masa mula2 nak tulis psal Johor nih, aku ingat cukup muat dalam satu tajuk saja, tapi akhirnya aku terpaksa bersetuju bahawa terlalu byk perkara yg menjadi asas kepada cetakan politik org melayu seterusnya. ini bahagian yg menunjukkan kehandalan org melayu bermain politik. dalam bahagian nih kita jengok dulu latar belakang dan sedikit pensejarahan kelompok2 yg memainkan peranan utama.
yg pertama ialah keluarga bendahara Tun Habib Abdul Majid. ibunya adalah melayu dan bapanya merupakan keturunan kepada Sayyid Abdullah Al-Idrus, berasal dari Hadhramaut, yg bermastautin di Aceh di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Mansur Shah, dan menikahi putri baginda, yg kemudiannya melahirkan Sayyid Zainal Abidin. Putra Aceh, Sayyid Zainal Abidin, kemudian berpindah ke Johor dan menikahi Tun Kaishi, anak perempuan Bendahara Sekudai Tun Jenal (cucu kepada Bendahara Tun Sri Lanang), dan kemudiannya menggunakan nama Tun Dagang.
dari jurai ini kemudiannya lahir Maharaja Sri Diraja yg kemudiannya mempunyai anak, Tun Habib Abdul Majid, Sayyid Jaafar (Dato Pasir Diraja) dan Putri Bakal. Tun Habib mempunyai beberapa anak dari isteri yg berbeza, antaranya Tun Habib Abdul Jalil, Tun Abdullah, Tun Abdul Jamal, Tun Mas Anum dan Tun Mas Jiwa, yg semuanya kemudian dilantik menjadi Bendahara Johor-Riau, serta Tun Zainal Abidin yg kemudian dilantik menjadi Bendahara Trengganu.
Tun Habib Abdul Majid pula kemudiannya digantikan oleh anaknya, Tun Habib Abdul Jalil, yg bergelar Bendahara Paduka Raja. Tun Habib Abdul Jalil ini kemudiannya ditabal menjadi Sultan Johor dan mempunyai tiga org anak, Raja Sulaiman, Tengku Tengah dan Tengku Kamariah.
yg kedua ialah keluarga Raja Temenggung yg bersemayam di Muar. pada pertengahan abad ke-17, Sultan Mahmud Shah II menikahi Putri Bakal, adik kepada Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Sayyid Jaafar, Dato Pasir Raja. sebagai mahar, Dato Pasir Raja dikurniakan daerah Muar untuk diperintah olehnya. Raja Temenggung Muar yg pertama ialah Sa Akar Diraja.
maka tersebutlah dalam sejarah melayu, Sultan Mahmud Shah II yg mangkat dijulang pada tahun 1699 tanpa meninggalkan zuriat. orang kaya2 Johor pun pergi ke Muar bertemu Sa Akar Diraja, yg kemudiannya menunjuk kepada Bendahara Paduka Raja, Tun Habib Abd Jalil, untuk ditabalkan menjadi Sultan Johor, bergelar Sultan Abdul Jalil IV.
dikisahkan bahawa Sultan Johor yg baru ini memerintahkan agar semua isteri kepada Sultan Mahmud Shah II dibunuh, supaya nanti tidak ada yg akan menuntut takhta. bagaimanapun mengikut Hikayat Negeri Johor dan manuskrip Pahang, seorang isteri baginda bernama Che Mi berjaya melarikan diri ke Minangkabau dan melahirkan Raja Kechil.
menurut kisah dari Riau pula, salah seorang isteri Sultan Mahmud II yg bernama Che Pong, diselamatkan ke dalam hutan oleh Nakhoda Malim, seorg hulubalang yg setia kepada sultan. ketika dalam pelarian itu lahir Raja Kechil di hulu Sungai Johor. kedua beranak itu kemudian dibawa ke Jambi langsung ke Indragiri dan terus ke Pagaruyung. adapun kemudian Raja Kechil dijadikan putera angkat Raja Pagaruyung, dgn gelar Yang Dipertuan Cantik Raja Kechil.
setelah Che Pong mangkat sekitar tahun 1719, Raja Kecil berniat menuntut bela ayahandanya. Raja Pagaruyung membantu niat itu dan memberi pengiring yg terdiri dari org besar2 dan hulubalang, antaranya Syamsuddin (Sri Perkiraan Raja - Datuk Tanah Datar), Bebas (Sri Bejuangsa - Datuk Lima Puluh), Syawal (Sri Dewa Raja - Datuk Pesisir), Yahya (Maharaja Sri Wangsa - Datuk Hamba Raja), dan Hamzah (Buyung Ancah - Putera Titah Sungai Tarab). maka Raja Kecil pun menyerang dan mengalahkan Johor. ditabalkan Raja Kechil menjadi Sultan Johor dengan gelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.
tersebutlah perihal niat Raja Kecil untuk menghilangkan permusuhan dgn Sultan Abdul Jalil IV dengan cara menikahi anak Sultan Abdul Jalil. maka Raja Kecil pun ditunangkan dengan Tengku Tengah. namun pada suatu ketika di hari raya, Raja Kechil terpandang Tengku Kamariah, dan baginda pun meminta untuk mengambil Tengku Kamariah sebagai permaisuri, dan menikahlah mereka.
adapun Sultan Abdul Jalil dan putranya Raja Sulaiman, yg merasa sakit hati dgn perlakuan Raja Kechil, bermuafakat dgn Tengku Tengah, untuk dinikahkan dgn Raja Bugis Upu Daeng Perani, dengan syarat Raja Bugis itu hendaklah membalas keaiban yg dilakukan oleh Raja Kechil.
arakian, berita pernikahan itu didengar oleh Raja Kechil dgn curiga dan bersiap2 menghadapi segala kemungkinan. konon kisahnya, setelah menikah Upu Daeng Perani keluar dari Johor utk menyusun kekuatan, sementara itu dikisahkan pula konon ceritanya, ketika Raja Kechil sedang solat, Tengku Tengah datang dan membawa pulang Tengku Kamariah. diketahui oleh Raja Kecil maka murkalah baginda dan meminta Tengku Kamariah dikembalikan tapi tiada diperkenankan oleh Tengku Tengah. maka Raja Kechil pun menyerang Sultan Abdul Jalil, memaksa Sultan Abdul Jalil keluar dari Johor. setelah itu Raja Kechil juga berpindah ke Riau.
dalam satu versi lain, Sultan Abdul Jalil melarikan diri ke Pahang, manakala Raja Sulaiman menghantar utusan kepada Raja Bugis. armada Bugis menyerang Riau dgn tujuh buah kapal mengalahkan Raja Kechil yg kemudian berundur ke Lingga dalam tahun 1134 hijrah. sebagai balasan Raja Sulaiman bersetuju dengan permintaan Raja Bugis supaya Raja-raja Bugis dilantik sebagai Yamtuan Besar atau Yang Dipertuan Muda, bagi memerintah Johor, Riau dan Lingga secara bersama.
setelah menawan Riau, Raja Sulaiman pulang ke Pahang dan Raja Bugis pergi ke Selangor mengumpul tentera dan senjata. semasa peninggalan tersebut, Raja Kechil menawan semula Riau. kemudiannya Bugis kembali lagi dengan 30 buah kapal untuk mengambil kembali Riau, dalam perjalanan itu mereka menawan Linggi yg dikuasai oleh Raja Kechil yg datang ke Linggi utk menyerang balas.
armada Bugis berpecah, 20 buah kapal meneruskan perjalanan menuju Riau dan diketuai oleh tiga orang, dgn bantuan Raja Sulaiman yg datang dari Pahang dan kemudiannya berjaya menakluki Riau. Raja Kechil pula berundur ke Siak kerana kekalahan di Riau dan Linggi. dikisahkan juga, Sultan Abdul Jalil IV yg berundur ke Pahang kemudiannya dibunuh oleh pembunuh upahan Raja Kechil pada tahun 1720.
sekitar tahun 1722, Bugis menyerang Raja Kechil di Siak ketika baginda ingin memindahkan kebesaran diraja Johor (sebuah meriam) ke Siak. Bugis berjaya merampas semula kebesaran Diraja tersebut dan kemudiannya Raja Sulaiman ditabal menjadi Sultan Johor (Yang DiPertua) dengan gelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, manakala Daeng Merewah, adik kepada Daeng Perani, dilantik menjadi Yam Tuan Muda Riau, dan mereka bersama2 memerintah empayar Johor.
seorang lagi adik Sultan Sulaiman, Tengku Mandak, dinikahkan dengan Daeng Chelak, yg kemudian dilantik sebagai Yamtuan Muda II Riau pada tahun 1730an. Daeng Chelak ini adalah bapa kepada Raja Lumu dan Raja Ali Haji Fisabilillah, yg kemudian bermastautin di Sungai Selangor. Kemudian anak Daeng Perani, Daeng Kemboja, menjadi Yamtuan Muda III Riau, yg juga memerintah Linggi, Negeri Sembilan.
setelah itu keturunan bendahara seterusnyalah yg memerintah kerajaan Johor-Riau. Apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mangkat pada tahun 1760, baginda digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah dan kemudian Sultan Ahmad Riayat Shah yg memerintah dlm jangkawaktu yg pendek. pada tahun 1761, Sultan Mahmud Shah III ditabalkan menjadi Sultan Johor sehinggalah baginda mangkat pada tahun 1812, menyaksikan satu lagi episod yg membuka lembaran baru dalam sejarah orang melayu.
0 ulasan:
Post a Comment