Sudah hampir lima tahun Nabu Pawan menggeluti profesi sebagai tukang urut. Siapa tidak kenal dengan Nabu Pawan Si Tangan Ajaib. Seluruh daerah Beitou kenal dia. Malah ada yang dari Yilan, Nantou dan Kaohsiung pun datang menjejak serambi rumah peninggalan orang tuanya untuk khidmat urutnya yang telah tersebar mekar.
Belum pernah ada seorang pun pesakitnya yang pulang dan datang kembali mengadu tidak sembuh. Belum pernah ada panggilan telefon yang mengatakan tidak berpuas hati dengan urutannya. Beliau dianggap mempunyai tangan ajaib yang mempunyai karamah penyembuhan. Tidak kurang pula yang meminta minyak urutnya yang hanya merupakan campuran minyak kelapa dan halia, pun turut memuji-muji kemujaraban minyak urut hasil adunannya.
Berbagai jenis penyakit sembuh ditangan Nabu Pawan. Yang patah pulang bersambung. Yang tergeliat urat pulang lincah melompat. Yang bengkak datang merangkak pulang melenggang. Yang mengadu lemah pulangnya gagah. Malah ada yang datang lumpuh sudah mampu bertatih pulang. Seolah tiada penyakit yang tidak dapat diubati oleh urutan tangan kekar Nabu Pawan.
Kehebatan urutannya sempat menjemput cemburu dari tukang urut yang lain. Sempat tercurah fitnah Nabu Pawan merupakan seorang Kipatauw yang menguna sihir dalam pengubatannya. Sehingga pernah juga ada orang-orang pintar datang mengujinya, namun semuanya berakhir jadi bersahabat dengan Nabu Pawan. Tak kurang juga yang mahu berguru dengannya, namun semua itu ditolak Nabu Pawan dengan lembut dan berhemah. Bekalnya hanyalah mantera yang diajar arwah bapanya, jari-jari kurus, tangan kekar dengan urat-urat timbul dan minyak kelapa bercampur halia, namun picitan dan urutannya tepat belaka mengena setiap urat dan otot.
Kesohoran Nabu Pawan memang tiada tolok bandingnya, hinggalah suatu hari datang seorang pemuda menyeret kaki naik ke atas tangga rumahnya. Soda Kuhon menjulurkan kakinya dengan bengkak sebesar penumbuk terjojol di atas lututnya. Sekilas menurut pandangan Nabu Pawan itu bukanlah bengkak yang biasa. Awalnya Nabu Pawan mahu menolak tetapi belum pernah pula beliau menolak orang yang datang. Mungkin bolehlah yang ini jadi yang pertama kerana lain benar bengkak yang dilihatnya kali ini. Namun erangan Soda mencuit simpati Nabu.
"Kakiku sakit," rintih Soda.
Menurut cerita Soda, bengkak itu sudah hampir sebulan dideritainya. Doktor di hospital daerahnya sudah menolak untuk mengubatinya dan mengusulkan supaya berubat cara alternatif. Laporan x-ray tidak menunjukkan apa-apa. Berbagai tukang urut, bomoh dan dukun sudah didatangi Soda tapi tetap jua bengkak itu tidak mahu surut. Bapa saudara Soda yang mencadangkan Nabu padanya.
Soda Kuhon bekerja dengan sebuah syarikat yang sedang membaikpulih kawasan bekas lombong arang batu di daerah Pingxi yang dijadikan museum. Dia bertanggungjawab menyelia projek 'mono-eyed monk', tarikan popular di museum itu yang membawa para pelawat menaiki keretapi elektrik menjelajahi terowong di dalam lombong arang batu tersebut.
Entah apa sialnya hari itu, keretapi yang sedang diujipandunya tidak mahu berhenti dan menghentam dinding terowong menyebabkan dia jatuh tergolek dan kakinya bengkak, hingga terpaksa diusung oleh kawan-kawannya ke hospital. Kata kawan-kawannya dia terlanggar anak jin lombong.
'Merepek!' kata Soda dalam hati ketika itu - walaupun semenjak kebelakangan ini dia sudah mulai mahu mempercayainya.
Nabu Pawan menuang minyak urut ke atas telapak tangannya dan menyapu dengan perlahan tapi teliti ke atas bengkak di lutut Soda. Dapat dirasakannya lutut Soda berdenyut-denyut seolah ada benda bernyawa. Dipicit-picitnya perlahan untuk mencari tahu apa yang sedang dihadapinya. Soda mengenyit mata menahan rasa sakit dan ngilu yang bercampur.
Mulut Nabu Pawan kumat-kamit membaca beberapa ayat mantera yag diajarkan oleh bapanya dulu dan mengelus lutut kanan Soda. Bapa Nabu Pawan dulunya bukan calang-calang orang. Nenek moyangnya merupakan keturunan daripada Tok-A-Tok yang diriwayat menyatukan 18 puak Paiwan untuk mengalahkan tentera marin Amerika.
Soda Kuhon mengerang tersentak bila Nabu Pawan memulakan urutannya.
"Sakit?" tanya Nabu.
"Takkan sedap pulak," gumam Soda sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Ini bukan urat bengkak nih. Macam ada binatang pula dalam kaki kau nih," kata Nabu setelah menyedari bahawa bengkak di lutut Soda itu bergerak-gerak seolah menghindar urutannya.
"Mana kau dapat bengkak ni?" Nabu bertanya tanpa mengalihkan pandangannya dari bengkak di lutut Soda.
"Tapak bekas lombong Pingxi."
"err.. Kena sampuk dengan jin ke chiu?"
"Ini bukan jin ni. Jin tak macam nih. Ini macam binatang ni. Doktor tak nampak apa-apa masa x-ray hari tu?"
"Doktor kata tak nampak. Diorang nak bedah, saya takut. Saya kata nak berubat lain dulu."
"Aku belah nak? Ini tak boleh urut nih."
"Sakit?"
"Kalau nak keluarkan tanpa belah lagi sakit." Nabu meyakinkan Soda sambil terus memeriksa lututnya.
"Tapi nanti jap."
Nabu mendekatkan kepalanya ke lutut Soda, seolah-olah menemui sesuatu yang ganjil. Kelihatan buih-buih kecil keluar dari bahagian bawah lutut Soda. Sepertinya ada lubang kecil yang tersembunyi di celah lipatan bengkakan lututnya. Nabu mengelap minyak urut di bawah lipatan bengkak tersebut. Soda tersentak. Ngilu.
"Ada jalan keluar. Tak perlu belah." ujar Nabu yang sedikit menyenangkan hati Soda.
Soda menjerit ketika Nabu menekan bengkak lututnya. Terlihat lebih banyak buih dari minyak urut Nabu keluar dari bahagian bawah bengkak lutut Soda. Terasa sesuatu bergerak mahu melarikan diri ke bawah pelipat lutut Soda. Nabu sigap menangkapnya dan membawanya naik semula ke atas lutut Soda. Air mata Soda meleleh dalam deraman suaranya mengigit baju menahan kesakitan.
"Kau tahan sikit. Aku dah dapat dah benda tuh," Nabu memberi semangat kepada Soda untuk terus bertahan.
Peluh Nabu Pawan meleleh di tepi telinganya. Dengan penuh hati-hati, beliau mengurut benda yang ditahan di tapak tangannya ke arah bahagian lubang kecil di bawah bengkak lutut Soda. Soda menggigil-gigil menahan kesakitan yang amat sangat. Seolah-olah malaikat maut sedang datang menjemput nyawanya. Nafasnya tertahan. Kedua tangannya menggenggam apa sahaja yang dapat dicapainya. Dalam sela-sela kesakitan itu dia menumbuk-numbuk lantai rumah Nabu Pawan.
Hampir lima belas minit Nabu Pawan bertarung dengan benda yang ada di dalam lutut Soda Kuhon. Sudah kelihatan sesuatu seperti belalai atau sesungut berwarna putih yang membasah dengan darah terjuntai di lubang di lutut Soda. Keadaan Soda pula sudah seperti orang kerasukan. Peluh berjurai membasahi rambutnya. Nabu tetap dengan pekerjaannya tanpa tergugah dengan keadaan Soda.
"Aaaarrrrrggghhhhhh!!!!" Soda menjerit tidak tertahan lagi.
Sejurus dengan itu seketul benda putih terpancut keluar dari lutut kaki Soda. Nabu dengan pantas bangun mengejar benda yang melompat ke dinding rumahnya. Soda sudah tergeletak habis tenaga. Darah membuak dari lututnya. Soda tidak punya tenaga lagi waima untuk melihat pergelutan Nabu di tepi dinding. Matanya terpejam dan mulutnya menganga menghirup segala nafas yang ada di ruang tamu rumah Nabu Pawan.
Di dinding rumah, Nabu Pawan sedang berusaha menangkap benda aneh yang telah menduduki lutut Soda Kuhon selama sebulan itu dengan tangannya. Ditekupnya setiap tempat benda itu meloncat dan melompat disetiap dinding rumahnya. Dan akhirnya ketika benda itu berusaha melepaskan diri dari tapak tangan Nabu ke arah kanan, Nabu menyiku benda itu dengan kuat. Nabu sudah tidak peduli sama ada dia berjaya menangkap benda itu hidup-hidup atau mati. Berdentum bunyi sikuan Nabu. Bergegar papan lantai. Seiring dengan itu Nabu pula meraung dan berguling-guling di ruang tamu rumahnya.
* * *
Sejak dari hari itu, Soda Kuhon sudah boleh bekerja seperti sediakala. Dia sangat terhutang hidup dan berterimakasih pada Nabu Pawan yang berjaya menyembuhkan bengkak di kakinya. Sebagai tanda yang menunjukkan penghargaannya kepada Nabu yang telah menyembuhkan kesengsaraannya, Soda sering datang menjenguk Nabu setiap minggu, sambil menghadiahkan barang-barang keperluan dapur di depan pintu dan berlari keluar dengan kadar segera sebelum Nabu menyedari keberadaannya.
Nabu Pawan pula sudah tidak mengurut lagi. Setiap orang yang datang jauh dan dekat terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. Nabu Pawan sudah tidak berdaya lagi menggunakan tangan ajaibnya untuk menyembuhkan orang lain. Sikunya bengkak sudah hampir dua bulan. Terasa berdenyut-denyut dan ngilu. Sakit hatinya setiap kali terlihat muka Soda Kuhon.
Nabu Pawan pula sudah tidak mengurut lagi. Setiap orang yang datang jauh dan dekat terpaksa pulang dengan perasaan kecewa. Nabu Pawan sudah tidak berdaya lagi menggunakan tangan ajaibnya untuk menyembuhkan orang lain. Sikunya bengkak sudah hampir dua bulan. Terasa berdenyut-denyut dan ngilu. Sakit hatinya setiap kali terlihat muka Soda Kuhon.
0 ulasan:
Post a Comment