Tuesday, June 7, 2011

si tangan ajaib

Posted by usoPkuChai On 4:10 AM No comments


sudah hampir lima tahun pak samad menggeluti profesi sebagai tukang urut. siapa tak kenal dengan Pak Samad Tangan Ajaib. seluruh kampung kenal dia. malah ada yg dari pahang, johor dan kedah pun datang menjejak serambi rumah tua peninggalan orang tuanya untuk mendapatkan khidmat urut yang telah tersibar mekar.

belum ada seorang pun pesakitnya yang pulang datang kembali mengadu tidak sembuh. belum ada panggilan telefon yang mengatakan tidak berpuas hati dengan urutannya. beliau dianggap mempunyai tangan ajaib. tak kurang pula yg meminta minyak urutnya yg hanya merupakan campuran minyak kelapa dan cengkih. pun turut memuji-muji kemujaraban minyak hasil adunannya.

berbagai jenis penyakit sembuh di tangan pak samad. yg patah pulang bersambung. yang tergeliat pulang sihat. yang bengkak datang merangkak pulang melenggang. yang mengadu lemah pulang gagah. malah ada yg datang lumpuh sudah mampu bertatih pulang. seolah tiada penyakit yang tidak dapat diubati oleh urutan tangan kekar pak samad.

kehebatan urutannya sempat menjemput cemburu dari tukang urut yg lain. sempat tercurah fitnah pak samad mengabdi para jin. sehingga pernah juga ada orang-orang pintar datang mengujinya. tak kurang juga yang mahu berguru dengannya. namun semua itu ditolak pak samad dengan lembut dan berhemah. bekalnya hanyalah doa yang diajar arwah bapanya, jari-jari kurus, tangan kekar dengan urat-urat timbul dan minyak kelapa bercampur cengkih. namun picitan dan urutannya tepat belaka mengena setiap urat dan otot.

kesohoran pak samad tiada tolok bandingnya, hinggalah suatu hari datang seorang pemuda menyeret kaki naik ke atas tangga rumah pak samad. Amin menjulurkan kakinya di hadapan pak samad. bengkak sebesar penumbuk terjojol di atas lututnya. sekilas menurut pandangan pak samad itu bukanlah bengkak yang biasa. namun erangan amin mencuit simpati pak samad.

"kakiku sakit," rintih amin.

menurut cerita amin, bengkak itu sudah hampir sebulan dideritainya. doktor di hospital daerah sudah menolak untuk mengubatinya dan mengusulkan supaya berubat cara kampung. laporan x-ray tidak menunjukkan apa-apa. berbagai tukang urut, bomoh dan dukun sudah didatangi amin tapi tetap jua bengkak itu tidak mahu surut. bapa saudara amin yang mencadangkan pak samad padanya.

amin bekerja di sebuah syarikat pembalakan. dan malangnya bermula ketika kakinya terlanggar sebatang pohon balak yang baru ditebangnya. sejurus dia terlanggar itu dia jatuh dan kakinya bengkak, hingga terpaksa diusung oleh kawan-kawannya ke hospital. kata kawan-kawannya dia terlanggar jin pokok balak. 'merepek!' kata amin dalam hati.

pak samad menuang minyak urut ke atas telapak tangannya dan menyapu dengan perlahan tapi teliti ke atas bengkak di lutut amin. dapat dirasakannya lutut amin berdenyut-denyut seolah ada benda bernyawa. dipicit-picitnya perlahan untuk mencari tahu apa yang sedang dihadapinya. amin mengenyit mata menahan rasa sakit dan ngilu yang bercampur.

mulut pak samad kumat-kamit membaca beberapa ayat doa mathur dan mengelus lutut kanan amin. amin mengerang tersentak bila pak samad memulakan urutannya.

"sakit?" tanya pak samad.

"takkan sedap pulak," gumam amin sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

"ini bukan urat bengkak nih, macam ada binatang lak dalam kaki kau nih," kata pak samad setelah menyedari bahawa bengkak di lutut amin itu bergerak-gerak seolah menghindar urutannya.

"hutan mana kau menebang pokok nih?" pak samad bertanya tanpa mengalihkan pandangannya dari bengkak di lutut amin.

"kat kawasan pembalakan di sungai sampenot. projek baru."

"err.. kena sampuk dengan jin ke pak samad?"

"ini bukan jin nih. jin tak macam nih. ini macam binatang nih. doktor tak nampak apa-apa masa x-ray hari tuh?"

"doktor kata tak nampak. diorg nak bedah, saya takut. saya kata nak berubat kampung dulu."

"aku belah nak? ini tak boleh urut nih."

"sakit?"

"kalau nak keluarkan tanpa belah lagi sakit." pak samad meyakinkan amin sambil terus memeriksa lututnya.

"tapi nanti jap."

pak samad mendekatkan kepalanya ke lutut amin, seolah-olah menemui sesuatu yang ganjil. kelihatan buih-buih kecil keluar dari bahagian bawah lutut amin. sepertinya ada lubang kecil yang tersembunyi di celah lipatan bengkakan lututnya. pak samad mengelap minyak urut di bawah lipatan bengkak tersebut. amin tersentak. ngilu.

"ada jalan keluar. tak perlu belah." ujar pak samad yang sedikit menyenangkan hati amin.

amin menjerit ketika pak samad menekan bengkak lututnya. terlihat lebih banyak buih dari minyak urut pak samad keluar dari bahagian bawah bengkak lutut amin. terasa sesuatu bergerak mahu melarikan diri ke bawah pelipat lutut amin, pak samad sigap menangkapnya dan membawanya naik semula ke atas lutut amin. air mata amin meleleh dalam deraman suaranya mengigit baju menahan kesakitan.

"kau tahan sikit. aku dah dapat dah benda tuh," pak samad memberi semangat kepada amin untuk terus bertahan.

peluh pak samad meleleh di tepi telinganya. dengan penuh hati-hati, dia mengurut benda yang ditahan di tapak tangannya ke arah bahagian lubang kecil di bawah bengkak lutut amin. amin menggigil-gigil menahan kesakitan yang amat sangat. seolah-olah malaikat maut sedang datang menjemput nyawanya. nafasnya tertahan. kedua tangannya menggenggam apa sahaja yang dapat dicapainya, dalam sela-sela kesakitan itu dia menumbuk-numbuk lantai rumah pak samad.

hampir lima belas minit pak samad bertarung dengan benda dalam lutut amin. sudah kelihatan sesuatu seperti belalai atau sesungut berwarna putih yang membasah dengan darah terjuntai di lubang di lutut amin. keadaan amin pula sudah seperti orang kerasukan. peluh berjurai membasahi rambutnya. pak samad tetap dengan pekerjaannya tanpa tergugah dengan keadaan amin.

"aarrrrrggghhhhhh!!!!" amin menjerit tidak tertahan lagi.

sejurus dengan itu seketul benda putih terpancut keluar dari lutut kaki amin. pak samad dengan pantas bangun mengejar benda yang melompat ke dinding rumahnya. amin sudah habis tenaga. darah membuak dari lututnya. amin tidak punya tenaga lagi waima untuk melihat pergelutan pak samad di tepi dinding. matanya terpejam dan mulutnya menganga menghirup segala nafas yang ada di ruang tamu rumah pak samad.

di dinding rumah, pak samad sedang berusaha menangkap benda aneh yang menduduki lutut amin selama sebulan itu dengan tangannya. di tekupnya setiap tempat benda itu meloncat dan melompat di setiap dinding rumahnya. dan akhirnya ketika benda itu berusaha melepaskan diri dari tapak tangan pak samad ke arah kanan, pak samad menyiku benda itu dengan kuat. pak samad sudah tidak peduli sama ada dia berjaya menangkap benda itu hidup-hidup lagi. berdentum bunyi sikuan pak samad. bergegar papan lantai. dan seiring dengan itu pak samad pula menjerit dan berguling-guling di ruang tamu rumahnya.

sejak dari hari itu, amin sudah boleh bekerja seperti sediakala. dia sangat berterimakasih pada pak samad yang berjaya menyembuhkan bengkak di kakinya. dan sebagai menunjukkan penghargaannya kepada pak samad yang telah menyembuhkan kesengsaraannya, amin sering datang menjenguk pak samad hampir setiap minggu, sambil menghadiahkan barang-barang keperluan dapur di atas serambi dan berlari keluar dengan kadar segera sebelum pak samad menyeddari keberadaannya.

pak samad pula sudah tidak mengurut lagi. setiap orang yang datang jauh dan dekat terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. pak samad sudah tidak berdaya lagi menggunakan tangan ajaibnya untuk menyembuhkan orang lain. sikunya bengkak sudah hampir dua bulan. terasa berdenyut-denyut dan ngilu. sakit hatinya setiap kali melihat muka amin.


0 ulasan: