I.
Ada
bunyi yang berbeza di antara desiran daun-daun dan kicauan burung-burung kecil
yang biasa. Bunyi ini berlainan. Bunyi nafas yang berat menghambat. Perlahan
dia membuka matanya, keluar dari meditasi yang entah sudah berapa lama. Satu
sosok berbaju hitam duduk di sebelahnya. Tidak kedengaran pun sebelumnya bunyi
tapak kaki memijak daun-daun kering atau ranting kayu.
"Dah
lama sampai?" tegur sang pertapa.
"Dah
lama kat sini?" tanya si baju hitam kembali. Baris-baris gigi putih yang
memerah dengan air sirih menghiasi senyumannya.
Dia
sudah berjumpa dengan si baju hitam ini dipersimpangan denai ketika dia mula
mendaki. Agak lama juga mereka bersembang. Dia sempat menceritakan perihal
niatnya mahu mencari tempat yg sesuai untuk bertapa di puncak Gunung Ledang.
"Apa
yg kau cari sebenarnya?" si baju hitam bertanya lagi.
"Seseorang
yang boleh menunjukkan aku jalan yg sudah lama terhijab, jalan ke alam
kayangan," sang pertapa memberi penjelasan.
"Kau
gila! Mana ada alam kayangan. Itukan mitos orang melayu dari zaman hindu dulu.
Bertahun aku kat atas ni, mana ada orang kat atas ni? Jin dgn hantu adalah. Kau
kena tipu nanti," si baju hitam menasihati sang pertapa.
"Tak
apalah. Aku cuba dulu," sang pertapa mahu menutup perdebatan, tidak mahu
mengulangi lagi seperti yang telah berlaku kelmarin di simpang denai. Si baju
hitam ini tidak akan mengalah walau apapun rasionalnya.
Si
baju hitam memancutkan air sireh dari hujung bibirnya yang dimuncungkan ke arah
kirinya. Sang pertapa mulai merasa tidak selesa dan terganggu. Bahasa tubuhnya
segera difahami oleh si baju hitam.
"Terpulang
pada kau lah. Nanti kalau ada yang datang kau kirim salam aku kat dia,"
kata si baju hitam sambil tertawa. Sang pertapa menarik nafas panjang
menyabarkan dirinya. Moga2 si baju hitam ini tidak datang lagi mengganggu
pertapaannya.
II.
Hari
ini adalah hari ke tujuh sang pertapa tinggal di puncak Gunung Ledang. Setiap
kali selepas solat asar dia pasti diziarahi oleh si baju hitam yang berusaha
tanpa jemu mematahkan semangatnya. Dia sendiri tidak tahu mengapa si baju hitam
beriya-iya mahu dia membatalkan niatnya. Dia juga masih belum tahu siapa si
baju hitam itu selain dari kerjanya mencari akar kayu di hutan ledang ini.
Tapi
hari ini belum nampak kelibat si baju hitam. Sang pertapa duduk di atas sebuah
batu besar di pinggir sungai dan mula bertafakur. Dia telah mencapai
ultra-somnambulisme yang sempurna semalam. Dia sudah mampu mewujudkan apa
sahaja yang dimahukannya. Dan semuanya bukan sekadar ilusi tetapi nyata. Malah
pagi tadi dia mampu memindahkan batu besar yang didudukinya dari tengah hutan
hanya dengan menggunakan daya kinestik yang dialurkan dari kekuatan dan
kedalaman fokusnya.
Walaupun
bukan itu yang dicarinya, namun tetap juga dia berlatih dan terus melatih
fokusnya yang beriring zikir-zikir yang diajar oleh arwah datuknya. Cuaca mulai
meredup, awan mendung hujan berarak ke timur, angin meniup kuat pohon-pohon di
sekelilingnya. Sang pertapa tetap duduk berzikir dan bertafakur. Semakin dalam.
Menyerap segala aura dan semangat. Seolah diri terperinya sudah sebati dengan
alam. Mempasrahkan apa sahaja yang datang dan berlaku. Si baju hitam tidak
muncul-muncul juga hari itu.
Dia
berjalan kembali ke gua kecil yang ditempatinya. Hujan sangat lebat namun dia
tidak kelihatan basah. Air dingin yang turun dari langit itu seolah tidak
menyentuh tubuhnya. Hanya meleleh turun seolah ada selapisan penebat air yang
meliputi sekujur tubuh sang pertapa. Terlihat di muka pintu guanya seorg pemuda
berbaju kuning. Mungkin menumpang berteduh. Namun semakin sang pertapa
mendekatinya, terasa olehnya satu aura yang kuat. Dan tahulah dia bahawa si
pemuda berbaju kuning ini bukan calang-calang orang, atau mungkin juga bukan orang.
Maka dia pun memberi salam sebelum bersalaman dan duduk di samping pemuda
tersebut.
"Dari
mana?" tanya sang pertapa.
"Buat
apa malam-malam kat sini?" balas tanya pemuda berbaju kuning.
Dua
pasang mata bertentangan buat beberapa ketika. Masing-msaing hanya duduk
membatukan diri, seolah komukasi yang wujud antara mereka bukan lagi verbal
kerna tiada kedengaran bunyi suara lain dari kedua-dua bibir. Hanya melalui
telepati. Sang pertapa merasa sukar untuk menembusi minda pemuda tersebut. Sebaliknya
merasa dirinya sedang dijelajahi oleh sesuatu. Semua perjalanannya dan segala
suatu yang dilaluinya di Gunung Tahan, Gunung Korbu, Gunung Yong Belar, Gunung Berembun.
Gunung Tok Nenek, Gunung Bintang, Gunung Semangkok. Gunung Tiga Negeri, Gunung Jerai,
Gunung Perlis, Gunung Raya, Gunung Angsi, Gunung Berinchang, dalam pendakian
tujuh puluh satu gunung dan bukit di tanah melayu tergambar dalam pandangannya.
"Aku
juga mencari perkara yang sama, dan aku telah hampir menemuinya," ujar
pemuda berbaju kuning itu.
"Mahukah
kau menunjukkan jalannya kepadaku?" rayu sang pertapa.
"Dengan
satu syarat!"
III.
Langit
kembali gelap. Petir sabung-menyabung. Pokok-pokok merunduk dibantai angin
kencang. Sang pertapa tetap tegak berdiri dalam kedudukan qiyam di kelilingi
empat pemuda yang lengkap berbaju melayu sedang membuka tapak dan langkah. Sang
pertapa memfokuskan fikirannya dan memantau pergerakan keempat-empat pemuda itu
dengan mata hatinya.
Seiring
dengan melodi guruh yang berdentum, keempat-empat pemuda menyerang sang pertapa
dengan serangan tapak harimau. Sang pertapa dengan pantas mencapai selendang di
bahunya dan menebar mengelilinginya membidas serangan hebat tersebut dgn sauk
awang bodoh sambil melepaskan serangan serbuk beracun. Keempat pemuda tersebut
terus menerus menyerang dengan berbagai buah pukulan yang ditepis sang pertapa.
"Hentikan!"
tiba2 kedengaran satu suara umpama halilintar membelah bumi.
Sekujur
petir memburam. Hanya kelihatan pancaran kilat-kilat bersahutan di celah-celah
awan hitam. Keempat-empat pemuda itu menghentikan serangan mereka. Sang pertapa
memandang tajam ke arah datangnya suara tersebut. Sekoyong pemuda itu melompat
melayang ke hadapan sang pertapa. Keempat-empat pemuda tadi langsung bergabung
bersamanya.
"Apa
yg kau cari itu sangat bahaya dan boleh menyesatkan," kemudian dia menoleh
kepada pemuda di sebelah kanannya.
"Sudahlah
jebat, setiap manusia mempunyai hak terhadap pilihannya sendiri. Jangan diulang
lagi apa yang pernah berlaku," katanya kepada sahabatnya yang menunduk
menggumam dengan rasa dipersalahkan.
Dalam
satu kelipan mata, kelima-lima pemuda itu menghilang dan alam kembali cerah,
seolah tiada apa-apa yang berlaku. Sang pertapa beristighafar. Butir-butir
peluh membasahi tubuhnya. Dia terduduk lesu, hampir seluruh tenaganya terkuras
dalam pertempuran tadi. terbetik dalam hatinya, "tuah?"
IV.
Sudah
tiga petang si baju hitam tidak muncul. Pada petang keempat, tepat setelah sang
pertapa menyempurnakan solat asar. Si baju hitam berada di sebelah kanannya. Bersila
menyunggingkan senyumannya sambil mengunyah sireh tanpa berkata apa-apa. Sang
pertapa tidak mengendahkan kehadirannya dan meneruskan dengan amalan zikirnya. Usai
sang pertapa berdoa, si baju hitam menepuk bahunya.
"Ada
sesiapa datang?"
"Bukan
urusanmu," balas sang pertapa pendek.
"Semua
yang berlaku di atas puncak gunung ini adalah urusanku. Kau memang betul-betul
degil dan keras hati. Kalau kau benar-benar mahu tahu ikuti aku," balas si
baju hitam tertawa sambil melaju ke arah barat.
"Itu
pun kalau kau benar-benar sudah cukup sakti untuk mengejarku," suara si
baju hitam sudah menjauh dan berbalam-balam dengan suara tawanya.
Sang
pertapa melayangkan dirinya dalam usaha menyaingi gesit langkah si baju hitam. Menyatukan
ajian sapu angin dan ilmu gerak bayang yang sudah disempurnakannya sejak dua
tahun lalu ketika bersemedi di Gunung Jerai. Namun tetap saja si baju hitam
berada jauh di hadapannya. Dalam samar-samar senja itu dia dapat melihat jelas
si baju hitam berlari separuh terbang dengan dua sayap hitam yang besar muncul
di belakangnya. Maka diketahuilah dengan serta-merta oleh sang pertapa bahawa
si baju hitam itu adalah siluman naga yang menjaga Gunung Ledang.
Menurut
kisah yang didengarnya dari tok batin di beberapa gunung yang diziarahinya, ada
siluman naga yang menjaga kunci pembuka pintu dimensi penyambung dua alam, bumi
dan kayangan. Dan hanya pintu itulah satu-satunya yang masih wujud setelah
kayangan terhijab akibat dari Perang Wata; perang saudara antara dua dewa
kembar.
Sang
pertapa dan si baju hitam saling berkejaran hinggalah ke sebuah air terjun yang
deras. Si baju hitam terus melayang menembusi air terjun tersebut, dan cuba
diikuti oleh sang pertapa. Sang pertapa menyeru mantera rajawali mencoba
membuka tabir air terjun namun gagal dan dia terhempas ke dalam deras air dan
tenggelam di dasar sungai. Si baju hitam tertawa lagi.
V.
Sang
pertapa membuka mata dan melihat si baju kuning sedang bertafakur menghadap
dirinya yang terbaring. Sang pertapa merasakan aliran panas menghangatkan
saluran darahnya. Dia bingkas bangun dan duduk. Si baju kuning masih tetap
dalam tafakurnya.
"Adakah
kau sudah menemukannya?"
Sang
pertapa menoleh ke arah si baju kuning yang masih kyusu'. Malam itu bulan
terang. Sepertinya tiada angin yg bertiup. Baru disedari sang pertapa bahawa
dia sudah terhanyut jauh ke hilir dari kawasan air terjun. Mungkin pemuda ini yang
menyelamatkannya.
"Adakah
kau sudah menemuinya?"
Sang
pertapa mendengar soalan itu lagi bergaung dalam kepalanya. Tiba-tiba dia
merasa seperti tenggoroknya dicekik. Dia berusaha mengawal dirinya dan mengatur
nafasnya kembali dengan lebih teratur. Menarik nafas dengan panjang. Menghembus
keluar perlahan-lahan. Namun tetap saja dia merasa tidak mampu bernafas. Terasa
seperti tiada angin yang dapat dihirupnya. Seolah berada dalam vakum.
"Adakah
kau sudah menemukannya?"
Sang
pertapa hanya mampu menganggukkan kepalanya. Si baju kuning membuka kelopak
matanya. Sang pertapa baru merasakan udara segar kembali memenuhi paru-parunya.
Dengan tercungap-cungap dia kembali menyambut nyawanya. Menarik nafas dengan
panjang. Menghembus keluar perlahan-lahan.
"Tunjukkan
padaku!"
Sekoyong-koyong
sang pertapa merasa kedua bahunya disambar kuku binatang yang sangat besar dan
dibawa terbang membelah malam menelusuri sepanjang sungai. Bayangan air terjun
senja tadi muncul di fikirannya. Entah mengapa segala ilmunya menjadi hambar
apabila berhampiran dengan si baju kuning. Dia hanya mampu mempasrahkan dirinya
ketika menengadah ke atas menyedari bahawa si baju kuning itu adalah siluman
rajawali gergasi.
Mungkinkah
si baju kuning ini yang disebut dlm lagenda hutan sebagai sang garuda yang
tersingkir dari kayangan akibat dari kerakusannya mengatur kuasa antara manusia
di bumi, dan disumpah akan bersendiri tanpa pasangan dan keturunan buat
selama-lamanya. Kata orang-orang hutan, sang garuda ini telah dari zaman
berzaman memburu sang naga yang memegang kunci ke alam bawah. Alam bawah ini
adalah alam arwah yg merupakan persimpangan antara bumi dan kayangan. Disitulah
terletaknya segala rahsia kehidupan. Dan itulah juga tujuan pencarian sang
pertapa.
Anehnya
semakin jauh menyusuri sungai itu tidak juga kelihatan bayangan air terjun. Siluman
rajawali sepertinya sudah mulai tidak sabar. Mereka turun mendarat di
penghujung sungai. Airnya menghilang ke celahan sebuah batu besar. Si baju
kuning melancarkan bebola api ke arah batu tersebut yang meledak dgn bunyi
letupan yang sangat dahsyat. Hampir saja sang pertapa pengsan mendengarnya. Namun
batu itu masih tetap utuh tidak terguris.
VI.
Lima
ekor harimau muncul dari belakang batu tersebut. Harimau yang berbulu putih
menaiki batu tersebut sambil mengaum dengan suara seperti halilintar. Empat
ekor lagi menderam dengan suara yang sangat mengerikan. Siluman rajawali yang
sudah berubah bentuk kembali menjadi pemuda berbaju kuning tegap berdiri tanpa
sedikit pun menunjukkan aura takut. Sang pertapa masih terjelepuk agak jauh
dari si baju kuning.
"Kamu
berlima bukan tandinganku!" sergah si baju kuning.
Malah
sang harimau lima bersaudara langsung menyerang si baju kuning dengan ganas. Berlakulah
pertempuran yang sangat sengit. Sang pertapa hanya mampu menyaksikan
pertarungan para siluman itu tanpa mampu berbuat apa-apa. Tubuhnya seolah
terkunci oleh suatu kuasa ghaib. Si baju kuning mengibaskan ajian mayang gesit
melambungkan tiga ekor harimau terhempas ke dalam air. Sang harimau putih
menggunakan buah sundang lipas berjaya melukakan si baju kuning. Bulu-bulu
burung berterbangan di sekitar arena pertempuran itu.
Si
baju kuning berubah bentuk menjadi rajawali gergasi terbang ke udara sambil
melepaskan sebuah lagi bola api. Tiba-tiba entah dari mana muncul seekor naga
menyambar sang rajawali di angkasa. Keduanya bergelut dalam satu pertarungan yang
menyaksikan pekikan dan api sambar menyambar, sebelum keduanya jatuh jauh di
celah hutan. Siluman harimau lima bersaudara bingkas berhamburan ke arah
jatuhnya kedua-dua petarung hebat tersebut.
Sang
pertapa hanya mampu memandang, seluruh tubuhnya tidak mampu bergerak, seakan
terpaku ke bumi. Dia memejamkan matanya dan mengumpulkan sisa-sisa tenaga yang
masih dirasakannya, sambil mulutnya terus-menerus menuturkan asma buju panglima
sebagai upaya melepaskan ajian paku bumi yg membungkamnya tidak berkutik.
Jauh
di sebelah hutan yang satu lagi, sang pertapa mendengar bunyi dentuman dan
pekikan, bumi terasa bergoncang seolah dilanda gempa bumi dengan hawa panas
sepertinya ada gunung berapi yang baru meletus. Jika begini hebatnya
pertempuran antara sang penjaga, bagaimana agaknya keadaan waktu terjadinya Perang
Wata. Bumi seakan dijenguk kiamat. Tenaga dalam sang pertapa terkuras habis. Raganya
seakan hanya timbunan daging yang melekat antara tulang-tulang berbungkus
kulit. Tidak ada apa lagi yang mampu dilakukannya. Di celah bunyi suara yang
mengerikan pandangan sang pertapa menjadi gelap.
VII.
Hujan
gerimis yang membasahi wajah sang pertapa mengejutkannya. Sayup-sayup
didengarnya azan subuh. Hari ini adalah hari yang ke empat belas dia berada di
puncak Gunung Ledang. Kelesuan masih membekas di tubuhnya. Dia merangkak ke
arah sungai utk mengambil wudhu'. Subuh itu wiridnya lebih panjang dari
biasanya. Setiap patah zikir yang dialunnya seakan menyerap ke dalam tubuhnya,
menjalar ke setiap urat nadinya.
Ketika
mentari mulai timbul menyuluh puncak Gunung Ledang, sang pertapa terdengar
bunyi air terjun. Bunyi itu datang dari arah timur tidak jauh dari tempatnya. Dia
tahu persis itulah yang dicarinya semalam. Itulah jalan pintu ke alam bawah, yang
dapat membawanya kepada rahsia kehidupan. Sang pertapa menggagahkan tubuhnya
untuk bergerak.
Sang
pertapa sudah puas dengan pengalaman empat belas hari itu. Dia tahu dia tidak
memerlukan apa yang dimahukannya. Segala rahsia yang dicarinya itu ternyata ada
dalam dirinya. Dia melangkah menelusuri denai menuruni Gunung Ledang. Dari
jauh, kedengaran suara tawa. Semakin sayup. Suara tawa itu tetap menggetar
gegendang telinganya sewaktu dia sudah berada di kaki Gunung Ledang. Tawa itu
masih bergaung dalam kepalanya ketika dia membaca suratkhabar hari itu di atas
bas, mengenai berita kebakaran hutan yang berlaku di Gunung Ledang, di dalam
perjalanan pulang menuju kampungnya.
***
1 ulasan:
nice
Post a Comment