak berlaku kurang sopan ketika pertama kali aku memaksa
papa untuk mengajakku ke hujung dunia ini. Namun papa hanya tersenyum sambil
membelai kepalaku.
“Bukan begitu anakku. Kau harus percaya sebelum
dapat melihatnya.”
0 ulasan:
Post a Comment