Wednesday, December 21, 2022

Bahagian 4 : Mencari Podria Faltarun

Posted by usoPkuChai On 2:57 AM No comments

 


***

Usai solat subuh aku, Dol Seman dan Kanwu bergegas mahu bergerak meninggalkan kawasan Bukit Sinanjang. Dol Seman memandang ke arahku dengan pandangan bertanya. Aku fahami maksudnya. KanWu memandang kami, sepertinya dia juga memahami maksud pandangan suram dan keruh dari kami berdua.


“Kita langsung ke Padang Sembawang. Kita tak ikut jalan semalam. Kita akan mendenai melalui kampung Tok Sepini. Dari situ kita akan langsung memintas ke Padang Sembawang,” jelas KanWu dengan tegas. Sudah tentu bukan sebuah cadangan – itu aku pasti.


Tidak banyak yang aku dengari tentang kampung Tok Sepini. Kampung ini merupakan salah satu daripada tiga kampung yang saling bersaudara. Hanya tiga kampung ini saja yang dikira tamadun yang wujud.  Tok Tenom, Tok Kemala dan Tok Sepini adalah tiga beradik jurai waris asal dari Sinanjang sendiri. Tok Merbawi, tok Antaga dan tok Ismayani yang masing-masing menjadi tok penghulu di ketiga-tiga kampung tersebut juga adalah jurai waris asli dari tiga beradik yang membuka kampung-kampung yang ada. Inilah negeri tiga kampung yang sentiasa harmoni dan saling ambil berat antara satu sama lain, tiada siapa melebihi kekuasaan sesiapapun, semua diurus secara autonomi. Cuma walaupun mereka itu asal muasal datuk nenek moyangnya adalah adik beradik bersaudara, tetapi setiap dari satu daripada mereka mempunyai keunikan mereka sendiri yang dapat membezakan jurai keturunan mereka sendiri.


Jika kampung Tok Sepini terkenal dengan ladang sayur dan buah-buahan, hampir semua penduduk kampung Tok Tenom pula adalah penternak binatang yang hebat, sesuai dengan keahlian mereka dalam menjinakkan binatang-binatang buas – besar dan kecil. Penduduk kampung Tok Kemala pula mudah dikenal pasti dengan bentuk tubuh badan yang tegap dan kekar, baik laki-laki mahupun yang perempuannya. Hinggakan tidak salah kalau sesiapa saja yang pertama kali bertemu dengan orang kampung Tok Kemala akan menganggap mereka gergasi. Rumah mereka juga besar-besar dan tinggi. Ini mengapa apabila dikatakan kampung Tok Kemala dilanda petaka, orang-orang kampung Tok Kemala memikirkan jika orang kampung Tok Kemala yang besar dan gagah itu gagal menahannya, maka lebih besar lagilah petaka buat kampung Tok Tenom. Tapi belum ada juga siapa yang pasti apa bentuk petaka sebenarnya yang melanda kampung Tok Kemala – tidak ada siapa yang tahu melainkan orang kampung Tok Kemala itu sendiri.

 

“Boleh tak kita berhenti sekejap?” tiba-tiba Dol Seman menarik lenganku supaya berhenti berjalan. KanWu juga berhenti. Kami memandang kearah Dol Seman. Dengan pantas Dol Seman berlari kebelakang serimbunan belukar kecil.

 

“Isk, melepas hajat rupanya,” getusku. KanWu tersenyum. Kami pun mengambil peluang untuk duduk sebentar melepas lelah di atas sebatang pokok besar yang melintang jatuh bersebelahan dengan denai yang kami lalui.

 

Aku memandang kesekeliling. Hutan ini tidak setebal hutan di Bukit Sinanjang. Tiba-tiba aku merasakan batang kayu yang aku duduki itu seperti bergerak-gerak, seperti kegelian. Dol Seman sudah keluar dari belukar tetapi masih berdiri kaku memandang ke arah aku. BUkan tepat ke arah aku, tapi tembus seperti melihat sesuatu dibelakangku. Muka terkejut bercampur takut memang tidak dapat disorok lagi. KanWu memegang bahuku sambil satu tangannya lagi meletakkan jari telunjuk di bibirnya, menyuruh aku diam. Dia menuntunku untuk bangun perlahan-lahan dan bergerak ke arah Dol Seman. Dol Seman masih berdiri kaku dengan muka bercampur baurnya. Kedua-dua tangannya menutup mulutnya. KanWu kemudian menyuruh kami tunduk dan berlindung di sebalik rimbunan semak.

 

Aku dapat melihat batang kayu itu tadi bergerak seolah ditarik. Aku masih belum boleh mengagak apakah bendanya. Mahu dikatakan ular besar, kasar benar kulitnya seperti kulit kayu, dan terlalu pulah besarnya. Atau mungkin saja ada binatang lain yang menarik kayu itu.

 

“Nabau,” bisik KanWu sebelum sempat aku bermain-main lagi dengan fantasiku.

 

Kami menunggu hingga gerakan ular mitos itu selesai. Sememangnya aku sedar sepanjang pengalamanku di dunia sebelah sini, tidak ada mitos itu yang mitos melainkan memang ada wujudnya. Hanya bau satu yang ini saja yang belum dapat aku pecahkan. Setelah Nabau itu beredar pergi, ada satu bau yang masih tinggal. KanWu sudah bangun mencari-cari sesuatu dijalur gerakan Nabau tadi. Aku terpusing-pusing mencari dari mana bau itu kerana kekuatan bau itu menunjukkan ia sangat dekat dengan kedudukan aku. Siapa tahu ada geliga hikmat ditinggalkan Nabau. Mataku terhenti pada satu pandangan yang sangat tidak mahu ku lihat.

 

“Macam tu je kau tinggalkan,” aku ketuk kepala Dol Seman sampai menunjukkan setompok hajat besarnya. Dia hanya tersengeh-sengeh.

 

“Tak sempat nak korek lubang,” katanya sambil menyapu bahagian kepalanya yang aku ketuk. Kurang asam betul. Nyaris aku tidak terpegang ‘geliga’ Dol Seman waktu sedang bersembunyi tadi.

 

“Ahaa! Dapat!” KanWu menggoyang-goyangkan tangannya menunjukkan sesuatu kepada aku dan Dol Seman. KanWu memberi seorang satu kepada aku dan Dol Seman.

 

“Simpan baik-baik. Sisik Nabau ini banyak gunanya,” membuatkan aku teringatkan mitos suku Dayak yang mengatakan sisik Nabau itu boleh memberi kekuatan luarbiasa pada sesiapa yang menemukannya. Cuma bagaimana pula nak menggunakannya?

 

“Simpan dulu, kita kena bergerak sekarang. Dah lambat,” gegas KanWu sambil menyelitkan sisik Nabau tadi dililitan pinggangnya. Dol Seman berbuat yang sama, aku pun.

 

Kami sampai ke kampung Tok Sepini sudah mulai masuk waktu asar. KanWu terus menuju ke rumah tok penghulu Ismayani.  Aku memberi alasan mahu mencari buah rambutan. Dol Seman teruja mendengar buah rambutan tapi aku minta dia menemani KanWu dan berjanji akan membawa buah rambutan untuknya kalau ada pokok yang berbuah. Maka berpisahlah kami di satu persimpangan jalan.


Aku menelusuri jalan-jalan kampung mengikut apa yang diceritakan oleh makhluk hitam semalam, dan akhirnya bertemu dengan rumah yang persis seperti yang diperincikan. Aku berdiri di bawah pokok rambutan yang sedang kuning berbuah lebat. Tampaknya seperti tiada penghuni di dalam rumah itu. Aku melabuhkan punggungku duduk di atas pangkin di bawah pohon rambutan itu menunggu. Mungkin tak lama lagi akan pulanglah beliau, tidak mungkin beliau akan menyangkul sampai ke malam. Tiba-tiba jatuh pula sebiji rambutan ke pangkuan aku. Seekor tupai berlari-lari meloncat antara dahan mencuit gembira pula dihati.

 

Tidak berapa lama kemudian, aku lihat ada seseorang berjalan masuk, badannya gempal, atau mungkin lebih tepat gemuk, tubuhnya agak rendah, memakai kain yang terikat di pinggang seperti sampin, cara berjalannya juga agak menggelikan hati. Wajahnya juga melucukan, tidak sampai hati pula aku nak menggambarkannya dengan terperinci. Secara keseluruhan aku dapat simpulkan bahawa melihat beliau saja sudah menimbulkan kelucuan. Dia mengangkat tangan menyapaku dari jauh, aku balas lambaiannya. Garis putih giginya tersenyum sangat kontras dengan warna kulitnya. Aku memberi salam dan menjabat tangannya, dia langsung memelukku seperti orang yang sudah lama saling kenal. Dia langsung duduk disebelahku di atas pangkin.

 

“Duduk, duduk. Pakcik pun nak duduk. Penat dah tua-tua ni kena jalan kaki. Tak ada orang yang bagi tumpang, tak muat,” katanya tersenyum sambil mengipas-ngipas dirinya dengan kain ikatan kepalanya dengan nafas sedikit mengah. Aku hanya tersengih.

 

“Kenapa tak dimakan buah tu? tak dapat pahala lah pakcik kalau anak tak makan,” sambungnya.

 

“Nak minta kebenaran pakcik dulu lah ni,” jawabku sambil mula menggigit dan mengupas buah rambutan.

 

“Saya ni ada hajat sebenarnya dengan pakcik,” sambungku setelah menelan isi rambutan yang lengkang dan manis. Baja apa agaknya yang digunakan pakcik ini, lain macam betul sedap buah rambutannya.

 

“Semalam saya dan kawan-kawan saya dari kampung Tok Tenom bermalam di Bukit Sinanjang,” tersembur air dari mulut pakcik itu bila aku menyebut Bukit Sinanjang. Buntang matanya memandang aku.

 

“Kamu buat apa di Bukit Sinanjang?” soalnya dengan muka yang sudah tidak lucu lagi, namun tetap lucu padaku.

 

“Panjang ceritanya,”

 

“Pendekkan,”

 

“Sebenarnya begini pakcik. Pakcik ada dengar cerita pasal kampung Tok Kemala?” dia mengangguk-angguk dengan masih memasang muka serius yang sebenarnya kelakar.

 

“Kawan saya ke Bukit Sinanjang untuk meminta bantuan tapi tidak berjumpa dengan orang yang mahu ditemuinya. Kawan saya itu sekarang ada kat rumah tok penghulu Ismayani tujuan nak minta nasihat,” aku menyambung.

 

“Dah kawan kat rumah penghulu, anak ni kat sini kenapa? Saya bukan penghulu atau ulat bulu,” hambar sekali jenakanya yang ini.

 

“Hehe, begini pakcik,” aku membetulkan dudukku.

 

“Waktu saya tidur di Bukit Sinanjang semalam, ada sesuatu datang kepada saya menyuruh saya mencari pakcik,” aku cuba mencari serius dalam perbicaraan.

 

“Dia ada pesan suruh carikan pakcik isteri ke?” katanya terkekeh-kekeh menyandarkan badannya.

 

“Mimpi tu kan permainan tidur. Apa yang susah payah sampai ke sini cari pakcik, apa yang pakcik boleh bagi? Tengoklah rumah pakcik tu, kalau kamu nak, ambillah sekeping papan dindingnya,” aku tahu kehambaran jenakanya itu menunjukkan rasa curiga dan susah hati sudah mula timbul dalam dirinya.

 

“Begini pakcik, dia kata pakcik ada sesuatu untuk saya,” aku mula membuat muka serius dan menatap matanya.

 

“Buah rambutan pakcik ada lah. Kalau yang lain tu belum tentu memang kamu yang berhak,” berselerak matanya tanda dia menyembunyikan sesuatu.

 

“Maknanya memang pakcik ada menyimpan sesuatu lah?” aku mula mendesak. 


Dia menundukkan kepalanya. Berfikir agaknya. Sesekali tangannya menggaru-garu kepala dan badannya. Dia bangun dan berjalan ke arah belakang rumahnya. Aku hanya mengikutnya dengan pandangan mata. Dia datang semula dengan membawa sebatang galah.

 

“Anak petik semua buah rambutan yang masak di atas pokok ni. Yang masak kuning sahaja,” dia memandang tepat ke mataku sambil memberikan galah yang diambilnya kepadaku.

 

Kemudian dia meninggalkan aku, dan naik ke atas rumah. Aku masih berdiri memegang galah memandang dia masuk ke dalam rumahnya. Keliru sebentar dengan apa yang sedang berlaku. Adakah orang tua ini mempermainkan aku? Aku pandang ke arah pokok rambutan yang beralun-alun buahnya bergoyang walaupun tidak ada sangat angin bertiup. Hanya sepoi-sepoi bahasa sahaja. Galah itu pun tiadalah pengait, hanya sebatang kayu panjang. Bagaimana mahu aku mengait buah rambutan? Dipepah sahaja agaknya, bersepah-sepahlah pula nantinya. Mahu kupanjat, tinggi benar pokok rambutan ini. Dahan yang terendah juga sudah tinggi. Fikiranku berbolak balik antara kelakuan orang tua tadi dengan pokok rambutan. Dan kupandang galah ditanganku, semuanya mengelirukan aku.

 

Dengan penuh keraguan yang menggunung, aku acukan galah yang diberikan oleh orang tua tadi cuba menyelak-nyelak antara rimbunan daun dan buah-buahan yang meranum untuk melihat berapa banyak sebenarnya buah rambutan yang ada di atas pokok yang sebatang itu. Sangat mengejutkan aku, sangat-sangat terkejut hingga terlepas galah dari peganganku, apabila setiap buah yang tersentuh dengang hujung galah tersebut luruh sendiri.

 

“Haisshh.. teknologi apakah?” kataku dalam hati, masih terkejut. Kukutip kembali galah tersebut dan memeriksa hujungnya. Tiada apa-apa perbezaan dengan galah biasa, tiada alat-alat teknologi canggih terlihat bersatu dengannya.

 

Habislah sepokok rambutan itu aku turunkan buahnya. Hanya tinggal yang hijau sahaja, daun dan buah. Ketika aku mengumpulkan buah-buah rambutan tersebut baru aku tersedar siapa pula yang akan memakan sebanyak-banyaknya buah rambutan ini. Mungkin orang tua ini akan mengeksportnya ke kampung lain. Jika begini banyaknya buah untuk sepohon pokok, bagaimana pula agaknya yang mempunyai ladang yang berpokok-pokok. Kekaguman tentang pokok rambutan itu tetap tidaklah setinggi kekaguman aku dengan teknologi galah yang baru aku alami.

 

Belum habis aku berfikir, keluar dari semak samun di belakang rumah pula sekumpulan haiwan kecil yang berbentuk seperti tupai tetapi bertelinga seperti arnab, atau mungkin arnab tapi kelihatan seperti tupai. Belum habis lagi keliruku rupanya. Beramai-ramai mereka datang dan mengutip buah rambutan yang gugur di atas tanah itu dan membawanya semula masuk ke dalam semak samun. Aku hanya memandang sahaja mereka yang berkejar-kejaran sekelilingku, semua memandang aku dan membuat satu bunyi ketika melintasi kakiku. Comel pula kelihatannya.

 

Dari ekor mataku aku dapat melihat pakcik tadi mengintai aku dari dalam rumahnya melalui celah-celah tingkap. Dia turun setelah habis semua haiwan comel tadi masuk ke dalam semak, habis juga semua rambutan dikutipnya melainkan sekelompok yang mereka kumpulkan di sebelah kakiku. Aww manis sungguh perbuatan itu. Aku hanya senyum dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Meloncat-loncat mereka lari masuk ke dalam semak samun semula. Pakcik tadi seperti terhendap-hendap datang mendekati aku. Seolah-olah dia dalam ketakutan dan kewaspadaan yang tinggi.

 

“Kenapa pakcik?” tanya aku melihat dia menjengok-jengok ke arah semak samun.

 

“Dah masuk semua?” Aku hanya mengangguk menjawab soalannya.

 

“Hebat anak ni,” dia menepuk-nepuk bahuku sambil tersengih. Aku masih tidak faham apa yang diperkatakannya.

 

“Benda tu memang nampak comel, tapi tidak pernah seorang pun yang tidak pernah diserangnya,” katanya sambil menunjukkan betis di kaki sebelah kanannya yang seperti terpotong.

 

“Hanya anak ni saja, maka betullah ini memang hak anak,” katanya sambil menyerahkan kepadaku sesuatu dalam bungkusan kuning.

 

Klise sungguh bila ada barang antik saja kena bungkus dengan kain kuning. Tapi memang sungguh sebenarnya barang sebegitu tidak boleh sewenang-wenangnya dibungkus dengan kain berbagai warna kerana hanya warna kuning saja yang dapat mendiamkannya. Sudah lah macam cerita mistik zaman dulu kala. Ada penjelasan untuk warna kuning itu sebenarnya. Setiap warna mempunyai aura yang berbeza. Maka ada beberapa jenis besi memang hanya sesuai dengan aura kuning. Besi? Kami duduk semula di pangkin dan aku membuka balutan kain kuning itu. Sememangnya besi. Aku ambil dan aku amati besi tua yang berada dalam tanganku. Rupanya seperti badek. Bilahnya tertulis suatu perkataan yang tidak aku mengertikan.

 

“Itu Podria Faltarun,” pakcik itu memberitahuku.

 

“Selesai sudah tugasku sebagai pemegang amanah menjaganya sehingga dapat kuberikan kepada tuannya. Sekarang ini hak sudah balik ke pundak,” katanya.

 

“Haisshh.. macam dapat saka pulak,” getusku dalam hati.

 

“Ini memang pesaka. Dia tidak menuntut anak untuk memberinya apa-apa. Ini khadam tidak akan menuntut apa-apa dan tidak akan bertindak sendiri selagi tidak mendapat keizinan anak. Anak juga tidak perlu menyimpan atau mewariskannya kepada siapa-siapa, kerana dia hanya boleh digunakan dua kali sahaja oleh setiap yang berhak atasnya,” aku pun tidak faham bagaimana setiap orang boleh mendengar apa yang aku katakan dalam hati. Mungkin ada kebocoran minda berlaku disitu.

 

“Meko yang kamu beri makan tadi adalah pengawal anak sekarang. Merekalah yang sebenarnya memilih siapa yang berhak memiliki Podria Faltarun ini. Mereka tidak akan kelihatan, tetapi mereka akan muncul ketika anak perlukan bantuan. Selagi Podria Faltarun ini berada dalam simpanan anak, Meko akan sentiasa berada berdekatan. Kembalikan pada mereka sekiranya anak sudah selesai menggunakannya. Jangan terpedaya dengan wajah mereka yang comel dan seakan jinak, sesungguhnya mereka itu sangat ganas dan merbahaya,” orang tua itu cuba menjelaskan seboleh mungkin kepadaku.

 

Selesai dia menjelaskan dengan terperinci akan kesaktian Podria Faltarun dan kehebatan Meko, dengan secara tiba-tiba dia memegang tanganku yang memegang badek tua itu, dan menusukkan badek tua itu ke perutnya. Aku tergamam kerana tidak menyangka dia akan melakukan itu. Apakah yang sedang berlaku? Aku separuh panik. Bagaimana kalau orang kampung menemukan aku bersama seorang warga tua desa mereka yang sudah meninggal dengan badek tertusuk di perutnya dan tanganku pula berlumuran darah?

 

“Ingat pesanku. Sekarang anak hanya boleh menggunakan Podria Faltarun ini sekali sahaja lagi. Jangan gunakan pada perkara yang bukan anak datang mencari ini kerananya,” kata orang tua itu perlahan sambil menahan kesakitan.

 

Seketika itu juga, Meko berhamburan datang mengerumuni tubuh orang tua itu dan memakannya? Mereka benar-benar makan setiap tubuh orang tua itu beramai-ramai. Sangat mengerikan, sementelah memikirkan bahawa mereka ini akan mengekori aku selagi badek tua ini ditanganku. Pemandangan ini sama sekali kontras dengan situasi ketika mereka datang mengutip buah rambutan tadi. Fahamlah aku mengenai apa yang diceritakan oleh orang tua itu tadi mengenai Meko. Kepelikan yang mengerikan sebenarnya. Memang habis semua daging, tulang dan segala isi dalam beserta rambut dan sekalian bulu orang tua itu dijarah oleh Meko. Aku tidak mungkin dapat melupakan apa yang aku lihat ini. Terlalu tinggi nilai traumanya. Setelah habis, seekor daripada mereka meletakkan badek tua yang tadinya tertancap di perut orang tua itu di sisi aku yang masih menggigil traumatik. Tetapi comel pula rupa mereka setelah selesai pesta kanibal tersebut. Licin bersih malah tiada kesan darah pun yang tertinggal. Sepantas itu juga semua Meko lari memasuki semak tempat persembunyian mereka. Seolah tiada ada apa yang berlaku. Hanya aku, Podria Faltarun, pangkin dan pokok rambutan.

 

“Mana buah rambutannya?!” aku terdengar jeritan dari jauh. Dengan segera aku membungkus kembali badek tua itu dan menyimpannya, sebelum aku pula yang disoal siasat oleh Dol Seman yang berlari-lari mendekati aku yang masih menahan gigil.

 

“Pokok besar-besar ada banyak ini saja rambutan?” Dol Seman mengutip beberapa biji buah rambutan dan menggigitnya.

 

“Dah minta kebenaran belum?” KanWu menepuk pundak Dol Seman mengingatkannya.

 

“Takpa nak! Makanlah! Memang buah tu untuk dimakan,” sangat terkejutnya aku melihat orang tua yang tadi, yang tadi memberi aku sebilah badek tua, yang tadi sudah tertikam dengan badek tua itu, dan yang tadi yang telah licin dimakan Meko, tiba-tiba muncul di balik jendela rumah. Iya memang tidak salah. Itu memang dia. Sekurang-kurangnya persis sangat seperti dia.

 

Semakin keliru aku dibuatnya. Dol Seman tidak ambil tau, langsung saja dia bertinggung menghadap longgokan rambutan kuning meranum. KanWu bergerak mendekati orang tua itu yang sudah berada di tangga dan bersalam dengannya. Orang tua itu hanya tersenyum melihat aku. Aku masih melongo ketika menyambut salamnya, sambil dia menepuk-nepuk bahuku. Aku raba ke sisi, masih terasa badek tua itu tersisip di pinggangku. Adakah ini mimpi? Semakin lama aku di daerah ini semakin pelik dan aneh pula kejadiannya. Mungkin mimpi di dalam mimpi. Tapi ini badek memang sahih wujudnya. Apakah?  Ahh..

 

“Terima kasih pak gendut!” Suara riang Dol Seman membawa kesedaran kembali dari kesawaianku. KanWu menepuk kepala Dol Seman, pakcik itu ketawa, aku cuba untuk tersenyum.


***



0 ulasan: