Wednesday, October 30, 2024

UFO Padang Lalang

Posted by usoPkuChai On 2:15 AM No comments

 

 



Pagi-pagi hari itu, tiba-tiba saja muncul sebuah piring terbang di tengah-tengah kebun tebu Lebai Daud. Seolah tergantung, lebih tinggi dari pokok kelapa tua yang ada. Diam saja tidak bergerak-gerak, sambil piringnya berpusing mengeluarkan bunyi berdengung. Bukan Lebai Daud seorang sahaja yang nampak waktu dia masuk ke kebun tebunya lepas sarapan pagi tadi, tapi orang-orang yang duduk mengeteh di warung Samad pagi itu juga dapat melihatnya. Kata mereka sejak malam tadi sudah terdengar bunyi dengungnya. Hari ini kampung Padang Lalang bakal menjadi sibuk.

Penduduk kampung mulai berbondong-bondong datang ke kebun tebu Lebai Daud untuk melihat piring terbang itu dengan lebih dekat. Lebai Daud pula sedang menarik tali dan dawai untuk memagar kebunnya supaya tebunya tidak rosak dipijak-pijak orang. Lebai Daud terjerit-jerit menghalang orang mendekati pagar kebun tebunya. Habis segala orang dimakinya. Mungkin hari ini adalah hari Lebai Daud yang paling sibuk.

“Habis jahanam tebu aku. Kenapalah kau datang hari ini. Tunggulah aku tuai tebu-tebu aku ni dulu,” mulut Pak Ngah tak berhenti mengomel merisaukan tebu-tebunya yang sudah ditempah oleh tokeh dari pekan Selambak minggu lepas.

Sebuah kereta polis juga sudah sampai. Seorang pegawai polis kelihatan sedang bercakap-cakap dengan Manaf dan Bedul, manakala seorang lagi masih duduk di dalam kereta bercakap-cakap dengan ibu pejabat, beri laporan agaknya. Orang semakin ramai memenuhi setiap inci tanah berhampiran kebun Lebai Daud. Ada yang berdiri melopong mahupun duduk mencangkung, sambil kepala mendongak ke atas. Tidak ada siapa tahu apa yang harus dilakukan. Lebai Daud pula semakin sibuk.

Warung Samad pun penuh hinggakan Pak Ngah Samad terpaksa membentangkan tikar. Tidak menang tangan Pak Ngah Samad melayani limpahan pelanggan yang luar biasa hari itu. Dari dapur warungnya sayup-sayup  kedengaran suara Mak Ngah Munah, isteri Pak Ngah Samad, membebelkan Pak Ngah Samad yang memaksa anaknya cuti supaya boleh membantunya di warung - yang memang bukan main-main sibuknya.

“Bukan selalu cuti pun. Lagipun bukan selalu orang dapat tengok UFO. Sekolah pun patut tutup dan datang ke mari,” kata Pak Nah Samad mempertahankan keputusannya.

Menjelang tengahari kelihatan pula sekumpulan burung terbang berlegar-legar mengitari piring terbang tersebut. Sekeliling warung Pak Ngah Samad sudah dipenuhi oleh payung-payung yang dipasang oleh orang-orang TV yang datang untuk merakamkan keajaiban yang berlaku di kampung Padang Lalang. Setiap kamera yang terpasang menghala ke arah langit kebun tebu Lebai Daud. Masing-masing mencari sudut yang terbaik. Beberapa kereta polis datang lagi untuk membantu mengawal keadaan yang semakin sibuk.

Menjelang tengahari, semakin lama semakin banyak pula burung-burung dari pelbagai spesis turut sama terbang dalam kumpulan tersebut.  Sungguh fenomena yang mempesonakan. Terdengar suara Pak Ngah Samad menyampaikan pesan Lebai Daud. Katanya orang-orang kampung dan orang-orang TV duduk sajalah di warungnya kerana Lebai Daud beritahu sudah tidak boleh mendekati kebun tebu lagi kerana sudah dijaga tentera. Dua tiga orang askar, pangkat pegawai gamaknya, cuba menjelaskan sesuatu pada Lebai Daud yang kelihatan tidak berpuas hati. Manakan tidak, habis tebunya diluluh-lantak dek kereta perisai tentera. Sudahlah tebu sedang turun harga, maka kali ini Lebai Daud rugi bertimpa rugilah.

Diruang dapur warung Samad pula terdengar suara Pak Ngah Samad marah-marah. Pak Ngah Samad bukan marahkan anaknya atau isterinya yang diam saja sejak tenghari itu sambil memuncungkan mulut, tapi dia geramkan Pak Usu Saleh. Manakan tidak, baru dia ingat mahu  membesarkan warungnya, tiba-tiba saja ada warung kopi baru tercacak di sebelah warungnya. Tak semena-mena isteri Pak Ngah Samad menarik tangan anaknya pulang ke rumah meninggalkan Pak Ngah Samad sendirian mengurus warung dengan muka tidak puas hati. Manakan tidak, lama-lama muncul pula rasa jengkel dihati Mak Ngah Munah, bukan kerana tumbuh warung pacak Pak Usu Saleh, tapi kerana omelan Pak Ngah Samad yang tidak berhenti-henti sedangkan mereka sedang kalut melayani pelanggan. Sudahlah semakin ramai orang memenuhi warungnya, maka kali ini Pak Ngah Samad juga rugi bertimpa rugilah.

“Kau rasa kenapa UFO ni datang ke kampung kita? Patutnya dia ke Amerika lah kan?” Manaf mencuit Bedul, bukan sangat meminta pendapat tetapi lebih pada untuk bersembang sambil menghabiskan teh tarik gelas besar yang dipaksa beli oleh Pak Ngah Samad.

“Iya lah kan. Patutnya UFO ni ke Amerika. Apa dicarinya di kampung kita ini?” Bedul sama bingungnya dengan ratusan orang yang membanjiri sekitar kebun tebu Lebai Daud sambil mengurut-urut tengkuknya yang pegal mendongak sejak pagi tadi.

Tiba-tiba seluruh burung-burung yang terbang bertawaf sekeliling piring terbang itu jatuh ke tanah secara serentak. Mati tidak berkutik. Berhamburan orang-orang yang ada disitu lari mengelakkan diri menyerbu masuk ke warung Samad. Askar-askar dan polis-polis pun turut sama panik menyelamatkan diri dari ditimpa burung-burung yang berbagai saiz, sudahlah dari sejak mereka datang tadi berpayung mengelak dari hujan tahi burung yang berbagai jenis dan rupa. Huru hara seketika dikawasan tersebut, lebih huru hara lagi keadaan Pak Ngah Samad yang cuba menghalang orang-orang menyerbu masuk ke kedainya hingga rebah semuanya ke tanah.

Tiba-tiba lagi, piring terbang itu juga menghilang dengan sekelip mata. Tidak meninggalkan sebarang kesan. Tiada lagi bunyi berdengung. Yang ada hanya suara jeritan orang-orang yang terhimpit dek kerana huru hara. Ada yang meraung cedera terpijak, ada yang saling memaki kerana berasak-asak, ada yang saling bertumbuk kerana bertolak-tolak. Masing-masing tadinya mahu menyelamatkan diri masing-masing. Pak Ngah Samad hanya mampu berdiri dengan air mata bergenang melihat warung yang diusahakannya dengan duit pencen Majlis Daerah setahun yang lalu tersembam ke bumi. Di tengah kebun tebu pula, dicelah huru hara, terlihat Lebai Daud terloncat-loncat dengan suara yang tidak jelas, mungkin juga memaki-maki, sambil menendang-nendang ke kiri dan kanan segala bangkai burung dan tebu-tebunya yang rebah semuanya ke tanah.

Menjelang maghrib, dalam laungan suara azan yang berbalam-balam. Tiada lagi huru-hara dan keributan. Tiada lagi orang ramai mendongak ke langit. Tiada lagi orang-orang TV yang berkamera menemuramah orang kampung. Tiada lagi polis dan tentera menjerit-jerit walaupun bukan berkawad. Hanya tinggal bangkai-bangkai burung berselerakan memenuhi rebahan di kebun tebu dan puing-puing runtuhan warung Samad. Disatu sudut terlihat dua sosok seperti Lebai Daud dan Pak Ngah Samad yang duduk bertinggung sambil menepuk-nepuk kepala.

“Apa aku kata petang tadi. Tiada apa-apa di kampung ini. Buat apalah dia datang,” kata Manaf dengan muka bangga kerana merasa benar. Bedul mengangguk-angguk kepala menyetujui sambil meneruskan wudhu dengan membasahkan kepalanya.

 

0 ulasan: