Sebermula cerita dengan kisah seorang pemuda bernama Jataka, yang sudah berumahtangga dengan gadis pilihan hatinya, Delima. Namun setelah lama mengharung hidup bersama mereka masih tidak dikurniakan rezeki anak oleh Tuhan Yang Maha Kuasa. Walaupun Jataka tidak pernah mengungkit perkara tersebut tetapi Delima sangat memahami kesunyian yang menikam pernikahan mereka.
Disuatu
hari yang tenang, ketika mereka sedang duduk-duduk melepaskan lelah bekerja
sepanjang hari sambil menikmati kopi hitam dan ubi rebus, Delima menyusun
lembut tutur katanya mencadangkan agar Jataka menikah seorang lagi agar
rumahtangga mereka dapat diserikan dengan kehadiran anak yang mereka rindukan
selama ini.
“Apa
kau sudah hilang fikiran Delima?” bantah Jataka mendengar usul Delima.
“Hanya
berjanjilah bahawa madu saya itu nanti duduk serumah dengan saya dan jika dia
mengandung, biar saya yang menjaganya hingga dia melahirkan. Tiada apa yang
lebih bererti selain daripada suara tangisan bayi memenuhi rumah ini,” Delima
merayu suaminya.
Jataka
akhirnya terpaksa akur dengan permintaan Delima. Maka Delima lah yang
menguruskan segala urusan merisik, pertunangan dan pernikahan suaminya dengan
seorang gadis bernama Ara. Namun takdir Tuhan pun berlaku, adapun ketika Ara
mengandung muda, mak bidan juga mengesahkan bahawa Delima juga hamil. Bahagia
menghiasi hidup Jataka dan Delima yang selama ini mengidamkan zuriat buat
menyambung keturunan.
Kegembiraan
berganda buat Jataka dan Delima ternyata menjemput cemburu pada Ara yang
bersetuju menikahi Jataka kerana menganggap Delima mandul. Saban hari bibit
cemburu yang tersemai mengakar dalam jiwanya, apalagi tatkala melihat Jataka
sangat perihatin kepada Delima melebihi dirinya. Di belakang suaminya, Ara
selalu membuli Delima sambil mengungkit betapa kononnya Delima lah yang memaksa
dia menjadi isteri kedua. Delima hanya menidamkan diri dan menurut sahaja
segala ulah dan perintah Ara. Geram tumbuh menjadi dendam sehinggalah mereka
berdua melahirkan anak dihari yang sama.
Kedua-dua
isteri Jataka melahirkan anak perempuan yang comel dan berkulit cerah, hanya
bayi daripada Delima berkulit agak kemerah-merahan, maka mereka menamakannya
dengan nama Bawang Merah dan anak Ara diberi nama Bawang Putih. Dan bermulalah
satu episod baru dalam kehidupan mereka sekeluarga. Tetapi bagi Delima,
perubahan dalam kebahagiannya hanyalah pertambahan dalam penderitaan yang kini
akan diwariskan kepada anaknya, Bawang Merah.
Ara
sentiasa merasakan Jataka lebih menyayangi Delima melebihi dirinya. Setiap hari
Delima dipaksa oleh Ara untuk melakukan segala kerja-kerja rumah manakala Ara
hanya duduk baring mengulit bayinya, Bawang Putih. Apabila Jataka pulang, Ara
akan mengadu kepenatan dan menangis kononnya sakit-sakit badan membuat segala
pekerjaan rumah, sedangkan Delima hanya mendiamkan diri Sahaja. Namun Jataka
mengetahui sandiwara Ara kerana ketika Ara mengaku dia yang menyediakan makan
malam, Jataka tahu benar itu adalah masakan Delima. Ara merasa kecewa kerana
Jataka tidak pernah memarahi Delima walau apa pun yang diadukannya.
Kedua-dua
anak Jataka membesar dan mewarisi sifat ibu mereka masing-masing. Sikap Ara kepada Delima juga terlihat pada
sikap Bawang Putih kepada Bawang Merah. Kelembutan dan kesabaran Delima juga
dicerminkan oleh peribadi Bawang Merah. Dihadapan Jataka, segalanya terlihat
harmoni dan damai, tetapi dibelakangnya kehidupan Delima dan Bawang Merah tidak
ubah seperti hamba abdi yang setiap hari dijamu dengan hinaan, makian dan
penderaan.
Kemarahan
Ara yang berkembang menjadi kebencian menyesakkan fikirannya hingga dia membuat
satu rancangan untuk menghapuskan Delima untuk selama-lamanya. Petang itu Ara
menyuruh Bawang Putih mengajak Bawang Merah bermain-main agak jauh dari rumah
dan Ara pula mengekori Delima yang menjalankan rutin hariannya mengambil air
dari kolam tidak jauh dari rumah mereka. Ketika Delima sedang menjongkok
menceduk air Sungai, Ara menendang Delima jatuh ke dalam kolam dan kemudian Ara
terjun membenamkan kepala Delima sehingga Delima lemas tidak bergerak lagi.
Setelah itu, Ara mengikatkan mayat Delima ke sebuah batu besar di dasar kolam
supaya mayatnya tidak timbul dan membusuk di dalam kolam itu. Kemudian dia naik
ke tepi kolam dan menjerit memanggil anak-anaknya.
Kebetulan
Jataka juga pulang ketika itu dan turut berkejar ke arah kolam di belakang
rumah mereka. Ara melihat Jataka dan pura-pura menangis melolong-lolong dan
mengatakan bahawa Delima ditangkap oleh penunggu kolam dan Ara sudah cuba
menyelamatkannya tetapi tidak berjaya. Bawang Merah dan Jataka hanya
mengalirkan air mata tanpa mampu berkata apa-apa kerana mereka faham benar
bahawa Delima sememangnya sudah pergi buat selama-lamanya - apapun sebabnya.
Jataka memapah Ara pulang ke rumah diikut oleh Bawang Putih membiarkan Bawang
Merah menangis teresak-esak di tepai kolam.
Bawang
Merah terlalu bersedih sehingga pengsan di tepi kolam dan ibunya, Delima,
datang didalam mimpinya menceritakan apa yang telah terjadi, namun ibunya
menasihati Bawang Merah untuk tidak mengatakan apa-apa kepada bapanya, Jataka.
Ibunya juga mengatakan kepada Bawang Merah bahawa dia telah bertukar menjadi
ikan Kaloi dan akan sentiasa timbul dan datang apabila Bawang Merah
mengocak-ngocak air di pinggir kolam itu jika Bawang Merah merindui ibunya.
Bawang Merah terbangun dari pengsanya dan langsung kepinggir kolam
mengocak-ngocak air. Ikan Kaloi muncul timbul bermain di tangan Bawang Merah.
Gembiralah Bawang Merah mengetahui dia masih boleh bertemu ibunya walaupun
dalam wujud seekor ikan. Sejak hari itu, setiap petang Bawang Merah akan datang
ke kolam untuk bermian-main dengan ikan Kaloi sambil membawa sebungkus nasi.
Setelah
kematian Delima, Jataka sangat bersedih hati dan menyibukkan dirinya dengan
pekerjaan sehingga kadang-kadang sampai dua-tiga hari baru pulang ke rumah. Di
rumah pula, segala penderitaan Delima sekarang terbeban ke atas Bawang Merah.
Ara dan Bawang Putih hidup seperti permaisuri dan tuan puteri yang menghambakan
Bawang Merah untuk melakukan semua perintah mereka setiap hari. Ketiadaan
Jataka di rumah membuatkan kedua-dua anak beranak itu semakin hari semakin
menjadi-jadi, hinggakan sudah menjadi kebiasaan Bawang Merah tidak dibenarkan
makan jika bapanya tidak pulang. Bawang Merah bersabar dan bertahan kerana dia
masih menginatkan dirinya bahawa dia masih boleh bertemu dengan ikan jelmaan
ibunya yang sangat disayanginya.
Bawang
Putih merasakan ada sesuatu yang tidak kena apalagi menyedari bahawa setiap
senja Bawang Merah tidak ada di rumah sehingga menjelang malam. Satu petang
Bawang Putih mengekori Bawang Merah secara senyap-senyap dan mendapati Bawang
Merah sedang bermain dan bercakap-cakap dengan seekor ikan di kolam. Bawang
Putih segara melaporkan perkara itu kepada ibunya, dan memberitahu bahawa
Bawang Merah memanggil ikan itu ibunya. Muncullah kembali dendam amarah dalam
hati Ara.
Keesokan
harinya, Ara menyuruh Bawang Merah mencari kayu api di hutan. Kemudian dia
mengajak Bawang Putih untuk pergi menjala di kolam belakang rumahnya. Mereka
dapat menangkap seekor ikan yang mereka percaya itulah ikan jelmaan Delima.
Petang itu mereka memaksa Bawang Merah untuk memasak ikan tersebut dan mereka
juga akan memaksa Bawang Merah memakan ikan tersebut. Setelah ikan tersebut
dimasak, ketika Bawang Merah membersihkan diri, Bawang Putih mencampurkan racun
ke dalam ikan tersebut kerana sememangnya dia sudah lama mencemburui Bawang
Merah yang dirasakannya lebih disayangi oleh bapanya.
Kebetulan
petang itu, Jataka pulang ke rumah dan mendapati terdapat hidangan tersedia di
atas meja. Maka dia mengajak Ara makan bersama sambil menyisihkan sebahagian
ikan untuk anak-anak mereka, Bawang Merah dan Bawang Putih. Ketika Bawang Merah
dan Bawang Putih pulang ke rumah usai mandi di sungai berdekatan, mereka
mendapati Jataka dan Ara sudah terbaring dengan mulut berbusa kerana memakan
racun yang dicampurkan ke dalam masakan ikan tersebut. Bawang Putih berteriak
seperti orang tidak sedarkan diri, meneyedari apa yang berlaku dan menuduh
Bawang Merah meracuni ibubapa mereka kerana Bawang Merah yang memasak lauk ikan
tersebut.
Bawang
Merah yang juga dalam keadaan terkejut dan kesedihan yang amat berlari menuju
ke kolam untuk mengadu kepada ikan jelamaan ibunya. Bawang Putih mengejar
Bawang Merah dari belakang dan mendapati ikan jelmaan Delima masih hidup.
Bawang Putih kembali ke rumah untuk mengambil jala dan nekad mahu membunuh
kedua-dua ikan dan Bawang Merah untuk menuntaskan dendamnya.
Ketika
Bawang Putih kembali ke tepi kolam, Bawang Merah menyedari kehadiran Bawang
Putih. Dia menangkap jala yang cuba ditebarkan padanya oleh Bawang Putih dan
menariknya sekuat hati. Bawang Putih terjatuh ke dalam kolam bersama-sama jala
yang cuba ditebarnya. Bawang Merah pula terjatuh, kepalanya terhentak ke batu
dan dia pun pengsan.
Ketika pengsan, sekali lagi ibu Bawang Merah
hadir dalam mimpinya dan memberitahu segala yang berlaku. Dia menyuruh Bawang
Merah membawa ikan Kaloi bersamanya dan keluar dari kampung menuju ke arah
matahari terbenam. Setelah Bawang merah sedar dari pengsannya, dia mendapat
Bawang Putih sudah mati lemas di dalam kolam kerana terbelitkan jala.
Dalam
kesedihan, Bawang Merah mengambil ikan Kaloi dan meletakkannya dalam tempurung
kelapa yang berisi air lalu berjalan ke arah matahari terbit meninggalkan
rumahnya yang penuh dengan kenangan bersama ibu dan bapanya yang telah
meninggal akibat dari cemburu kesumat ibu dan adik tirinya. Dia tidak tahu apa
yang berlaku pada dirinya namun dia tetap melangkah meninggalkan kampung yang
juga kebingungan menemui tiga mayat yang tidak diketahui apa punca kematiannya
– mencari penghidupan baru.
0 ulasan:
Post a Comment