[cut to: dark]
Gelap. Gelap segelap-gelapnya. Tidak ada sepicing sinar pun. Tidak ada setitik cahaya pun yang sekurang-kurangnya dapat menuntun untuk aku memulakan gerak. Malah aku sendiri seakan tidak pasti sama ada aku sedang duduk bersandar atau sedang baring menelentang. Gelap. Segelap-gelapnya, dan mulai membuat aku sesak nafas.
Sesak. Sesesak-sesaknya. Seolah tiada udara dalam kegelapan ini. membuat aku tercungap-cungap mencari udara. Seolah lemas kerana aku tidak pasti bagaimana mahu bernafas. Atau mungkin fikiranku saja yang lupa bagaimana untuk bernafas sehingga aku kelemasan dalam kegelapan. Sesak. Sesesak-sesaknya, dan membuatkan aku takut.
Takut. Setakut-takutnya. Jantungku berdegup kencang dan terasa sekali seluruh bulu roma tubuhnya tegak berdiri. Badanku mula terasa ada butir-butir air yang aku yakin sekali itu peluhku sendiri. Tubuhku mulai menggigil sejajar dengan degupan keras jantungku. Ketakutan menyelubungi seluruh fikiranku, sama seperti kegelapan ini yang menyelimuti diriku hingga aku kelemasan. Takut. Setakut-takutnya, dan aku tidak ingat apa-apa lagi setelah itu.
Dimana aku?
[pause]
Entah berapa kali aku pengsan dan tersedar. setiap kali aku terjaga, masih juga aku tenggelam dalam kegelapan. Sehingga aku merasakan aku harus menerima saja kegelapan ini. Bahawa ini bukan sekadar mimpi ngeri dalam tidur-tidurku yang terdahulu. Nafasku sudah tidak sesak lagi. Jantungku kembali berdegup normal. Hanya mataku masih tidak dapat menghadam kegelapan. Antara redha dan pasrah.
Tanganku meraba-raba persekelilinganku. Aku cuba melihat dengan sentuhan, dan aku visualkan sentuhan itu dalam fikiranku. Setiap rabaan ke dinding-dinding yang ada disekelilingku, aku lakarkan gambarnya dalam fikiranku. Sehingga aku akhirnya aku dapat melihat dengan jelas dalam fikiranku. Akhirnya aku dapat melihat dan menyedari bahawa aku terperangkap dalam satu ruang sempit. Antara pasrah dan redha.
Apa yang harus aku lakukan seterusnya?
[pause]
Dalam kegelapan yang penuh dengan kesunyian itu, aku mulai mengorek dinding di hadapanku. Aku pasti dinding itu hanya diperbuat dari tanah. Aku sangat kenal bau tanah yang basah. Hanya dinding hadapanku itu saja yang diperbuat dari tanah. Dinding yang lain agak lebih keras. Mungkin diperbuat dari kayu atau batu. Tidak dapat aku pastikan. Dan aku terus mengorek dinding tanah tersebut. Berharap ia akan membawaku keluar dari kegelapan. Harapanku mengatasi ketidakpastian.
Aku yakinkan diriku sendiri untuk terus mengorek dinding di hadapanku, Walaupun aku sendiri tidak pasti sama ada ia akan membawa aku keluar atau mungkin saja membawa aku masuk kearah kegelapan yang lebih dalam. Aku katakan pada diriku bahawa aku harus terus berusaha kerana hanya itu usaha yang boleh kulakukan ketika itu. Lebih baik daripada menunggu dan terus menunggu. Tidak ada apa yang boleh membuatkan aku lebih rugi dari situasi aku sekarang. Harapanku mengatasi ketidakpastian.
Mungkin di hujung terowong yang aku gali dalam gelap ini akan menemukan aku dengan cahaya.
Atau mungkin juga terowong ini akan terus menenggelamkan aku dalam kegelapan dan kesunyian.
Namun aku sedar aku harus berusaha melakukan sesuatu.
Aku tidak boleh hanya berdiam diri dan mengharap sesuatu yang lebih tidak pasti.
Aku perlu meneruskan apa yang boleh aku lakukan.
Harapanku mengatasi ketidakpastian.
Sekurang-kurang aku tahu aku menuju sesuatu.
Sekurang-kurangnya aku tahu aku berusaha untuk menyelamatkan diriku.
Sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak akan putus asa.
Sekurang-kurangnya jika pun nanti terowong ini tidak ada kesudahannya, aku tahu aku sudah berjuang.
Sekurang-kurangnya jika nanti aku mati sebelum sempat terowong ini membawa aku keluar, aku puas hati kerana aku tidak mati beragan tanpa melakukan apa-apa.
Harapanku mengatasi ketidakpastian.
[pause]
Aku sudah tidak tahu berapa jauh aku menggali terowong ini. Terlalu gelap dan sunyi.
Aku juga sudah tidak tahu berapa lama aku berada dalam terowong ini. Masa dan hari sudah lama aku terlupakan.
Dan aku terus menggali dan menggali..
... dan menggali..
[fade to: white]
1 ulasan:
👍😂
Post a Comment