Malam itu ada orang yang mati dibunuh. Kata orang-orang disekitar situ,
pembunuhnya adalah suami kepada perempuan itu sendiri. Sangat kejam.
Tidak terbayang oleh sesiapa pun bagaimana seorang lelaki sanggup
membunuh isterinya sendiri. Apalagi dalam keadaan isterinya sarat
mengandung. Kata mereka, sudah cukup bulan, hanya menunggu hari
sahaja. Dan apakah yang lebih kejam daripada membunuh si ibu di hadapan
anak-anaknya sendiri. Dua orang anaknya diikat pada kerusi dan ibu mereka
disembelih di hadapan mereka. Memang bukan kerja manusia.
Aku hanya mendengar saja cerita-cerita tersebut dari jauh tanpa mahu
memberi komen apa-apa. Aku juga tidak mahu memandang, apalagi
mengetahui, pencaci-pencaci yang sedang bersemangat menokok-tambah
bumbu pada cerita tersebut. Malah ketika aku merasa perlu menegur mereka,
aku malah mendiamkan diri mengenangkan bagaimana jika mereka
mencemuh dan memaki aku pula. Biarlah mereka memakan daging saudara
mereka sendiri. Bukan urusan aku.
Pada pendapat aku, jika terjadi sesuatu yang tidak masuk akal seperti tragedi
ini, sudah tentu motifnya juga bukanlah motif yang boleh difahami dengan
mudah oleh orang ramai. Apalagi dikalangan masyarakat yang lebih suka
mencari sensasi dalam kedukaan orang lain. Biarlah itu hak mereka. Mahu
masuk neraka juga adalah pilihan, bukan semata takdir yang harus
dipasrahkan tanpa memilih.
Menurut laporan polis, si bapa dikisahkan sebagai seorg yang zalim. Tidak
pernah memberi nafkah yang cukup buat keluarga, jarang pulang ke rumah,
tidak pernah mahu mengambil tahu urusan anak-isteri dan mengabaikan
keluarganya. Laporan itu juga menceritakan bahawa pada malam itu berlaku
pertengkaran antara si bapa dan si ibu. Si bapa kemudian memukul isterinya
hingga pengsan. Setelah itu memukul dan mengikat anak-anaknya yang
mahu menyelamatkan ibunya. Dan seterusnya si ibu dibangunkan dengan
siraman air, sebelum lehernya dikelar menggunakan pisau dapur yang
tumpul, persis seperti menyembelih ayam. Sungguh tidak
berperikemanusiaan.
Anak-anaknya yang telah terikat tidak dapat berbuat apa-apa, hanya mampu
menangis dan meraung melihat ibunya menggelepar menahan darah yang
membuak-buak keluar dari lehernya dengan tangan. Si bapa kemudiannya
menghilangkan diri. Anak-anak itu dilepaskan dan mayat ibu ditemui hanya
pada keesokan paginya oleh posmen yang mengetuk pintu untuk meminta
tandatangan kepada sebuah bungkusan yang dikirimkan buat si ibu.
Aku tidak mempercayai sebahagian besar dari laporan polis itu kerana aku
sangat mengenali si bapa dan keluarga tersebut. Lelaki itu adalah seorang
yang sangat lemah-lembut dan sangat menghormati jiran-jirannya. Satu
personaliti yang sangat berbeza dengan isterinya yang memang dikenali oleh
jiran-jiran yang bersebelahan sebagai seorang yang sangat garang, malah ia
telah menjadi rahsia umum bahawa lelaki tersebut selalu tunduk pada
isterinya, 'Queen Control' adalah istilah yang dipakai oleh jiran tetangga untuk
merujuk kepada situasi dalam rumah tersebut.
Lelaki itu bekerja sebagai seorang kerani di sebuah kilang. Walaupun
merupakan seorang pekerja yang rajin dan berdedikasi, namun dia jarang
sekali mendapat bonus tahunan. Malah sepanjang 25 tahun dia bekerja di
kilang tersebut kenaikan gajinya adalah antara yang paling rendah. Setiap
tahun kilang tersebut mengisytiharkan kerugian namun tetap juga beroperasi,
kononnya untuk tetap menyediakan pekerjaan. Kebenaran yang berlaku itu,
paling tidak, harusnya diketahui oleh lelaki tersebut kerana dialah yang
menjaga akaun syarikat. Namun kerana ketaatan pada pekerjaannya, tiada
siapa dapat membongkar rahsia tersebut daripadanya, walaupun hampir
semua pekerja dapat membaca riak sedih pada wajahnya menelan setiap
kata-kata pembohongan setiap kali pengurus besar kilang mengiytiharkan
kerugian syarikat.
Jiran-jiran lelaki itu juga tahu bahawa lelaki itu tidak pernah meninggikan
suara kepada isteri dan anak-anaknya, melainkan sebaliknya. Isteri lelaki itu
sering memaki-maki suaminya apabila tidak mendapatkan apa yang
dimahunya. Bukanlah suatu pemandangan yang aneh pada jiran-jirannya, jika
melihat lelaki berlari keluar dari rumah diikuti dengan barang-barang yang
berterbangan ke arahnya. Namun setelah itu lelaki itu akan mengutipnya
kembali membawa masuk ke dalam rumah. Isterinya adalah anak seorang
bekas wakil rakyat, sudah tentu tidak akan selesa tinggal di rumah teres
murah, yang hanya mempunyai dua bilik. Pun begitu, isteri lelaki tersebut
sentiasa kelihatan anggun dengan pakaian mahal dan barang kemas ketika
menghadiri majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis yang diadakan di
surau setempat.
Anak-anak lelaki tersebut juga sangat dikenali sebagai anak-anak yang
sombong dan tidak tahu menghormati orang tua. Malah anak-anaknya juga
sering ikut serta mencela bapanya dan memihak kepada ibunya. Namun
mereka merupakan pelajar-pelajar yang pintar dan aktif di sekolah, menjadi
kesayangan guru-guru. Ibunya sangat berbangga dengan pencapaian anak-
anaknya. Tidak pernah sekali pun si bapa dikaitkan dengan pencapaian anak-
anak itu, seolah-olah hanya kerana ibu sahaja mereka berjaya.
Sebelum berlaku tragedi yang menyedihkan pada keluarga tersebut,
terdengar desas-desus pula bahawa anak dalam kandungan isteri lelaki
tersebut bukanlah hasil dari perhubungan suami-isteri tersebut. Manakan
tidak, katanya, mereka sudah lama tidak melakukan hubungan badan. Pernah
lelaki itu cuba mengatakan perkara itu kepada mertuanya tetapi dia pula yang
dimaki-hamun oleh mertuanya kerana dikatakan memfitnah isteri sendiri.
Akulah satu-satunya yang menjadi sahabat baiknya. Dia mencurahkan
segala-galanya kepada aku. Dia merasa seolah telah dianggap mati oleh
keluarganya. Mereka hanya mahu dia memenuhi segala keperluan mereka
sahaja. Malah katanya dia sudah hampir setahun tidur di sofa ruang tamunya.
Bukan hanya isterinya tidak memperdulikannya, malah anak-anaknya juga
menghinanya. Dia sudah tidak ada harga diri. Dia sudah hampir tidak mampu
mengangkat muka pada jiran-jiran. Namun dia telan semua itu kerana dia
sangat sayangkan isteri dan anak-anaknya. Dia sanggup dihina dan dipukul
oleh isteri dan anak-anaknya kerana baginya hidupnya hanyalah untuk isteri
dan anak-anaknya. Dia tidak mampu membayangkan hidup tanpa mereka.
Dia juga mengatakan bahawa isterinya mempunyai hubungan dengan
kekasih lamanya. Dan akhir-akhir ini isterinya meminta cerai darinya. Berhari-
hari dia tidak boleh melelapkan matanya dan resah memikirkan betapa dia
akan terpaksa menceraikan isterinya setelah isterinya melahirkan anak yang
bukan anaknya. Ditambah pula situasi di kilang yang mahu mengurangkan
pekerja. Pengurusnya telah pun memberikan petunjuk bahawa dia juga akan
diberhentikan. Lelaki itu merasa hidupnya sudah tiada ertinya lagi dan
menganggap dirinya sudah mati. Hatinya sangat hancur mengenangkan
permintaan isterinya. Aku sendiri sudah tidak mampu membayangkan semua
itu.
Petang setelah hari kejadian tersebut aku duduk menyendiri di dalam sebuah
rumah yang tidak jauh dari tempat kejadian. Aku mengenangkan semua
urutan-urutan peristiwa dan sebab musabab yang memungkinkan kejadian
yang telah berlaku. Ketika itulah sekumpulan polis memecah pintu hadapan
rumah, menyerbu masuk dan bergerak pantas menyergap tanpa aku sebab
berbuat apa-apa. Pisau dapur yang sudah lama tidak berasah dan
berlumuran darah jatuh dari tanganku ketika salah seorang polis menggari
tanganku dan mengatakan bahawa aku dituduh membunuh isteriku.
Tidak! Tidak mungkin aku yang membunuhnya. Dia yang telah dulu
membunuhku. Aku sudah lama mati sebelum dia dibunuh. Mana mungkin
orang yang sudah mati membunuh?!
0 ulasan:
Post a Comment