“Itu melanggar nilai moral dan etika kemanusiaan!” bentak Rashid.
Zainab memang sudah mengagak Rashid tidak akan pernah bersetuju dengan apa saja pendapatnya. Sejak dari awal pernikahan mereka, yang diatur oleh keluarga untuk menjaga salasilah keturunan, Rashid bukanlah seperti yang dia sangkakan diawal perkenalan. Jauh dari romantis, malah sangat kasar dan tidak pernah mahu mengalah untuk apa pun. Bukan tidak pernah dia rasa mahu menghentak muka suaminya dengan gelas minuman, menikam lehernya dengan garfu atau mengorek biji mata suaminya dengan sudu. Semua kemahuan itu sudah lama bermain di fikirannya tapi untuk sekali ini Zainab mahu Rashid menghormati pendapatnya - biar apa pun terjadi.
“Jika itu dapat menciptakan manusia yang lebih baik dan menjadikan kehidupan masyarakat lebih sempurna, tidakkah itu satu kebaikan yang besar?” Zainab cuba merasionalkan pendapatnya.
“ Tapi siapa kita untuk menentukan kehidupan seorang manusia lain? Manipulasi ini harus dihentikan. Kita tidak boleh menjadi Tuhan!”
Zainab mencemik Rashid yang bercakap tentang nilai dan etika sedangkan perangai dia sendiri jauh dari perkataan yang disebutnya. Namun Zainab tahu betapa ayat itulah yang akan mensyahmat segala senarai hujah untuk dia mempertahankan eksperimen yang sudah ditekuninya sejak 10 tahun dulu. Itu jugalah ayat yang diulang-ulang oleh Rashid setiap kali perbalahan dibangkitkan.
Bukan Rashid saja yang tidak bersetuju dengan projek Resonova, sebuah program replika genetik yang diterajuinya setelah bertahun dia memujuk dan melobi ayah mertuanya, yang juga merupakan penguasa negara yang kata-katanya merupakan keputusan arahan dan undang-undang, malahan hampir semua daripada ketua-ketua puak dan ketua-ketua agama juga membantah program tersebut. Ayah mertuanya hampir saja membatalkan program tersebut hingga dia terpaksa meneruskan eksperimennya dalam bayangan eksperimen untuk mencipta klon benih tumbuhan yang berupaya memberi hasil yang lebih baik dan tahan terhadap iklim yang melampau di negaranya.
Pembangunan program rahsianya sudah mencapai tahap kemuncak. Sejak beberapa tahun lalu pasukannya telah berjaya mengembangkan ujikaji mereka kepada haiwan dan malahan juga manusia. Kerana itu dia mulai membuka semula polemik mengenainya pada khalayak awam. Bukan suatu yang mudah tapi dia tahu beberapa organisasi sudah mulai menerima ideanya dan mula mempromosi serta melobi altar kekuasaan.
“Hujah menolak program ini hanya menumpukan pada aspek idealistik mengenai konsep kebebasan sebagai manusia, dan mengetepikan realiti kemampuan praktikal program ini sendiri. Replika genetik tidak mempengaruhi keseragaman psikologi. Klon masih berupaya mempunyai pemikiran dan perasaan tersendiri,” Zainab teringat penjelasan salah seorang pakar dalam pasukannya ketika ditemuramah di salah satu saluran audiosiar terkemuka.
“Manusia bukan komoditi yang boleh sesuka hati dicipta dan dijual beli. Jadi kalau seorang bapa tidak menyukai anaknya, dia boleh mencipta anak yang baru? Yang lebih baik? Begitu?” Rashid meneruskan leterannya.
“Isteri juga boleh menggantikan suaminya yang menjengkelkan,” gumam Zainab kegeraman sambil bersandar berpeluk tubuh.
“Apa kau sudah gila Zainab? Hari ini kau tunjukkan pada aku klon seekor unta, esok apa lagi? Kau mahu klon aku pula?”
“Sudah semestinya Rashid. Kau suami yang tidak berguna. Kau hanya lintah tidak sedar diri yang menghisap hidup atas kekayaan ayahmu dan bukan usahamu sendiri,” bisik Zainab dalam hatinya.
“Aku sendiri akan minta ayah hentikan projek gila kau ini!” Rashid mahu bangun dari sofa kulit mewah yang dijahit khusus untuknya dan menuju ke pintu sebelum Zainab memegang bahunya menahan untuk terus duduk.
“Jangan cepat sangat marah sayang. Kita kan hanya bersembang,” Zainab memeluk Rashid memujuk agar suaminya itu tenang. Selepas itu hanya terdengar dengusan suara Rashid menahan kesakitan akibat tusukan belati dilehernya.
“Hantar pasukan Echo ke ruangan
kerjaku. Potong memori 5 jam terakhir dan hantarkan penggantinya ke kamar
tidur,” Zainab memberi arahan dengan tegas sambil membalut leher Rashid dengan
selendangnya supaya tidak mengotori sofanya.
0 ulasan:
Post a Comment