“Nak, bangun nak. Kenapa tidur di sini?” dia tersentak bangun apabila terasa usapan lembut di ubun-ubunnya.
“Anak
ni nama apa? Dari mana nak kemana?”
“Tanjung,”
jawabnya pendek sambil menggeleng-gelengkan kepala dan memeluk erat tempurung
yang berisi ikan kesayangannya.
“Sudahlah.
Mari ikut mak balik ya.”
Itulah
pertemuan pertamanya dengan keluarga angkat yang membesarkan dia dengan penuh
kasih sayang sehingga tumbuh mekar menjadi seorang gadis kampung yang sempurna.
Tidak sekali mereka menganggap dia sebagai anak angkat dan dia sendiri pun
sangat menyayangi kedua-dua mereka seperti ibu bapa kandungnya sendiri.
Walaupun mereka hidup dalam keadaan daif namun kemesraan dan kasih sayang yang
memenuhi setiap ruang dalam rumah kecil itu berjaya menghapuskan segala
kenangan penderitaannya sebelum itu.
Adapun
ikan Kaloi kesayangannya masih tetap dalam peliharaanya. Setiap hari dia akan
mengunjungi sungai berdekatan memanggil ikan tersebut untuk melepaskan rindu
pada ibunya. Begitulah keadaannya tanpa pengetahuan keluarga angkatnya.
Keluarga angkatnya mempunyai seorang anak lelaki bernama Kantan yang menaruh
hati kepada Tanjung. Setelah kematian kedua-dua ibu bapa angkatnya, Kantan
menikahi Tanjung dan dikurniakan sepasang anak yang diberi nama Melor dan
Pekan.
Kantan
menyedari suatu keanehan pada Tanjung yang setiap senja akan menghilangkan diri
meninggalkan anak-anaknya di rumah bersendirian. Ada beberapa kali Kantan cuba
bertanya kepada Tanjung mengapa dia ke sungai di waktu senja, Tanjung hanya
menjawab dengan cara menidakkan soalan Kantan atau mengalihkan percakapan
dengan perkara lain. Kelakuan Tanjung itu menambah kecurigaan Kantan kepada
isterinya.
Suatu
hari Kantan mengekori Tanjung hingga ke pinggir sungai dan mendapati Tanjung
ketawa dan bercakap seorang diri. Kantan
amat merisaukan keadaan Tanjung yang dirasakannya tersampuk dengan hantu
sungai. Kantan mendekati Tanjung kerana mahu menegurnya, malangnya Tanjung
terkejut dengan kehadiran Kantan dan menolak Kantan yang tergelincir jatuh ke
dalam sungai. Tanpa disangka-sangka, ikan Kaloi itu menyerang Kantan dengan
ganas hingga menyebabkan Kantan mati lemas. Tanjung hanya mampu melihat tanpa
dapat berkata apa-apa lalu terus pulang ke rumah.
Setelah
hari itu, apabila anak-anaknya bertanya tentang bapa mereka, Tanjung hanya
memberitahu bahawa bapa mereka pergi ke laut dan belum pulang. Maka setiap hari
jugalah Melor akan membawa adiknya, Pekan, ke pengkalan menunggu bapanya yang
tidak mungkin akan pulang lagi. Tanjung pula tidak pernah berkata apa-apa
mengenai suaminya lagi.
Kehidupan
mereka anak beranak setelah ketiadaan Kantan sangat menyedihkan sesiapa saja
yang melihat. Tanjung terpaksa mengambil upah membuat apa sahaja kerja yang boleh
diberikan oleh penduduk kampung untuk menyara makan minum mereka sekeluarga.
Manakala Melor diamanahkan untuk mengurus rumah, membasuh, memasak, dan menjaga
adiknya, Pekan.
Maka
berlakulah pada suatu hari, Pekan pergi menjala di sungai untuk mencari lauk
buat hari tu. Setelah berkali-kali Pekan menebar jala namun tidak mendapat
apa-apa habuan, sehinggalah ketika dia membuat keputusan untuk menebar buat
kali terakhir sebelum pulang ke rumah, Pekan mendapatkan seekor ikan Kaloi yang
agak besar. Suka benarlah hatinya dan berlari pulang membawa ikan tersebut
untuk dimasak oleh kakaknya, tanpa mengetahui bahawa ikan Kaloi itu adalah peliharaan
ibunya.
Ketika
Tanjung pulang petang itu, Kantan sedang menggoreng ikan dan Tanjung terlihat
ada telur ikan yang membuka seleranya. Tetapi Tanjung harus memberi makan
kepada ‘ibu’nya terlebih dahulu.
“Melor!
Simpankan ibu telur ikan itu ya! Ibu keluar sekejap,” pesan Tanjung sambil
mengambil segenggam nasi dan bergegas kearah sungai. Melor hanya
mengangguk-anggukkan kepalanya.
Sampai
di pinggir sungai, Tanjung mengocak-ngocak air sambil memanggil ‘ibu’nya
seperti biasa. Siang sudah melabuhkan cahayanya berganti malam, namun ikan
Kaloi tidak jua timbul-timbul. Tanjung mulai mencemaskan apa yang telah berlaku
kepada ikan Kaloinya, kerana tidak pernah ikan itu tidak datang jika dia yang
memanggilnya.
Manakala
di rumah, Pekan yang baru selesai mandi terus membuka tudung saji dan menemukan
telur ikan yang sudah siap digoreng kakaknya. Dia langsung mengambil telur ikan
tersebut dan memakannya kerana perutnya memang sedang lapar.
“Pekan!
Itu telur ikan untuk ibu!” jerit Melor berkejar dari dapur ketika melihat Pekan
sedang menikmati telur ikan tersebut. Pekan merasa sangat bersalah menghabiskan
telur ikan tersebut ketika melihat kakaknya Melor menangis melihat telur ikan
itu sudah tidak tersisa.
Sepulangnya
Tanjung ke rumah dengan hati yang gundah gulana kerana tidak dapat bertemu
dengan ikannya, maka duduklah mereka tiga beranak untuk makan malam. Melor pun membuka
tudung saji dengan hati yang ketakutan, sambil berkata, “Maaf ya mak! Telur
ikannya sudah habuis dimakan oleh adik Pekan.”
Apabila
terbuka sahaja tudung saji tersebut, Tanjung mengenali sangat bahawa ikan
hidangan mereka malam itu tidak lain tidak bukan adalah ikan Kaloi yang
merupakan jelmaan ibunya. Meraunglah Tanjung memukul-mukul kepala dan dadanya
dengan perasaan yang bercampur-campur.
Pekan
yang menyorok di belakang pintu pula menyalahkan dirinya menyebabkan ibunya
sangat kecewa sebegitu, lalu pergi ke reban ayam untuk mengambil sebiji telur dengan
niat untuk menggantikan telur ikan yang telah habis dimakannya. Melor juga terkejut
dan tidak tahu mahu berbuat apa selain daripada menangis melihat perilaku
ibunya.
Tenggelam
dalam kesedihan yang amat sangat, Tanjung mengambil ikan Kaloi yang sudang
digoreng itu lalu berlari keluar dari rumah sambil mengongoi-ngongoi menangis.
Melor yang sedang terkejut dan penuh penyesalan juga mengejar ibunya sambil
iikuti oleh Pekan dari belakang. Tanjung sudah tidak karuan lagi, sepanjang dia
berlari dia teringatkan kenangannya bersama ibunya dan ikan Kaloi itu. Kematian
ikan Kaloi itu meluluhkan jiwanya dan dia merasakan dia tidak mahu hidup lagi.
Dari
dalam hutan berdekatan sungai kedengaran suara memanggil-manggil Tanjung. Tanjung
yang dalam keadaan penuh emosi, tanpa sedar mengikut arah suara tersebut. Melor
berhenti sejenak menunggu adiknya sambil mengagak-agak kemana arah ibunya
berlari dalam gelap hutan.
“Batu
Belah Batu Bertangkup! Makanlah aku! Telanlah aku! Aku tidak mahu hidup lagi!”
kedengaran sayup suara Tanjung berulang-ulang memecah sunyi hutan bersahutan
dengan jeritan Melor dan Pekan yang menjerit memanggil ibunya dengan air mata berjuraian.
Tiba-tiba
kedengaran satu dentuman kuat dari dalam hutan, dan segalanya menjadi sepi
semula. Hanya esakan dua adik beradik yang terduduk ditepi sebuah batu besar,
menyalahkan diri mereka sendiri kerana menyebabkan ibu mereka kempunan mahu
makan telur ikan, sehingga mereka tidak sedarkan diri.
Setelah
mendapat korban, puaka yang dipenjara dalam batu itu pun terbebas dari
sumpahan. Puaka ini berasal dari penunggu pohon binjai yang disumpah menjadi buah
binjai dan dipenjarakan didalam batu tersebut oleh Daeng Perkasa supaya penunggu
itu tidak dapat mencari korban.
Puaka
binjai merasa kasihan kepada dua beradik itu dan menjelma ke dalam mimpi
mereka. “Ambillah tujuh helai rambut
ibumu, dan pergilah menuju ke arah matahari terbenam. Jangan berhenti hingga
sampai ke kampung yang ketiga dalam perjalananmu,” pesan penunggu binjai dalam
mimpi Melor.
Melor
tersedar dari pengsan, dia mengesot ke batu belah batu bertangkup dan mengutip
helaian rambut ibunya seperti yang dikatakan dalam mimpinya, membungkus dengan
cebisan kain ibunya dan menyimpannya dalam lipatan kainnya.
“Kakak!,”
Pekan melirih lemah.
Melor
mendukung Pekan dan mula berjalan ke arah barat.
0 ulasan:
Post a Comment