* * *
Tidak seperti
hari-hari yang biasa bagi orang lain, setiap hari adalah hari yang luar biasa
buat Mohamed Redouane Bensenouci. Setiap hari ada saja kaum keluarga dan
sahabat handai yang diziarahinya. Bertanya khabar seolah seolah sudah lama
tidak bertemu. Perubahan hidupnya yang menjadi aktif dalam badan sukarela,
terutama kesungguhannya untuk menyertai pasukan di zon perang Palestin,
mengejutkan ramai orang-orang yang dekat dengannya, termasuk ibu, isteri dan
anak-anaknya. Semua itu bermula sejak Redouane pulang dari kota Ghardaia.
Mengikut kisah
salah seorang sahabatnya yang tidak mahu dikenali, Redouane ada menemuinya dan
menunjukkan padanya sebuah peta mengenai kota seribu pintu itu. Dan menurutnya
lagi, Redouane telah memasuki sebuah pintu yang tidak ada seorang pun pernah
keluar setelah memasukinya. Redouane adalah satu-satunya makhluk yang dapat
keluar semula dari pintu itu.
* * *
Tiada siapa tahu
lokasi sebenar tempat yang dimaksudkan oleh orang tua yang tinggal di belakang
rumah nenek Redouane. Nacereddine Dericche Benchaabane masih bukan orang lain
pada Redouane. Beliau adalah bapa saudara kepada nenek Redouane, Khadidja
Irchene. Ketika nenek Redouane meninggal, Nacereddine menarik tangan Redouane
supaya mengikutinya pulang ke sebuah rumah pusaka kecil yang diwariskan mungkin
sejak dari generasi pertama - apapun maksudnya itu.
Malam itu
Nacereddine memperlihatkan kepada Redouane sebuah peta lama yang terlukis di
atas sekeping kulit kambing biri-biri. Pada mulanya Redouane menyangkakan
bahawa peta itu adalah peta harta karun, yang mungkin dipertanggungjawabkan
kepada keturunannya untuk menjaga. Setelah Nacereddine menceritakan bagaimana
beliau mendapat peta itu dan mengapa dia perlu menceritakan kepada Redouane,
barulah diketahui oleh Redouane bahawa peta itu adalah penunjuk jalan kepada
sebuah rumah misteri yang terletak di kota daerah selatan, kota seribu pintu.
Namun Nacereddine
tidak memberikan peta tersebut kepada Redouane, kerana mengikut kata
Nacereddine, peta itu hanya diberi kepada orang yang diundang sahaja. Dan
Nacereddine menceritakan itu kepada Redouane kerana Redouane adalah salah satu
calon kuat dari keturunan mereka yang akan diundang ke rumah itu sebagai
penerus kepada suatu tanggungjawab yang bakal dipikul oleh yang menerima
undangan tersebut.
Kata Nacereddine
lagi, tidak ada gunanya dia memberikan peta tersebut kepada Redouane kerana
kedudukan lokasi jalan ke arah rumah besar itu sentiasa berubah setiap empat
puluh tahun. Dan Nacereddine tahu benar kalau dia tidak akan mendapat peluang
kali kedua dalam hidupnya setelah menolak undangan tersebut dulunya - apa pun
alasannya ketika itu. Maka itu dia memanggil Redouane kerana dia merasakan
masanya juga sudah tidak lama lagi untuk menyusul anak saudaranya yang sudah
bepergian hari itu.
Dia berkali-kali
mengingatkan Redouane supaya jangan membuka pintu terakhir di rumah tersebut.
Tidak ada siapa yang dapat kembali keluar dari pintu tersebut setelah
memasukinya, sama ada tidak mahu keluar atau tidak boleh keluar tiadalah pula
diceritakan oleh Nacereddine.
Redouane hanya
mendengar semua cerita Nacereddine tanpa bertanya satu soalan pun. Dia sangat
faham dan mengerti bahawa untuk tujuan inilah neneknya sangat memperhatikan
segala apa pun yang dilakukannya selama ini. Malah ketika keluarganya merancang
untuk berpindah ke Rais Hamidou, neneknya berkeras supaya Redouane tetap
tinggal bersamanya. Waktu itu Redouane juga tidak pernah bertanya kenapa.
Beberapa minggu
setelah nenek Khadidjanya meninggal, Nacereddine juga meninggal dunia. Habislah
sudah generasi tua dalam keluarganya. Redouane pernah cuba mencari peta yang
telah ditunjukkan padanya tetapi tidak berjaya menemukannya. Dan kisah peta itu
sudah diterlupakannya seiring kesibukan menjalani hidupnya, apalagi setelah dia
beristeri dan mempunyai dua orang anak.
Malah tiada siapa
pun dalam keluarganya yang mengetahui kisah itu selain dirinya. dan kerana itu
tiada siapa pun pernah membincangkan mengenai peta kulit kambing biri-biri
mahupun rumah misteri di kota seribu pintu yang dikisahkan oleh Nacereddine.
* * *
Suatu ketika
Redouane sedang duduk-duduk membaca Quran sambil menunggu jualannya di pasar,
tiba-tiba seorang lelaki muda menepuk bahunya sambil memberi salam. Redouane
menyambut salam dan menyambut huluran tangan pemuda tersebut. Tersangatlah elok
rupanya berseri-seri seperti bulan yang penuh. Sambil tersenyum pemuda itu
menghulurkan pula sebuah kelongsong yang diperbuat dari kayu yang berlorek awan
larat kepada Redouane.
Redouane menerima
kelongsong itu dan membukanya, tak ubah seperti surat watikah dari raja-raja di
zaman dahulukala. Dia mengeluarkan selembar kulit kambing biri-biri yang
bergulung rapi. Maka teringatlah Redouane kepada Nacereddine. Masanya sudah
sampai untuk diperlihatkan sesuatu yang istimewa. Redouane mengangkat matanya
ke arah pemuda tersebut untuk mengucapkan terimakasih, namun pemuda itu sudah
tiada lagi.
Sebulan setelah
itu Redouane mengajak seorang sahabat baiknya untuk menemaninya mencari rumah
seribu pintu mengikut arah petunjuk dari peta tersebut. Sahabatnya itu, yang
berkeras tidak mahu ditulis namanya mahupun diberi nama lain dalam cerita ini,
memang menekuni pekerjaan sebagai seorang pencari harta karun. Hanya dengan
melihat peta kulit kambing biri-biri tersebut sudah cukup untuk mengujakan
ghairah berpetualangnya.
Maka berangkatlah
mereka berdua sesudah subuh menuju ke selatan mencari suatu tempat yang sangat
diyakini oleh sahabat Redouane sebagai lokasi yang dimaksudkan, kota Ghardaia.
Mereka bergerak ke selatan memandu kereta sejauh lebih 300km sebelum berhenti disebuah
caravanserai di Bouhraoua, dimana sahabat Redouane akan menunggu, dan Redouane
meredah perjalanan seterusnya seorang diri dengan berpandukan peta kulit
kambing biri-biri tersebut.
* * *
Pada malam
Redouane menerima undangan ke kota seribu pintu itu, Redouane tahu dia harus
menemui sahabatnya itu untuk mendapatkan nasihat. Dia tahu benar kalau
sahabatnya itu mampu membantunya memecahkan teka-teki yang berupa bentuk simbol
dan tulisan yang tidak difahaminya. Dia tahu dia harus memenuhi undangan sekali
seumur hidup itu supaya dia dapat memahami apa yang orang lain tidak fahami
sebagai bekal untuk memikul tanggungjawab yang akan terbeban dibahunya kelak.
Ternyata bukanlah
sesuatu yang mudah untuk memecahkan setiap kata dan simbol dalam peta tersebut.
Sahabatnya hanya datang semula kepadanya setelah hampir tiga minggu mencanai
otak mengkaji dan memikir mengguna seluruh pengalaman dan pengetahuan yang dikutip
sepanjang menjalankan projek-projeknya sebelum itu.
Malam itu
Redouane dan sahabatnya membincangkan dengan teliti apa yang dapat diungkapkan
di dalam peta tersebut. Redouane harus mencarinya secara bersendirian ketika
bulan mengambang penuh. Namun sahabatnya bersetuju untuk menunggu Redouane di
penempatan yang berdekatan sebelum Redouane menuju lokasi yang ditandakan
dengan segi tiga terbalik berwarna merah di dalam peta tersebut.
Seminggu setelah
itu barulah mereka berangkat setelah Redouane menyiapkan segala keperluan buat
keluarganya disepanjang kepergiannya. Redouane hanya memberi tahu kepada isteri
dan anak-anaknya bahawa dia akan pergi selama beberapa hari sahaja. Isterinya hanya
tersenyum dan mendoakan keselamatan Redouane tanpa bertanya banyak.
* * *
Redouane berdiri
kagum dipintu gerbang masuk ke kota Ghardaia, kota agung yang dibina oleh sang
pahlawan hebat kaum Amazigh dari negeri Maghreb ribuan tahun dahulu yang
mempunyai sejarah panjang tersendiri dan pernah menjadi tempat suaka golongan
Ibadis yang terusir kerana mengkhianati Saidina Ali as dalam perang Siffin.
Hawa panas padang pasir Sahara menerpa wajah Redouane yang tertutup kefiyyeh.
Dia melangkah lebih cepat memasuki kota yang pada hari ini lebih terkenal
dengan Festival Permaidani yang dimasyhurkan pada bulan Mei setiap tahun.
Sebenarnya denai
menuju lokasi yang ditujui Redouane tidaklah sesukar seperti yang dijangkakan
ketika mendiskusikannya seminggu yang lalu. Sinar rembulan yang mengambang
memuntahkan cahaya menerangi sebuah lorong kecil. Redouane mengikuti cahaya itu
menelusuri jalan sempit di kota yang dipenuhi dengan lorong-lorong dan
jalan-jalan kecil yang berliku-liku dan bersimpang-siur. Terasa jauh
perjalanannya ditemani oleh sunyi malam.
Setelah hampir
letih menelusuri jalan kecil di deretan rumah-rumah lama, Redouane berdiri di
hadapan sebuah pintu besar. Lebih tepat kalau disebut sebagai sebuah istana
lama. Hanya saja ukurannya bukan ukuran seperti rumah manusia biasa. Lama
Redouane terpaku di depan pintu setinggi sepuluh kaki memikirkan apa yang harus
dilakukannya.
Redouane kembali
membuka peta kulit kambing biri-biri dan membaca sebaris tulisan yang tertulis
dalam huruf jawi di bahagian bawah. Kemudian Redouane memberi salam, namun
hanya dijawab oleh sepi malam. Redouane menghulur tangannya untuk mengetuk
pintu tersebut, tangannya seperti tersedut bersebati bersama pintu itu. Ketika
Redouane merasakan tangannya sudah menembusi pintu, dia terasa sesuatu
menariknya. Dia hanya merelakan dirinya mengikuti tarikan tersebut dan berjalan
menembusi pintu kayu yang berlorek indah itu.
Sekelip mata
Redouane sudah berada di dalam rumah tersebut. Tiada siapa yang menyambutnya.
Di hadapannya terpampang satu pemandangan yang belum pernah dilihatnya. Satu
lorong panjang dengan pintu-pintu di kiri dan kanannya, seperti lorong di hotel
tetapi lorong ini seolah-olah tiada berpenghujung, sayup terlalu dalam.
Redouane berjalan
memasuki lorong tersebut dan meneliti setiap pintu di kiri dan kanan, berbagai
rupa dan jenis. Walaupun tiada bertanda namun setiap kali Redouane memegang
pintu tersebut, dia seolah tahu apa yang ada disebaliknya. Seolah ada cuplikan
beberapa saat mengenai apa yang akan ditemukannya di dalam bilik tersebut
sebaik sahaja dia memegang tombol pintu. Seperti salah satu pintu di kanannya
yang dia tahu bahawa dia dapat kembali menemui arwah ayahnya yang tidak pernah
dikenalinya sejak berusia tiga tahun.
Semakin banyak
pintu yang dipegangnya, semakin keliru apa yang dimahukannya. Tiada satu pintu
pun yang dibukanya. Hinggalah dia sampai ke penghujung lorong tersebut, di
hadapan sebuah pintu yang menghadap ke lorong tersebut. Mungkin ini yang
dimaksudkan oleh arwah Nacereddine sebagai pintu terakhir. Redouane menyentuh
pintu tersebut. Tiada cuplikan, tiada suara, tapi diketahui dalam hatinya
bahawa pintu itu adalah pintu yang dapat membawanya ke alam kematian.
Mampukah dia
menyaksikan dan merasakan kematiannya sendiri? Sanggupkah dia untuk mengetahui
apa yang berlaku pada dirinya setelah kematian? Sempat terfikir olehnya bahawa
jika dia mengetahui apa yang berlaku setelah kematiannya, mungkin dia boleh
mengubahnya setelah keluar semula dari pintu tersebut.. tapi bagaimana jika
kematiannya membawa dia ke syurga? Mahukah dia keluar semula melalui pintu
tersebut ataukah dia akan terus menetap dalam alam kematian tersebut?
* * *
Sahabat Redouane
sedang tidur nyenyak ketika pintu bilik hotelnya diketuk berulang-ulang kali
dengan kuat. Seperti ada yang tidak sabar mahu dia membukanya. Dia bangun dan
memutar kunci. Redouane menerpa masuk dan duduk di atas salah satu dari katil
yang ada di bilik tersebut.
"Kita mesti
balik malam ini juga," kata Redouane singkat. Sahabatnya hanya mengangguk
tanpa bertanya dan berkemas untuk pulang.
Sepanjang
perjalanan beberapa jam itu, Redouane tidak berkata apa-apa. Hanya berselimut
dan berpeluh-peluh seolah-olah sedang dalam ketakutan. Sahabat Redouane juga
hanya mendiamkan diri dan memandu laju hingga ke rumah Redouane. Perjalanan
pulang itu terasa lebih panjang daripada ketika mereka datang. Sesampai di
rumahnya, Redouane turun tergesa-gesa, berpatah balik melihat ke arah
sahabatnya sambil menundukkan kepala, tanda terima kasih lalu terus masuk ke
dalam rumah. Dan sahabatnya turut membalas mengangguk sambil cuba untuk
tersenyum.
* * *
Ada satu sampul
surat besar ditinggalkan oleh Redouane kepada sahabatnya sebelum berlepas
bersama sepasukan sukarelawan ke zon perang di Palestin. Walaupun pemergiannya
diiring esak tangis keluarganya, namun terlihat kegembiraan di muka Redouane.
Wajahnya berseri-seri, seolah-olah dia memang menunggukan saat itu.
Pada malam ketika
sahabat Redouane mendapat khabar kematian Redouane dalam satu serangan hendap
tentera israel, sahabatnya tahu bahawa sudah sampai saatnya dia harus membuka
sampul surat besar berwarna putih yang ditinggalkan oleh Redouane kepadanya.
Hanya sehelai kertas yang tertulis senarai nama.. tujuh puluh nama.. dan nama
sahabatnya itu tertulis di antara yang paling atas. Dia terduduk ketika terbaca
tulisan di bahagian bawah kertas itu..
"Jika
syahidku diterima, inilah nama orang-orang yang kukasihi yang akan kutuntut
jaminan janji-Nya. Maka tetaplah kamu sekalian dlm iman dan taqwa. Sampaikan
salamku kepada mereka."
* * *
2 ulasan:
thanks
thanks to you man.. ;)
Post a Comment