Wednesday, June 8, 2011

diari rindu: temanilah aku rindu

Posted by usoPkuChai On 5:12 PM No comments



* * *

malam ini mendung lagi.. sama seperti beberapa malam yg telah berlalu.. sudah lebih seminggu sejak rembulan bertandang ke sebalik bumi sebelah sana, kini muncul semula di balik awan, memudarkan cahayanya yang gemilang.. mungkin malam ini hujan lagi.. seperti malam semalam dan malam sebelumnya.. bahang bumi di sepanjang jalan dari ambassador ke gang sidik terasa menggigit di balik jaketku.. habuk-habuk dari debu yang berterbangan di langgar speda motor dan mobil angkot terasa mencakar kulit wajahku.. mudah-mudahan hujan malam ini dapat menenangkan keserabutan udara kotor jakarta.. dan moga jua dapat mendamaikan kesemrawutan dalam hatiku..

ku telusuri jalan itu terus dengan kepala yang penuh dengan sesuatu yang aku sendiri tidak mengerti.. berfikir tetapi tidak berfikir.. bingung.. bengong.. entahlah.. dalam kesibukan dan keriuhan kota dua puluh juta penduduk ini, aku merasa sendiri lagi.. beberapa hari yang lalu takdir menafikan komunikasi aku dengannya.. teknologi tidak mampu menyambung kata dan khabar.. hanya dalam dua tiga kesempatan sepanjang minggu lalu, rindu dapat reda dari kesunyian.. hanya dua tiga kesempatan.. cukup untuk mengubat luka pedih oleh kesunyian.. sekurang-kurangnya sehingga aku terhubung semula dengnnya..

namun semalam, kata cinta terhambur dalam irama yang tidak keruan, lagu kasih terasa sumbang nadanya di sambut telinga, aku dan dia terbakar dalam ledakan rindu yang mendendam.. kami terpanggang dalam api cinta yang kami mulakan sendiri.. tiada lagi panggilan sayang dan cinta.. hanya penuh dengan ayat-ayat kaku desak menuntut.. aku terasa lesu dan kenangan lalu kembali terhidu.. fikiranku penuh dengan fikir tetapi tidak terfikir.. terasa benar neuron-neuron di otakku tidak dapat membuat keputusan untuk memaknakan apa yang sedang aku lalui..

gadis jawa asli wonogiri, penyambut tetamu di rumah penginapanku, menghulurkan kunci kamarku sambil tersenyum. aku sambut dan langsung masuk ke lift yang sudah terbuka menanti. perjalanan ke arah kamarku terkesan lebih jauh dari perjalanan pulang tadi. lorong kosong dengan cermin-cermin di setiap pintu seolah memalingkan diri dariku. tiada bunyi-bunyi manusia seperti biasanya. bahu dan betisku terasa semakin memberat merambat jalanku ke arah kamar yang paling hujung. tiada juga bau masakan dari bilik pantry bersebelahan. mungkin tante dari minahasa lagi pulang kampung. sepatu dan sandal berselerak di depan pintu kamar yang berhadapan, seperti biasanya, keponakannya pasti masih belum pulang.

aku buka pintu kamarku dan kuucapkan salam buat ahlul bait, dan buat diriku sendiri.. tidak kutekan suis lampu, biarlah menggelap.. bag sandang kuletakkan di hadapan tv dan aku menghempaskan tubuhku di atas katil bercadar putih, tenggelam dalam kegelapan.. mengapa sunyi ini bertandang lagi setelah terusir lebih enam bulan yang lalu.. kesibukan tidak lagi mampu menghalau.. aku pejamkan mataku.. kubiarkan apa saja yang berlaku di otakku terus berlaku tanpa aku halangi, tanpa aku pertikai, tanpa aku jawab segala persoalannya.. kupasrahkan apa saja yang muncul.. begitu juga dengan tubuhku.. kubiarkan lesu dan terus melesu.. tidak mahu kupertikaikan segala tekanan.. kunafikan lenguh dan gatal.. aku biarkan diriku terus tenggelam dalam gelap.. tenggelam dan semakin tenggelam.. semakin jauh ke dalam kegelapan.. jauh dan semakin jauh.. tenggelam ke dasar gelap-gelita..

* * *

03:18.. itulah yang kulihat di telefon bimbitku waktu aku tersedar.. kasutku masih melekat di kaki.. aku masih lengkap berpakaian.. jaket berwarna coklat juga masih tersarung di tubuhku.. hanya topi kulit hitam yang sudah tercampak ke sebelah bawah kanan katil.. aku tekan kawalan jauh tv.. sebuah filem lama ditayangkan di max.. kumatikan lagi.. kubuka kasut dan stokinku.. kulempar jaketku ke atas sofa hitam di sudut kamarku.. akalku masih belum berfungsi.. kubuka baju dan seluarku.. kesejukan dari penghawa dingin mula menyapa seluruh kulit tubuhku yang terdedah.. kusibak langsir yang menutupi pintu kaca setinggi enam kaki di kamarku.. melihat ke luar.. ke arah gelap malam.. pohon-pohon yang tegak berdiri tidak bergoyang daunnya.. cahaya dari tiang lampu menyimbah jalan simen menyerlahkan basahan air.. hujan sudah berhenti..

aku duduk di atas meja kayu kecil bersebelahan sofa hitam.. tanpa seurat benang.. aku nyalakan sebatang rokok yang kukeluarkan dari kotak merah di atas meja tersebut.. kutarik asapnya dalam-dalam dan kuhembuskan perlahan.. kubuka pintu cermin, yang lebih layak disebut tingkap sebenarnya.. angin malam menyerbu masuk bergulir menyapa wajahku.. sang kelelawar yang menginap di pohon besar di belakang rumah kediamanku juga tidak kelihatan.. kujentik puntung rokok bernyala ke luar tingkap.. kucapai tuala putih dan melangkah masuk ke bilik air.. mungkin panas air dari pancuran mampu mencairkan kebekuan dalam hatiku.. aku berharap..

* * *

pagi ini aku lambat lagi ke pejabat.. bukan kerna aku bangun lambat.. tetapi kerna otakku terhambat.. dari habis subuh aku duduk di kerusi kayu menghadap komputer riba yang menyala di atas meja di hadapanku. arie lasso dan bunga citra lestari menduetkan 'aku dan dirimu' lembut dari pembesar suara di sebelah kiriku.. kutatap ikon skype yang tak mungkin akan hijau seawal pagi begini.. kopi yang masih setengah dalam cawan hitam di kananku sudah menyejuk.. bunyi deringan telefon menyentak sedarku bangun dari lamunan panjang.. aku harus berhenti meratap sunyi dan menjalani hidup hari ini..

sebaik sahaja komputer ribaku bersambung dengan jaringan internet, sebaik sahaja aku buka emelku, pagiku yang senyap menjadi semakin kehilangan bunyi-bunyian.. bait-bait yang sangat indah memaku pandanganku.. terasa sangat lembut menusuk ke setiap rongga sarafku.. ternyata dia berjaya menulis halaman terakhir untuk kisah kami.. airmata bergenang kutahan di kelopak mataku.. jantungku seakan terhenti tatkala alunan kata itu menyentuh hatiku.. benar dialah sukma yang kulepaskan bertahun dulu.. rahsia yang kupendam dalam lubuk yang tak terjangkau bertahun lamanya.. senandung lagu rindu terngiang di telinga mengusir sepiku.. jika dalam hidup ini kau bukan milikku, akan kupinta kau di syurga menjadi bidadariku..

kulemparkan pandanganku menerobos kaca jendela ke arah jalan gatot subroto yang memenuh dengan bas, kereta, motorsikal dan lori kontena..kubiarkan sepi pergi meninggalkan rindu untuk menemaniku.. jika nanti sepi kembali memburu, aku masih mampu mencumbu rindu.. temanilah aku rindu.. temanilah aku menunggu.. aku hanya ada kamu.. hingga akhir waktuku..

* * *

0 ulasan: